TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Sabtu, 9 April 2011

PENAHANAN ANGGOTA KUMPULAN MILITAN MALAYSIA (KMM) DAN JAMAAH ISLAMIAH (JI) DI BAWAH AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DAN KESESUAIANNYA DI MALAYSIA

-----------------------------------------------
Hipotesis, analisis data serta saranan dan cadangan tidak dipaparkan di dalam blog ini. Sekiranya anda inginkan maklumat lanjut anda bolehlah hubungi saya, wassalam.
-----------------------------------------------

1. TAJUK DAN SIGNIFIKAN KAJIAN

1.1 Pendahuluan

Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act) ataupun singkatannya ISA adalah merupakan satu undang-undang pencegahan yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia bagi untuk menentang ancaman Komunis. Namun, setelah ancaman Komunis selama 41 tahun berakhir hasil perjanjian damai ditandatangani pada 2 Disember 1989, kerajaan Malaysia masih lagi mengekalkan ISA kerana pelbagai sebab dengan menyatakan bahawa ia perlu untuk mengatasi ancaman keselamatan daripada pelbagai pihak. (Jin, Aznam, 2007)

Pelbagai pandangan telah dikemukakan terhadap status ISA di Malaysia kerana ada yang mendakwa bahawa ISA tidak lagi sesuai ketika ini dan ianya perlu dihapuskan. Terdapat segolongan rakyat yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang mengambil tindakan yang lebih aggresif dengan mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 untuk menyatakan bantahan terhadap pengekalan ISA dengan menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong bagi memansuhkan ISA (Himpunan Mansuh ISA (2009).

Kesan daripada tekanan dan kritikan terhadap ISA maka ISA telah dibawa ke Parlimen untuk dipinda walaupun pada peringkat awalnya Menteri Dalam Negeri telah menolak apa jua cadangan terhadap ISA.

Kerajaan memutuskan pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) harus dibentangkan pada persidangan Parlimen bersama enam lagi akta berkaitan pencegahan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen 27 Akta Polis 1960, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Kajian ini akan melihat sejauh mana keperluan untuk mengekalkan, meminda ataupun memansuhkan akta ISA yang akan melibatkan kes penahanan anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jamaah Islamiah (JI) di bawah ISA dan sejauh mana kesesuaian ISA di Malaysia pada masa kini.

1.2 Latar Belakang Kajian.

1.2.1 Pendahuluan

Kajian terhadap kerelavenan perlaksanaan ISA di Malaysia berpunca daripada perhimpunan membantah ISA yang telah diadakan oleh GMI di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyatakan pandangan bahawa ISA sudah tidak lagi sesuai dan perlu dimansuhkan serta perlu membebaskan tahanan yang ada untuk dibicarakan di mahkamah. Himpunan ini telah disertai oleh rakyat dengan disokong oleh parti-parti politik dan kumpulan NGO dengan jumlah kehadiran sekitar dua puluh ribu orang walaupun telah dihalang oleh pihak keselamatan.

Dalam masa yang sama terdapat juga kumpulan masyarakat sama ada mewakili parti politik mahupun NGO yang masih mahukan ISA dikekalkan dan mendesak agar kerajaan tidak tunduk kepada mana-mana desakan untuk menghapuskan ISA. Kesepakatan kumpulan ini telah berjaya membentuk Gerakan Kekalkan ISA (GKI) dan telah membuat keputusan untuk mengadakan perhimpunan dan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong pada tarikh yang sama.

Maka, untuk membuat kajian terhadap perkara ini adalah perlu untuk melihat sejarah bagaimana akta ISA diwujudkan di Malaysia kerana ia akan mempengaruhi perbincangan dan kajian yang akan dilakukan.

1.2.2 Kenapa ISA diwujudkan

British telah mengisytiharkan darurat di Malaya pada tahun 1948 apabila berlakunya rentetan peristiwa berdarah yang melibatkan kerajaan British dengan kegiatan politik haluan kiri terutamanya Parti Komunis Malaya (PKM) selepas daripada Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 terutamanya selepas kes pembunuhan seramai tiga orang pengurus ladang berbangsa Inggeris di Sungai Siput, Perak sehingga membawa kepada pengharaman PKM (Wikipedia, 2010, Mei 18).

Cadangan untuk mewujudkan satu undang-undang pencegahan telah dikemukakan di dalam Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri Tanah Melayu, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 21 Jun 1960 bagi mengatasi masalah darurat yang sedang dihadapi oleh negara pada ketika itu. Tun Razak menyatakan hasratnya untuk mengakhiri darurat pada tanggal 31 Julai 1960. Tun Razak menyatakan bahawa:

“Perdana Menteri dan anggota kerajaan yang lain termasuk saya sendiri, telah cukup jelas dalam beberapa kesempatan itu, kerana darurat itu harus diakhiri, kerajaan tidak bermaksud untuk tidak berwaspada terhadap kejahatan musuh yang masih tetap sebagai ancaman di sempadan kita yang ketika ini berusaha dengan cara subversi untuk berjaya di mana mereka telah gagal dengan penggunaan senjata. Karena alasan ini bahawa usul ini dibentang di dalam Parlimen. Ia mempunyai dua tujuan utama: pertama untuk melawan subversif di seluruh negara dan, kedua, untuk membolehkan tindakan yang perlu harus diambil pada daerah sempadan untuk melawan keganasan" (SUHAKAM, 2003 : 3)

Akta ISA ini pada awalnya telah dirangka oleh R.H. Hickling Akhirnya ISA menjadi undang-undang di Malaysia Barat pada tarikh 1 Ogos 1960 dan Malaysia Timur pada tarikh 16 September 1963.

1.2.3 Sejarah perlaksanaan ISA di Malaysia.

ISA mula dilaksanakan di Malaysia setelah akta ini diluluskan di Parlimen pada 22 Julai 1960 sebagai undang-undang pencegahan. ISA membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang boleh mendatang kemudaratan kepada negara ditahan oleh polis dan ditahan selama 60 hari berturut-turut dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu jika didapati masih mampu mendatangkan kemudaratan maka dengan kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri boleh menahan tertuduh selama dua tahun tanpa melalui perbicaraan di mana-mana mahkamah. Kuasa yang diberikan kepada menteri ini semakin bertambah apabila pada tahun 1989 akta ISA telah dipinda untuk memberikan kekebalan kepada Menteri Dalam Negeri daripada disiasat oleh makkamah dalam menentukan keputusannya terhadap tahanan ISA. Mahkamah hanya dibenarkan untuk melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA ( SUHAKAM, 2003: 3).

ISA telah menahan beribu-ribu tahanan yang mempunyai latar belakang yang berbeza seperti anggota komunis, ahli politik, pelajar, aktivis kemanusiaan, wartawan, penggerak reformasi dan pelbagai lagi dengan alasan mereka terlibat dengan aktiviti yang mengancam keselamatan negara. Namun begitu, penahanan yang dilakukan di bawah ISA seringkali dipertikaikan terutamanya oleh badan politik dan badan hak asasi manusia yang berpendapat bahawa terdapat penahanan dilakukan kerana kepentingan politik pemerintah dan penahanan mereka dilakukan tanpa mendapat pembelaan dan keadilan.

Terdapat satu kes di mana seorang wartawan Sin Chew Daily telah ditahan di bawah ISA selama 18 jam dengan alasan untuk menjaga keselamatan wartawan tersebut. Menteri Dalam Negeri telah membuat satu kenyataan semasa pembebasan wartawan tersebut dengan menyatakan bahawa pihak polis menahan beliau kerana wartawan tersebut telah menerima ugutan bunuh maka polis perlu menahannya di bawah ISA sehingga tindakan tersebut dipertikaikan oleh pelbagai pihak.


1.2.4 Akta Keselamatan Dalam Negeri di Negara Lain.

Perlaksanaan undang-undang seperti ISA bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia sahaja tetapi terdapat juga negara lain yang mengamalkan undang-undang pencegahan untuk mengelakkan ketidakstabilan negara. Jika dilihat kepada akta yang mempunyai persamaan dengan ISA di Malaysia maka terdapat tiga buah negara yang mengamalkan ISA iaitu Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura 1963 sebenarnya telah diwujudkan di Singapura ketika negara tersebut berada di dalam Malaysia dan apabila Singapura mengistiharkan mereka keluar daripada Malaysia akta ISA terus dilaksanakan mengikut keperluan dan kepentingan di negara tersebut. ISA di Singapura memberikan kerajaan hak untuk menangkap dan menahan individu-individu tanpa perbicaraan seperti mana yang dilaksanakan di Malaysia. ISA di Singapura digunakan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan dan mengelakkan kritikan daripada pembangkang terhadap kerajaan. Sebagai contohnya, pada tahun 1963 telah dilaksanakan Operasi Coldstore iaitu operasi bersama di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura untuk menahan 117 penyokong parti pembangkang dan ahli kesatuan perkerja Singapura, dan sesetengah daripada mereka ditahan sehingga 17 tahun. Pada tahun 1966 pula seorang ahli parti Barisan Sosialis iaitu Chia Thye Poh telah ditahan di bawah ISA selama 32 tahun. Begitu juga dengan penahan Mas Selamat bin Kastari yang dikatakan sebagai ketua JI telah diekstridasi dari Indonesia dan ditahan tanpa perbicaraan di bawah ISA namun beliau telah melarikan diri daripada tahanan pada bulan Februari 2008.

Akta Keselamatan Dalam Negeri McCarran adalah merupakan akta keselamatan yang diguna pakai di Amerika Syarikat ketika ini. Ia telah diluluskan oleh kerajaan pada tahun 1950 dan telah dipinda beberapa kali sehingga kali terakhirnya pada tahun 2003. Amerika Syarikat juga telah mewujudkan akta baru iaitu USA Patriot Act 2001 & Homeland Security Act 2002 yang diwujudkan selepas serangan ke atas World Trade Centre di New York pada 11 September 2001.

Negara-negara lain yang mempunyai akta yang seumpama ISA adalah negara Australia melalui Terrorism Act 2005, United Kingdom (Terrorism Act 2000), Tanzania (Tanganyika Preventive Detention 1962), Bangladesh (Special Powers Act 1974), Ghana (Preventive Detention Act 1958), Israel (Emergency Powers [Detention] Law) dan Sri Lanka (Prevention Of Terrorism Act 1982).

1.2.5 Rekod penahanan ISA sejak tahun 1960

Agak sukar untuk mendapatkan jumlah sebenar tahanan ISA sejak ia dimulakan pada tahun 1960 namun mengikut jawapan bertulis daripada Menteri Dalam Negeri, sehingga tahun 2005 seramai 10,662 orang telah ditahan di bawah ISA dengan 4,139 ditahan secara formal dan 2,066 ditahan dengan perintah tidak dibenarkan keluar daripada daerah. Manakala, seramai 12 tahanan telah dijatuhkan hukuman mati di antara tahun 1984 dan 1993. Sebab-sebab penahanan juga pelbagai mengikut pertuduhan yang dikenakan yang berkisar tentang keselamatan negara (Wikipedia, Mei 18, 2010 : 15-16). Ketika ini terdapat seramai 17 orang tahanan yang berada di bawah ISA di atas pelbagai pertuduhan dan di antaranya berkaitan dengan JI.

1.2.6 Penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Gerakan Mansuhkan ISA adalah merupakan satu gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik di Malaysia yang mempunyai satu matlamat yang sama iaitu menghapuskan ISA. Ia ditubuhkan pada tahun 2001 dan telah dianggotai lebih daripada 80 buah NGO dan parti politik. GMI telah menerbitkan pelbagai buku dan risalah bagi menerangkan pandangan mereka terhadap akta ISA seperti Siri Malaysia Bebas Dari ISA dan Ia Sah Aniaya. GMI juga yang bertanggungjawab menganjurkan himpunan 100 ribu rakyat untuk memansuhkan ISA. Terbaru, GMI yang tidak bersetuju dengan candangan kerajaan untuk meminda ISA telah melancarkan kempen “Mansuh ISA, Bukan Pinda” untuk mendesak kerajaan agar memansuhkan ISA kerana bagi GMI pindaan ISA tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mangsa ISA pada ketika ini dan akan datang.

1.2.7 Penubuhan Gerakan Kekalkan ISA

Gerakan Kekalkan ISA telah ditubuhkan sebagai tanda persetujuan dan sokongan terhadap kerajaan yang masih mengekalkan ISA dan ianya diwujudkan sebelum bermulanya himpunan 100 ribu rakyat membatah ISA yang dianjurkan oleh GMI. Ia telah diasaskan oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan telah disokong oleh sepuluh NGO Melayu termasuklah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM). Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Gerakan Kekalkan ISA ini masih lagi wujud kerana ia tidak perkembangan GKI akhir-akhir ini.

1.3 Isu kajian

Kajian ini akan menumpukan kepada kes tangkapan yang melibatkan anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jamaah Islamiah (JI) yang telah ditangkap dan ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan oleh kerajaan. KMM mula dikenali setelah berlakunya kejadian di Bukit Jenalik Kuala Kangsar, Perak. Sejak daripada itu, lebih daripada 75 ahli KMM telah ditahan di bawah ISA dan seterusnya KMM diharamkan. KMM dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan JI dan disyaki KMM turut sama merancang untuk menggunakan kaedah kekerasan dan militan di dalam tindakan mereka.

JI pula telah ditubuhkan oleh Abu Bakar Basyir di Indonesia sekitar tahun 1969 yang cuba menghidupkan kembali operasi pergerakan untuk membina Negara Islam oleh Kartosuwiryo pada tahun 1949 setelah Kartosuwirjo ditangkap pada tahun 1962 oleh pemerintah Indonesia dan seterusnya dijatuhkan dengan hukuman mati. JI dikatakan telah bermula di Malaysia pada tahun 1982 apabila Abu Bakar basyir dan pengikutnya melarikan diri ke Malaysia. Berpandukan kepada kaitan di antara KMM dengan JI maka ia dipercayai mempunyai kaitan termasuklah tindakan militan yang dirancang bersama. (Wikipedia, April 20, 2010)

Isu kajian yang berkaitan KMM dan JI adalah berkenaan dengan sejauh mana kebenaran kewujudan KMM dan JI di Malaysia kerana mereka yang ditahan dikaitkan dengan penglibatan dengan dua kumpulan ini yang merancang untuk menggunakan kekerasan dan keganasan serta dikaitkan dengan pelbagai strategi persenjataan. Begitu juga dengan penahanan kesemua suspek yang ditahan di bawah ISA tanpa melalui proses perbicaraan. Suspek yang ditahan kerana terlibat dengan KMM telah dibebaskan kesemuanya namun masih lagi terdapat suspek yang terlibat dengan JI masih lagi ditahan.

Isu kajian yang ingin dikemukakan adalah berkaitan dengan perkara seperti berikut iaitu berkaitan dengan penahanan tanpa bicara, hak asasi kemanusiaan yang perlu diberikan kepada tahanan seperti hak melantik peguam dan hak untuk dibicarakan di mahkamah.

1.4 Objektif Kajian

Memandangkan kajian ini adalah berkaitan dengan sejauh mana kerelevanan ISA di Malaysia dengan merujuk kepada kes KMM dan JI, maka dilihat bahawa terdapat empat objektif yang berkaitan dengan kajian.

Objektif utama adalah untuk mengkaji secara umum sejauh mana rakyat Malaysia menyedari tentang kewujudan ISA termasuk untuk mengetahui sejauh mana rakyat Malaysia peka dengan kaedah penahanan di bawah ISA. Ini untuk mengelakkan rakyat Malaysia daripada bertindak untuk menyokong ataupun membantah dalam keadaan tidak memahami apa yang mereka nyatakan. Ada kemungkinan bahawa terdapat dikalangan rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa terdapat undang-undang seperti ISA diwujudkan di Malaysia dan tidak memahami bagaimana penahanan di bawah ISA dilakukan.

Objektif kedua adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada umum tentang kerelevanan ISA ketika ini. Seperti yang dinyatakan di dalam pengenalan kajian ini bahawa tujuan ISA diwujudkan adalah untuk membenteras serangan Komunis namun perlu juga dibuat kajian sejauh mana ISA dilihat masih sesuai ataupun tidak melalui pandangan masyarakat umum. Sebab itu pandangan masyarakat terhadap akta ini perlu diambil kira untuk mendapatkan pandangan yang lebih realistik.

Objektif yang ketiga adalah berkaitan dengan sejauh mana keperluan untuk ISA dipinda ataupun dihapuskan sepertimana yang telah didesak oleh pelbagai pihak. Bagi mendapatkan pandangan ini daripada umum, persoalan berkaitan dengan kes penahanan tanpa bicara, perkara berkaitan dengan hak asasi manusia dan kaedah penahanan suspek dikemukakan di dalam kertas soal selidik.

Objektif yang terakhir iaitu objektif yang keempat adalah untuk melihat penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap ISA. Cadangan tersebut dapat dikemukakan berkaitan dengan tempoh tahanan, cara penahanan, kuasa menteri dan cadangan yang berkaitan. Objektif-objektif ini akan mempengaruhi penyediaan soalan-soalan yang akan dikemukakan di dalam soal selidik nanti.

1.5 Skop Kajian

Skop kajian tidak terbatas mengikut peringkat umur, kaum dan agama kerana ia perlu mengambil kira pandangan semua peringkat untuk melihat sejauh mana kajian ini lebih berkesan dan lebih tepat. Kajian ini akan diadakan ke atas penduduk di dalam Parlimen Kluang yang akan melibatkan masyarakat umum mengikut latar belakang yang berbeza.

1.6 Jangkaan Hasil Kajian

Melihat kepada kajian yang telah dibuat sebelum ini sebahagian besarnya menjurus ke arah menghendaki agar ISA dikaji semula ditambah lagi denan keputusan kerajaan untuk membawa cadangan pindaan akta ini di Parlimen. Kajian ini akan membawa kepada pandangan masyarakat bahawa ISA perlu dipinda untuk mengelakkan ISA disalahgunakan dan akta ini akan semakin dihormati oleh semua pihak. Namun, ia juga bergantung kepada kepekaan dan kefahaman masyarakat awam terhadap ISA. Jika masyarakat awam tidak memahami dan tidak membuat peneltian terhadap ISA maka ada kemungkinan ISA dilihat masih relaven tanpa perlu melalui proses penambahbaikan.

1.7 Kepentingan dan Faedah Penyelidikan

Perdebatan tentang sama ada ISA masih lagi sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia semakin rancak apabila semakin banyak kumpulan yang diwujudkan untuk memberikan pandangan terhadap keberkesanan ISA. Penubuhan GMI pada tahun 2001 telah mengerakkan massa untuk mendesak kerajaan agar membebaskan tahanan ISA yang ditangkap kerana terlibat dalam gerakan reformasi. Sebelum itu, Aliran dan Suaram adalah di antara kumpulan hak asasi manusia yang ditubuhkan di Malaysia untuk menentang pengunaan ISA terhadap mana-mana rakyat Malaysia. Walaupun desakan demi desakan dilakukan namun kerajaan masih tetap percaya bahawa ISA masih lagi diperlukan di dalam konteks mengawal keselamatan negara.

Penyelidikan ini dilakukan untuk melihat sejauh mana kebenaran bahawa ISA masih lagi relaven dengan keadaan pada hari ini seperti mana yang telah pertahankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bernama, Ogos 2, 2009). Begitu juga kajian ini juga dilakukan untuk melihat sejauh mana dakwaan bahawa ISA perlu diberi nafas baru dengan melakukan pindaan terhadap beberapa perkara di dalam ISA. Kajian ini juga penting untuk melihat sejauh mana kebenaran bahawa ISA perlu dihapuskan kerana ia adalah satu undang-undang yang zalim kepada rakyat.

Hasil kajian ini diharapkan akan membantu pihak-pihak tertentu untuk melihat sejauh mana keberkesanan ISA yang sedang dijalankan di Malaysia. Kerajaan telah membuat keputusan untuk melakukan pemindaan terhadap ISA dan dijangkakan akan membentangkan pindaan tersebut di Parlimen seperti mana yang telah dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri namun belum dapat dipastikan bahagian yang mana akan dipinda.

BAB 2 : KAJIAN-KAJIAN TERDAHULU

Perkembangan perlaksanaan ISA di Malaysia telah mendapat tempat di dalam kajian-kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada daripada dalam negara mahu pun daripada luar negara khususnya badan yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Terdapat pelbagai kajian yang telah dibuat untuk melihat sejauh mana keberkesanan akta ISA dan kebanyakkannya lebih menjurus kepada perubahan terhadap akta ISA ini.

2.1 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) iaitu satu suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menangani permasalahan dan aduan berkaitan dengan isu hak asasi secara konsisten menentang penggunaan ISA terhadap mana-mana rakyat Malaysia dan pernah mengeluarkan kenyataan agar tiga rakyat Malaysia iaitu Raja Petra Kamaruddin, Teresa Kok and Tan Hoon Cheng yang ditahan di bawah ISA adalah satu tindakan yang salah dan merupakan pelanggaran hak asasi manusia. SUHAKAM juga pernah mengeluarkan kenyataan media apabila terdapat tahanan ISA dibebaskan seperti pembebasan Sanjeev Kumar A/L Krishnan pada 9 September 2008 dan pembebasan Raja Petra Kamaruddin.

Dato’ N. Siva Subramaniam menyatakan bahawa SUHAKAM memandang berat terhadap penggunaan penahanan tanpa perbicaraan dan telah berulangkali menyarankan supaya tahanan ISA dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan mereka dengan menegaskan bahawa tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah salah kerana bercangggah dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

Dalam satu kajian SUHAKAM betajuk Review of The Internal Security Act 1960 yang dikeluarkan pada tahun 2003 telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya meminda ISA (SUHAKAM, 2003 : 33 – 51). Cadangan tersebut adalah berdasarkan dua perkara yang disandarkan kepada perspektif hak asasi manusia. Pertama, ada kebimbangan dalam hubungannya dengan syarat-syarat ISA yang dipercayai bahawa mereka melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia. Perkara yang kedua, ada keprihatinan berhubung dengan pelaksanaan peruntukan ISA. Dipercayai bahawa di bawah ISA, warganegara dan bukan warganegara telah menjadi sasaran penahanan sewenang-wenangnya dan tidak berperikemanusiaan atau merendahkan martabat insan ketika berada dalam tahanan. Dua alasan ini telah dikemukakan kepada kerajaan untuk mengambil kira keperluan untuk meminda ISA.

2.2 Human Rights Watch (HRW)

Sebuah organisasi yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) turut mengadakan kajian terhadap perlaksanaan ISA di Malaysia. Kajian HRW memfokuskan terhadap keadaan tahanan yang sedang ditahan di pusat tahanan ISA di Kamunting, Perak. HRW mendapati bahawa tahanan telah disiksa sepanjang proses penahanan mereka dengan mengemukakan soal selidik yang mereka terima daripada tahanan-tahanan seperti Yazid Sufaat, Zainun Rasyid, Mat Sah Mat Satray dan Abdul Murad Sudin yang sedang berada di penjara Kamunting dengan menceritakan pengalaman yang sedang mereka hadapi (Human Rights Watch, September 2005 : 29 – 30). Sebagai contohnya pengalaman Mat Sah Mat Satray telah diambil dengan beliau menggambarkan pengalamannya :

“Saya telah dilemparkan dengan kasar di lantai simen dan mereka menekan lutut mereka di bahagian belakang leher saya sampai saya merasa sakit luar biasa sehingga pipi ditekan ke lantai simen yang kotor. Saya kemudian ditarik kembali dan dengan kasar ditolak ke dalam ruang tempat solat dalam keadaan tangan digari…tulang rusuk kanan saya ditolak dengan kasar di atas lantai sehingga merasa sesak nafas dan pipi saya di lantai. Setelah itu saya diperintahkan untuk bangun dan gari dipindahkan dari belakang ke depan. Saya diarahkan untuk duduk bersila menghadap dinding dan kepala saya menghentam dinding.”

HRW telah mencadangkan kepada kerajaan Malaysia agar menghapuskan akta tersebut kerana ia didapati melanggar hak asasi manusia. HRW menegaskan agar mereka yang sedang ditahan perlulah diadili sesuai dengan piawaian mahkamah antarabangsa. HRW bukan sahaja mengemukakan laporannya kepada kerajaan Malaysia malah ia juga diserahkan kepada SUHAKAM, Kerajaan Amerika Syarikat, Kerajaan Britain dan Bangsa-Bangsa Bersatu.

2.3 Amnesty International

Amnesty International yang berpengkalan di England telah memberikan pandangan yang hampir sama dengan HWR (Amnesty International, September 1999 : 19-26). Amnesty telah membuat kajian sejarah penahanan di bawah ISA sejak daripada tahun 1960 sehinggalah kes penahanan ISA yang melibatkan reformis yang menyertai reformasi yang dimulakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kes penahanan Datuk S. Nallakaruppan dijadikan sebagai kajian kes untuk melihat bagaimana cara beliau ditahan. Amnesty Antarabangsa mengesyorkan agar kerajaan membuat keutamaan pengesahan tentang perlaksaan ISA di Malaysia daripada Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Perjanjian Antarabangsa mengenai Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR) dan Konvensyen Menentang Penyiksaan dan Lain yang Kejam, tidak berperikemanusiaan atau Perlakuan atau Hukuman (CAT).

Amnesty melalui kajiannya yang bertajuk “Malaysia: Human rights undermined: Restrictive laws in a parliamentary democracy” juga mengesyorkan agar pindaan terhadap perlembagaan negara mengambil kira hak asasi manusia. Begitu juga dengan reformasi terhadap perundangan perlu dilakukan kerana tahanan ISA wajar diberikan hak untuk dibicarakan bukannya terus ditahan tanpa melalui proses perundangan di mahkamah. Amnesty International juga mendesak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah untuk menamatkan amalan terhadap tahanan seperti dakwaan penyiksaan dan perlakuan buruk.

2.4 “Human Rights and Internal Security in Malaysia : Rhetoric and Reality”

Tesis bertajuk “Human Rights and Internal Security in Malaysia : Rhetoric and Reality” (Rahim, Mac 2006 : 67 – 89) telah membuat penyelidikan tentang penggunaan ISA di Malaysia yang membandingkan di antara keselamatan dalam negeri dan hak asasi manusia. Beliau mengemukakan pandangan terhadap tindakan kerajaan yang perlu mengambil kira tentang hak asasi manusia dalam mengambil tindakan di bawah ISA. Ini adalah kerana kebimbangan yang wujud apabila keselamatan dalam negeri lebih diutamakan daripada hak asasi manusia dalam menentukan sesuatu tindakan. Ini termasuk juga terhadap keadilan dalam perbicaraan ke atas tahanan ataupun suspek yang ditahan di bawah akta ini.

2.5 Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

GMI pula melalui satu kenyataan akhbar secara konsistennya menegaskan bahawa ISA perlu dimansuhkan bukannya dipinda seperti mana yang telah dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri. GMI memberikan beberapa sebab di antaranya berkaitan dengan penahanan tanpa melalui proses perbicaraan dalam apa jua keadaan tetap melanggar prinsip keadilan dan hak perbicaraan yang sepatutnya diperolehi oleh setiap rakyat. Dengan mengambil kira kehendak kerajaan untuk meminda ISA maka GMI menggesa agar semua tahanan ISA dibebaskan atau dibicarakan diikuti dengan kajian untuk ISA dimansuhkan.

Terdapat juga pandangan yang bersetuju agar ISA dikekalkan sama ada tanpa dipinda mana-mana bahagian ataupun perlu dipinda mengikut kesesuaian seperti jumlah jangka masa tahanan dan hak untuk dibicarakan. Pandangan-pandangan ini walaupun tidak dilakukan melalui hasil kajian yang mendalam namun ia dilihat sebagai pandangan yang perlu diambil kira untuk melihat keberkesanan ISA ketika ini.

2.6 Pandangan menyokong ISA

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bersetuju agar ISA dikekalkan dengan melakukan pindaan terhadap akta yang sedia ada (Zakaria, 2006,). Beliau melihat bahawa tempoh tahanan ISA yang ditetapkan selama dua tahun perlu dikaji semula. Beliau telah menyarankan agar tempoh minimum penahanan pesalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diubah daripada dua tahun kepada setahun sepertimana yang diamalkan sekarang. Dr Mahathir juga mencadang agar kajian setiap enam bulan dilakukan oleh pihak yang berkelayakan sebagai langkah menepati hak-hak asasi manusia. Tun Dr Mahathir juga mahu ada peraturan yang jelas yang menyebabkan penahanan dibuat supaya ia tidak dipertikaikan oleh massa. Ini merujuk kepada kes penahanan seorang wartawan Sin Chew Daily yang telah ditahan di bawah ISA dengan alasan untuk menjaga keselamatan wartawan tersebut yang telah mendapat ugutan bunuh sebelum daripada penahanan tersebut. (Cheng, (2008 : 7 – 8)

Dr. Chandra Muzaffar, seorang aktivis hak asasi manusia pula mencadangkan agar kerajaan menubuhkan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan. Walaupun beliau melihat bahawa ISA telah berjaya mengawal keselamatan negara namun masih lagi terdapat ruang untuk ISA disalahgunakan kerana ISA tidak memberi ruang kepada tertuduh untuk membela diri. Beliau juga mencadangkan agar undang-undang baru iaitu Maintenance of Public Order and Stability Act atau Akta Kawalan Keselamatan dan Kestabilan Awam diwujudkan bagi menggantikan ISA.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berpendapat bahawa ISA masih lagi diperlukan di negara ini untuk mengawal krisis perkauman dan agama yang timbul dari masa ke masa dan sekiranya negara Malaysia ditadbir tanpa ISA maka kerajaan seolah-olah membiarkan negara berkecamuk pada masa depan (Ibrahim, 2009, September 25). Ini merujuk kepada pertembungan kaum yang sedang berlaku di dalam negara yang diwujudkan oleh kumpulan tertentu sama ada daripada pihak kerajaan dan daripada pihak parti pembangkang.

Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo berpendapat bahawa ISA perlu diberikan pembaharuan dalam perkara-perkara tertentu untuk mengelakkan persepsi dan pandangan sebahagian masyarakat telah dihasut untuk mempercayai bahawa ISA merupakan alat politik parti pemerintah bagi menekan parti lawan (Toyo, 2009). Begitu juga dengan pelaksanaan ISA yang tidak dapat elak daripada berlakunya kelemahan dan kekurangannya.

------------------------------------------------

BIBILIOGRAFI

Amnesty International (September, 1999), Human Rights Undermined: Restrictive Laws in a Parliamentary Democracy, AI Index: ASA 28/06/99, 19-26

Rahim, N.H, (Mac 2006). Human Rights and Internal Security in Malaysia : Rhetoric and Reality, Naval Post Graduate School, pp. 67 - 89

Internal Security Act 1960, (January 2006). Commissioner of Law Revision, Malaysia, Percetakan Nasional Malaysia Bhd, pp.

Human Rights Watch, (September 2005). Detained Without Trial Abuse of Internal Security Act Detainees in Malaysia, Vol. 17, No. 9(C), 29 – 30

SUHAKAM (2003). Review of The Internal Security Act 1960, SHM/ISA-REVIEW/07/03, History of the Internal Security Act 1960, ms 3

SUHAKAM (2003). Review of The Internal Security Act 1960, SHM/ISA-REVIEW/07/03, The Issues, 33 – 51

Patenaude, M. (May, 2006). The McCarran Internal Security Act 1950 – 2005 : Civil Liberties Versus National Security, University of Arkansas at Little Rock, pp. 24- 28

Cheng, T. H. (2008). My hours under the ISA, Aliran Monthly, Vol 28 No 7, 7 – 8

Loh, F. (2008). The BN Nasional Security State and the ISA, Aliran Monthly, Vol 28 No 7, 37 – 40

Zakaria, F.I. (2006, Oktober 4). Dr M syor tahanan ISA satu tahun, Utusan Malaysia Online, tarikh akses Jun 10, 2010, daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Ibrahim, R., (2009, September 25). Malaysia masih perlukan ISA, Utusan Malaysia Online, tarikh terakhir akses Mei 31, 2010, daripada
http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2004&y=2009&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Mutalib, Z. A. (2010, Mac 21). Pindaan ISA, 6 lagi akta dibentang di Parlimen, terakhir akses Mei 15, 2010, daripada
http://www.bharian.com.my/articles/PindaanISA_6lagiaktadibentangdiParlimen/Article/

Toyo, M.K. (2009). ISA perlukan Pembaharuan bukan pemansuhan, terakhir akes November 12, 2009, daripada http://www.drkhir.com/2009/07/isa-perlukan-perubahan-bukan-pemansuhan.html

Wikipedia. (2010, Mei 18). Internal Security Act Malaysia, terakhir akses Jun 20, 2010, daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Internal_Security_Act_%28Malaysia%29

Wikipedia (2009, April 14). Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura, terakhir akses Jun 20, 2010, daripada
http://ms.wikipedia.org/wiki/Akta_Keselamatan_Dalam_Negeri_%28Singapura%29

Bernama (2009, Ogos 2). Kerajaan tidak akan hapuskan ISA – Nazri, The Star Online, terakhir akses Mei 15, 2010, daripada
http://mstar.com.my/services/printerfriendly.asp?file=/2009/8/2/mstar_berita/20090801194607.asp&sec=mstar_berita

Suaram, (Julai 24, 2009). Himpunan Mansuh ISA, terakhir akses pada 31 Mei 2010, daripada
http://www.suaram.net/himpunan-mansuh-isa-2009

Wikipedia, (April 20, 2010). Jemaah Islamiah, terakhir akses 19 Mei 2010, daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Jemaah_Islamiyah

Jin, S.E., Aznam S. (Mac 4, 2007). Legacy of the wayward lawyer, The Star Online.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2007/3/4/focus/17042462&sec=focus
Wikipedia, (Mei 23, 2010). Aturan Undang-Undang, terakhir akses pada 20 Januari 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Aturan_Undang-Undang

Wikipedia, (Ogos 1, 2010). Mat sah Satray, terakhir akses pada 20 Januari 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Mat_Sah_Satray

Wikipedia, (Januari 8, 2011). Polis Diraja Malaysia, terakhir akses pada 20 Januari 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Polis_Diraja_Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan