TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 12 Mei 2011

PENSWASTAAN AIR JOHOR GAGAL DI BAWAH KERAJAAN BARISAN NASIONAL


Pendahuluan

Menikmati bekalan air adalah hak asasi manusia dan ia adalah merupakan keperluan asas. Perkara ini termaktub dalam pelbagai undang-undang antarabangsa, pengisytiharan dan konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada bulan November 2003, Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Ekonomi, Kebudayaan dan Sosial (UNECSR) telah mengambil langkah awal apabila mengisytiharkan bahawa hak untuk menikmati kemudahan air adalah hak asasi manusia yang asas dan semua negara hendaklah mewujudkan undang-undang bagi merealisasikan hak untuk menikmati kemudahan air ini. Bermakna, kerajaan sememangnya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap rakyat yang ada di dalam negara ataupun negeri bawah naungannya mendapatkan hak bekalan air.

Secara tidak langsung, menyediakan bekalan air adalah satu tanggung jawab sosial kerajaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan. Jika penswastaan berlaku, pengurusan bekalan air akan lebih cenderung dalam mengaut keuntungan serta meningkat nilai saham kepada syarikat serta pemegang saham syarikat tersebut. Proses penswastaan air di Johor telah pun berlaku dan tempoh selama sepuluh tahun penswastaan sudah tentu dapat dilihat kesannya pada hari ini sejauh mana penswastaan tersebut memberikan impak ataupun kesan kepada kerajaan negeri dan pengguna secara keseluruhannya. Tugasan ini akan membincangkan prestasi pihak yang bertanggungjawab iaitu kerajaan negeri Johor dan Syarikat Air Johor Holdings (SAJH).

Sejarah Bekalan Air Di Johor

Bekalan air secara rasminya telah berlaku di negara kita bermula daripada tahun 1804 apabila British telah memasang saluran paip air daripada kawasan bukit ke kawasan bandar. Selepas itu bermulalah usaha untuk menyalurkan air bersih kepada pengguna dibuat di seluruh negara secara berperingkat-peringkat sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberikan tanggungjawab untuk membekalkan air ke seluruh negara. Peranan JKR dalam membekalkan air ini berterusan sehinggalah pada tahun 1988. Pada tahun 1989 Jabatan Bekalan Air (JBA) telah ditubuhkan di Malaysia untuk menguruskan perbekalan air bersih kepada pengguna di Malaysia. Pada 2 Februari 1994, JBA yang menguruskan air di Johor telah diperbadankan dan dikenali sebagai Syarikat Air Johor (SAJ) dan tindakan memperbadankan JBA kepada SAJ merupakan langkah pengkorporatan yang telah dilakukan oleh kerajaan.

Bagaimana air Johor diswastakan

Setelah Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan minat kerajaan Malaysia untuk melaksanakan polisi penswastaan pada tahun 1983, satu pelan induk yang dinamakan Pelan Induk Penswastaan (PIP) telah digubal dan diwartakan pada tahun 1991. PIP telah mengemukakan enam keperluan dan enam saranan bagi mempercepat dan memperluaskan program penswastaan. PIP juga telah mencadangkan agar Pelan Tindakan Penswastaan (PTP) yang mana akhirnya PTP ini telah mengenal pasti enam kategori berbeza untuk penswastaan. Di antaranya adalah kategori syarikat-syarikat perkhidmatan yang dahulunya dilindungi daripada persaingan kormersial akan diswastakan demi kepentingan pengguna.

Maka, pada awal tahun 1997 kerajaan negeri Johor telah menerima cadangan penswastaan daripada syarikat Lambang Optima Sdn Bhd. (LOSB). Kemuncaknya, pada 19 April 1999 Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Abd Ghani Osman meluluskan secara muktamad akan terma dan syarat penswastaan itu.

Menerusi penswastaan SAJ ini, LOSB akan memiliki 80% saham dalam SAJ Holding. Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang mewakili kepentingan kerajaan Johor mempunyai 15% saham. Manakala 5% bakinya akan dimiliki oleh kakitangan SAJ dan kerajaan negeri Johor akan memegang satu saham istimewa. Manakala tempoh konsesi yang diberikan kepada SAJ Holding ialah 30 tahun. Kerajaan Johor memilih LOSB kerana LOSB dikatakan mempunyai kepakaran dalam urusan bekalan air, LOSB mempunyai pengalaman dalam bidang air dan kerajaan Johor melihat kemampuan kewangan LOSB untuk melaksanakan penswastaan SAJ.

Peringkat Penswastaan Air Johor

Penswastaan perkhidmatan bekalan air di Johor sebenarnya telah bermula lebih awal lagi sebelum wujudnya Syarikat Air Johor lagi. Kerajaan Johor telah mengambil keputusan untuk menswastakan sistem bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1992 dengan Syarikat Equiventures Sdn Bhd manakala pada tahun 1994 pula kepada Southern Water Corporation. Kedua-dua syarikat ini berperanan sebagai operator rawatan air. Hanya pada tahun 1999, Jabatan Bekalan Air Negeri Johor yang sebelum ini operasinya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diswastakan kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) sebagai pengendali operator rawatan air dan juga telah diberi hak sebagai pengedar bekalan air di Negeri Johor bagi tempoh 30 tahun. Bermakna, terdapat tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam memproses air bersih kepada rakyat Johor.

Sebab- Sebab Penswastaan

Dalam ucapan yang telah disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu semasa majlis menandatangani penstrukturan semula perkhidmatan perbekalan air di Johor, beliau mengakui bahawa industri perkhidmatan air adalah industri yang berintensif modal yang tinggi. Beliau menyatakan bahawa dengan sumber kewangan yang terhad dan kadar tarif yang rigid serta sensitif, industri perkhidmatan air tidak mampu memenuhi permintaan air bersih yang tinggi.

Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan konsep penswastaan yang mana ia telah dikenal pasti sebagai penyelesaian terhadap kekangan dan halangan dalam industri ini dan seterusnya beberapa syarikat konsesi telah pun menyertai industri ini dengan harapan mereka dapat menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi meningkatkan kecekapan dalam industri perkhidmatan air.

Mengambil kira daripada isi kandungan ucapan Datuk Seri Najib ini menunjukkan bahawa kerajaan mengambil langkah penswastaan dengan harapan pihak swasta yang mengendalikan perkhidmatan bekalan air khususnya di Johor dapat membantu kerajaan negeri mengatasi masalah untuk membekalkan air yang bersih kepada pengguna kerana ia adalah satu industri yang memerlukan kos yang tinggi. Justeru syarikat yang bersedia mengambil alih peranan membekalkan air ini mestilah sebuah syarikat yang mempunyai kemampuan daripada sudut pengalaman yang luas dan kewangan yang kukuh kerana faktor-faktor ini penting untuk memastikan tidak akan timbul masalah pada masa akan datang.

Kesan Positif Penswastaan Air

Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberikan ucapan semasa pelan penstrukturan semula perbekalan air Johor, Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) telah berjaya mengurangkan Kadar Air Tidak Berhasil (KATB) ataupun Non Revenue Water di Johor daripada 49% pada tahun 1999 kepada 29% pada tahun 2007.

Selain daripada itu, tidak nampak kesan besar yang mendatangkan impak yang positif kepada kerajaan Johor mahupun kepada pengguna.

Namun, prestasi mengurangkan KATB tidak dapat dituruti dengan kejayaan-kejayaan lain yang dapat memberikan kepuasan dan keselesaan kepada dua pihak iaitu kerajaan Johor dan pengguna.

Kesan Negatif Penswastaan Air Johor

Secara umumnya, dasar penswastaan yang diperkenalkan pada tahun 1983 di Malaysia mempunyai lima objektif iaitu untuk mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan, memperbaiki kecekapan dan produktiviti, menjana pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan saiz penglibatan sektor am dalam ekonomi dan menolong untuk mencapai matlamat pembangunan sosial. Jika dilihat daripada lima objektif penswastaan ini, penswastaan perbekalan air di Johor terdapat kesan positif dan kesan negatif daripada penswastaan yang telah dilakukan oleh kerajaan Johor. Kejayaan SAJH dapat mengurangkan Kadar Air Tidak Berhasil ataupun Non Revenue Water di Johor daripada 49% pada tahun 1999 kepada 29% pada tahun 2007 sememangnya tidak dapat dinafikan namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian kerana terdapat kesan negatif hasil daripada penswastaan ini. Dua perkara disenaraikan sebagai kesan negatif tersebut.

i. Tarif Air Naik

Dalam satu wawancara bersama Presiden The Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA) Encik Marimuthu, beliau telah memberikan pandangan bahawa penswastaan akan mengakibatkan kenaikan tarif. Apabila perkhidmatan bekalan air diberikan ke tangan syarikat swasta sudah tentu mereka akan lebih cenderung dalam mengaut keuntungan kerana air bukan seperti barangan-barangan lain. Marimuthu menyatakan bahawa air merupakan satu sumber keperluan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian pengguna. Mereka tidak mempunyai apa-apa pilihan lain melainkan menggunakan perkhidmatan yang disediakan kepada mereka dalam mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan minuman dan kehidupan.

Kenaikan tarif air telah berlaku beberapa kali selepas daripada proses penswastaan air di Johor. Sebagai contohnya, sebelum diswastakan perbekalan air sekiranya sebuah rumah menggunakan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.30 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 0.70 bagi setiap m3 air. Namun kenaikan tarif air telah berlaku pada tahun 2001, penggunaan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.30 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 0.95 bagi setiap m3 air. Selepas itu, kadar kenaikan tarif diteruskan pada tahun 2003 dengan penggunaan di antara 1-15 m3 maka jumlah setiap m3 adalah sebanyak RM 0.38 dan jika jumlah yang digunakan di antara16 – 30 m3 air maka jumlah bayaran yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM 1.18 bagi setiap m3 air.

Maka, dengan kenaikan yang berterusan sudah sehingga mencapai tempoh semakan ke 7 iaitu pada tahun 2026 pengguna domestik di Johor akan merasai dan menanggung bebanannya. Kebimbangan dengan kenaikan tarif air ini berterusan apabila Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk SAJ Holdings, Ranhill Utilities Bhd. (Ranhill Utilities) iaitu Ahmad Zahdi Jamil membuat kenyataannya dengan menyebut bahawa jadual tarif baru itu telah dicadangkan kepada kerajaan negeri Johor dan ia dijangka diwartakan pada akhir tahun 2006 dengan kadar kenaikan tarif 2.4%.

Pada penghujung tahun 2008, terdapat ura-ura bahawa kenaikan tarif bekalan air di Johor sebanyak 18.9 peratus akan berlaku lagi seperti yang dijadualkan bermula 1 Januari 2009 namun telah ditangguhkan buat sementara waktu hingga satu keputusan muktamad dibuat oleh kerajaan sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor kerana rundingan yang berlangsung antara kementerian dengan Kerajaan Johor dan Syarikat SAJ Holdings Sdn. Bhd.

ii. Kualiti bekalan air masih belum mencapai ke tahap yang diharapkan

Apabila perbekalan air di Johor diswastakan sudah tentu harapan pengguna adalah untuk mendapatkan bekalan air yang bersih. Pada 29 September 2005, Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkaitan dengan masalah kualiti air yang telah tercemar di dalam Daerah Kluang dan Batu Pahat yang telah berlaku dalam tempoh yang lama tanpa proses penyelesaian yang konkrit dan berkesan. Pencemaran air ini telah menyebabkan bekalan air kepada pengguna telah berkurangan sehingga catuan air terpaksa dibuat oleh SAJ sehingga memberikan kesan yang kurang memuaskan kepada pengguna. Bagi mengurangkan rasa tidak puas hati pengguna terhadap perkara ini, SAJ telah diarahkan oleh kerajaan negeri Johor supaya mengadakan dialog bersama pengguna di Kluang dan Batu Pahat.

Kerajaan negeri memberikan alasan bahawa kemarau adalah salah satu dari sebab berlakunya kejatuhan paras air di bawah paras kritikal (7.4 meter) di Empangan Semberong tetapi di sana terdapat banyak lagi faktor-faktor kesilapan manusia (human error) dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Johor yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan. Sebagai bukti bahawa kualiti air di Johor masih lagi berada di tahap yang rendah, pada akhir tahun 2007, SAJH telah merancang untuk melancarkan projek perintis kualiti air namun ia berlaku setelah kerajaan Johor telah memperuntukkan RM225 juta dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air termasuk program mengganti paip lama, penambahan loji rawatan air dan beberapa projek berkaitan.

Dalam memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor telah menjelaskan bahawa kualiti air yang rendah juga berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri Johor yang tidak memberikan perhatian yang serius terhadap sumber-sumber air yang digunakan kerana sumber-sumber air tersebut telah tercemar dan terdapat aktiviti yang telah dilakukan dengan seperti pencerobohan terhadap Kawasan Tadahan Air (Water Catchment Area), pencemaran sungai yang disebabkan pembinaan kawasan pembuangan sampah di tepi sungai, penguatkuasaan yang lemah seperti membiarkan penternakan lembu di kawasan empangan dan kegagalan kerajaan negeri Johor, JBA dan SAJ mengambil langkah-langkah pencegahan.

Bantahan terhadap penswastaan air di Johor

Sebenarnya, bantahan terhadap penswastaan perkhidmatan bekalan air di Johor telah pun bermula sejak daripada tahun 1999 lagi dan bantahan ini telah dimulakan oleh kakitangan Syarikat Air Johor Sdn Bhd sendiri. Seterusnya, bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan seperti FOMCA, parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menubuhkan jawatankuasa bertindak terhadap isu ini.

i. Memorandum Bantahan Kakitangan Syarikat Air Johor Sdn Bhd

Pada 2 September 1999, kakitangan SAJ telah menyerahkan satu memorandum bantahan terhadap kerajaan Johor yang mahukan SAJ kekal menjadi milik kerajaan negeri. Bantahan telah dibuat kerana kakitangan SAJ melihat bahawa penswastaan SAJ akan merugikan dan akan memberikan kesan ke atas ekonomi dan politik Johor. Ia berdasarkan kepada dua program penswastaan yang telah dibuat iaitu Equiventure Sdn Bhd dan Southern water Corporation Sdn Bhd yang secara jelas telah pun merugikan Syarikat Air Johor dan kerajaan Negeri Johor. Apabila SAJ pula diswastakan bermakna segala hutang tertunggak khususnya di antara kerajaan negeri Johor dengan dua syarikat swasta terdahulu akan ditanggung oleh SAJ sedangkan SAJ masih baru untuk menguruskan perbekalan air tanpa bantuan kerajaan secara menyeluruh. Justeru sebagai kakitangan yang telah lama bergelumang dengan realiti pekerjaan bersama SAJ mengemukakan bantahan agar kerajaan Johor tidak melakukan kesilapan dengan menswastakan SAJ tanpa melihat kepada pelbagai aspek seperti mana yang telah disenaraikan di dalam memorandum tersebut. Namun, bantahan tersebut tidak berjaya mengubah keputusan kerajaan Johor untuk menswastakan bekalan air.

ii. Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Tarif Air Johor

Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Tarif Air Johor (JBMKTAJ) telah ditubuhkan selepas berlakunya penswastaan Syarikat Air Johor. JBMKTAJ terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan individu yang berada di negeri Johor. Di antara usaha yang dibuat oleh JBMKTAJ adalah untuk memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat. Lebih daripada 20 ribu risalah berkaitan dengan kesan penswastaan SAJ telah diedarkan kepada umum. Hasil daripada maklum balas tersebut, satu memorandum telah dibuat disediakan dan ianya telah diserahkan kepada Menteri Besar Johor dan kepada semua Pegawai Daerah yang ada di negeri Johor pada bulan Ogos 2003 untuk dinilai dan diambil tindakan kerana JBMKTAJ mengharapkan agar kerajaan Johor dapat mengurangkan bebanan rakyat sebagai pengguna.

Memorandum ini telah menyebut tentang tidak wajarnya kerajaan Johor meluluskan permohonan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2003 kerana sejak daripada penswastaan air pada 20 April 1999 tarif air telah dinaikkan sebanyak dua kali iaitu pada 1 Januari 2001 dengan kadar kenaikan 40% dan 1 Julai 2003 dengan kadar 30%. Kerana implikasi kenaikan harga air ini sudah tentu akan membebankan rakyat.

iii. Forum Rakyat anjuran Gagasan Demokrasi Rakyat Malaysia Peringkat Johor

Gagasan Demokrasi Rakyat Malaysia peringkat Negeri Johor telah mengadakan satu Forum Rakyat yang diadakan di Jalan Rebong, Johor Bahru, pada 22 Ogos 1999 jam 9.00 malam bagi membincangkan beberapa isu yang sedang dihadapi oleh rakyat dan di antara kertas yang telah dibentangkan adalah berkaitan dengan penswastaan SAJ yang telah dibentangkan oleh Encik Hasan Karim. Encik Hasan telah membentangkan bahawa kebimbangan utama rakyat dan pengguna ialah kadar atau tarif bayaran akan dinaikkan kerana dalam pemikiran rakyat apabila berlakunya penswastaan maka sudah pastinya akan berlaku kenaikan harga.

Dalam pembentangan tersebut Encik Hasan juga menyanggah tiga sebab utama yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor mengapa Syarikat Lambang Optima Sdn Bhd (LOSB) dipilih ialah iaitu LOSB mempunyai kepakaran, LOSB mempunyai pengalaman dalam bidang air dan kemampuan kewangan LOSB untuk melaksanakan penswastaan SAJ dengan memberikan hujahan terdapat sanggahan tersebut yang akan dinyatakan di bahagian hujung tugasan ini.

iv. Gabungan Bertindak rakyat Membantah Penswastaan SAJ

Hasil daripada kesepakatan beberapa parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) maka Gabungan Bertindak rakyat Membantah Penswastaan SAJ (GBRM-SAJ) telah ditubuhkan untuk membantah penswastaan Syarikat Air Johor. Di antara bantahan tersebut adalah berkaitan dengan penswastaan SAJ akan membebankan rakyat, LOSB tidak mampu daripada sudut kewangan dan LOSB tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan perbekalan air kepada pengguna.

v. Laporan Polis oleh Dewan Pemuda PAS Johor

Di atas rasa keprihatinan terhadap nasib pengguna air di Johor, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah membuat satu laporan polis pada 7 Julai 2003 di Balai Polis Johor Baru terhadap elemen penyelewengan yang berlaku dalam perlaksanaan projek yang sedang dan akan dilaksanakan oleh SAJH yang mana kos pembinaan projek-projek tersebut seperti kos pembinaan loji pengeluaran air di Semangar, Seluyut, Pontian, Pagoh, Buluh Kasap dan Mersing, pembinaan empangan di Jenggeli, Lobak, Sayong dan Seluyut dan beberapa projek lagi terlalu tinggi dan DPPNJ melihat terdapatnya salah urus kewangan telah berlaku.

DPPNJ membuat laporan ini kerana bimbang dengan kos yang terlalu tinggi ini akan membebankan rakyat kerana terpaksa menanggung kos projek-projek tersebut dengan kanaikan tarif air yang baru sahaja beberapa hari diluluskan oleh kerajaan negeri Johor.

vi. Saman terhadap Kerajaan Negeri Johor dan SAJ

Walaupun menyedari bahawa tindakan memfailkan saman memerlukan kos yang tinggi tetapi hasil daripada komitmen untuk membela masa depan pengguna air di Johor maka Gabungan Bertindak rakyat Membantah Penswastaan SAJ (GBRM-SAJ) dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap tindakan untuk membantah kenaikan tarif air di Johor telah mengambil langkah dengan mengambil tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Johor dan SAJ di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 29 Julai 2003 untuk menuntut satu pengisytiharan bagi membatalkan kenaikan tarif air. Kes tersebut masih lagi belum selesai perbicaraannya sehingga ke hari ini.

Penswastaan Air di Johor Gagal

Setelah sepuluh tahun penswastaan air Johor berlaku, pengguna dan kerajaan negeri telah berhadapan dengan pelbagai kesulitan yang akhirnya menyebabkan penswastaan ini dilihat sebagai satu kegagalan. Terdapat beberapa sebab kenapa penswastaan air di Johor dikategorikan sebagai satu kegagalan :-

i. Kelemahan kerajaan Johor mengenal pasti tahap keupayaan sebenar Syarikat LOSB.

Ketika kerajaan Johor mengumumkan perlantikan Lambang Optima Sdn Bhd pada 19 April 1999 melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang mana ia telah diluluskan secara muktamad akan terma dan syarat penswastaan itu. Kerajaan Johor telah memberi tiga alasan utama yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor mengapa LOSB dipilih iaitu yang pertamanya kerana LOSB mempunyai kepakaran; keduanya LOSB mempunyai pengalaman dalam bidang air dan yang ketiganya kemampuan kewangan LOSB untuk melaksanakan penswastaan SAJ.

Hasan Karim ketika membentangkan kertas kerja dalam Forum Rakyat telah mempertikaikan ketiga-tiga alasan ini kerana LOSB adalah merupakan sebuah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan iaitu pada 18 Julai 1995 dan sejak daripada ditubuhkan LOSB tidak berfungsi sebagai sebuah syarikat yang mempunyai bukti kemampuannya dalam mengurus perbekalan air.

Kedua, LOSB juga tidak mempunyai pengalaman dalam bidang air dan cara mudah untuk memastikan bahawa LOSB dapat menjalankan kerja perbekalan air tersebut adalah dengan membeli sebuah syarikat lain iaitu Sempurna Pelita Sdn Bhd (SPSB) dan syarikat ini kemudiaannya ditukar kepada SAJ Holding. SPSB juga adalah merupakan sebuah syarikat yang tidak beroperasi dan pengambilan LOSB terhadap Sempurna Pelita ialah semata-mata untuk mempercepatkan penubuhan syarikat baru (SAJ Holding) bagi mengendalikan penswastaan bekalan air di Johor.

Ketiga, LOSB juga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan penswastaan SAJ. LOSB yang ditubuhkan pada tahun 1995 itu mempunyai syer yang dibenarkan sebanyak RM 500,000.00 (lima ratus ribu) dan syer yang diterbitkan secara tunai sebanyak RM 150,000.00 (seratus lima puluh ribu) sahaja. Untuk mengambil alih SAJ, LOSB perlu membuat suntikan wang pendahuluan pemegang saham (share holders advance) sebanyak RM 545 juta atau membuat suntikan tunai (cash injection) sebanyak RM 65 juta.

Jelas di sini bahawa LOSB bukanlah syarikat yang sesuai untuk mengendalikan perbekalan air di Johor dan bukan mustahil sekiranya LOSB gagal menguruskan perbekalan air ini. Kelemahan kerajaan Johor mengenali pasti kedudukan sebenar syarikat ini telah mendatangkan masalah yang besar kepada kerajaan negeri Johor.

ii. Kerajaan Johor terpaksa menanggung hutang SAJ

Bekas Adun Senggarang YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari ketika membahaskan Bajet Kerajaan Johor 2006 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor yang menyifatkan langkah Kerajaan Negeri menswastakan bekalan Air di negeri ini sejak tahun 2000 kepada Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) sebagai satu kegagalan kerana tujuan asal kerajaan negeri melaksanakan program penswastaan ini adalah untuk lari dari beban hutang sebaliknya apa yang berlaku kerajaan negeri pula yang terpaksa menanggung hutang yang banyak berikutan penswastaan bekalan air ini. Ianya berpunca daripada kesilapan besar yang dilakukan kerajaan negeri bermula dari dua perjanjian penswastaan yang ditandatangani dengan Equiventures pada 1992 dan Southern Water Corporation (SWC) pada 1994 kerana kedua-dua penswastaan ini gagal kerana akhirnya ia membebankan kerajaan negeri dengan bayaran tetap secara bulanan di samping kerajaan perlu membayar balik harga air bersih pada harga yang lebih tinggi daripada harga sebenar seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) sebelum daripada penswastaan tersebut.

Pada tahun 2000 bilamana Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) akan diswastakan kepada SAJ Holdings Berhad (SAJH), hutang kerajaan negeri atau SAJ kepada Kerajaan Persekutuan dan KWSP berjumlah RM1.105 bilion. Tunggakan bayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dan KWSP berjumlah RM116.7 juta manakala tunggakan kepada Equiventures dan SWC berjumlah RM65 juta.

Ketika laporan Audit Negara tahun 2006 dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara, Kerajaan Johor diumumkan sebagai negeri yang mempunyai hutang antara yang tertinggi kepada kerajaan pusat. Menteri Besar Johor menjelaskan isu ini dengan menyatakan bahawa kerajaan Johor terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan Pusat bagi urusan perbelanjaan pembangunan sehingga berhutang sebanyak RM 655.88 juta kepada kerajaan pusat. Akibat daripada penswastaan air di Johor maka kerajaan negeri yang sepatutnya menerima geran sebanyak RM 100 juta setahun telah dihapuskan.

Walaupun kerajaan negeri Johor mendakwa bahawa kedudukan kewangan kerajaan negeri terus berada dalam keadaan kukuh ketika memberi jawapan balas kepada ucapan penangguhan oleh Ketua Pembangkang, ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 pada 10 September 2009 namun dengan tunggakan hutang berjumlah RM841 juta yang sebahagian besarnya adalah pinjaman agensi-agensi kerajaan negeri namun hutang tersebut masih lagi berkaitan dengan Bekalan Air Holdings Sdn. Bhd ataupun SAJ Holdings dengan jumlah RM553.44 juta. Perkembangan ini bermakna sejak program penswastaan dilakukan terhadap perbekalan air di Johor ia tidak memberikan keuntungan sama ada kerajaan negeri Johor ataupun pengguna.

iii. Kerajaan Johor tidak mengambil iktibar daripada sejarah penswastaan air terdahulu.

Apabila kerajaan negeri Johor mengambil keputusan untuk menswastakan secara keseluruhan perbekalan air di Johor ada kemungkinan keputusan tersebut dilakukan dengan tidak mengambil kira kesan yang sedang dilalui oleh kerajaan negeri apabila sebelum itu pernah menghadapi masalah penswastaan dengan dua syarikat bekalan air yang sedang beroperasi di Johor yang jelas ia merugikan kerajaan.

Dalam memorandum Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor (JBSAJ) telah menyatakan bahawa kesilapan besar yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam menguruskan bekalan air bermula daripada dua perjanjian yang ditandatangani. Sebagai contohnya perjanjian dengan Equiventures Sdn Bhd yang telah ditandatangani pada 28 Jun 1992 bagi membina 2 loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Sungai Layang (Johor Bahru) dan Loji Rawatan Air Sungai Johor (Kota Tinggi). Berdasarkan kepada perjanjian ini Kerajaan Negeri terpaksa menjelaskan bayaran tetap secara bulanan sebanyak purata RM47 juta setahun bagi tempoh 20 tahun ke atas perbelanjaan modal yang dikeluarkan oleh Equiventures.

Bayaran pada tahun 1998 adalah sebanyak RM58 juta. Selain itu Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pembelian air bersih (bulk sales rate) kepada Equiventures sebanyak purata RM31 juta setahun bagi tempoh 20 tahun dan meningkat kepada RM48 juta sejak tahun 1998. Ini bermakna sebenarnya Kerajaan Negeri terpaksa membeli air dengan harga 25% lebih tinggi daripada harga sebenar seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA).

iv. Perbekalan Air Johor diambil alih oleh Kerajaan Pusat

Sebagai langkah terakhir untuk menyelesaikan kemelut penswastaan air Johor, satu perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan air di Johor telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abd. Aziz Wan Abdullah yang mewakili kerajaan Malaysia, Setiausaha Negeri Johor, Datuk Abd. Latiff Yusof yang mewakili kerajaan negeri Johor, Presiden Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif SAJ Holdings, Ahmad Zahdi Jamil dan Pengarah SAJ, Md Noorazam Osman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) iaitu merupakan syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan yang telah diperbadankan, Suhaimi Kamaralzaman penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Johor ini melibatkan pengambilalihan aset-aset berkaitan air Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi yang dianggar berdasarkan Nilai Buku Bersih (Net Book Value) sehingga 31 Disember 2007, sebanyak RM4.025 bilion, manakala liabiliti ataupun tanggungan ke atas aset-aset berkaitan air tersebut pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion. Ini menjadikan lebihan sebanyak RM846 juta akan dibayar oleh Pengurusan Aset Air Berhad kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) kelak dan seterusnya memajakkan semula aset tersebut kepada SAJH yang akan menjadi pengedar air tunggal di negeri Johor.

Southern Water Corporation yang akan tamat tempoh konsesi pada tahun 2012 dan Equiventures Sdn Bhd yang akan tamat pada 2014 akan kekal sebagai syarikat konsesi sehingga tamat tempoh konsesi mereka nanti. PABB juga akan mengambil alih aset melibatkan loji rawatan air, rangkaian saluran paip dan empangan di Johor milik kerajaan negeri, SAJ Holdings dan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. Ini juga akan menamatkan konsesi merawat dan membekalkan air di Johor yang dipegang oleh SAJ Holdings, anak syarikat Ranhill Utilities Bhd. (Ranhill). Ini juga memberi makna bahawa kenaikan tarif air yang dijadualkan pada tahun ini tidak akan berlaku.

Keputusan ini sebenarnya telah mengurangkan bebanan kerajaan Johor namun perlu juga dilihat di sini bahawa apabila PABB mengambil alih perbekalan air di Johor, bukan sahaja kerajaan Johor telah kehilangan SAJ yang diswastakan sebelum ini malah PABB juga akan mengambil alih aset melibatkan loji rawatan air, rangkaian saluran paip dan empangan di Johor milik kerajaan negeri Johor. Bermakna, kerajaan Johor telah mengalami kerugian kerana kerajaan Johor telah kehilangan aset seperti empangan dan loji rawatan air.

Penutup

Berpandukan kepada maklumat yang telah dijelaskan dapat disimpulkan bahawa projek penswastaan bekalan air Johor telah gagal mencapai matlamatnya. Punca-punca kegagalan penswastaan bekalan air ini berpunca daripada peringkat awal lagi ketika kerajaan tidak dapat memastikan sejauh mana kemampuan sebenar LOSB untuk diberikan hak mengendalikan penswastaan bekalan air di Johor.

Begitu juga dengan kelemahan kerajaan yang tidak dapat mengambil tindakan lebih awal dengan mengambil pandangan daripada masyarakat sebagai pengguna serta tidak mengambil perhatian terhadap apa jua bantahan yang telah dibuat oleh gabungan badan bertindak yang ditubuhkan termasuklah bantahan yang telah dikemukakan sendiri oleh pekerja-pekerja SAJ.

Kerajaan negeri Johor juga terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi untuk disalurkan kepada SAJ sedangkan SAJ adalah sebuah syarikat yang telah pun diswastakan yang sepatutnya mempunyai kewangannya sendiri untuk mengendalikan semua proses pengendalian bekalan air. Kemuncak kepada masalah penswastaan bekalan air di Johor ini adalah dengan satu perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan air di Johor yang dibuat dengan Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) yang merupakan sebuah syarikat perbadanan kerajaan Malaysia.

Dasar penswastaan itu adalah baik untuk mengurangkan bebanan kepada kerajaan namun kerajaan mestilah mengambil kira apabila melakukan dasar penswastaan kerana apabila sesuatu jabatan ataupun perkhidmatan itu diswastakan ia tidak dapat lari daripada membincangkan soal keuntungan yang bakal diperoleh oleh pihak swasta kerana penswastaan tidak dapat lari daripada mengutamakan kepentingan golongan kapitalisme. Maka sudah tentulah menjadi satu keperluan kepada kerajaan untuk menilai semula apa jua bentuk penswastaan yang ingin dilakukan agar ia tidak memberikan bebanan kepada kerajaan mahupun rakyat sebagai pengguna. Apa yang pasti kegagalan ini mesti ditanggung oleh pemerintah yang gagal melihat dan mengambil pandangan daripada pelbagai pihak terhadap penswastaan air di Johor ini.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
www.khairulfaizi.com
12 Mei 2011

0 ulasan:

Catat Ulasan