TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Sabtu, 7 Mei 2011

TERKINI! : Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan (JOM UBAH)


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Anak Muda Malaysia merupakan nadi kebangkitan rakyat hari ini ke arah perubahan politik negara yang lebih adil, bebas dan sejahtera. Bagi menyemarakkan lagi kebangkitan ini, demi masa depan rakyat, Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan siri Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan (JOM UBAH) ke seluruh negara.

Program JOM UBAH ini bakal dilancarkan di dalam Muktamar Pemuda PAS Pusat yang akan diadakan pada 1 hingga 2 Jun 2011 di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). JOM UBAH, akan dilancarkan sendiri oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Program JOM UBAH akan memulakan siri jelajahnya yang pertama pada 23 hingga 26 Jun 2011 melibatkan Negeri Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Siri jelajah JOM UBAH ini, DPPP akan menyampaikan dan mengedarkan tawaran Pemuda PAS kepada anak muda sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang selain mengadakan program-program khas untuk santapan anak muda. Anak-anak muda juga akan berpeluang mendengar pidato dan amanat daripada tokoh-tokoh pemimpin PAS disamping bersama dengan selebriti-selebriti negara yang akan menampilkan suatu yang baru kepada peminat mereka.

Lebih menarik, aktiviti konvoi bermotor dan berkereta ke seluruh negara juga akan diadakan dan pemuda PAS akan singgah di setiap negeri berjumpa dan beramah mesra dengan masyarakat.

JOM UBAH akan meneruskan siri jelajahnya ke negeri-negeri lain, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor (30 hingga 31 Julai 2011), Sarawak (23 hingga 25 September 2011) dan Sabah (28 - 30 Oktober 2011).
Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
Pengarah Program JOM UBAH

0 ulasan:

Catat Ulasan