TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Jumaat, 3 Jun 2011

Anak Nik Aziz Timbalan Ketua Pemuda baru

Laporan Muktamar Pemuda PAS ke 52 - Free Malaysia Today

SHAH ALAM: Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kini menerajui Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) setelah berjaya mengenepikan penyandang jawatan itu, Azman Shapawi.

Beliau memperoleh 260 undi manakala Azman hanya memungut 94 undi pada pemilihan Muktamar DPPP ke 52 di Dewan MBSA, di sini petang tadi.

Keputusan itu diumumkan wakil Jawatankuasa Pemilihan Pemuda PAS Pusat, Dr Sufian Husin petang tadi.

Seramai 655 perwakilan membuang undi pagi ini bagi memilih pucuk kepimpinan DPPP bagi sesi 2011-2013.

Ketua DPPP Nasrudin Hassan Tentawi sedia maklum menang tanpa bertanding manakala jawatan Timbalan Ketua menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Nik Abduh ketika ditemui media menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada para perwakilan yang memilih beliau.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Azman sambil menyatakan maaf kepada rakannya itu.

“Jika ditimbulkan soal layak atau tidak…..rakan-rakan saya lebih layak. Namun saya sudah diberi amanah dan akan cuba pikul sebaik mungkin. Malah saya sudah memohon maaf kepada Azman kerana bersaing sesama sendiri,” katanya.

Nik Abduh bermula sebagai AJK Pemuda sejak 2003 dan pada tahun ini beliau berjaya mengalahkan rakan baik yang juga penyandang Timbalan Ketua Azman Shapawi.

Mengulas mengenai barisan kepimpinan Pemuda yang baru, Nasrudin pula menafikan berlakunya perpecahan ekoran kemenangan Nik Abduh tersebut.

Menurut Nasrudin calon yang tewas sentiasa menerima hakikat itu, malah yakin kepimpinan baru ini menerima keberkatan daripada para perwakilan.

“Tiada perpecahan kerana analoginya keempat-empat calon Timbalan Ketua adalah layak dan hanya seorang sahaja yang dipilih. Tidak boleh salahkan perwakilan kerana ini suara ramai,” katanya kepada pemberita.

Dua calon lain ialah Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar yang mendapat 193 undi dan Suhaizan Kaiat (107).

Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob memenangi jawatan naib ketua apabila memperolehi 421 undi dengan menewaskan Mohd Nasir Zakaria yang hanya memperoleh 228 undi.

Seramai 12 Ahli Jawatankuasa DPPP yang dipilih serta jumlah undi yang
diperolehi adalah seperti berikut;

1) Riduan Mohamad Nor – 561

2) Khairul Faizi Ahmad Kamil – 502

3) Ahmad Baihaki Atiqullah – 492

4) Mohd Adram Musa – 427

5) Kamaruzaman Mohamad -328

6) Ahmad Fadhli Shaari – 325

7) Khalil Abdul Hadi – 320

8) Mohd Nazri Chik – 307

9) Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre – 275

10) Mohd Sany Hamzan – 282

11) Mohd Yusni Mat Piah – 269

12) Mohd Nor Hamzah -267

0 ulasan:

Catat Ulasan