TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Sabtu, 11 Jun 2011

Isu Projek Penambahbaikan Jalan Batu Pahat-Kluang


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya telah memberi respon terhadap satu topik perbincangan dalam laman facebook yang dipunyai oleh
D'Parit Raja yang menyiarkan berita tentang kelewatan menyiapkan projek ini sehingga memakan masa selama sembilan tahun. Jalan ini adalah merupakan jalan yang pernah dikategorikan sebagai antara 10 laluan di negara ini yang mencatatkan kadar kemalangan paling tinggi.

Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raja pernah dilaporkan pada 2009, memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf dan memperbaiki laluan itu demi keselamatan pengguna tetapi sehingga kini keadaannya tidak banyak berubah, selain laluannya sudah dijadikan kepada empat lorong.


Isu ini sebenarnya pernah saya tangani secara langsung melalui satu jawatankuasa bertindak iaitu
Badan Bertindak Pengguna Jalan Raya Batu Pahat – Kluang yang telah membuat beberapa tindakan termasuklah menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Johor untuk mengambil tidakan agar membina pembahagi jalan (divider) kerana ketiadaan pembahagi jalan tersebut telah menyebabkan kadar kemalangan yang tinggi telah dicatatkan.

Setelah kerajaan meluluskan peruntukan dan mula melaksanakan tuntutan yang telah dikemukakan maka tidak ada tindakan yang dilakukan oleh jawatakuasa bertindak ini namun apabila diperhatikan bahawa projek ini masih lagi tidak menunjukkan tanda ia akan siap maka saya akan berusaha agar badan bertindak ini diaktifkan semula kerana ia melibatkan kepentingan awam.


Saya akan memberikan respon terhadap tindakan susulan dalam masa terdekat.


Wassalam


-------------------------------------------------------

Johor: 9 tahun masih tak siap

Oleh Mohamed Farid Noh mfarid@bharian.com.my 2011/03/14
Rayu segerakan Projek penambahbaikan Jalan Batu Pahat-Kluang

BATU PAHAT: Di mana silapnya? Projek penambahbaikan Jalan Batu Pahat-Kluang yang bermula sejak sembilan tahun lalu, masih tidak menunjukkan tanda sudah siap sepenuhnya, walaupun laluan itu pernah disenaraikan sebagai antara 10 laluan di negara ini yang mencatatkan kadar kemalangan paling tinggi.

Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raja pernah dilaporkan pada 2009, memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf dan memperbaiki laluan itu demi keselamatan pengguna tetapi sehingga kini keadaannya tidak banyak berubah, selain laluannya sudah dijadikan kepada empat lorong.

Apa yang membingungkan pengguna jalan itu, adalah kerja penambahbaikan yang dijalankan seolah-olah ala kadar saja, berikutan kerosakan yang kini dapat dilihat jelas terutama pembahagi jalan yang sudah pecah di sesetengah kawasan, mahupun laluan pusingan U yang masih belum dibina dengan sempurna.

Tinjauan Edisi Johor ke laluan berkenaan terutama kawasan berhampiran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghala ke Parit Raja mendapati keadaan jalan yang tidak rata di sesetengah kawasan berbahaya kepada pengguna.

Malah, laluan pusingan U yang belum dibina dengan sempurna sebaliknya hanya menggunakan kon penghadang yang mampu menjadi perangkap maut, terutama di waktu malam jika pengguna tidak menyedari ada pemandu mahu membuat pusingan U.

Memburukkan keadaan ketiadaan lampu jalan yang mencukupi terutama di persimpangan kampung berdekatan kawasan pusingan U berkenaan, mampu mengundang tragedi jika tiada langkah pencegahan diambil segera.

Pekerja swasta, Norazam Jumain, 28, yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja, berkata beliau berharap pihak berkenaan segera menyelesaikan penambahbaikan jalan berkenaan kerana sudah berlarutan agak lama.

“Saya tidak tahu apa masalahnya yang menyebabkan kerja penambahbaikan jalan ini tidak juga selesai sehingga ia mampu mengancam nyawa pengguna seperti saya yang menggunakan laluan ini setiap hari.

“Saya sendiri yang kerap menggunakan laluan berkenaan pada waktu malam kadang kala terpaksa berhati-hati terutama di persimpangan pusingan U yang masih tidak siap berikutan keadaan yang gelap dan keadaan jalan yang tidak rata,” katanya.

Farhan Abu Bakar, 42, yang menetap di kawasan berkenaan, berkata proses naik taraf yang mengambil masa terlalu lama di samping ketiadaan ciri keselamatan mencukupi di laluan berkenaan sudah lama menjadi kerisauan penduduk.

“Penduduk terutama di kawasan persimpangan masuk ke Parit Haji Hassan, Parit Durah dan Parit Kaspan dilanda kebimbangan setiap kali terpaksa menggunakan laluan berkenaan pada waktu malam berikutan lampu jalan yang tidak mencukupi mampu mengundang tragedi.

“Bayangkan, melalui laluan ini di waktu malam seperti permainan meredah halangan apabila pengguna terpaksa berhati-hati mengelakkan binaan pembahagi jalan yang langsung tidak boleh dilihat di waktu malam malah boleh terbabas jika tidak biasa melalui laluan ini, jika pengguna terkejut apabila penduduk kampung melintas laluan berkenaan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan