TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 14 Julai 2011

Harakahdaily - Pemuda PAS Serah Memo kepada SUHAKAM

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah menyerahkan memorandum khas kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah pihak polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Memorandum tersebut diserahkan sekitar jam 3.30 petang tadi oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan dan diterima oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee bersama Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah di ibu pejabat Suhakam, di sini.

Selain mendedahkan kekerasan polis, Nasruddin yang ditemani 8 orang pegawai Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam memorandum itu turut mendedahkan tindakan penafian akses peguam oleh pihak polis terhadap para tahanan himpunan itu.

Dalam memorandum yang dibacakan oleh Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia sehubungan itu meminta Suhakam menubuhkan satu Panel Penyiasat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1991.

Penubuhan panel itu bertujuan untuk menyiasat penggunaan kekerasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), layanan buruk terhadap tahanan dan penafian akses kepada peguam semasa dalam tahanan.

Menurut Ahmad Zamri, selain itu, Suhakam diminta mengisytiharkan bahawa tindakan PDRM itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang negara dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Suhakam diminta mengarahkan PDRM memohon maaf kepada semua tahanan yang telah dikasari.

"Suhakam diminta mengarahkan PDRM menghormati hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Suhakam diminta menasihati dan mengesyorkan kerajaan menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelahgunaan kuasa serta kekerasan oleh PDRM," katanya.

Sebelum itu, ketika mendedahkan tindakan kekerasan PDRM, beliau berkata, pada 9 Julai lalu, suatu Himpunan Aman Bersih 2.0 telah dijadual berlangsung pada jam 2.00 petang di Kuala Lumpur.

Suhakam menerusi kenyataan media Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam pada 7 Julai juga mengalu-alukan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 itu.

Dalam kenyataan itu, Suhakam turut menyeru pihak berkuasa untuk menghormati kebebasan berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan seta Perkara 19 dan Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) berkaitan kebebasan berhimpun serta menyuarakan pandangan.

Katanya, walaupun begitu, pihak berkuasa iaitu Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk PDRM telah mengharamkan perhimpunan tersebut tanpa sebarang alasan yang munasabah dan wajar.

Malah, ujarnya, tindakan Kerajaan melalui KDN dan PDRM itu mengingkari titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar pihak-pihak berkenaan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan permasalahan dengan aman.

"Beberapa siri tangkapan awal sebelum perhimpunan berlangsung telah dilakukan. Rakyat Malaysia yang dijamin kebebasan bergerak juga telah dinafikan hak mereka, malah ada juga yang telah ditangkap dan ditahan di lokap-lokap polis sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Para peserta Perhimpunan Aman Bersih 2.0 juga, jelasnya, telah dikasari anggota-anggota PDRM di beberapa lokasi sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

"Para peserta Perhimpunan Aman Bersih 2.0 juga telah dilayan dengan tidak berperikemanusiaan semasa mereka ditangkap," katanya.

Mereka juga, menurutnya, telah disumbat berhimpit-himpit di dalam trak-trak PDRM sebelum dihantar ke lokasi tahanan.

"Para peguam yang mewakili anak-anak guam telah hadir di beberapa lokasi tahanan tetapi dihalang untuk mengakses anak-anak guam sehingga para tahanan dibebaskan secara berperingkat," katanya.

Tindakan KDN dan PDRM itu, tegas beliau, ternyata bersalahan dengan peruntukan undang-undang, khususnya Perlembagaan persekutuan, Perkara 5 (3) Kebebasan Diri.

"Selain itu, ia turut bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Berpersatuan dan Seksyen 28(A) Kanun Acara Jenayah," tegas beliau.

0 ulasan:

Catat Ulasan