TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 27 Julai 2011

IC klon ancam keselamatan negara


IC klon ancam keselamatan negara - Harakahdaily
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan terdapat rakyat negara ini yang mempunyai dua kad pengenalan berbeza.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut serta, penolong setiausaha, Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Pilihan Raya, Mohd Sany Hamzan dan Exco, Suhaizan Kaiat.

Pada sidang media selepas itu, Khairul Faizi memberitahu kewujudan dua kad pengenalan pada seorang individu itu bukan sahaja akan membolehkan individu tersebut mengundi dua kali, malah boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita nak polis buat siasatan benar atau tidak, berlaku pemberian dua kad pengenalan kepada seorang individu.

"Sekiranya benar berlaku kita nak pihak polis ambil tindakan kepada pegawai JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) ke yang terlibat melakukan penyelewengan ini," katanya.

Laporan polis itu adalah merujuk kepada dua kes yang berlaku melibatkan individu bernama Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam yang disemak melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mariam memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 720616025472 dan 720610025738, tetapi mempunyai no kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510.

Sehubungan itu beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling.

Dua nombor kad pengenalan baru Murugan pula adalah 731002025877 dan 731002025201 yang juga mempunyai dua kali hak mengundi.

Kes tersebut dedahkan Suhaizan dan mendapat respon daripada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar seperti disiar oleh akhbar The Star bertarikh 24 Julai 2011 dengan tajuk EC: Help us purge 'clones' from electoral roll.

Wan Ahmad antara lain menyatakan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR dan meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Suhaizan dalam pada itu berkata, beliau yakin kes itu berlaku akibat kecuaian JPN itu sendiri yang telah mengeluarkan dua kad pengenalan baru daripada satu kad pengenalan lama.

Akibat dari itu katanya, SPR menerima data yang salah dari JPN sekaligus membenarkan seorang pemilih mempunyai hak mengundi lebih daripada sekali.

"Sebab itu saya kata pilihan raya di Malaysia ini ruang manipulasi terlalu banyak dan ianya mudah digunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Biometrik tak atasi undi lebih sekali

Mengulas penggunaan sistem biometrik oleh SPR pada pilihan raya akan datang, Suhaizan dengan tegas berkata ianya tidak praktikal buat masa ini.

Ia kerana memerlukan SPR membersihkan pengkalan data terlebih dahulu agar tidak diragui sebelum dilaksanakan.

Ianya juga perlu kepada pengkala data sepusat agar semua tempat mengundi boleh mengakses pengkalan data pusat untuk mengesan sebarang pertindihan.

Sekiranya tiada pengkalan data sepusat, ianya akan mendedahkan kepada manipulasi pihak tertentu.

"Macam Mariam Binti Su, dia ada dua kad pengenalan. Maknanya dia boleh mengundi di dua tempat, dan melalui biometrik, Mariam Binti Su ini boleh mengundi di kedua dua tempat itu kerana mempunyai kad pengenalan yang sah," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan