Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 31 Januari 2012

Masjid Dicemari Babi : Bilakah Akan Berakhir?

Salam perjuangan,

Kecewa, sedih, kesal dan geram apabila mendengar berita satu kepala babi ditemui di sebuah masjid pada pagi tadi. Sasaran terbaru adalah Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang Selangor.

Memetik berita daripada laman Malaysiakini, ADUN Rawang Gan Pei Nei memaklumkan bahawa kepala babi itu ditemui pada jam lima pagi oleh ahli jawatankuasa masjid apabila mereka membuka pintu pagar utama. Pihak polis kemudiannya dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi. Setelah mengambil bahan bukti dan menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, mereka kemudiannya meninggalkan masjid itu.Gan berkata anggota polis berkenaan adalah dari balai polis Rawang dan kes itu akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah. Begitulah yang dilaporkan.

Kejadian penemuan babi di masjid sudah beberapa kali terjadi di negara kita sehingga mendapat liputan yang meluas terutamanya daripada negara jiran kita, Indonesia. Pastinya, tindakan meletakkan bangkai haiwan yang haram ini di perkarangan masjid akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Islam. Masjid adalah Rumah Allah dan tempat beribadah bagi umat Islam dan apabila ia dicemari maka ia juga mencemarkan masyarakat itu sekali.

Sebelum ini, pada 27 Januari 2010 telah ditemui dua kepala babi dikesan dilontar di perkarangan Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun dan Masjid Taman Sentosa di Petaling Jaya. Kejadian disedari jam 7 pagi apabila siak masjid menjumpai bungkusan mencurigakan di perkarangan pintu masuk bahagian belakang masjid. Pada mulanya beliau menyangka bungkusan tersebut mengandungi bayi yang ditinggalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Setelah membelek dangan kayu, dia mendapati terdapat dua kepala babi dalam bungkusan tersebut dan satu laporan polis telah dibuat.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengutuk tindakan pihak yang melontar kepala babi hutan ke dalam pekarangan dua masjid di Lembah Klang itu sambil menegaskan bahawa semua agama tidak boleh menerima perbuatan seumpama itu kerana ia bukan budaya rakyat negara ini. Begitu juga dengan Ketua Kesatuan Agama Kristian Malaysia, Biskop Ng Moon Hing turut mengutuk perbuatan tersebut. Beliau menyatakan bahawa walaupun tidak diketahui apakah agenda yang tersirat di sebalik perbuatan itu, namun ia tetap dikutuk oleh semua penganut agama.

Pada 30 Disember 2011 pula, sembilan kepala babi telah ditemui di luar pintu Masjid Al-Falah Taman Desa Jaya, Johor Bahru. Penemuan kepala babi ini telah mendapat reaksi segera daripada Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala babi di luar pintu masjid itu. Beliau berkata, mereka yang melakukan perbuatan itu perlu diberkas dan diberi hukuman setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.

Percayalah bahawa tidak ada mana-mana pihak yang suka perbuatan biadab dan jijik ini dilakukan kerana ia tidak memberikan apa-apa faedah kepada kita semua sama ada kepada umat Islam ataupun kepada mereka yang bukan beragama Islam. Pihak yang bertindak meletakkan babi di perkarangan masjid hanya mahukan agar masyarakat Islam bertindak agresif sehingga mencetuskan pertembungan di antara agama dan akhirnya akan berlakulah pertembungan di antara kaum.

Setahu saya, Ketua Polis Negeri Johor pernah membuat kenyataan bahawa empat suspek telah ditahan di Johor beberapa hari selepas kes di Masjid Al-Falah berlaku tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada tindakan dikenakan terhadap mereka. Apakah suspek tersebut didapati tidak terlibat atau pun isu ini disenyapkan sahaja? Saya menggesa agar Polis Johor dapat memberikan jawapan segera terhadap persoalan saya ini.

Begitu juga dengan laporan polis yang telah dibuat di Petaling Jaya pada 27 Januari 2010, apakah masih belum ada tangkapan dibuat terhadap kes ini?. Kegagalan menangkap pelaku mungkin mendorong golongan manusia durjana untuk meneruskan kegiatan yang pastinya akan membawa kepada rasa curiga sesama kita.

Kepada mereka yang telah terlibat dengan perbuatan keji ini, hentikanlah perbuatan anda yang tidak berfaedah ini. Tindakan tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan segera.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia
31 Januari 2012
www.khairulfaizi.com

Angpau Merah dan Angpau Putih

Salam perjuangan,

Uniknya kita di Malaysia, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup bersama sejak kemasukan pelbagai kaum ke Tanah Melayu hasi daripada usaha penjajah untuk membangunkan ekonomi negara dan ekonomi penjajah. Kaum Cina di bawa masuk untuk mengusahakan industri perlombongan dan kaum India di bawa masuk untuk mempergiatkan industri perladangan. Hari ini, Malaysia dikenali sebagai negara bermasyarakat majmuk yang perlu saling memahami di antara satu sama lain untuk mewujudkan suasana harmoni dan rukun damai.

Sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan di antara kaum adalah dengan memahami adat resam sesuatu kaum. Sebagai contohnya, kaum Melayu adatnya adalah seperti membuka kasut sebelum masuk ke rumah, berjabat tangan ketika bertemu dan ketika hendak berpisah dan makan menggunakan suapan tangan.

Kaum Cina dan kaum India juga mempunyai adat resam yang tersendiri sama ada ketika hari kebiasaan dan hari perayaan.

Saya terpanggil untuk menulis tentang pemberian sampul Angpau berwarna Putih yang menimbulkan kontroversi oleh Perkasa. Perkasa yang dikenali sebagai sebuah NGO ultra-Melayu sebelum ini pernah menimbulkan beberapa kronologi isu yang tidak berkenan di hati masyarakat Cina. Mungkin di atas pandangan negatif itu maka Perkasa cuba untuk membuktikan bahawa apa yang diperkatakan selama ini adalahtidak benar sama sekali dan Perkasa buktikan dengan menganjurkan majlis Sambutan Tahun Baru Cina. Dalam majlis Tahun Baru Cina NGO itu di Kelab Sultan Sulaiman yang pertama kali diadakan semalam, PERKASA mengedarkan kira-kira RM10,000 angpow menggunakan sampul putih - tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan banyak pihak termasuklah daripada parti komponen BN.

Angpau sering diberikan pada majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina. Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia. Namun, isu yang timbul baru-baru ini bukanlah kerana penerima layak ataupun tidak tetapi ia timbul kerana Perkasa menggunakan sampul yang berwarna putih.

Jika difikirkan oleh akal maka rasanya tidak wajar warna sampul angpau dijadikan satu isu yang besar namun seperti yang saya nyatakan diatas tadi bahawa perlunya kita memahami adat resam sesuatu kaum untuk membina keharmonian sesama kita. Perkasa yang pendekatannya ultra-Melayu akan dilihat seperti mempermain-mainkan kaum Cina kerana tidak sensitif dengan perkara yang berkaitan dengan warna.

Pernah dalam satu program mengedar kad Tahun Baru Cina dan buah limau mandarin bersama PAS kawasan, saya menegur petugas yang menggunakan sampul plastik berwarna hitam untuk membungkus limau-limau tersebut sebelum diserahkan kepada masyarakat Cina. Begitu juga dengan buah limau yang perlu diberikan sebanyak dua biji pada setiap penerima.

Apapun, peristiwa ini perlu kita lihat juga sebagai satu pengajaran yang berguna kepada semua agar lebih memahami adat resam sesama kita yang tinggal dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk.

Kepada Perkasa, tidak salah jika permohonan maaf dibuat secara terbuka.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut Kuala Lumpur
31 Januari 2012, 4.35 pagi

Israel Musuh Sejagat : Tiada Kompromi

Assalamu'aaikum dan salam perjuangan,

Teringat saya bagaimana dunia dikejutkan dengan peristiwa Yahudi Israel melakukan serangan ganas terhadap penduduk Gaza pada penghujung tahun 2008 sehingga ke bulan Januari 2009. Serangan secara besar-besaran itu yang juga disebut sebagai 'Cash Lead'yang berlangsung selama 22 hari telah dikecam hebat di seluruh dunia.

Kekejaman Israel sememangnya sudah melepasi sifat kemanusiaan yang bertamadun sehingga seluruh penduduk Gaza menjadi mangsa kekejaman tersebut sehingga dilaporkan seramai 1400 penduduk Gaza terbunuh.

Bantuan segera dihulurkan kepada Gaza bagi menampung keperluan makanan dan ubat-ubatan namun ia tersekat dipintu Rafah apabila kerajaan Mesir yang bersekongkol dengan Israel memperketatkan birokrasi sehingga banyak bantuan tersekat di pintu pagar sempadan.

Pengalaman ini saya rasai apabila rombongan daripada PAS Johor tidak dibenarkan masuk ke Gaza walaupun sebelum itu begitu banyak halangan yang kami tempohi di sepanjang perjalanan untuk sampai ke sempadan. Saya teringat bagaimana Ketua Dewan Ulama'PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin merayu-rayu agar kami dibenarkan memasuki Gaza tetapi pegawai yang bertugas minta kami kembali ke Kaherah yang jaraknya lebh kurang 500 kilometer untuk mendapatkan pengesahan daripada pegawai yang bertugas di sana.

Begitu teruk sikap kerajaan Mesir pada ketika itu, tidak ubah seperti Israel. Walaupun peristiwa tersebut berlaku kira-kira empat tahun yang lalu tetapi saya tetap tidak dapat menerima kekejaman Israel dan sikap kerajaan Mesir di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

Kekejaman Israel juga dilakukan terhadap pengasas Hamas iaitu As-Syahid Syeikh Ahmed Yassin yang dibunuh dengan kejam pada 22 Mac 2004 ketika dalam perjalanan pulang daripada solat subuh di akademi Islam yang diwujudkan olehnya. Serangan peluru berpandu telah mengorbankan beiau dan dua pembantunya.

Dr. Yusof Al-Qardhawi ketika dihubungi oleh Islam-Online selepas kejadian itu telah menyatakan bahawa Syeikh Yassin bukan sahaja lambang bagi perjuangan rakyat Palestin tetapi juga bagi orang-orang Islam seluruh tempat. Qardhawi menambah, Syeikh Yassin telah dibunuh oleh tangan-tangan yang zalim dan taghut ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjidnya selepas menunaikan solat Subuh. Beliau telah menemui Tuhannya dalam keadaan suci, bersolat, menyerah diri kepada Allah, redha dan diredhai Allah, tidak ada yang lebih afdal lagi daripada mayat ini. Mati syahid ini tidak akan berlaku sebagaimana yang dijangkakan Sharon dan konco-konconya, Israel tidak akan mencapai kestabilan dan keamanan. Beliau menjelaskan bahawa pembunuhan Syeikh Yassin dalam bentuk ini akan menjadi api dan laknat ke atas Israel, darahnya (Syeikh Yassin) akan mengakhirkan hayat Israel yang sudah semakin hampir.

Itu pandangan Dr Yusof Qardhawi dan saya percaya ia adalah sikap yang teguh di dalam diri pimpinan PAS bahawa tiada kompromi terhadap Israel. Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda PAS sebelum ini iaitu YB Datuk Mahfuz dan YB Salahudin Ayub dipenjarakan kerana menentang kehadiran pasukan Kriket Israel, pelbagai himpunan aman dilakukan oleh Pemuda PAS sebelum ini membantah kekejaman Israel, mana mungkin hak Israel akan diiktraf dengan rentetan kekejaman, kezaliman dan kebinatangan terhadap umat Islam di Palestin.

Teruskan usaha untuk membebaskan Palestin.

Wassalam

Khairul Faizi bn Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut Kuala Lumpur
31 Januari 2012, 12.32 pagi.

Jumaat, 27 Januari 2012

Kes Lim Liong Sik Keputusannya Ditangguhkan

Nampaknya sukar bagi  Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Asnawi untuk membuat keputusan terhadap kes yang melibatkan Dr Ling Liong Sik yang berhadaan dengan tuduhan menipu kerajaam Malaysia yang melibatkan projek Zon Bebas Perlabuhan Klang.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketenangan untuk menentukan kes ini. Saya cadangkan kepada Datuk Ahmad Asnawi untuk membuat solat Istiqarah, mudah-mudahan Allah akan beri petunjuk.


Keputusan Kes Liong Sik Ditangguh 9 Mac - sumber : mStar Online

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menangguhkan ke 9 Mac keputusan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memohon maaf terhadap penangguhan itu dan menyatakan beliau memerlukan masa sebelum membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Keputusan perbicaraan yang bermula 1 Ogos 2011, berhubung sama ada Dr Ling diperintah membela diri atau dilepas dan dibebaskan, sepatutnya diketahui hari ini.

Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas Presiden MCA itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah telah memanggil 25 saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, yang turut mewakili pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa ketika di dalam kamar, Hakim Ahmadi menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk menulis alasan penghakiman penuh.

BERNAMA

Khamis, 26 Januari 2012

'Malaysia' bertemu Liverpool Di Final Piala Liga


PENJAGA gol, Tim Heaton muncul wira apabila ketangkasannya membantu 'Malaysia' mencatat sejarah buat julung kali layak ke final Piala Liga selepas menewaskan Crystal Palace 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam untuk bertemu Manchester City atau Liverpool di Stadium Wembley pada 26 Februari ini.

Perkataan ‘Malaysia’ itu merujuk kepada kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City yang dimiliki rakyat negara ini, Datuk Chan Tien Ghee bangkit daripada kekalahan 1-0 di gelanggang lawan dalam separuh akhir pertama di laman sendiri.

Khairul Faizi : Walaupun 'Malaysia bertemu Liverpool tapi saya tetap sokong Liverpool, Muktamad!

Rabu, 25 Januari 2012

Enam Remaja Harapan Bangsa Ditahan Polis


Assalamu'alaikum dan salam  perjuangan,

Polis akhirnya menahan enam remaja yang disyakki terlibat dalam 'serangan' terhadap ceramah majlis ceramah pergerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Shah Alam, Sabtu lalu.

Mereka termasuk seorang pelajar tingkatan empat, seorang pelajar tingkatan lima dan pelajar orang yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakala yang lainnya menganggur. Tiga daripada mereka ditahan pada 24 Januari lalu, manakala tiga lagi ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob memberitahu satu sidang akhbar bahawa mereka berusia antara 16 hingga 19 tahun. Katanya lagi, remaja harapan bangsa ini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 148,Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan berkaitan kesalahan rusuhan. Katanya, kesemua mereka - semuanya penduduk tempatan di situ - telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pagi ini.

Persoalannya, siapa yang menjadi dalang menghasut remaja harapan bangsa ini membuat tindakan di luar tata susila Melayu? Apakah satu ketakutan yang amat sangat dengan ABU yang semakin sambutan masyarakat? Jika benarpun rasa takut, tidak perlulah menggunakan remaja harapan bangsa untuk membuat tindakan ganas.

Kepada remaja harapan bangsa yang diperalatkan demi kepentingan 'pihak tertentu' yang bersangkut-paut dengan mereka yang ditentang oleh kumpulan ABU, berhentilah daripada terus diperalatkan.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
25 Januari 2012

Carl Capp dan Hajah Rosmah Mansor

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Sejak sekian lama saya meneliti dan mengikuti kisah dramatik dan cerekaramatik yang mengaitkan isteri DS Najib yang dinobatkan sebagai Wanita Pertama Malaysia oleh dirinya sendiri. Minat untuk membaca dan meneliti tetapi tidak minat menulis kerana saya rasa banyak lagi perkara yang berfaedah perlu saya catatkan di dalam blog ini daripada saya mencatatkan kisah bersiri Hajah Rosmah dengan kelainannya.

Hajah Rosmah cukup sinonim dengan sikapnya yang gemar membeli belah dengan kadar yang tinggi dan terlampau daripada kemampuannya sendiri. Hajah Rosmah cukup ceria ketika berada diluar negara kerana mungkin inilah peluang keintanan untuk beliau menghabiskan duit yang ditabungkannya sejak dari kecil bagi membeli barangan yang diidamkan.

Kecuali di Mekah, wajah Hajah Rosmah agak kurang ceria jika dibandingkan dengan wajahnya ke destinasi lain termasuklah di Australia baru-baru ini, mungkin disebabkan Hajah Rosmah tak berpeluang untuk mengenakan pakaian yang cantik-cantik dan mahal-mahal dan mungkin juga Hajah Rosmah tak berpeluang untuk membeli barangan yang diinginkan kerana semuanya tiada di sana. Tiada kain selendang yang mahal' hanyalah tudung dan jubah yang tak berkenan dek hati dan iman.

Sebab itu mungkin Hajah Rosmah menanamkan azam dan keinginan untuk membelanjakan duit tabungannya ke destinasi yang menarik dan Australia adalah tempat yang menjadi sasaran sempena programnya di sana. Apabila didedahkan oleh Andrew Hornery tentang Hajah Rosmah berbelanja besar di Australia, Hajah Rosmah terpaksa menafikan berita tersebut dan menyatakan bahawa dia sentiasa menjadi mangsa. Namun, kolumnis Sydney Morning Herald sekali lagi menyatakan bahawa dia menulis dengan mendapat sumber yang dipercayai bahawa sememangnya telah menghabiskan jumlah wang yang banyak ketika berbelanja di satu pusat membeli belah.

Hari ini, Seorang pereka fesyen Carl Capp telah membuat satu pendedahan bahawa sememangnya Hajah Rosmah telah singgah ke butiknya tetapi jumlah sebenar pembelian Hajah Rosmah dan ahli kumpulannya tidak didedahkan. Hajah Rosmah dikatakan telah menempah sebanyak 61 helai sutera dengan kos yang dianggarkan melebihi A$100000.

Hajah Rosmah mungkin akan rasa kecewa dengan pendedahan Carl Capp kerana mendedahkan pembeliannya di Australia ini dan ada kemungkinan tempahan yang dibuatnya itu akan dibatalkan. Hajah Rosmah boleh mendakwa dia telah difitnah oleh penulis Andrew Hornery tetapi bagaimana pula dengan pengakuan yang telah dibuat oleh Carl Capp ini.

Hajah Rosmah mungkin tidak berapa sedar yang beliau adalah isteri Perdana Menteri Malaysia yang tidak dapat dielakkan bahawa tindak-tanduknya memberi kesan kepada suaminya. Hajah Rosmah dilihat lebih kehadapan dalam banyak perkara sehingga ada yang melebelkan Hajah Rosmah adalah 'the real Prime Minister of Malaysia' dengan tindakannya.

Melihat kepada sikap Hajah Rosmah, saya teringat kepada Hajah Dr Siti Hasmah Ali yang pernah berada di kedudukan Hajah Rosmah pada ketika ini, bukannya singkat masanya tetapi selama 23 tahun. Walaupun Dr Mahathir sering dikecam dek sikapnya yang diktator acuan Malaysia tetapi Hajah Siti Hasmah tidak pula menjadi sasaran pengkritik. Hajah Siti Hasmah tetap teguh berada di sisi suaminya sehingga ke hari ini.

Ia sangat jauh berbeza dengan Hajah Rosmah, sangat jauh berbeza. Perkara yang menjadi persoalan umum pada hari ini bukan hanya pada sikap Hajah Rosmah sahaja tetapi daripada mana sumber kewangan beliau selain daripada tabungannya sejak daripada kecil.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kuang
25 Januari 2012

Selasa, 24 Januari 2012

Hajah Rosmah Mansor Merumitkan UMNO/BN

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Datin Sri Hajah Rosmah Mansor terus mendapat tempat dalam media perdana bukan sahaja kerana beliau adalah isteri PM tetapi kerana beliau dikatakan mempunyai satu hobi yang sukar untuk dipadamkan dalam sanubarinya iaitu sikap suka berbelanja @ shopping dengan boros.

Hajah Rosmah yang baru selesai menunaikan haji sering dikaitkan dengan sikap boros apabila berbelanja. Terbaru, Hajah Rosmah dikatakan telah berbelanja lebih daripada RM 300,000 ketika mengunjungi Australia. Walaupun Hajah Rosmah menafikan bahawa beliau telah difitnah namun kolumnis Sydney Morning Herald Andrew Hornery mempertahankan dakwaannya bahawa isteri perdana menteri Rosmah Mansor membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia dan beliau mempunyai sumber yang kukuh.

Hajah Rosmah perlu bertindak lebih daripada itu, bukan sekadar menafikan tetapi mengambil tindakan saman terhadap Kolumnis tersebut sekiranya beliau dipihak yang benar. Namun saya tidaklah terkejut sekiranya Hajah Rosmah mengambil sikap berdiam diri kerana Hajah Rosmah telahpun membuktikan bagaimana sikapnya yang sama dalam isu-isu yang pernah dibangkitkan.

Hajah Rosmah perlu belajar daripada Sharizat Jalil yang telah menyaman Rafizi dan Zuraidah kerana tuduhan yang mengaitkan beliau dengan NFC.

Hobi yang tidak dapat dikawal ini sebenanrnya menjadi bebanan kepada Umno dan BN kerana rakyat tertanya-tanya daripada manakah Hajah Rosmah mendapat sumber kewangannya, adakah semua datang daripada tabungannya sejak kecil?

Wassalam

Sambutan Tahun Baru Cina dan Perpaduan Kaum Dalam Konteks Politik Malaysia


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Semalam dan hari ini seluruh masyarakat Cina di seluruh di seluruh dunia meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Ia merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan dan tahun ini adalah merupakan tahun Naga atau lebih spesifiknya dipanggil sebagai Naga Air. Bagi kepercayaan kaum Cina, Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau bagi menandakan kemeriahan sambutannya.

Di Malaysia, perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini dianggap sebagai perayaan yang sangat penting kepada banyak pihak kerana ia adalah perayaan yang melibatkan kaum yang kedua teramai.

Perutusan DS Najib berkaitan dengan Tahun Baru Cina, beliau menyatakan bahawa perlunya rakyat Malaysia memperteguh semula tekad bagi mempertahan, mengukuh dan menyuburkan perpaduan nasional yang telah kita bina selama ini secara bertatih berasaskan prinsip toleransi, penerimaan dan seterusnya meraikan kepelbagaian. Beliau mengharapkan agar kebersamaan yang ada di antara rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada perbezaan yang wujud. Semua kita mendambakan masa depan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak kita oleh itu marilah kita berusaha bersama-sama bagi memastikan masa depan yang sarat harapan untuk semua.

Presiden PAS, DS Haji Abdu Hadi Awang pula menyatakan dalam perutusannya menyebut bahawa kegagalan pemerintah negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.

DS Anwar dalam blognya menyebut bahawa tahun Naga melambangkan, antaranya Keadilan, Keberanian dan Berhikmah buat masyarakat Cina. Oleh kerana itu sempena sambutan tahun baru, yang selalu dianggap sebagai satu titik permulaan serta memperkukuh azam, saya berharap kita bersama beriltizam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang adil dan saksama. Perpaduan perlu dijalin demi kemaslahatan negara. Kita berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas dari rasuah dan rakyatnya hidup dalam kerukunan serta harmoni.

Melihat kepada perutusan-perutusan ini, perkara asas dan perkara pokok yang menjadi tunjang kepada persoalan yang penting adalah berkaitan dengan soal perpaduan. Ia tidak dapat dikesampingkan dalam topik perbincangan kita kerana isu perpaduan adalah satu isu yang cukup penting dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Sebab itu, perpaduan dalam pengajian sains politik adalah merupakan satu subjek yang cukup penting kerana ia adalah satu pengajian untuk memastikan dalam pembinaan sebuah negara dan sebuah bangsa yang kukuh dengan menyatukan semua kaum dalam satu kerangka masyarakat yang dapat bekerjasama dan hidup harmoni bersatupadu.

Pentingnya Perpaduan Sesama Kita

Kajian berkaitan dengan perpaduan kaum sebenarnya adalah satu perkara baru dalam kajian sains politik dan J.S.Furnivall adalah merupakan sarjana tersohor dalam kajian ini. Menurut J.S Furnivall sebuah masyarakat majmuk merupakan satu masyarakat yang muncul akibat daripada dasar-dasar kolonial di mana penghijrahan penduduk mengikut kehendak-kehendak sistem ekonomi, politik dan sosial sehingga ia mewujudkan kelompok-kelompok yang berbagai ragam dalam satu unit politik. Furnivall menambah bahawa kelompok-kelompok berbagai ragam dalam sebuah masyarakat majmuk itu “bercampur tetapi tidak bergabung”.  Setiap kelompok memegang kuat kepada agama, kebudayaan, bahasa, idea-idea dan cara-cara kehidupan sendiri. Komuniti-komuniti dalam masyarakat majmuk itu hidup secara berdekatan, tetapi terpisah dalam unit politik yang sama. Sistem pembahagian buruh dalam bidang ekonomi pula adalah berasaskan ras di mana setiap ras dalam masyarakat itu mempunyai fungsi-fungsi yang berlainan.

Jika kita melihat kepada teori falsafah yang disebut oeh Furnivall ini, kita akan mengiakan teori tersebut dalam konteks negara kita pada hari ini. Dega migrasi kaum daripada tanah Besar China dan negara India serta negara-negara lain telah membentuk sebuah negara berbilang kaum dan ia terus kekal sehingga kehari ini.

Persoalannya, adakah benar teori "bercampur dan tidak bergabung" seperti mana yang dinyatakan oleh Furnivall? Jika kita percaya sepenuhnya teori ini maka kita terpaksa mengakui bahawa apapun usaha yag dilakukan oleh pihak kerajaan, NGO dan orang-perseorangan dalam mengabungkan semua kaum dalam satu kerangka kehidupan yang harmoni akan menemui kegagalan. Sebab itulah, kita akan melihat bagaimana percaturan yang dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara dalam menangani isu pertembungan antara kaum akan berlaku sehingga ke peringkat berlakunya tangkapan dan mungkin lebih daripada itu.

Justeru apakah asas yang perlu kita letakkan di dalam minda dan hati masyarakat Malaysia supaya dapat memberikan satu keinginan yang kukuh untuk membina perpaduan di antara satu sama lain. Persoalan ini bukanlah satu perkara yang baru kerana ia sudah cukup lama diperbincangkan di negara kita ini.

Isu pertembungan di antara kaum di Malaysia lebih sesuai jika dilihat daripada sudut politik. Perpaduan di antara kaum akan dipupuk melalui agenda kerajaan yang digarap melalui suasana politik semasa. Peristiwa 16 Mei 1969 yang mengakibatkan pertembungan dan pertumpahan darah adalah pertembungan politik pada ketika itu. Pertembungan di antara kaum Melayu dan Kaum Cina meninggalkan kesan yang mendalam dan menusuk ke hati setiap masyarakat.

Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu dengan terbentuknya satu pakatan politik yang terdiri daripada Umno, Mca dan Mic yang berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Kegagalan Perikatan untuk memperolehi mandat dua pertiga kerusi Parlimen telah menyebabkan parti pembangkang pada ketika itu seperti parti Gerakan, DAP dan PPP memperolehi 25 kerusi Parlimen manakala PAS berjaya memenangi 12 kerusi. Pertembungan penyokong Gerakan dan Umno di sekitar Kuala Lumpur telah mengakibatkan rusuhan kaum dan akhirnya darurat telah diistiharkan pada 16 Mei 1969. Pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah di antara langkah yang dilakukan untuk meredakan pertembungan kaum. Pembentukan Barisan Nasional dengan mengekalkan Umno, Mca dan Mic serta kemasukan parti pembangkang seperti Gerakan dan PPP memperkukuhkan parti pemerintah di Malaysia.

Peristiwa 16 Mei telah memberikan kelebihan politik kepada parti pemerintah kerana selain daripada dapat mengurangkan ketegangan kaum, parti politik pemerintah semakin kukuh dengan penyertaan parti politik yang lain. Namun, ia bukanlah bermakna pertembungan kaum berakhir kerana ia terus berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Wujudnya 1 Malaysia

Pilihanraya umum ke 12 yang berlangsung pada tahun 2008 telah memperlihatkan bagaimana BN mengalami kekalahan di beberapa buah negeri dan hilang majoriti dua pertiga Dewan Rakyat untuk pertama kalinya. Sebelum itu, pelbagai isu ditimbulkan sehingga menyebabkan rakyat semakin muak dengan BN. Isu yang melibatkan kelemahan Pak Lah selaku PM, campurtangan Tun Dr Mahathir dalam pemerintahan negara, isu kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan, isu ekonomi dan banyak lagi isu telah menyebabkan BN ditolak dalam pilihanraya.

Mca dan Gerakan meletakkan kesalahan ini kepada Umno termasuklah isu 'keris' yang digunakan dalam persidangan Pemuda Umno ooeh Hishamudin Hussien. Umno pula meletakkan kesalahan ini kepada Mca dan Gerakan kerana tidak berjaya meyakinkan pengundi Cina untuk terus menyokong BN.

Sesuatu tindakan mesti dilakukan bagi menarik semula sokongan rakyat kepada pemerintah. Maka wujudnya satu agenda baru dalam negara yang disebut sebagai 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' yang merupakan satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan dengan harapan ia akan mengembalikan keyakinan rakyat.

1Malaysia bukan sahaja dipromosikan di dalam media massa atau di lokasi agensi kerajaan malah ia digunakan semasa kempen Pilihan Raya Kecil di Malaysia. Walaupun ia ditentang oleh Pakatan Rakyat namun BN masih tetap menggunakan lambang tersebut untuk mendapatkan sokongan rakyat teramai.

Pemerintah terus menggunakan 1Malaysia dalam pelbagai aktiviti dan pendekatan termasuklah wujudnya Kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia. Semua ini dilakukan untuk membuktikan bahawa pemerintah mahu mewujudkan rasa kesamaan dan pembelaan terhadap kebajikan rakyat.

Sebab itu, tidaklah menghairankan nanti ketika berlakunya PRU yang berkemungkinan berlaku pada masa terdekat ini, 1Malaysia akan menjadi azimat penting BN dalam mengharungi kempen pilihan raya demi untuk mendapatkan semula sokongan rakyat khususnya masyarakat kaum Cina dan India untuk kembali semula ke pangkuan BN.

Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Menjadi Pilihan

Kini rakyat Malaysia mempunyai pilihan sama ada ingin membina sebuah negara yang makmur yang berasaskan perpaduan kaum yang telus dan tulus ataupun perpaduan yang diwujudkan kerana kepentingan politik. BN yang berpegang kepada 1Malaysia yang diilhamkan oleh Presiden Umno cukup kuat didokong oleh Umno tetapi sangat jarang diguna pakai oleh komponen politik yang lain. Ia berbeza dengan PR yang semakin kuat berpadu dengan dibuktikan dalam Konvensyen PR yang diadakan baru-baru ini di Alor Setar Kedah.

Politik menakut-nakutkan yang diamalkan olehBN selama ini sudah tidak relaven lagi. Kaum Melayu, Cina dan India sering ditakut-takutkan bahawa jika BN tidak memerintah maka negara akan huru-hara dan kacau-bilau. Politik seperti ini sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa. Ini kerana rakyat sudah dapat melihat kejayaan kerajaan negeri di bawah PR yang diiktiraf oleh Audit Negara sebagai negeri-negeri yang telus dan tulus dalam pemerintahannya dan ini yang membimbangkan BN.

Harapan yang ada untuk melihat perpaduan yang telus dan tulus adalah dengan memberikan kepercayaan kepada PR pada PRU yang akan datang ini. Ia terletak di tangan anda. Semoga semangat perayaan Tahun Baru Cina ini akan memberikan kekuatan kepada masyarakat Cina khususnya untuk membuat perubahan kepada pemerintah Malaysia pada ketika ini.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
24 Januari 2012

Ahad, 22 Januari 2012

Pemuda PAS Menggegar Parlimen Temerloh


Assalamu'alaikum dan salam sejahtera,

Masyarakat di sekitar Temerloh dan Mentakab tertanya-tanya dengan kehadiran sebahagian besar pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia ke Parlimen Temerloh. Program yang bermula daripada pagi hari Sabtu dan berakhir pada tengahari hari Ahad berjaya menghidupkan suasana meriah di bandar Temerloh dan Mentakab yang sememangnya agak sesak disebabkan masyarakat Tionghua yang menyambut Tahun Baru Cina pada hari esok (23 Januari2012).

Kain rentang yang dipasang oleh Dewan Pemuda PAS Pahang mudah di lihat disekitar kawasan bandar dan poster-poster ceramah bertebaran disegenap pelusuk Parlimen yang kini diwakili oleh YB Datuk Saifudin bin Abdullah setelah beliau menang dengan majoriti 2241 undi pada tahun 2008 setelah berjaya mengalahkan calon PKR iaitu sdr Ahmad Nizam bin Hamid.

Parlimen Temerloh yang mempunyai jumlah pengundi (2008) seramai 54,010 mempunyai tiga buah Dun iaitu Mentakab dan Lancang yang dimenangi oleh BN dan Dun Kuala Semantan yang dimenangi oleh PAS.

Dengan motto 'Temerloh Milik Kita' Pemuda PAS telahcmengatur pelbagai program yang melibatkan ketiga-tiga Dun dalam parlimen ini seperti program tazkirah, ceramah penerangan, edaran limau dan kad tahun baru Cina, program anak muda, sumbangan peralatan sukan dan pelbagai lagi aktiviti yang berjaya mencuit hati masyarakat setempat.

Saya sempat menghadiri beberapa program yang telah disusun oleh Pemuda PAS Pahang dan berkesempatan jugamenyampaikan ceramah di Taman Temerloh Jaya dan Kampung Berhala Binjai.

Secara keseluruhannya, program berjaya mencapai matlamatnya. Tahniah kepada semua!

Wassalam.

Khamis, 19 Januari 2012

Melayu Semakin Terpikat Dengan DAP

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Saya letakkan berita penyertaan bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyertai Parti Tindakan Demokratik sebagai berita yang mengejutkan pada hari ini. Bagi saya, ia satu tamparan hebat kepada Umno yang secara konsistennya menakut-nakutkan masyarakat Melayu tentang bahayanya DAP terhadap masa depan Melayu, Islam dan kedaulatan sistem Beraja di Malaysia.

Mohd Hata Wahari yang cukup dikenali sebelum ini kerana kelantangannya mengkritik majikannya iaitu Utusan Melayu (M) Bhd telah dipecat pada 21 April 2011 kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syarat perkhidmatan yang ditetapkan.

Mohd Hata memiih DAP sebagai wadah perjuangannya dalam politik yang pada hemat beliau lebih sesuai dengan pendekatannya, itu yang saya rasa. Tapi itu tidak memberikan apa-apa masalah kepada saya kerana penyertaan beliau bersama DAP bermakna beliau juga akan bersama Pakatan Rakyat.

Apa yang memeningkan kepada Umno adalah bagaimana masyarakat Melayu semakin mendekati DAP. PAS dilabelkancsebagai 'Kuda tunggangan DAP' dengan niat yang 'suci untuk menggambarkan PAS tunduk kepada DAP namun sokongan terhadap semakin meningkat. Bukan itu sahaja malah DAPterus menerima kemasukan ahli baru di kaangan orang Melayu. Awal bulan ini penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno, Mohd Ariff Sabri Aziz juga menyertai DAP.Selain Sakmongkol yang merupakan  bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004, turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Dengan perkembangan ini maka tidak mustahil semakin ramai masyarakat Melayu akan mendekati DAP. Mungkin Umno perlu fikirkan strategi baru untuk memburuk-burukkan Umno agar matlamat untuk menjauhkan DAP daripada masyarakat Melayu akan berjaya.

Coretan Sebelum Tibanya Ekspres Senandung Sutera

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Sambil menanti keretapi Ekspres Senandung Sutera yang dijangka tiba pada pukul 1.20 pagi di Stesyen Keretapi Kluang, saya cuba coretkan beberapa perkara yang mungkin dapat dikongsikan bersama.

Sebelum itu, kepada para pembaca blog ini, saya teringin untuk memberitahu kepada anda sekelian bahawa KTM pada ketika telah memulakan satu perkhidmatan tren yang baru iaitu Malayan Tiger yang menyediakan perkhidmatan perjalanan yang menghubungkan Johor Bahru sehingga ke Tumpat seperti dalam gambar yang saya muatnaikkan ini. Malayan Tiger baru bermula pada bulan Januari ini dan nampaknya lebih selesa daripada tren yang telah sedia ada sebelum ini iaitu Ekspres Senandung Timuran. Kepada pengguna 'tegar' perkhidmatan keretapi saya mencadangkan agar anda mencubanya selepas ini yang menyediakan perkhidmatan tempat tidur.

Berita yang paling mengejutkan pada hari ini adalah berkaitan dengan perlantikan Adun Sijangkang iaitu YB Dr Ahmad Yunus yang telah dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Selangr yang baru bagi menggantikan Dr Hassan Ali yang dipecat daripada PAS baru-baru ini. Seakan-akan hampir pasti Exco akan dilantik adalah Dr Rani dan telah pun bertaburan ucapan tahniah kepada beliau sejak kelmarin dan semakin bersemarak pada pagi tadi tapi jangkaan tersebut meleset sama sekali.

Dr Rani yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor dilihat cukup layak untuk mengisi jawatan exco di atas kapasitinya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor tetapi MB Selangor lebih melihat potensi yang dimiliki oleh Dr ahmad Yunus yang merupakan seorang doktor perubatan yang berpengalaman luas dalam bidang kedoktoran.

Dr Ahmad Yunus akan memegang potfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan yang sebelum ini dipegang oleh MB Selangor manakala MB Selangor akan memegang potfolio yang dipegang oleh Dr Hasan Ali sebelum ini.

Pelbagai pandangan dilontarkan dalam media massa tetapi saya tidak berminat untuk mengulasnya kerana saya percaya Tan Sri Khalid Inrahim mempunyai perancangannya yang tersendiri.

Mudah-mudahan kerajaan Selangorvakan lebih mantap selepas daripada ini.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Stesyen KTM Kluang
19 Januari 2012, 1.13 pagi

Selasa, 17 Januari 2012

Isu Dr Hassan Ali : Saya Patuh Arahan Mursyidul Am.


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Seperti dijangka, sejak Dr Hassan Ali dipecat daripada PAS pada minggu lalu maka media massa khususnya media cetak akan memberikan ruang yang cukup istimewa kepada beliau untuk berada di muka hadapan akhbar cetak.

Hari ini, Sinar Harian dengan tajuk PAS DALAM BAHAYA manakala Berita Harian pula dengan tajuk ANWAR PUNCA PAS GERHANA. Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO pula memaparkan tajuk yang lebih sensasi iaitu TOLAH ANWAR - HASAN.

Secara keseluruhannya berita yang ingin dipaparkan di dalam media ini lebih kepada keyakinan Dr Hassan Ali bahawa apa yang berlaku terhadap dirinya adalah disebabkan oleh pengaruh 'kumpulan parasit' yang mampu gugat hala tuju perjuangan PAS dan Dr Hassan juga percaya bahawa apa yang berlaku semua ini adalah disebabkan kerana DS Anwar Ibrahim.

Kerana menghormati saranan yang telah dibuat oleh Mursyidul Am agar semua pihak 'tutup mulut' di atas isu pemecatan Dr Hassan Ali maka saya akan hentikan dahulu perbincangan berkaitan dengan isu ini cuma sebelum itu saya ingin lontarkan satu persoalan kepada Dr Hassan iaitu apakah harapan yang ingin beliau capai setelah selesai daripada 'roadshow' yang akan dilakukan selepas ini.

Apapun, saya menghormati keputusan beliau yang enggan membuat rayuan di atas pemecatannya daripada PAS.

Terus berjuang!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
17 Januari 2012, 8.38 pagi.

Isnin, 16 Januari 2012

Selamat Tahun Baru Cina

Tahniah Datuk Lee Chong Wei!


Hajat untuk Datuk Lee Chong Wei untuk memenangi Piala Terbuka Malaysia akhirnya tercapai apabila berjaya menewaskan Kenichi Tago dari Jepun pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang tadi. Chong Wei menang 21-6 dan 21-13.

Kemenangan ini sangat bermakna bukan hanya kerana Datuk Lee menang acara perseorangan tetapi juga kerana ia berjaya mengabadikan namanya sebaris dengan legenda Wong Peng Soon sebagai pemenang lapan kejuaraan Terbuka Malaysia yang diperkenalkan sejak 1937 dan di landasan tepat memenangi kejuaraan kedua, tahun ini.

Semoga Datuk LCW akan terus konsisten dengan kemenangan dan seterusnya mampu untuk membawa pingat emas dalam acara perseorangan dalam sukan Olimpik nanti.

Ahad, 15 Januari 2012

Guru PASTI Gelang Patah Kemalangan : Seorang Meninggal Dunia



KEMASKINI

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya mendapat panggilan telefon daripada Ketua Pemuda PAS Johor yang memaklumkan bahawa guru-guru PASTi kawasan Gelang Patah telah terlibat dalam kemalangan setelah pulang daripada satu program di Parit Raja dan salah seorang daripada guru tersebut telah meninggal dunia manakala lima lagi cedera. Empat dirawat sebagai peasakit luar di Hspital Besar Kulai dan seorang lagi cedera parah di rawat di Hospital Daerah Kluang.

Jenazah guru tersebut dan guru-guru yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Kluang. Saya telah memaklumkan kepada pimpanan PAS Kluang untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan keluarga mangsa di Hospital. Saya jangka akan tiba di Kluang sekitar jam 8 malam nanti.


Saya tiba di perkarangan bilik Mayat Hospital Daerah Kluang pada sekitar pukul 8.30 malam setelah Naib Yang Di Pertua PAS Kluang mengambil saya di Terminal Bas Kluang. Di Hospital saya bertemu dengan Hajah Atiah Ahmad selaku Ketus Dewan Mualimat PAS Johor, sdr Mahadzir Mat Zili Pengarah Pasti Johor, Puan Kamsiah Hassan iaitu Pengerusi MGP Johor dan pimpinan PAS Kluang yang setia membantu. Tokoh Siti Khadijah PASTI Malaysia yang juga mantan Pengerusi MGP Johor iaitu Hajah Siti Sarah turut haadir sama tadi.

Jenazah cikgu Zainon setelah siap dimandi dan disembahyangkan dibawa terus ke kampung halamannya di Felda Pasir Raja pada malam ini untuk disemadikan pada malam ini juga manakala seorang lagi guru yang cedera parah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Saya mewakili PAS Kawasan Kluang mengucapkan takziah kepada semua yang terlibat dalam kemalangan dan mudah-mudahan cikgu Ainon yang telah meninggal dunia dalam kemalangan ini akan dicucuri Rahmat ke atas rohnya.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
KM 199, Lebuhraya PLUS.
15 Januari 2012, 5.59 petang.

Sabtu, 14 Januari 2012

Aset NFC Dibeku : Sharizat Semakin Tergugat?





Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Tiba-tiba baru sehari Sharizat membuat keputusan untuk bercuti, aset NFC dibekukan dan PM Najib serahkan kepada TPM Muhyidin untuk cari jalan penyelesaian terbaik. PM juga menyebut bahawa tindakan Sharizat adalah tindakan yang tepat dengan mengambil cuti untuk elakkkan gangguan terhadap siasatan.

Semalam saya cadangkan Sharizat bercuti sambil membuat umrah tetapi dengan perkembangan terbaru ini saya cadangkan Sharizat bolehlah membuat pertimbangan dan kira-kira untuk menentukan masa depannya.

Sharizat perlu bersedia untuk :

1. Kehilangan posisinya sebagai Menteri,
2. Dinafikan hak untuk menjadi calon BN dalam PRU yang ke 13 akan datang,
3. Melihat kedudukan dan kemudahan yang dinikmati oleh keluarga beliau dalam NFC dirampas,
4. Menerima kesan-kesan sampingan yang lain termasuklah kedudukannya dalam wanita Umno.

Apapun, semoga kebenaran dan keadilan dapat dicapai dalam siasatan ini nanti. Rakyat sedang menunggu dengan penuh tekun.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS

Konvensyen Pakatan Rakyat : Pedulikah Rakyat?

Assalamua'alaikum dan salam perjuangan,

Seharian pada hari semalam saya berada di Kuala Lumpur di atas urusan perjuangan. Bermula dengan hadirnya berita kematian staf veteran PAS di Pejabat Agong PAS iaitu Almarhum Tuan Syed Mohamad disambung dengan program Minum Petang Dewan Pemuda PAS bersama media dan blogger serta diakhiri dengan mesyuarat jawatankuasa Harian DPPM, kepadatan aktviti diteruskan dengan perjalanan ke Alor Setar Kedah bagi menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat di Aor Setar Kedah.

Tiba di lokasi penginapan pada pukul lebih kurang pada puku 3.45 pagi dan dapatlah juga melelapkan mata selama dua jam.

Kedah Darul Aman dipimpin oleh seorang tokoh ulama' dalam PAS sekilas pandang sepanjang perjalanan ke Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Suka Menanti dapat dilihat sememangnya aman damai walaupun sekali sekali cuba dicuit dan diusik oleh kepimpinan Umno dan Barisan Nasional namun Pakatan Rakyat terus kukuh dan utuh melaksanakan amanah yang diberikan Allah sebagai kerajaan yang sah dipiih oleh rakyat.

Program yang bermakna ini dimulakan dengan Ucapan sambutan para pemimpin tertinggi iaitu YB Dato' Mahfuz Omar, YB Tunku Abdul Aziz, YBrscTuan Haji Mohamad Sabu dan YB Mohamed Azmin Ali.

Satu slot yang saya amat berminat pada konvensyen pada kali ini adalah satu slot yang dipanggil Suara Nurani Rakyat Malaysia yang menampilkan wakil daripada mahasiswa, warga Felda, ahli akademik, penjawatawam, budayawan, NGO, wakil rakyat Sabah dan Sarawak.

Perbahasan Perwakilan juga menarik untuk dihadami oleh para pemimpin PR untuk disampaikan kepada rakyat diluar sana.

Walaupun konvensyen ini masih berlangsung dengan penuh kehangatan dan akan berakhir separuh masanya sebentar sahaja lagi, saya bukan memikirkan apakah isi kandung konvnsyen ini baik ataupun tidak kerana sememangnya ia sudah terlalu baik. Namun, masyarakat diluar sana khususnya yang tinggal diluar bandar yang pastinya akan terus dimomokkan dengan berita satu hala adunan pemerintah yangvmahukan mereka terus istiqamah memilih BN sebagai kerajaan pemerintah.

Kelemahan yang sering kali mencengkam dan membungkam adalah berkaitan dengan mekanisme menyampaikan informasi yang cukup penting dan bermakna ini kepada rakyat. Ini kekangan yang ketara dirasai khususnya negeri-negeri yang menjadi kubu kuat Umno/BN seperti Johor dan lain-lain negeri.

Justeru pencambahan pemikiran untuk menghasilkan idea dan tawaran Jingga perlu juga disekalikan dengan percambahan yang menjurus kepada mekanisme penyampaian maklumat seperti mana yang saya nyatakan ini.

Dewan Pemuda PAS akan memulakan Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan (Jom Ubah) seperti mana yang telah dilancarkan pada Muktamar DPPM pada tahun lalu di negeri Johor pada 4 Februari 2012 yang akan datang dan akan diikuti oleh beberapa buah negeri yang lain. Saya akan pastikan agenda PR melalui Tawaran Jingga kepada rakyat khususnya kumpulan anak-anak muda bersama-sama dengan risalah Negara Kebajikan yang telah siap dicetak dan hanya menunggu masa untuk disebarkan.

Rakyat sebenarnya bukan tidak peduli tetapi kita yang kurang berusaha untuk membuatkan mereka peduli.

Terus Berjuang!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
14 Januari 2012
Stadium Sultan Abduk Halim Mu'adzam Shah.

Jumaat, 13 Januari 2012

Pak Syed Mohamad Kembali ke Rahmatullah


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya menerima SMS memaklumkan bahawa staf pejabat PAS Pusat telah kembali ke Rahmatullah pada pagi tadi. Syed Mohamad yang lebih selesa dipanggil Pak Syed adalah merupakan Pegawai Lajnah Tarbiyah PAS dan pernah memegang jawatan sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wiayah Persekutuan.

Sifatnya yang suka berjenaka dalam keseriusan memudahkan orang lain rapat dengannya.

Mudah-mudahan Allah mencucuri Rahmat ke atasnya.

A-Fatihah.

Sharizat Jalil : Bukan Bercuti Tapi Letak Jawatan


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Muka hadapan Berita Harian edisi cetak pada hari ini memaparkan satu tajuk "Sharizat Cuti, Mohon SPRM siasat NFC" yang menyebut tentang permohonan cuti rehat sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat daripada Perdana Menteri.

Pertamanya, pada pandangan saya jika Sharizat bercadang untuk bercuti bagi memberi ruang kepada SPRM membuat siasatan kepada NFC maka saya melihat bahawa ia sebenarnya tidak banyak membantu dalam usaha menyeesaikan isu ini. Tempoh tiga minggu belum tentu cukup tempohnya siasatan dibuat . Tindakan yang terbaik adalah dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri. Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana akhirnya tertekan juga dengan desakan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada Ahli Parlimen BN yang membuatkan beliau terpaksa juga mengambil cuti rehat.

Keduanya, isu ini telah pun mendedahkan satu persatu penyelewengan dan salah urus kewangan. Bermula dengan pembelian dua unit kondominium, pembelian kereta Mercedes CLS 350 dan lain-lain lagi sebenarnya sudah cukup untuk menggambarkan bahawa PM perlu bertindak awal untuk mengarahan Sharizat berundur sekurang-kurangnya bercuti bagi membantu siasatan tetapi PM lebih rela isu ini Sharizat 'dibelasah' termasuklah oleh kalangan pemimpin Umno.

Ketiganya, saya melihat bahawa dalam isu ini Timbalan Perdana Menteri yang sebelum ini adalah merupakan Menteri Asas Tani yang mana projek ini diluluskan semasa beliau menjadi Menteri perlu bertanggungjawab di atas isu penyelewengan dan salah urus ini. Sebab itu, tidaklah memelikkan apabila TPM memberikan jawapan kepada soalan wartawan sama ada Sharizat perlu atau tidak meletakkan jawatan dengan jawapan yang sama iaitu tidak perlu sebab Muhyiddin lebih maklum tentang projek NFC ini ada kaitan dengan dirinya sebelum ini. Sebab itu, Muhyiddin lebih layak untuk meletakkan jawatan jika ingin dibandingkan dengan Sharizat.

Apapun, dengan percutian Sharizat ini akan membantu SPRM membuat penyiasatan yang lebih telus, mudah-mudahan begitulah harapan saya. Rakyat sudah pasti tidak sabar menunggu apakah hasil siasatannya nanti.

Mudah-mudahan Sharizat benar-benar bercuti nanti. Saya cadangkan Sharizat ambil peluang ini untuk menunaikan umrah.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil.
13 Mac 2012

Khamis, 12 Januari 2012

Segala-galanya Adalah Kehendak Daripada Allah

Firman Allah bermaksud,

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.

(Surah Al-Baqarah ayat 286)

KENAPA AKU DIUJI?

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."

Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

Boleh jadi mau membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST?

Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman.

Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).-

Surah Al-Imran ayat 200

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk

Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ..

Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.

Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.

Surah Yusuf ayat 12

Rabu, 11 Januari 2012

Hukum Bermain Muzik Dalam Islam - Oley!!



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Baru-baru ini dalam konsert Hibur Didik sempena sambutan tahun baru anjuran PAS Kawasan Gombak dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Malaysia, saya telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan dua buah lagu dengan memetik sebuah gitar bersama-sama.

Walaupun bunyi petikannya masih ditahap separuh amatur namun saya berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan bahawa petikan tersebut tidak terlalu sumbang kerana hampir 20 tahun saya tawakufkan diri daripada mengalunkan lagu menggunakan instrumen selain daripada 'recorder' yang mudah dibeli dengan harga yang murah.

Saya menulis pada kali ini bukan untuk memfokuskan kepada suasana program tersebut tetapi untuk menyentuh tentang perbincangan yang seringkali dibincangkan iaitu haram menggunakan alat muzik yang bertali dan berlubang.

Ketika saya menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, saya telah mengarahkan satu perbincangan khusus mengenai perkara ini dilakukan oleh Lajnah Tarbiyah DPPNJ dan sebuah buku ringkas telah diterbitkan bagi menerangkan perkara ini. Buku tersebut menjadi panduan kepada Pemuda PAS di Johor daam melaksanakan program berbentuk hiburan kepada masyarakat. Dengan inisiatif ini juga maka terbentuklah sebuah kugiran yang dipanggil dengan nama ABC (Alternative Band's Club) yang teah mendapat nasihat daripada Ketua Dewan Uama, PAS Johor serta Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ust Nasrudin Hassan.

Sebagai memudahkan untuk para pembaca memahami skop perbincangan maka saya sertakan beberapa kajian perbincangan secara ilmiah untuk memberikan panduan dalam memahami perkara yang kita bincangkan ini.

Sila klik,

Muzik Satu Kupasan - http://g-82.blogspot.com/2012/01/muzik-satu-kupasan.html

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4909.msg35025#msg35025


Semoga ia dapat membantu kita untuk mencari kebenaran.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Eric Cantona Bakal Presiden Perancis?




Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya tertarik dengan satu paparan berita yang menyebut bahawa bekas Lagenda Bolasepak Mancester United iaitu Eric Cantona berminat untuk menceburi politik dan bercita-cita untuk menjadi Presiden Perancis.

Dalam laporan yang disiarkan dalam BBC News, Eric yang satu masa dahulu terkenal dengan insiden tendangan 'kung-fu' terhadap penyokong Crystal Palace pada tahun 1995 sedang berusaha untuk mendapatkan 500 tandatangan daripada Datuk Bandar di Perancis sebagai syarat untuk melayakkan dirinya bertanding kerusi Presiden Perancis.

Kenapa Eric berminat untuk menceburi politik sedangkan beliau cukup dikenali sebagai seorang pemain bolasepak dan telah pun menceburi bidang lakonan dan menjadi Pengurus kepada pasukan bolasepak New York Cosmos dalam liga bolasepak Amerika Syarikat? Eric sebenarnya ingin memperjuangkan isu perumahan khususnya kepada golngan miskin di Perancis.

Sebelum ini, pada tahun 2010 Eric pernah menggesa rakyat Perancis untuk mengeluarkan simpanan mereka di dalam bank kerana krisis kewangan global dan ia telah berjaya menarik minat dan sokongan masyarakat sehingga mewujudkan satu kempen 'online' bagi menggerakkan protes ini.

Sema ada Eric berjaya ataupun tidak untuk mendapatkan peluang tersebut bukanlh menjadi persoalan yang ingin saya lontarkancdi sini tetapi saya tertarik dengan kesungguhan Eric yang mahu berjuang untuk kepentingan massa dengan menceburi bidang politik walaupun ketika ini beliau telah pun selesa dengan kehidupan hariannya.

Di sini letakkan satu nilai yang penting untuk kita kongsikan bersama iaitu nilai Pengorbanan dalam hidup untuk mereka yang lebih memerlukan.

Selamat berjaya kepada Eric Cantona.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
11 Januari 2012

Selasa, 10 Januari 2012

Andainya Saya Ahli Perkasa

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Siapa tidak kenal Datuk Ibrahim Ali, seorang ahli politik yang terkenal dengan kelantangannya. Pernah menjadi pemimpin Umno dan kini menjadi wakil rakyat bebas setelah berjaya menang kerusi Parlimen Pasir Mas di atas tiket PAS.

Kerana sukar untuk diterima oleh Pas dan sukarnya mencari tempat untuk meneruskan perjuangan maka Datuk Ibrahim Ali membentuk satu Badan Bukan Kerajaan yang dipanggil Perkasa yang dilabelkan sebagai NGO memperjuangkan Melayu dan kemelayuannnya.

Perkasa sangat digeruni oleh kaum bukan Melayu kerana banyak kenyataan daripada Perkasa menggerunkan mereka. Kelantangan Perkasa menyebabkan adakalanya Perkasa dilihat lebih Melayu daripada Umno itu sendiri sehingga berjaya menawan hati golongan veteran Umno untuk sama-sama duduk bersila dalam satu pasukan.

Datuk Ibrahim Ali sering mendapat tempat dalam media lebih-lebih lagi jika kata-kata beliau itu menyelar dan menghiris pembangkang walaupun di Parlimen beliau bukanlah Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional. Semakin kuat beliau menghentam pembangkang maka semakin mudahlah beliau muncul di kaca televisyen.

Kehebatan Ibrahim Ali walaupun sering dicop sebagai 'katak' kerana kekerapan beliau melompat parti dapat dilihat dalam media baru-baru ini dengan mengancam untuk menggerakkan puluhan ribu ahli Perkasa untuk turun berhimpun di Masjid Wilayah bagi berdepan dengan penyokong DS Anwar Ibrahim.

Sayangnya, hanya sekitar 50 orang yang menyahut seruan Presiden Perkasa pada hari itu. Himpunan yang sepatutnya bermula dengan ,solat hajat selepas waktu asar' dan qiamulail pada malam harinya tidak berjaya menarik minat dan semangat ahli Perkasa untuk bersama-sama. Bukan itu sahaja, malah Presiden Perkasa sendiri tidak dapat dilihat batang hidungnya pada hari semalam sehingga ramai tertanya-tanya di mana Datuk Ibrahim Ali?.

Buat masa ini, tiada siapa yang tahu walaupun ramai yang mengandaikan Datuk Ibrahim berada di rumah sambil menghirup secawan kopi-O sambil menanti keputusan mahkamah. Ia bukan sengaja direka seperti itu kerana ia adalah sketsa yang sama beliau lakukan semasa Himpunan Bersih 2.0 yang lalu. Dengan nada yakin beliau telah mengarahkan 50 ribu ahli Perkasa berkumpul di Taman Tasik Titiwangsa tetapi sekitar 50 orang sahaja yang hadir tanpa kelibat Presiden tersayang.

Di mana Ibrahim Ali? Hanya selepas itu barulah beliau beritahu bahawa beliau ada di rumah.

Sudah dua kali Ibrahim Ali hilang dalam aksi (missing in action) dan sanggup mempertaruhkan ahlinya untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. Penyokong Perkasa yang berjumlah 30 orang semalam terpaksa berdepan dengan mereka yang cintakan keadilan yang berjumlah lebih daripada 10 ribu orang.

Oleh kerana itu, saya mohon ahli Perkasa supaya menilai kembali keberadaan anda di dalam NGO ini. Jika anda masih yakin lagi dengan Datuk Ibrahim Ali maka itu terpulang kepada anda tetapi saya harap anda membuat penilaian semula sama ada perlu atau tidak untuk bersama dengan NGO ini. Jika saya ahli Perkasa maka saya akan ucapkan selamat tinggal...

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
10 Januari 2012

Peluang Kedua Dr Hassan Ali Bersama PAS



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Siapa tidak kenal Dr Hassan Ali? Seorang pakar motivasi yang cukup popular pada satu ketika dahulu dan sering membuatkan penonton Hal Ehwal Islam di siaran TV1 terpaku apabila melihat keluarbiasaan dan kehebatannnya mengemudi program yang cukup mendapat sambutan selaku Pengerusi Panel Forum Perdana itu.

Dengan Akademi Keluarga Bahagia (AKRAB) yang telah berjaya mengendalikan program untuk memperkukuhkan institusi keluarga melalui program seperti Summer Camp yang menjadi rebutan para ibu bapa, Dr Hassan Ali dlihat sebagai tokoh masyarakat yang disegani.

Apabila berlakunya reformasi setelah DS Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri maka ia telah menyebabkan ramai tokoh-tokoh daripada pelbagai peringkat membuat keputusan untuk menyertai PAS termasuklah Dr Hassan Ali.

Saya masih teringat lagi paparan di muka hadapan Harakah cetak yang menyiarkan Dr Hassan menyerahkan borang keahlian kepada Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor selaku Presiden PAS pada ketika itu untuk menyertai PAS. Dr Hassan apabioa di tanya apakah tujuan beliau menyertai PAS, beliau menyatakan pada ketika itu dengan satu kata-kata yang tak mungkin saya lupakan iaitu "Saya ingin menghabiskan sisa-sisa hidup saya bersama PAS".

Sungguh indah ayat itu dan saya percaya Dr Hassan ikhlas untuk menyatakan perkara tersebut tanpa apa-apa sebab yang terselindung disebaliknya.

Dengan keikhlasan beliau untuk menghabiskan sisa-sisa hidup bersama parti Islam ini, beliau terus turun menyampaikan ceramah secara berterusan di seluruh negara sebaik saja menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas.

Saya masih ingat lagi ceramah beliau di sekitar Batu Pahat sebagai ceramah sulong beliau di Johor, beliau sebut bahawa beliau belum berhenti berceramah pada setiap malam kerana mahu bekerja keras mengajak masyarakat Melayu untuk bersama dengan PAS.

Ungkapan yang disebut antaranya,

"Imam Besar Masjid Negara pun dah masuk PAS, tak kan iman kecil di sini tak nak masuk PAS? Masuk PAS lah tuan-tuan, masuk PAS!"

Begitu bersungguh-sungguh Dr Hassan Ali sehingga tegang urat leher menggesa orang Melayu menyertai PAS. Hasilnya, di atas kesungguhan beliau dan tokoh-tokoh yang lain turun padang menyebabkan PAS menerima keahlian baru secara mendadak. Saya ditaklifkan sebagai Setiausaha PAS kawasan Kluang pada tahun 1999 dan tugas memproses keahlian sememangnya satu perkara yang cukup mencabar kerana penerimaan keahlian baru di Kluang sahaja melebihi daripada1000 borang.

Bermula dengan peristiwa bersejarah itu maka Dr Hasan diberikan pelbagai amanah yang banyak membantu kepada kecemerlangan PAS sehingga ke hari ini. Walaupun saya tahu bahawa ramai lagi yang telah berjuang seperti mana yang dilakukan oleh Dr Hassan namun peranan beliau tidak boleh kita nafikan.

Bak kata orang tua-tua, ku sangka panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan ditengahari. Begitulah yang berlaku ketika ini apabila Dr Hassan Ai dipecat daripada PAS, parti yang disertainya untuk dihabiskan sisa-sisa hidup sehingga nafas terakhirnya dihembuskan. Keputusan yang mengejutkan banyak pihak termasuklah saya telah dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai satu tindakan di atas rentetan peristiwa yang berterusan melibatkan Dr Hassan Ali seperti mana yang telah diketahui ramai.

Dr Hassan khabarnya terkejut dengan keputusan ini kerana beliau tidak menjangkakan keputusan seperti ini dikenakan terhadap beliau. Keputusan sebulat suara PAS Pusat telah diumumkan oleh Presiden dan Dr Hassan diberi tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura PAS di atas pemecatan beliau ini.

Apakah Dr Hassan Ali perlu membuat rayuan? Itu terpulang kepada Dr Hassan untuk menentukanya tetapi pada pandangan peribadi saya, Dr Hassan bertindaklah untuk mengemukakan rayuan dengan menginsafi untuk tidak mengulangi kisah duka yang lalu

Sebaga anak muda dalam PAS, saya percaya bahawa tindakan PAS Pusat ini sebagai 'wake up call kepada Dr Hassan dan kepada ahli PAS yang lain bahawa PAS adalah satu jamaah Islam yag didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik di Malaysia. Apabila kita berjamaa maka kita akan ada pemimpin dan mereka yang dipimpin. Pemimpin bertukar ganti namu jamaah ini akan terus wujud.

Kepada Dr Hassan, ambilah peluang yang diberikan untuk megemukakan rayuan, mudah-mudahan ia akan menjadi langkah yang terbaik kepada Dr untuk kembali bersama PAS dan seterusnya akan merealisasikan hasrat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup bersama Parti Islam SeMalaysia seperti mana yang Dr Hassan pernah nyatakan 12 tahun yang lalu.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
10 Januari 2012

Isnin, 9 Januari 2012

DS Anwar Ibrahim Tidak Bersalah





Assalamua'alaikum dan salam perjuangan,


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta alam ini yang telah menentukan satu keputusan yang cukup besar ertinya kepada perjuangan menegakka keadilan di negara yang tercinta ini.

Seperti yang telah saya catatkan sebelum ini bahawa terdetik di dalam hati saya bahawa saya perlu hadir pada 901 kerana ia bakal menjadi satu detik yang cukup penting untuk merubah politik Malaysia pada Pilihanraya Umum yang akan datang.


Sememangnya keputusan Hakim adalah sesuatu yang di luar jangka kerana sebahagian besar daripada 'kita' menjangkakan bahwa DSAI akan didapati bersalah dan akan merengkok dalam penjara.


Namun, Allah Maha Berkuasa untuk menentukan segala-galanya.


Riak wajah yang pelbagai dapat saya lihat sepanjang berada di perkarangan mahkamah tadi.

Ada yang menitiskan air mata kerana terlalu bersyukur dengan keputusan yang menyebelahi DSAI dan perjuangan rakyat manakala penyokong Saiful yang kebanyakkannya telah berkumpul di masjid berdekatan walaupun pada peringkat awalnya memprovokasi dengan pelbagai perkataan nista seperti "Peliwat, Agen Yahudi dan Juara Seks Bebas" akhirnya terdiam kerana keputusan mahkamah tidak seperti yang mereka canangkan sebelum ini.

Saya juga diberikan ruang untuk memberikan ucapan untuk menyemarakkan suasana tadi. Walaupun sekejap tetapi saya nyatakan bahawa ini adalah langkah awal untuk kita mengusai Putrajaya tidak lama lagi dan saya menggesa agar semua yang hadir perlu bekerja dengan lebih kuat.


Saya sedang menunggu reaksi balasa daripada blogger dan facebooker Umno dengan penuh minat, apakah agaknya yang mereka akan canangkan selepas ini dalam isu liwat. Mungkin mereka boleh timbulkan persoalan selepas ini, siapa sebenarnya peliwat Saiful.

Petugas Pemuda PAS turut sama berperanan untuk menjaga keselamatan dan kawalan termasuklah kawalan kepada pimpinan PAS yang hadir. Tahniah kepada mereka semua!

Apapun, ini adalah permulaan yang cukup istimewa untuk Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.


Terus Berjuang!


Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Tingkat 2, Pejabat Agong PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

9 Januari 2012, 12.45 tengahari.

Sabtu, 7 Januari 2012

Aku, Anwar dan 901


Assalam'alaikum dan salam perjuangan,

Setelah beberapa hari berfikir, merenung dan mengimbas kembali di saat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada bulan September 1998 dan bakal berhadapan dengan peristiwa yang bakal tercatat dalam sejarah negara pada 9 Jan 2012 ini maka saya luangkan masa untuk mencatatkan sesuatu yang mungkin bakal dibaca oleh sesiapa yang diundang atapun tidak diundang.

'Boss' saya, Ustaz Nasrudin Hassan telah pun mencatatkan di dalam blognya untuk memberikan hujah mengapa beliau akan turun bersama pada 901. Saya petik di dalam blognya :-

" Jika saya turun Himpunan 901 kelak, saya bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar. Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah. Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya. Ini adalah satu kezaliman dan penginayaan. Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya. Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penginayaan yang dilakukan."

Itu kata-kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sentiasa konsisten sejak dahulu lagi meluahkan apa yang terbuk di dalam minda, terlintas di fikiran, tergerak di dalam hati untuk dicatatkan di dalam blognya, episode perjuangan yang kini telah di'upgrade' kepada http://www.eperjuangan.com/

Ust Tantawi hanya perlu catatkan di dalam blog dan nanti pandai-pandailah wartawan pada setiap pagi untuk 'pick up' catatan beliau sebagai bahan untuk disiarkan di dalam media masing-masing.

Berbalik kepada DSAI, seorang insan yang istimewa sejarah kehidupan dan perjalanan karier yang penuh dengan warna-warna bakal berhadapan dengan satu keputusan penghakiman pada 9 Januari ini sama ada beliau akan didapati bersalah atau tidak oleh hakim.

Jika bersalah maka jawapannya DSAI akan ke dalam penjara dan jika tidak bersalah maka beliau akan bebas.

Saya memilih tajuk 'Aku, Anwar dan 901' sebab saya secara jujurnya sejak DSAI dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah ke hari ini masih belum pernah menghadiri mana-mana perbicaraan, perhimpunan, demonstrasi atau apa-apa acara yang melibatkan isu DSAI. Jika ada pun hanya lah ceramah-ceramah penerangan yang bertali arus pada satu ketika dahulu ketika DSAI mula dipecat dan dipenjarakan.

Walaupun DSAI dipecat sebagai TPM dan isu ini cukup menggegar politik Malaysia dan mencuit hati dan perasaan sebahagian daripada pimpinan dunia namun saya tidak pernah hadir ke mana-mana himpunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1998.

Saya juga tidak pernah hadir ke rumah beliau ketika dipecat, saya juga tidak pernah hadir ke mana-mana perbicaraan yang melibatkan beliau dan saya juga tidak pernah menghadiri mana-mana sidang media yang melibatkan kes beliau.

Ketidakhadiran saya ke mana-mana acara di atas bukan disebabkan kerana saya tidak bersimpati kepada beliau namun saya tidak sememangnya tidak pernah berhajat untuk bersama dengan suasana yang diwujudkan untuk membela DSAI.

Bagi saya, cukup sekadar saya membaca melalui internet, bahan cetak dan melihat melalui rakaman video dan VCD bagaimana DSAI diperlakukan sebegitu rupa oleh mantan PM dan kuncu-kuncunya sehinggalah DSAI merengkok dalam penjara.

Satu masa dahulu, saya memang sangat hormat kepada DSAI ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran dengan ideanya untuk melaksanakan Bahasa Baku di dalam penggunaan percakapan rasmi dan juga pendekatan-pendekatan lain.

Walaupun beliau adalah 'budak MCKK' dan saya 'Budak STAR' yang menjadi musuh tradisi sepanjang zaman namun ia tidak menyebabkan saya mengetepikan rasa hormat kepada beliau dan bukan juga penyebab kenapa saya tidak hadir ke mana-mana perbicaraan DSAI.

Ketika DSAI dibebaskan pada tahun 2004 sebelum berlakunya PRU, saya juga tidak tergerak hati untuk hadir sama. Apabila DSAI di dakwa dalam tuduhan meliwat juga saya tidak pernah walaupun sekali untuk singah di mahkamah bagi memberi sokongan.

Apa yang saya catatkan di atas sebagai catatan santai untuk menyatakan bahawa saya tidak pernah hadir sebelum ini ke mana-mana acara yang melibatkan kes DSAI.

Mudah-mudahan sejarah yang bakal dicatatkan pada 9 Januari ini akan mencatatkan juga kehadiran saya buat pertama kalinya bersama dengan yang lain.

Terdetik di dalam hati saya bahawa saya perlu hadir pada 901 kerana ia bakal menjadi satu detik yang cukup penting untuk merubah politik Malaysia pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

KITA JUMPA NANTI DI SANA!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
7 Januari 2012