TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 1 Februari 2012

Hassan Ali dan Kuasa Ketiga

Salam perjuangan,

Saya meneliti beberapa laporan media cetak pada pagi ini yang mencatatkan luahan perasaan yang membungkam Dr Hasan Ali selama ini melalui satu medium yang dipanggil sebagai Bicara Memurnikan Akidah Ummah yang diadakan di Shah Alam, Selangor. Walaupun saya percaya motif utama ceramah ini diadakan adalah untuk membicarakan persoalan akidah ummah yang sedang merudum namun ia juga dijadikan platform untuk Dr Hasan menghamburkan segala rasa hati selepas dipecat daripada PAS.

Seperti yang saya jangkakan, insan yang tidak terlepas daripada disebut oleh Dr Hasan adalah YB Khalid Samad yang saya jangkakan di antara individu yang sering muncul dalam benak fikiran dan mimpi Dr Hasan. Kebetulan Dr Hasan menyampaikan ceramah tersebut di kawasan Parlimen yang wakil rakyatnya adalah Ir Khalid yang merupakan Yang Di Pertua Kawasan Shah Alam. Dr Hasan menyeru agar penduduk Shah Alam tidak mengundi Ir Khalid jika pada PRU akan datang PAS/PR meletakkan calon yang sama. Puncanya, Dr Hasan mendakwa Ir Khalid adalah penghalang utama kepada pengharaman jualan arak di Shah Alam. Begitu seriusnya Dr Hasan dalam menangani isu akidah sehingga pengundi di Shah Alam diseru menolak Ir Khalid.

Ir Khalid telah pun menafikan tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa isu pengharaman penjualan arak telah dimulakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bukannya oleh beliau selaku ahli Parlimen sambil meletakkan status Dr Hasan Ali sebagai 'budak suruhan UMNO' kerana seruan yang telah dibuat kepada pengundi agar menolak Ir Khalid. Isu ini saya akan perjelaskan dengan terperinci semasa ceramah saya di Shah Alam pada 11 Februari yang akan datang.

Perkara yang saya ingin tumpukan di dalam penulisan saya ini adalah berkaitan dengan 'kuasa ketiga' yang disebut oleh Dr Hasan Ali. Sebuah badan yang dipanggil sebagai 'JATI' akan dilancarkan pada 21 Februari ini yang mana Jati akan bertindak sebagai NGO yang berperanan sebagai 'kuasa ketiga' selaras dengan pelancaran Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre. Dr Hasan menyeru kepada NGO lain untuk bersama dengan Jati bagi mengimbangi kuasa BN dan PR.

Secara umunya dapat saya katakan bahawa Dr Hasan masih berhajat untuk kekal dalam arus perdana politik walaupun pada satu ketika selepas dipecat daripada PAS Dr Hasan pernah menyuarakan hajat untuk terlibat dalam NGO dan memperjuangkan isu-isu Melayu, Islam dan Raja -Raja. Seruan ini memberikan satu signal kepada massa bahawa Dr Hasan akan terlibat dalam PRU yang akan datang, mungkin ada hajat yang belum kesampaian dan perlu ditunaikan.

Bila bercakap tentang kuasa ketiga, ia dapat dilihat sebagai sesuatu yang baru dalam politik Malaysia. Saya melihat bahawa ia mula berputik apabila usaha untuk mewujudkan sistem dua parti yang semakin mendapat tempat di dalam pendirian rakyat untuk memilih kumpulan mana yang lebih baik untuk membentuk kerajaan. Bermula dengan terbentuknya Barisan Alternatif (BA) ketika mengharungi PRU ke sepuluh pada tahun 1999 sehinggalah wujudnya PR selepas PRU yang ke dua belas. Jika satu masa dahulu media dan massa lebih selesa menyebut BN dan pembangkang tetapi ketika ini ia sudah berjaya dimindakan bahawa lawan BN adalah PR. Jika kita tanya pimpinan Umno di kampung-kampung pun mereka sudah berjaya mengiktiraf PR sebagai lawan BN. Wujudnya kelompok NGO yang tidak selari dengan dasar dan pendekatan pemerintah telah banyak mengubah landskap politik Malaysia. Kelompok NGO yang mewakili pelbagai latar belakang wujud melalui isu yang dilihat oleh kumpulan masyarakat yang merasakan isu itu perlu diperjuangkan.

Maka, bila pula idea perlunya wujud satu kumpulan yang tidak berada bersama BN atau PR dan lebih selesa disebut sebagai 'kuasa ketiga'. Hasrat ini cukup jelas dapat dikesan sejak beberapa tahun terakhiri ini khususnya yang melibatkan kepimpinan parti politik yang sudah tidak selari dengan partinya sendiri. Sebagai contohnya, Perkasa di bawah pimpinan Ibrahim Ali, Kita di bawah Zaid Ibrahim dan terkininya IMR dan Jati yang melibatkan Dr Hasan Ali. Contoh-contoh ini saya kemukakan sebagai kuasa ketiga yang sedang bergerak dalam politik negara. Perkasa dilihat sebagai NGO ultra-Melayu dan sering dilihat bertembung dengan pemimpin politik kaum Cina, Parti Kita pula yang dipimpin oleh Datuk Zaid selepas mengumumkan keluar daripada PKR manakala IMR dan Jati seperti mana yang telah jelaskan tadi.

Apa peranan sebenar kumpulan yang digelar sebagai kuasa ketiga ini? Sebenarnya tiada penjelasan sebenar terhadap kumpulan ini dan ia tidak diperbincangkan dalam disiplin ilmu Sains Politik namun penafsirannya cukup bergantung kepada situasi di dalam sesuatu negara. Contoh yang saya dapat berikan seperti yang pernah berlaku di United Kingdom apabila semasa PRU tidak ada parti politik yang mendapat kemenangan dengan majoriti mudah untu membentuk kerajaan yang baru. Dua parti utama UK iaitu Parti Konservatif dan Parti Buruh gagal mendapat jumlah kerusi sekurang-kurangnya 326 kerusi daripada 650 kerusi di dalam dewan rakyat yang dipanggil House of Common. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron memperolehi 306 kerusi manakala parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Gordon Brown hanya mampu mendapat 258 kerusi. Untuk membentuk kerajaan di dalam keadaan yang diistilahkan sebagai ’Parlimen Tergantung’, mereka perlu mencari mana-mana parti lain atau Bebas yang memenangi kerusi untuk bergabung dan membentuk kerajaan. Parti Liberal Demokrat dengan 57 kerusi akhirnya bersetuju bekerjasama dengan parti Konservatif bagi membentuk kerajaan. Parti Liberal Demokrat dalam situas ini dipanggil sebagai 'kuasa ketiga' kerana dengan 'kuasa'nya maka kerajaan UK berjaya dibentuk.

Mewujudkan kuasa ketiga di Malaysia mempunyai pelbagai kesan kepada perkembangan politik negara kerana sebahagian besar kewujudan kumpulan ini adalah merupakan inisiatif ahli politik yang terpinggir, tersingkir daripada parti politik. Saya mengakui bahawa setiap daripada mereka mempunyai agenda perjuangan yang tersendiri namun seperti sukar untuk memadamkan apa yang tersemat di hati kecil mereka yang sebenarnya. Sebab itu, saya percaya bahawa semasa Dr Hasan menyampaikan pidatonya di Shah Alam baru-baru ini berkisar tentang apa yang tersemat di hati kecinya sehingga hampir-hampir terlupa tujuan utama beliau berada di atas pentas tersebut.

Justeru saya mengambil ruang ini untuk menyeru kepada Dr Hasan Ali dan kepada sesiapa yang mendakwa sebagai 'kuasa ketiga' dalam arus perkembangan politik negara supaya berperananlah sebagai kumpulan kuasa ketiga yang sebenar-benarnya.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia (IKATANPADU)
1 Februari 2012

0 ulasan:

Catat Ulasan