TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 19 April 2012

Intelek Malaysia : Membina Sebuah Negara Berintegriti dan Telus

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Alhamdulillah, hasrat saya dan beberapa orang sahabat untuk mewujudkan satu kumpulan yang bergerak dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telahpun berjaya dilaksanakan dengan tertubuhnya Ikatan Integriti dan Transparensi Malaysia ataupun dikenali sebagai INTELEK MALAYSIA.

Sebelum ini saya dan teman-teman telah bergerak dalam sebuah NGO yang memfokuskan kepada hubungan di antara kaum dengan penubuhan IKATANPADU pada 9 September 2009. Ikatanpadu bergerak dengan mempunyai rangkaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan pelbagai kejayaan telah dicapai.

Intelek Malaysia pula adalah merupakan sebuah NGO yang bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia betapa perlunya untuk meningkatkan budaya integriti dan bertindak secara transparensi di dalam kehidupan bagi memastikan bahawa amalan rasuah dan ketirisan dalam kehidupan dapat diatasi.

Laporan yang dikeluarkan oleh Transperency International (TI) melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang menunjukkan kedudukan Malaysia yang semakin merudum kepada kedudukan ke 60 daripada sejumlah 178 negara keseluruhannya dengan indeks yang menurun kepada 4.3 mata daripada keseluruhan 10 mata menunjukkan bahawa amalan rasuah sudah semakin meresapi ke dalam masyarakat. Apa yang dibimbangkan, ia akan menjadi barah yang akhirnya merosakkan rakyat dan negara.

Ketirisan dalam pengagihan projek, salah guna kuasa, rasuah, kebocoran dan sewaktu dengannya itu adalah berpunca daripada rendahnya integriti dalam diri yang menyumbang kepada keruntuhan sesebuah pemerintahan dan negara,

Islam menegah perbuatan rasuah. Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”. Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini.

Rasulullah SAW juga telah bersabda yang bermaksud :“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”. 

Firman Allah,

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. 
Al-Baqarah : 188

Intelek akan memulakan langkahnya dengan menganjurkan sebuah diskusi pada hari Ahad ini dengan dua kertas kerja akan dibentangkan. Kertas kerja pertama bertajuk "Rasuah dan Ketirisan dalam pentadbiran negara : kesan kepada pembangunan dan masa depan" Kertas kedua pula bertajuk "Rasuah dalam pembangunan masyarakat dan negara menurut perspektif Islam".

Mudah-mudahan Allah membantu saya dan sahabat-sahabat dalam perjuangan ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan