TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 18 Jun 2012

Belanda Tersingkir : Satu Pengajaran


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Menitis air mata para penyokong pasukan Bola Sepak Belanda di atas kekalahan pasukan kesayangan mereka di tangan pasukan Portugal awal pagi tadi. Walapun tidaklah sampai ke peringkat terjun daripada bangunan namun pasti ada yang meratapi kekalahan pasukan dengan jolokan Orenje ini.

Ada yang sanggup bersengkang mata dengan bertemankan satu jag air kopi O dan sebekas biskut kering demi memberi sokongan walaupun sekadar di hadapan skrin TV namun semuanya berakhir dengan jalan cerita yang penuh dengan kesedihan. Kesugulan wajah mereka terbawa-bawa sehingga ke pejabat pada pagi ini dengan ‘mood’ kurang bermaya. Silap-silap ada yang berpeluang untuk menerima tengkingan jika silap menegur.

Belanda, walaupun tewas dua perlawanan awal di tangan pasukan Jerman dan Denmark namun masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir dengan syarat Jerman mengalahkan Denmark dan seterusnya Belanda menang ke atas Portugal. Walaupun mata yang dipungut oleh Belanda akan sama dengan Portugal dan Denmark namun faktor jaringan gol serta peraturan baru UEFA yang mengambil kira keputusan perlawanan yang melibatkan kedua-dua pasukan yang bertanding akan memberikan ruang kepada pasukan Belanda untuk menempah salah satu tiket ke suku akhir.

Namun,  semuanya telah berakhir pada awal pagi tadi. Hadir sebagai sebuah pasukan yang kuat dengan menjadi Naib Juara Piala Dunia dua tahun lalu tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada mereka malah ia ibarat menconteng arang ke muka mereka sahaja.

Belanda sebenarnya bukanlah satu pasukan yang mempunyai rekod yang menarik di Euro sejak diperkenalkan pada tahun 1960. Belanda hanya pernah menjuarai Piala ini pada tahun 1988 ketika mana pasukan ini dibarisi oleh bintang bola sepak hebat seperti  Marco Van Basten yang berjaya menjaringkan hat-trik pada perlawanan akhir mengalahkan pasukan England. Tahun 1976, pasukan Belanda mencatatkan kedudukan ketiga dan berjaya mara ke separuh akhir pada tahun 2000 dan 2004.

Berbeza dengan rekod pasukan Jerman yang menang pada tahun 1972, 1980 dan 1996 serta menjadi Naib Juara pada tahun 1976, 1992 dan 2008. Begitu juga dengan pasukan Sepanyol yang telah dua kali menjadi Juara iaitu pada tahun 1964 dan 2008 serta Naib Juara pada tahun 1984.

Awal pagi tadi, ada beberapa SMS dan mesej melalui facebook yang dihantar kepada saya sebagai tanda simpati kerana pasukan pilihan saya tewas awal. Walaupun hakikatnya saya tidak menonton pun perlawanan tersebut namun sebagai tanda sokongan terhadap pasukan ini untuk kali ini maka saya terima ucapan-ucapan tersebut dengan hati yang terbuka.

Namun, tentu ada pengajaran berguna yang dapat kita ambil daripada kekalahan pasukan hebat seperti Belanda ini. Maka saya menitipkan bahawa :-
 
1. Kekuatan sebuah pasukan terletak pada semangat berpasukan yang utuh. Walaupun terlalu sesebuah pasukan itu mempunyai pemain yang hebat dan berjenama namun jika tidak ada persefahaman maka ia tidak mampu mendatangkan kejayaan di atas nama pasukan.

2. Kejayaan terdahulu tidak memberikan apa-apa makna sekiranya ia sekadar dijadikan sandaran semata-mata. Perlu ada usaha yang lebih gigih untuk memastikan bahawa kejayaan terdahulu dijadikan batu azimat ataupun perangsang kepada kejayaan yang bakal dicapai.

3. Sentiasa bersedia untuk mendengar arahan daripada ketua yang diamanahkan sebagai pengemudi pasukan. Jika arahan ketua sering kali diingkari maka segala perancangan akan berhadapan dengan kesukaran untuk dilaksanakan.

4. Perlu ada sikap tidak memandang mudah dan rendah terhadap lawan walaupun mereka lemah daripada kita kerana ia akan menyebabkan kita akan mengambil mudah dengan perlawanan tersebut yang akhirnya kita tidak memberikan komitmen yang semaksimanya.

5. Bersedia menerima kekalahan dalam perlawanan dan medan yang seimbang dan pertingkatkan usaha pada pertandingan yang akan datang.

Pertandingan Euro masih panjang lagi kerana masih terdapat dua kumpulan yang belum selesai lagi perlawanannya. Setakat ini pasukan Republik Czech, Greece, Jerman dan Portugal telah mengesahkan tiket ke perlawanan suku akhir manakala pasukan yang lain akan ditentukan pada awal pagi esok dan lusa dan kedudukan pasukan-pasukan tersebut masih terbuka.

Apa pun, diharapkan keseriusan para peminat bola sepak menanti dengan penuh minat terhadap deretan perlawanan dalam piala Euro ini tidak merencatkan dan mencacatkan tugasan harian serta amal ibadat. Bulan Ramadhan juga semakin hampir, maka adakah kita tidak membuat apa-apa persediaan untuk menghadapinya? 

Sambil-sambil bangun awal menanti perlawanan bola sepak, jangan terabai masa dengan begitu saja, peruntukkanlah masa kita yang bernilai itu kepada Yang Maha Esa.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang, Kluang.
18 Jun 2012, 8.15 pagi

0 ulasan:

Catat Ulasan