TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 10 Jun 2012

Di Antara Lebuh Raya Rakyat dan Velodrome Rakyat (KEMASKINI)



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Apabila Kelantan mengistiharkan bahawa kerajaan negeri Kelantan akan membina sendiri lebuh raya yang akan menghubungkan Kota Bahru dan Kuala Krai maka pelbagai reaksi ditunjukkan oleh pelbagai pihak terhadap cita-cita besar tersebut.

Lebuh raya yang bakal menelan belanja sehingga mencecah lebih daripada RM 1 billion itu dilihat sebagai usaha PAS di Kelantan untuk meraih simpati pengundi-pengundi di negeri Serambi Mekah itu terus mengekalkan PAS sebagai pemerintah.

Lebuh raya sepanjang 77 km itu yang bakal beroperasi tanpa tol nanti diperlekeh oleh kepimpinan Umno khususnya di Kelantan kerana bersangka buruk bahawa lebuh raya tersebut diwar-warkan oleh PAS untuk meraih sokongan daripada pengundi. Bagi saya, itu adalah tanggungjawab pemerintah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyatnya. Lagipun, lebuh raya tersebut sepatutnya telah lama dibina di lokasi tersebut tetapi disebabkan hati busuk kepimpinan Umno telah dengan sengaja melewatkan projek yang bermanfaat kepada rakyat.

Projek lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai di negeri Kelantan telah diluluskan semenjak Rancangan Malaysia Ke-6 (1986-1990) dan sekali lagi diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan tetapi sehingga ke hari ini masih belum dilaksanakan. Bermakna, kerajaan Pusat telah pun menyedari bahawa lebuh raya tersebut sangat penting untuk rakyat di Kelantan, justeru mengapa ditangguhkan sejak sekian lama? Saya berani untuk menyatakan di sini bahawa ia berlaku kerana berdasarkan kepentingan politik Umno.

Sebab itu, tidaklah menjadi satu kehairanan mengapa kerajaan Kelantan diperlekeh dalam usaha yang murni ini. Saya tertunggu-tunggu jika ada menteri yang akan membuat kenyataan bahawa kerajaan Pusat sebenarnya 'sekadar menguji' kerajaan Kelantan sama ada mampu untuk membina lebuh raya sendiri atau tidak seperti mana Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan yang sama apabila pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ditangguhkan sebelum daripada ini.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed percaya bahawa cita-cita tersebut tidak mungkin dapat tercapai mengikut realiti semasa dan percaya bahawa ia adalah gimik politik semata-mata kerana beliau tidak percaya bahawa dengan hanya bergantung kepada dana yang dikutip daripada rakyat walaupun tempoh berpuluh tahun lagi pun tidak akan tercapai hasrat tersebut.

Begitu juga dengan kenyataan daripada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Noorzahidi Omar yang menganggap bahawa projek lebuh raya rakyat ini akan menjadi  satu lagi projek yang bakal disenaraikan sebagai projek gagal. Projek yang mengharapkan wang ikhsan derma rakyat ini ibarat satu lagi harapan palsu kepada rakyat di negeri itu. Beliau juga percaya bahawa ia adalah projek gimik pilihan raya semata.

Apabila menyebut tentang lebuh raya rakyat maka saya teringat tentang sebuah kisah silam ketika saya masih bersekolah di STAR, Ipoh dalam tingkatan empat ketika itu. Tahun 1989 menyaksikan bahawa Malaysia menjadi Tuan Rumah kepada temasya Sukan SEA dan Ipoh menjadi tuan rumah kepada acara Lumba Basikal dan Bola Tampar. Sebuah Velodrome diperlukan pada ketika itu dan Presiden Lumba Basikal Perak, Datuk Seri Darshan Singh yang telah memulakan projek pembinaan velodrome tersebut sejak tahun 1986 telah berjaya merealisasikan impian dan harapan rakyat tersebut pada tahun 1989 dengan kos sebanyak RM 3.25 juta.

Media massa memberikan ruang yang secukupnya untuk mempromosikan projek Velodrome Rakyat dengan merangsang rakyat untuk sama-sama mengeluarkan tabungan masing-masing . Malah, agensi kerajaan serta premis kerajaan yang lain termasuklah sekolah menjalankan kutipan dana secara besar-besaran untuk memastikan projek tersebut Berjaya.

Projek rakyat yang mendapat restu dan sokongan daripada Sultan Azlan Shah itu telah berjaya mengangkat martabat rakyat Malaysia yang bermurah hati untuk membina sebuah velodrome yang sebenarnya hanya digunakan oleh sebahagian kecil rakyat Malaysia. Itu projek membina velodrome rakyat, inikan lagi projek lebuh raya rakyat yang bukan sahaja bakal memberikan keselesaan kepada penduduk di Kota Bahru dan Kuala Krai malah kepada seluruh rakyat Malaysia amnya. Bermakna, jika semua pihak sanggup berkerjasama untuk menjayakan projek yang dilancarkan oleh MB Kelantan ini maka saya percaya ia dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Di atas rasa tanggungjawab ini maka saya dan kepimpinan PAS di Kluang akan melancarkan Tabung Dana Lebuh Raya Rakyat KB-KK pada 22 Jun ini di Kluang dan akan disertai oleh Setiausaha Akhbar MB Kelantan iaitu Ustaz Fadli bin Shaari yang juga merupakan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Saya menggalakkan agar kepimpinan Kerajaan Kelantan dapat turun ke setiap negeri untuk merealisasikan harapan ini. Pimpinan PAS kawasan-kawasan juga perlu mengambil inisiatif tersendiri dan mengikut kekreatifan masing-masing.

Ingatlah kepada Firman Allah,

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 267)
FirmanNya lagi,

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”
(Surah Ali ‘Imraan, ayat 92)


Mudah-mudah Allah memberikan kekuatan kepada kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan TG Nik Abdul Aziz bin Nik Mat untuk menunaikan impian dan harapzn rakyat ini.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
12 Jun 2012, 6.13 petang

0 ulasan:

Catat Ulasan