TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 26 Jun 2012

KETUA SETIAUSAHA NEGARA PERLU LEBIH BERINTEGRITI DALAM MENYATAKAN SIKAP TERHADAP PENJAWAT AWAM


 

KENYATAAN MEDIA

 TAJUK
KETUA SETIAUSAHA NEGARA PERLU LEBIH BERINTEGRITI DALAM MENYATAKAN SIKAP TERHADAP PENJAWAT AWAM

Intelek Malaysia merujuk kepada berita yang disiarkan di dalam laman web New Strait Times yang disiarkan pada 24 Jun 2012 bertajuk SUNDAY INTERVIEW: Raising the bar for civil service to be the best”

Soalan: Adalah dikatakan bahawa beberapa kakitangan awam telah terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh pembangkang. Apa yang anda perlu katakan tentang ini?

Jawapan: Mereka seharusnya lebih tahu. Jangan terpedaya oleh janji-janji kosong. Sebagai penjawat awam, kita mesti menjadi taat kepada Raja dan berkhidmat kepada kerajaan hari ini. Ia adalah penting bahawa kita tahu peranan kita sebagai penjawat awam dan menjalankan tanggungjawab kita dengan baik.

Mengikut temuramah yang disiarkan, Dr Ali Hamsa telah mengingatkan kepada kakitangan awam agar tidak terpengaruh dengan janji kosong pembangkang. Beliau mengingatkan  agar kakitangan awam, mereka perlu taat kepada Raja dan kerajaan. Ianya penting supaya penjawat awam sedar peranan sebagai kakitangan awam dan melaksanakan tugas kita dengan sempurna.

Intelek Malaysia bersetuju dan menyokong kenyataan beliau agar penjawat awam melahirkan kesetiaan kepada Raja dan berkhidmat dengan kerajaan namun Intelek Malaysia amat terkejut dengan kenyataan beliau yang melahirkan sikap bias beliau kepada parti politik. Kenyataan seperti ini menimbulkan rasa curiga terhadap integriti beliau sebagai KSN yang sudah pasti akan diragui oleh pelbagai pihak khususnya parti politik pembangkang.  Sikap bias dalam kenyataan ini tidak mustahil akan diterjemahkan dalam tindakan beliau terhadap penjawat awam serta kerajaan negeri-negeri.

Beliau tidak perlu merendahkan integrtiti beliau sebagai penjawat awam sekiranya beliau memahami Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam yang tidak menyatakan bahawa penjawat perlu patuh kepada pemerintah iaitu Barisan Nasional namun yang dinyatakan adalah agar penjawat awam memberikan perkhidmatan kepada Raja, Kerajaan dan rakyat dengan penuh kesetiaan, bertanggungjawab membentuk satu masyarakat yang adil dengan sistem ekonomi terbuka yang berpandukan kepada kepentingan awam, menjaga keamanan dan perundangan.

Intelek Malaysia menyedari bahawa KSN bertindak sebagai Setiausaha Kabinet bagi negara Malaysia. Oleh sebab itu, individu yang memegang jawatan ini tidak boleh dipengaruhi atau terlibat secara aktif dalam arena politik negara. Itulah pengamalan yang telah berjalan selama ini namun ia berbeza dengan pendekatan yang telah dinyatakan oleh Dr Ali Hamsa.

KSN adalah jawatan yang cukup penting kerana memainkan peranan yang sangat besar dan penting di dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Tugas KSN sebagai penasihat kepada Perdana Menteri merupakan tugas yang dianggap berat kerana KSN bukan sahaja merupakan kunci utama kepada penjawat awam di Malaysia yang menggerakkan pelbagai sektor di negara ini malah tugas KSN adalah sebagai Jawatankuasa Perhubungan antara kerajaan Persekutuan dan dan kerajaan-kerajaan negeri. Hal ini berperanan sebagai pemupuk kesefahaman kepada pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Jika ada sikap bias seperti ini maka apakah KSN akan mampu untuk berlaku adil dengan kerajaan negeri yang tidak ditadbir oleh BN?.

Justeru, Intelek Malaysia mengingatkan kepada Datuk Seri Dr Ali Hamsa agar menjalankan tugas sebagai KSN dengan penuh amanah, berintegriti, tranparensi dan akauntabiliti agar tidak terpengaruh dengan kehendak parti politik termasuklah parti politik pemerintah.

Masih belum terlambat bagi Datuk Seri Dr Ali Hamsa untuk membetulkan kesilapan namun sekiranya beliau merasakan bahawa sukar untuk membuat perubahan maka jawatan penting ini adalah amat tidak sesuai dengan beliau dan adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan sebagai KSN.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden
Ikatan Integriti dan Tranparensi Malaysia (Intelek Malaysia)
www.intelekmalaysia.org
26 Jun 2012



0 ulasan:

Catat Ulasan