TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 19 Jun 2012

The Lady - Kisah Benar Seorang Pejuang Demokrasi

Assalamu'alaikum dan salam  perjuangan,

Siapa  tidak kenal dengan Aung San Suu Kyi, seorang pejuang demokrasi yang cukup gigih dan tabah di bumi Burma yang dikuasai oleh pemerintahan tentera.  Kisahnya bukan sahaja menjadi ikutan di Malaysia malah ia mendapat perhatian di seluruh dunia.

Kebetulannya, hari ini adalah ulang tahun kelahiran beliau yang ke 67, satu ukuran usia yang dikira sudah wajar untuk melabuhkan tirai dalam perjuangan namun itu bukan yang disangkakan kerana Suu Kyi semakin gagah merempuh ombak dan badai.

Saya hanya sedar tentang kehadiran filem The Lady beberapa minggu yang lalu apabila pelakon handalan kelahiran Ipoh, Perak iaitu Michelle Yeoh diwawancara dalam sebuah akhbar tempatan setelah beliau menerima Darjat Seri Utama Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Sultan Perak pada 22 Mei yang lalu.

Dalam wawancara tersebut, Datuk Seri Michelle Yeoh ada menyebut tentang lakonannya dalam filem The Lady yang menceritakan pengalaman beliau melakonkan watak sebagai Aung San Suu Kyi dan beliau bukan sahaja berkogsikan pengalaman  lakonannya malah mengekspresi kisah hidup Aung San Suu Kyi.

Teruja dengan pembacaan itu maka semalam baru saya berkesempatan untuk menonton filem ini sepenuhnya.

Selesai menonton filem tersebut, saya membuat carian di dalam Google bagi menambah nilai maklumat mengenai Suu Kyi dan perjuangannya.

Saya galakkan anda untuk membaca kisah hidupnya daripada jaringan http://en.wikipedia.org/wiki/Aung_San_Suu_Kyi dan sejarah kerajaan tentera Burma/Myanmar http://en.wikipedia.org/wiki/Tatmadaw

Ada 10 perkara yang saya ingin kongsikan bersama pembaca sekelian :-

1. Perjuangan untuk menegakkan demokrasi oleh Suu Kyi bermula secara tidak dirancang. Beliau telah mengambil keputusan untuk pulang ke Burma pada tahun 1988 kerana ingin melawat ibunya yang sakit ketika itu.

2. Suu Kyi sedar bahawa negaranya tidak aman dan beliau pulang ke Burma dengan perasaan yang tidak tenteram dan gelisah. Sebelum pulang ke Burma, beliau menetap di London bersama suami dan anak-anaknya

3. Setelah pulang ke Burma, Suu Kyi telah menjadi tahanan rumah selama 15 tahun daripada 21 tahun tempoh masa beliau berada di Burma. Suu Kyi dibebaskan daripada tahanan rumah pada 13 November 2010.

4 Suu Kyi telah dpilih untuk mengetuai gerakan rakyat untuk membebaskan Burma daripada cengkaman kejam kerajaan tentera kerana mendiang ayahnya adalah merupakan pejuang kemerdekaan dan merupakan pencetus kepada pasukan tentera era baru namun dia telah mati dibunuh oleh musuhnya dalam kumpulannya sendiri.

5. Sepanjang Suu Kyi di Burma, suami dan anak-anaknya telah melawat beliau beberapa kali namun setelah mereka menziarahi Suu Kyi pada Krismas 1995, suami dan anak-anaknya telah dihalang untuk memasuki Burma.

6. Dr Micheal Aris, suami Suu kyi telah meninggal dunia di London pada 23 Mac 1995 walaupun Suu Kyi telah berusaha untuk membawa suaminya ke Burma. Selepas peristiwa ini, anak-anak Suu Kyi terus dihalang untuk bertemu ibu mereka sehinggalah pada tahum 2011.

7. Suu Kyi sebenarnya mempunyai ruang untik meninggalkan Burma dan beliau tidak akan berterusan untuk disiksa namun beliau juga tidak akan berpeluang untuk kembali ke Burma sekiranya keputusan untuk kembali ke kota London dibuat. Suu Kyi lebih pentingkan rakyat daripada perjuangan dirinya sendiri.

8.. Nobel Peace Prize telah dianugerahkan kepada Suu Kyi pada tahun 1991 di atas semangat juangnya di Burma namun ia tidak membantunya umtuk melembutkan hati pemerintah Burma.

9. Pelbagai kumpulan dan gerakan serta pemimpin negara menyokong perjuangan Aung San Suu Kyi diwujudkan di seluruh dunia seperti Freedom Campaign, International IDEA dan Article 19 untuk memberi tekanan kepada Burma namun kekejaman tentera sukar untuk diatasi.

10. Perjuangan menegakkan demokrasi masih berterusan sehingga ke hari ini walaupun ribuan nyawa telah terkorban, dipenjara dan disiksa.

Sepuluh perkara di atas adalah sebahagian kecil daripada sejarah perjuangan Suu Kyi sepanjang 25 tahun beliau berjuang sejak tahun 1988. Sudah pasti, ia sesuatu yang cukup sukar untuk diharungi sekiranya hati dan perasan tidak cekal dan kuat. Saya mencatatkan kisah beliau di dalam penulisan ini sebagai satu motivasi baru kepada saya dan juga kepada rakan-rakan sekelian betapa pada ketika ini terdapat seorang wanita sedang berjuang dengan mempertaruhkan nyawanya untuk memastikan bahawa pejuangannya akan tercapai.

Pada usia 67 tahun pada hari ini, beliau terus tabah menghadapi segala bentuk cabaran dan dugaan. Maka, apakah kita yang masih muda sudah sudah merasa selesa dengan apa yang kita ada sehingga berkira-kira untuk menghadapi susah dalam perjuangan?

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.com
19 Jun 2012, 3.05 petang

0 ulasan:

Catat Ulasan