TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 14 Jun 2012

UMNO : PARTI KAPITALIS YANG TERUS MENEKAN RAKYAT


http://umno-online.com/wp-content/uploads/2011/05/umno_dahulukan-rakyat.png

Apabila disebut tentang kapitalisme, ia akan menggambarkan bagaimana terdapat individu, sekumpulan atau kelompok masyarakat yang mengambil kesempatan daripada keadaan untuk mengumpul kekayaan dan mempunyai matlamat untuk meraih keuntungan. Istilah ini telah mula diperkenalkan oleh Karl Marx pada abad ke 19. Ia merupakan satu sistem ekonomi yang digerakkan oleh kuasa pasaran bagi menentukan pengeluaran kos, menetapkan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan juga pendapatan. Kapitalisme sebenarnya telah lama wujud dalam sistem ekonomi dunia walaupun istilahnya hanya diperkenalkan oleh Karl Marx. Kapitalisme adalah konsep ekonomi yang telah berjaya mengukuhkan ekonomi England pada kurun ke 16 sehingga kurun ke 19.

Kapitalisme mengambil ruang dengan melabur ke dalam industri dan menggunakan tenaga pekerja untuk menjalankan aktiviti perindustrian. Golongan pekerja dilihat oleh Karl Marx sebagai golongan yang tertindas kerana terpaksa menggunakan tenaga mereka tetapi hanya diberikan pulangan yang tidak setimpal sedangkan golongan kapitalis meraih keuntungan yang besar.

Pengaruh Kapitalisme terus bergerak ke seluruh dunia dengan menggunakan alasan pembangunan untuk melabur di dalam industri di sesebuah negara dan Malaysia tidak terkecuali mendapat perhatian daripada kumpulan kapitalis sehingga pengaruh elit kapitalis telah mencorakkan transformasi politik dalaman dan luaran UMNO.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah benar UMNO adalah sebuah parti politik bercirikan kapitalis sedangkan perjuangan UMNO dikatakan bermatlamatkan untuk memperjuangkan bangsa Melayu? Sudah pasti akan ada yang menyanggah tulisan ini kerana tidak sanggup menerima hakikat bahawa UMNO dan kapitalisme tidak dapat dipisahkan dengan bersandarkan bukti-bukti yang kukuh lagi mengukuhkan.

Umumnya mengetahui bahawa UMNO adalah merupakan sebuah parti yang menunjangi BN ataupun dahulunya dikenali sebagai Parti Perikatan sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sebagai sebuah parti yang didukung oleh kaum Melayu di Malaysia, UMNO dilihat sebagai parti yang sewajarnya mengambil tindakan untuk membela kaum Melayu sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan. Kaum Melayu bergantung kepada UMNO dan terus diperkukuhkan dengan strategi UMNO sebagai parti pemerintah dengan mewujudkan beberapa dasar yang mempunyai hasrat untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu.

Di antara dasar yang dilaksanakan adalah melalui Dasar Penswastaan yang mana berlakunya peningkatan secara besar-besaran pembiayaan modal daripada pihak swasta ke dalam projek-projek mega yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan. Ini secara tidak langsung mewujudkan golongan korporat Melayu dan kelas korporat Melayu yang dapat dikategorikan sebagai satu bentuk kelas borjuis Melayu yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemerintah. Pendekatan ini memberikan keuntungan kepada golongan kapitalis melalui program ekonomi di dalam kerajaan sama ada ia diperoleh secara langsung atau tidak langsung.

Mahathir dilihat sebagai ‘bapa kapitalisme’ dalam merencana dan membina kumpulan elit kapitalis melalui penswastaan badan kerajaan yang telah bermula pada tahun 1983 dan ia adalah merupakan perancangan pengindustrian kapitalis besar-besaran yang pintar dan cekal. Bermula dengan penswastaan inilah maka elit kapitalis dilahirkan untuk menguasai syarikat yang ditubuhkan oleh pemerintah iaitu UMNO bagi kepentingan ekonomi mereka dengan pembangunan sektor-sektor strategik.

Maka lahirlah tokoh-tokoh elit kapitalis sama ada kaum Melayu atau bukan Melayu hasil daripada hubungan baik dengan pemimpin kerajaan seperti Ananda Krishnan, Francis Yeoh, Lim Goh Tong, Quek Leng Chan, Vincent Tan, Allahyarham Yahya Ahmad, Halim Saad, Tajudin Ramli dan Syed Mokhtar al-Bukhary, hasil daripada projek penswastaan negara. Golongan-golongan elit kapitalis ini menjadikan UMNO sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk mendapatkan habuan dan kekayaan melalui projek mega kerajaan yang tidak perlu untuk diperoleh daripada tender terbuka, elit kapitalis ini menggunakan kuota Bumiputera dan DEB sebagai ruang untuk memperoleh projek dengan mudah.

Sebagai contoh, Barry Wain dalam bukunya yang diharamkan penjualannya di Malaysia iaitu “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” telah mendedahkan bagaimana Dr. Mahathir telah memberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion kepada Ting Pek Khing yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Seperti yang dinyatakan di awal penulisan ini, apabila disebut tentang kapitalisme, ia akan menggambarkan bagaimana terdapat individu, sekumpulan atau kelompok masyarakat yang mengambil kesempatan daripada keadaan untuk mengumpul kekayaan dan mempunyai matlamat untuk meraih keuntungan. Sebab itu, apabila dasar penswastaan dilaksanakan di Malaysia maka kadar kos yang dikenakan kepada rakyat adalah tinggi dengan alasan untuk menampung kos yang telah dilaburkan oleh syarikat swasta. Maka, pengguna dipaksa untuk membayar bil eletrik, bil air, bil telefon, bil kumbahan yang tinggi sebagai ‘membalas jasa’ syarikat swasta ini.

Kepentingan elit kapitalis juga dapat dilihat dengan jelas dalam isu yang sedang bergelumang dengan massa pada ketika ini iaitu isu yang melibatkan PTPTN. Terbaru, rakyat ditawarkan dengan satu hasrat murni Pakatan Rakyat untuk menghapuskan PTPTN namun telah diperlekehkan malah dianggap sebagai satu tawaran palsu untuk memancing undi daripada rakyat. Pemerintah cuba meyakinkan rakyat bahawa dengan menghapuskan PTPTN akan menyebabkan negara akan muflis.

PTPTN  beroperasi sejak penubuhannya pada tahun 1997 dengan tujuan asasnya adalah untuk memberi tumpuan kepada pelajar yang telah mendapat kemasukan ke universiti tempatan tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan khususnya penglibatan besar-besaran pihak swasta melalui IPTS. Sehingga 30 September 2011, sebanyak RM 1.87 juta pembiayaan pendidikan telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM 41.6 bilion. Secara umumnya, ia adalah satu mekanisme yang baik di atas tujuan untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan sokongan kewangan sepanjang waktu pembelajaran. Namun, isu PTPTN perlu dilihat dengan lebih luas agar rakyat dapat memahami bahawa PTPTN juga adalah agenda yang telah diskripkan oleh golongan elit kapitalis di Malaysia.

Apabila kita menyebut IPTS maka sudah pasti bayangan awal adalah yuran yang jauh lebih tinggi daripada IPTA. Namun, disebabkan kerajaan tidak menyediakan tempat yang mencukupi untuk lepasan sekolah yang layak memasuki universiti, ratusan ribu rakyat pelbagai kaum terpaksa mendaftar ke IPTS yang yurannya lebih mahal. Disebabkan ruang yang luas diberikan kepada penubuhan IPTS maka sejak tahun 2005, jumlah jumlah kemasukan pelajar ke IPTS telah melebihi daripada jumlah mereka yang masuk ke IPTA. Sebagai contohnya, dalam tahun 2005 nisbah kemasukan pelajar di IPTA berbanding IPTS adalah sejumlah 310,000 pelajar di IPTA berbanding dengan 337,000 pelajar di IPTS. Jurang ini telah meningkat menjadi 372,000 (IPTA) berbanding 466,000 (IPTS) menjelang 2010, mengikut unjuran yang dibuat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Apabila ini berlaku maka sudah pasti ada pihak yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan daripada bebanan yang dihadapi oleh para pelajar yang bakal menjadi ‘penghutang terhormat’ sejurus selepas selesai menamatkan pengajiannya nanti. Sebagai bukti PTPTN memberikan keuntungan kepada elit kapitalis, contoh yang dapat dikemukakan di sini adalah penerimaan pinjaman yang tertinggi di Malaysia oleh kolej kejururawatan swasta iaitu  Kolej Masterskill. Mengikut maklumat yang diperoleh pada tahun 2009 bahawa kolej ini telah menerima RM145.5 juta dengan keuntungan yang diperolehi oleh kolej kejururawatan tersebut pada tahun ini adalah sebanyak RM 97.4 juta. Lebih menarik, kolej ini dipengerusikan oleh Mohamed Nazim bin  Abdul Razak iaitu adik Perdana Menteri Malaysia.

Sebab itu, usaha untuk mempertahankan PTPTN dan BN digandakan oleh kumpulan elit kapitalis ini kerana mereka bimbang bahawa sekiranya PR diberikan mandat untuk memerintah negara akan menyebabkan kumpulan elit kapitalis ini hilang punca pendapatan yang telah mereka kecapi selama ini.

Justeru rakyat perlu bangkit menolak UMNO/BN dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang ini jika berhajat untuk memastikan bahawa PTPTN dihapuskan dan pendidikan percuma diberikan kepada rakyat.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
14 Jun 2012, 2.55 pagi                     
www.khairulfaizi.com

0 ulasan:

Catat Ulasan