Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 8 Ogos 2012

SKANDAL RASUAH AWANG ADEK KE SPRM

PUTRAJAYA : Dewan Pemuda PAS Malaysia akhirnya mengambil tindakan ke atas Datuk Dr Awang Adek dengan membuat satu laporan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] pagi tadi.

Laporan tersebut telah diketuai sendiri oleh Saudara Khairul Faizi selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Saudara Suhaimi selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut saudara Faizi, laporan tersebut adalah tindakan susulan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia ke atas Datuk Dr Awang Adek kerana beliau hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang penjelasan berkaitan isu ini.

“Kita hanya mahu tahu wang RM 80,000 tersebut untuk apa dan sekiranya bukti yang ada pada kami ini tidak benar beliau perlu tampil untuk menafikannya. Ini tidak, bila kita beri tempoh seminggu beliau masih mahu mendiamkan diri”, ulas beliau.

Laporan tersebut telah diterima oleh pihak SPRM dan beliau juga berharap bahawa satu siasatan lanjut dan telus akan dibuat berdasarkan laporan ini.

“Sekiranya memang berlaku skandal rasuah yang dilakukan oleh Awang Adek, beliau perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Kami percaya dengan integriti SPRM untuk menguruskan siasatan ini. Pihak kami juga dari semasa ke semasa akan berhubung dengan pihak SPRM sebagai satu ‘follow up’ ”, katanya.

Berikut dilampirkan beberapa aduan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia ke atas Datuk Dr Awang Adek kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
-----------------------------------------------------

Syarikat Advanced Maintenance Precision Management SDN BHD [AMPM] telah menulis sepucuk surat kepada Senator Datuk Dr Awang Adek selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera [SJJP] pada 6 Disember 2010 dengan memohon sambungan kontrak pengurusan fasiliti Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Projek ini dikendalikan di bawah SJJP oleh Perdana Menteri.

Pada tarikh yang sama, syarikat yang sama iaitu AMPM SDN BHD telah mengeluarkan dua keping cek yang bernombor 875977 bernilai RM 50,000 manakala sekeping cek lagi bernombor 875978 bernilai RM 30,000. Cek ini telah ditunaikan pada 6 Disember 2010 dan pada tarikh yang sama terdapat kemasukan tunai sebanyak RM 80,000 ke dalam akaun Datuk Dr Awang Adek [CIMB Bank No Akaun : 03080002286059].

Syarikat ini menulis surat kepada Datuk Dr Awang Adek untuk memohon kepada Skim Jejak Jaya Bumiputera untuk melanjutkan tempoh kontrak pengurusan fasilit yang sedia ada untuk tempoh 5 tahun dengan opsyen 5 tahun lagi pada dua projek yang sedang dikendalikannya iaitu di JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar.

Untuk pengetahuan Dato’ Seri, syarikat AMPM ini sedang dalam kontrak menguruskan kedua-dua projek iaitu Bangunan Sultan Iskandar selama 5 tahun [60 bulan] dan JB Sentral adalah selama 3 tahun [41 bulan].

Hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB ke Bursa Malaysia kali ke 11 pada 25 Ogos 2011 [Khamis], mesyuarat telah meluluskan tempoh kontrak sedia ada untuk tempoh 5 tahun dengan opsyen tambahan 5 tahun lagi selepas tempoh kontrak sedia ada tersebut tamat.

Di sini timbulnya keraguan mengenai keputusan dalam mesyuarat tersebut :-

-          Bagaimana syarikat yang sedang dalam kontrak boleh mendapat kontrak baru untuk tempoh 5 tahun serta diberikan opsyen tambahan 5 tahun lagi sedangkan kontrak asal masih belum tamat mengikut tempoh yang sepatutnya.

-          Wujud keraguan bahawa Datuk Dr Awang Adek menerima rasuah daripada Syarikat AMPM SDN BHD sehingga meluluskan projek kepada syarikat terbabit. Ini berdasarkan surat permohonan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut pada 6 Disember 2010 dan pada tarikh yang sama  dua cek yang berjumlah RM 80,000 telah dikeluarkan oleh syarikat yang sama dan kemudiannya ditunaikan ke dalam akaun Datuk Dr Awang Adek.

Berdasarkan kepada dokumen yang saya perolehi, bukti-bukti ini menguatkan lagi syak saya bahawa wujudnya aktiviti rasuah antara Datuk Dr Awang Adek  dengan Syarikat AMPM SDN BHD. Saya dengan ini memohon pihak SPRM membuat siasatan segera di atas dakwaan terhadap Datuk Dr Awang Adek. Bersama ini dilampirkan beberapa bahan bukti untuk rujukan pihak tuan.

Selasa, 7 Ogos 2012

PEMUDA PAS MINTA SPRM SIASAT KES AWANG ADEK

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
PEMUDA PAS MINTA SPRM SIASAT KES AWANG ADEK
18 Ramadhan 1433 bersamaan 08 Ogos 2012

Seseorang pimpinan utama rakyat mestilah menepati kualiti dan kriteria seorang pimpinan. Skandal yang melibatkan Senator Datuk Dr Awang Adek adalah satu isu yang berkaitan dengan integriti seseorang pimpinan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberikan masa tertentu kepada Datuk Awang Adek untuk beliau memberikan respon balas mengenai pendedahan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sehingga hari ini, beliau hanya mengambil tindakan mendiamkan diri dan tidak memberikan apa-apa respon terhadap dakwaan yang telah dibuat ke atas beliau berdasarkan salinan cek RM 80,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Pada 12 Julai 2012, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mendedahkan 2 keping cek yang berjumlah RM 80,000 secara keseluruhannya atas nama Datuk Awang Adek dan didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Datuk Awang Adek diminta untuk menjelaskan apakah terdapat skandal rasuah daripada transaksi wang yang sebegitu besar ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Malaysia oleh sebuah syarikat yang berkepentingan.

Pada 31 Julai 2012 yang lalu, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi tampil membuat pendedahan yang lebih terperinci beserta beberapa dokumen penting. Dokumen yang berada di pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia menguatkan lagi dakwaan bahawa Datuk Awang Adek terlibat dalam skandal rasuah kerana kedua cek yang bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi tempoh selama seminggu untuk beliau menafikan segala dokumen dan dakwaan mengenai skandal rasuah beliau ini tetapi beliau tetap juga mendiamkan diri.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengambil langkah untuk membuat laporan kepada pihak SPRM mengenai isu ini. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berharap agar pihak SPRM dapat membuat siasatan sebaik mungkin mengenai isu yang melibatkan integriti seseorang pimpinan ini.
Lampiran untuk sidang media :-

Perkara               : Laporan SPRM
Tarikh                  : 8 Ogos 2012 [ESOK]
Masa                    : 10.00 pagi
Tempat                : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya, Malaysia

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pembaca The Malay Mail Pilih 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'

98% terima 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'

Harakahdaily, 07 Ogs 2012


(Keputusan poll yang dibuat oleh The Malay Mail hingga jam 4.20 petang Selasa)

KUALA LUMPUR: Setelah lima hari berlalu, poll yang dibuat oleh akhbar The Malay Mail menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia memilih 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagai tema merdeka tahun ini.

Hanya 2 peratus atau 163 peserta undian ini memilih tema 'Janji Ditepati' dari 6,791 peserta yang menyertai poll ini.

'Janji Ditepati' adalah tema yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Rais Yatim selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke 55.

Tema ini telah dibantah oleh pelbagai pihak sehingga Pakatan Rakyat memperkenalkan tema berlainan iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Ia dipilih oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said.

Selain membantah tema 'Janji Ditepati' yang dilihat sama dengan tema kempen pilihan raya BN, lagu dan logo Hari Merdeka ke 55 juga dibantah.

Lagu itu juga dibantah kerana mempunyai persamaan yang ketara dengan sebuah lagu gereja di Indonesia.

Lyriknya pula terlalu kasar dalam menyampaikan mesej kempen BN dan bukan untuk semua rakyat negara ini.

Sehingga kini, Rais hanya menarik balik logo Hari Merdeka tetapi masih mengekalkan lagu dan tema sambutan tahun ini.

Kepulangan Chong Wei Disambut Meriah

Kepulangan Chong Wei Disambut Meriah

 
Foto AZHAR MAHFOF/The Star

SEPANG: Ratusan peminat menyambut kepulangan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Selasa, sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Kira-kira 400 peminat berkumpul di lapangan terbang itu seawal pukul 4.30 pagi, menunggu ketibaan Chong Wei untuk menunjukkan penghargaan mereka di atas persembahan sengit yang dipamerkannya pada aksi final, Ahad lalu.

Antara yang hadir adalah delegasi dari Kementerian Belia dan Sukan serta para pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang menyifatkan Chong Wei sebagai idola mereka.

Chong Wei mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas segala sokongan yang diberikan.

Namun, beliau kecewa kerana gagal membawa pulang pingat emas untuk negara.

Chong Wei berkata beliau berhasrat untuk beraksi selama dua tahun lagi dan selepas itu barulah melihat berapa lama beliau boleh bermain.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk beraksi pada Sukan Komanwel dan Liga Badminton China.

Mengulas mengenai perkahwinannya, Chong Wei sekadar ketawa dan berkata, biarlah bercerita mengenai badminton terlebih dahulu.

Pemain badminton itu tiba pada pukul 8.30 pagi dan disambut dengan sorakan dan nyanyian 'Inilah Barisan Kita'.

Para penyokong turut mengibarkan Jalur Gemilang dan poster yang tertera perkataan 'Hero Negara'.

Bekas Pengurus Besar Koperasi Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengurus Besar Koperasi Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah

JOHOR BARU: Seorang bekas pengurus besar Koperasi Sinarjaya Bandar Tenggara Kulaijaya pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM2,900 dua tahun lalu.

Azman Anas, 40, didakwa menerima suapan daripada Oong Ah Lee sebagai dorongan untuk meluluskan borang permohonan mengambil permit bahan batuan di lot PTD 4153 Mukim Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Marrybrown di Jalan Susur 3, Off Jalan Pejabat Kerajaan, Kulaijaya pada 12.40 tengah hari 20 Oktober 2010.

Azman didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Sekeyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazlin Hamdan memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Noorul Ameen Abdul Salam meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut kerana anak guamnya tidak memiliki pekerjaan tetap sejak siasatan kes itu dijalankan ke atasnya selain menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak masing-masing berusia tiga, lima dan tujuh tahun.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 3 September nanti. - BERNAMA

Semoga Shila Amzah Istiqamah Dengan Bertudung

Shila Amzah Pakai Tudung Selepas 15 Hari Percubaan
  
PETALING JAYA: Keputusan penyanyi Shila Amzah yang memakai tudung bermula 1 Ramadan lalu hanya untuk suka-suka berubah apabila dia tekad untuk kekal dengan imej tersebut.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia membuat keputusan tersebut pada Sabtu lalu selepas 15 hari melalui “tempoh percubaan” dan berazam untuk berimej sedemikian sehingga ke akhir hayat.

"Pada mulanya penghijrahan ini bermula pada 1 Ramadan sebagai tempoh percubaan dan ingin mendapat kepastian adakah saya benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan tersebut.

"Dua hari lalu (Sabtu) saya sibuk dengan penggambaran program Nona bersama Neelofa dan Fauzana, tetapi ketika itu saya terpaksa membuka tudung.

"Kemudian, di sebelah petang pula Sharnaaz mengajak saya untuk berbuka puasa bersama peminat-peminatnya dan ketika sedang bersiap, tiba-tiba sahaja saya ambil tudung dari almari dan pakai terus. Ketika itu saya dah rasa sudah sampai masanya untuk diri ini berubah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Isnin.

Tambah Shila, kekasihnya, Sharnaaz tidak sangka perubahan drastik yang dilakukannya namun gembira dengan imej terbaru itu.

Dalam pada itu, ibunya juga ingin kepastian adakah benar keputusan yang dibuat itu kerana risau jika Shila akan membuka semula tudungnya pada masa akan datang.

"Apabila memberitahu hasrat ingin bertudung kepada ibu, banyak kali dia tanya, adakah saya yakin dengan keputusan ini kerana apabila dah pakai, kita tak boleh nak buka semula tudung sehingga mati.

"Alhamdulillah, memang saya ingin berubah dan mahu menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini. Malah, saya mula berubah sedikit demi sedikit dengan mengubah cara pemakaian yang lebih sopan," ujarnya.

Sementara itu, walaupun tampil dengan imej berkenaan, Shila tetap meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi dan bakal muncul dengan album terbaru pada awal tahun depan.

"Saya masih lagi menyanyi, tetapi tak adalah nak menari sakan macam dahulu. Pemilihan lagu pula lebih ke arah balada dan pop. Semoga perubahan diri ini membawa keberkatan yang lebih bermakna," tuturnya.

Foto milik Shila amzah diambil di laman Twitter miliknya.

Rabu, 1 Ogos 2012

Ijazah palsu berlaku seluruh dunia

Ijazah palsu berlaku seluruh dunia

Akhbar Satar
akhbar.satar@gmail.com
2012/07/31
Hukuman tegas patut jadi pengajaran

Tidak lama dulu, Laura Callahan, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, meletakkan jawatan selepas beliau disiasat dan didapati membeli Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada online.

Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak melakukan semakan latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. Mengikut kajian di Amerika Syarikat, pada tahun lalu saja, kes pemalsuan ijazah membabitkan AS$1 bilion (RM3 bilion) setahun.

Amerika Syarikat juga mengeluarkan sebanyak 50,000 PhD palsu ke seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan daripada laman web ini beroperasi di Alabama, Mississippi dan Wyoming memandangkan undang-undang di negeri berkenaan masih longgar dalam menangani isu itu.

Amerika adalah negara pelopor dalam penipuan dan pemalsuan sijil kelulusan seperti ini. Ia merebak ke negara lain seperti India, Singapura, Russia, Pakistan, Indonesia dan Filipina.

Di Malaysia, ia hanya mula dikesan dengan penipuan untuk mendapat kelulusan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Situasi ini perlu dibendung agar ia tidak merebak dan kelak diambil alih oleh pendatang Afrika yang terkenal dalam jenayah penipuan.

India mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, termasuk 350 yang tidak diiktiraf kerajaan manakala di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor yang memperoleh kelulusan PhD dengan cara membeli kelulusan palsu. Pembabitan ‘Profesor Segera’ ini merosakkan imej dan mutu pembelajaran di Pakistan, terutama dalam bidang perubatan.

Beberapa bulan lalu, di Singapura, penipuan sijil dikaitkan dengan sebuah institusi terkemuka dan kelulusan bidang yang popular masa kini ialah pengurusan bisnes dan pelancongan. Sijil palsu ini dijual dengan RM30,000 sekeping, termasuk transkrip mengandungi keputusan yang baik.

Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000 sekeping. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu University Havard, sebuah universiti terbaik di dunia dengan harga RM120,000. Filipina juga tidak ketinggalan, mereka hanya mengenakan bayaran sekali gus RM30 hingga RM200 bagi sebarang sijil atau ijazah dalam masa dua jam.

Kira-kira sebulan lalu, Kementerian Pelajaran Tinggi Arab Saudi membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada universiti asing sejak beberapa tahun lalu. Dalam beberapa minggu lalu, Polis Indonesia menumpaskan satu sindiket pengeluaran sijil palsu yang dijual dengan harga RM2,000 sekeping.

Apa yang menyedihkan ada sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu daripada pusat pengajian tinggi dengan hanya perlu membayar RM240. Tawaran ini menjadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa saja bidang yang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi di dalam ijazah palsu terbabit.

Beberapa hari lalu, selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Syarikat menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University.

Adalah wajar sesiapa yang menipu menggunakan sijil palsu boleh dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Impak hukuman ini bukan saja boleh menjatuhkan maruah seseorang bahkan juga memusnahkan masa depan mereka.

Ramai orang yang sakit jiwa, pemalas dan suka menipu cuba mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah dalam tujuh hari, sedangkan pelajar yang belajar di universiti terpaksa belajar antara tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma, ijazah, sarjana atau PhD.

Satu pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah, mengadakan ciri keselamatan atau semua sijil dicetak oleh Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti yang tinggi.
Seseorang yang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi adalah tidak berintegriti dan patut berasa jijik jika memiliki ijazah palsu.

Penulis ialah Pakar Kriminologi, Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP