Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 28 Februari 2013

Aduan Rakyat : Tanah Perkuburan Islam Jalan Mersing/Kampung Melayu




Ruj Kami  : PARMAHKOTA.05/ADUAN/2.01(02/13)
Ruj Tuan   :
27 Februari 2013
16 Rabi’ul Akhir 1434

Kepada;


Yang Berbahagia Ustaz Mohd Khalil bin Mohd Noor
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang
Pejabat Agama Daerah Kluang,
86000 Kluang,
Johor Darul Takzim
  
Tuan,

ADUAN MENGENAI KEADAAN TANAH PERKUBURAN ISLAM JALAN  MERSING

Perkara di atas adalah dirujuk.

2.       Saya telah menerima beberapa aduan berkaitan dengan keadaan persekitaran tanah perkuburan Islam yang terletak di Jalan Mersing yang tidak terurus dengan baik sehingga berlaku beberapa perkara berikut :-




i. Kawasan pagar yang sudah roboh sebahagiannya sehingga menyebabkan terdapat sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di kawasan kubur tersebut.

ii. Persekitaran perkuburan semakin bersemak sehingga menyebabkan kesukaran waris untuk menziarahi kubur,

iii. Kubur sering diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan tanda nama pada batu nisan telah hilang akibat dicuri.
   
3.       Tinjauan PAR Mahkota mendapati bahawa berkemungkinan ia adalah disebabkan tiada diperuntukan pekerja khas untuk tujuan penyelenggaraan dan mengawasi tanah perkuburan ini dan  ia adalah berpunca daripada perpindahan tanah perkuburan baru di Tanah Perkuburan Haji Manan.

4.       Saya memohon agar pihak tuan dapat membuat tindakan tindakan terhadap aduan ini agar tanah perkuburan umat Islam ini dapat diperlihara dengan baik.

5.       Saya mencadangkan agar pihak tuan dapat menganjurkan aktiviti gotong-royong perdana dengan mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama membersihkan kawasan tanah perkuburan ini. Saya bersedia untuk turut sama menggerakkan pasukan Jabatan AMAL Kluang bersama dalam gotong-royong tersebut.

6. Bersama-sama ini saya lampirkan beberapa keping gambar sebagai rujukan tuan terhadap situasi terkini di Tanah Perkuburan Islam tersebut.

Segala kerjasama dan perhatian amat dihargai dan saya dahului dengan jutaan terima Kasih.



Sekian, wassalam.

Yang menjalankan amanah,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Mahkota
http://www.facebook./khairul.faizi1/
Tel : 019-7701830












Jumaat, 22 Februari 2013

Respon Terhadap Kenyataan Mufti Negeri Perak


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Pagi ini, apabila membaca satu berita daripada halaman portal Sinar Harian berkaitan dengan seruan yang dilakukan oleh Mufti Negeri Perak agar PAS dan Umno bersatu selagi ada iman kerana kedua-duanya mengucap syahadah yang sama.

Dr Harussani kata tidak boleh putuskan silaturahim sesama Islam semata-mata untuk bekerjasama dengan kafir harbi yang terang-terang menolak Islam.

Saya cuma nak ajukan soalan mudah saya kepada Tan Sri Mufti Perak, adakah Tan Sri tidak mahu desak Umno memutuskan hubungan dengan MCA yang terang-terang menghina, menolak, mencari Hudud? Ataupun, penghinaan tersebut dianggap tidak serius oleh Dr Harusani sehingga UMNO 'diizinkan' berkawan dengan MCA.

Apabila Presiden MCA hina Cikgu Normala di Tenang ketika kempen PRK dulu, Dr Harusani  hanya mahu Soi Lek minta maaf kerana dianggap hina Islam. Apabila Chua Soi Lek hina Hudud, Dr Harusani kata Presiden MCA itu tidak berhak bercakap tentang hukum itu. Kenapa tidak TS Mufti Perak desak UMNO putuskan hubungan dengan MCA?

Seperkara lagi, berbeza parti tidak bermaksud ia memutuskan silaturahim. Apa yang pasti, dasar PAS adalah Islam dan UMNo dasarnya kebangsaan. PAS memperjuangkan Islam dan UMNO terkongkong dengan perjuangan Melayu kronisme.

Wassalam
----------------------------------------------

Mufti Perak: Bersatu selagi ada iman -Sinar Harian

IPOH -  Umat Islam di negara ini tidak harus berpecah disebabkan parti politik kerana mereka mengucap dua kalimah syahadah yang sama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pihak yang tidak mahu bersatu dan mahu memecahbelahkan umat Islam seolah-olah membawa ajaran sesat.

Sambil melihat Umno dan Pas mempunyai ruang untuk bersatu, beliau menasihatkan orang Islam supaya tidak bergaduh sesama mereka disebabkan berpolitik.“Saya nampak masih ada harapan untuk mereka (Umno dan Pas) bersatu selagi mereka ada iman,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu juga membawa kepada usaha memutuskan hubungan silaturahim sesama Islam dan hukumnya haram.“Kita tidak boleh putuskan silaturahim sesama Islam semata-mata untuk bekerjasama dengan kafir harbi yang terang-terang menolak Islam.

“Tahalluf siyasi (kerjasama politik) tidak boleh dibuat jika benarkan perkara yang dilarang oleh syarak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harussani berkata, dalam al-Quran jelas menyatakan golongan kafir itu adalah
golongan orang-orang yang zalim.Beliau berkata, jika sekiranya timbul rasa marah atau tidak puas hati terhadap kepimpinan Islam yang sedia ada, wajib untuk menegur untuk membetulkan mereka.“Kalau marah sekalipun, wajib betulkan dan menasihati mereka, bukan menjatuhkan atau membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.“Akibatnya, agama dan bangsa akan hancur. Sebab itulah setiap orang Islam wajib bersatu padu,” katanya

Kelmarin, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah terdapat andaian jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh kembali bercantum, akan tercapailah perpaduan ummah di negara ini.

Khamis, 21 Februari 2013

Di Sebalik Lagu Rasmi Agenda Anak Muda Berkebajikan


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Apabila saya diminta untuk menyiapkan satu lagu rasmi bersempena dengan pelancaran 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan, agak sukr juga untuk saya memastikan bahawa ia akn sempat disiapkan 'on time' disebabkan jadual yang padat.

Sebelum ini, saya telah siapkan satu lagu untuk kumpulan ABC Band, telahpun mendapat kelulusan RTM untuk disiarkan dalam siaran radio. Lagu 'Aku Pejuang Islam' yang diilhamkan oleh Ustaz Nasrudin Hassan telah saya berikan kepada ABC Band sebelum ini sebagai salah satu usaha saya untuk berdakwah melalui lagu.

Lagu tersebt masih belum dimuatnaik ke youtube namun lagu asalnya bolek klik ke http://www.youtube.com/watch?v=IhB8DDA1CO0

Berbalik ke lagu Anak Muda Berkebajikan, lagu ini saya ambil masa selama tiga hari untuk disiapkan. Berbekalkan idea daripada sahabat-sahabat maka pilih melodi yag rancak sedikit dengan gabungan dua instrumen iaitu sebuah gitar dan set drum dan ada sedikit pengaruh lagu berentak Rock, mugkin disebabkan lagu ini disempurnakan oleh Ayeem Crossfire Studio. Ayeem adalah penyanyi kumpulan Crossfire yang mana lagu popular kumpulan ini, Realiti dan Fantasi pernah menggegar dunia muzik 'Rock Kapak'.

klik sini, http://www.youtube.com/watch?v=lgaJyzpFIu8 untuk mendengar lagu tersebut.

Disebabkan masa yang suntuk maka menggunakan suara saya sendiri untuk menyempurnakan lagu ini sebelum dilancarkan. Kesumbangannya dirasai tetapi jangan bimbang kerana 'minus one' disediakan untuk persembahan yang akan datang.

Projek akan datang, lagu 'Lumrah Para Pejuang' akan saya siapkan dan jika esok tidak bubar Parlimen maka minggu hadapan akan bersedia 'menemui peminat' di alam Youtube.

Klik sini untuk dengar versi unplugged http://www.youtube.com/watch?v=jw2KTNlam_A .

Wassalam.


Esok Belum Bubar Parlimen?


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Melihat kepada perkembangan padahari ini, walaupun spekulasi cukup tinggi bahawa esok (22 Februari 2013) akan terbubarlah Parlimen namun ia semakin tidak menampakkan bahawa ia akan berlaku.

Walaupun kibaran bendera UMNo dan BN cukup banyak termasuklah di sekitar Kluang ini dan ada di antara bendera ini telah pun menyembah bumi namun ia belum cukup dapat meyakinkan seorang yang bernama Najib Razak untuk membuat pengumumkan bahawa BN sudah cukup bersedia berhadapan dengan pertembungan di medan perang.

Pernah Najib Razak mengumumkan bahawa beliau tidak sabar untuk membubarkan Parlimen, pernah juga beliau kata sukakan tarikh itu dan ini, pernah juga beliau kata masa pembubaran sudah hampir dan yang terbaru beliau juga kata Parlimen akan dibubarkan apabila beliau dan rakyat sudah bersedia.

Jika ditanya kepada kami, Pakatan Rakyat telah lama bersedia. Mungkinkah apa yang dimaksudkan Najib bahawa mereka yang sebenarnya belum bersedia adalah rakyat yang bernama Najib Razak itu sendiri?

Pelbagai habuan telah diberikan kepada rakyat daripada golongan tua sampailah ke peringkat kanak-kanak, semuanya telah berjaya diberikan habuan. Peneroka Felda telah menerima pelbagai insentif dan hadiah. Nelayan dan petani telah dilayan. Penjawat awam telah menerima imbuhan dan bonus. Apa lagi yang Najib Razak perlu tunggu lagi?.

Tidak percayakah Najib kepada Tranformasi 1Malaysia yang beliau ilhamkan? Mungkinkah Najib takut untuk berdepan dengan kekalahan nanti? Lihatlah Pak Lah, tenang saja mengadap PRU walaupun bermodalkan Islam Hadhari Pak Lah berjaya menarik sokongan rakyat pada tahun 2004.

Saya mendapat maklumat, biasanya sehari sebelum Parlimen dibubarkan para Menteri Besar akan menerima surat untuk mengadap Sultan bagi perkenan untuk membubarkan Parlimen. Sehingga hari dan saat ini, tiada surat yang sampai kepada mereka untuk membuat persediaan tersebut. Tapi, tidak tahulah zaman Transformasi Najib mungkin caranya berbeza.

Apapun, jika esok tidak juga bubar Parlimen maka ia tidaklah melemahkan semangat kami untuk terus berkerja kerana lambat laun Najib Razak terpaksa menerima realiti bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan tarikh luput pemerintahan sudah hampir ke penghujungnya.

Semakin lambat Najib untuk membubarkan Parlimen maka semkin kuat hasrat rakyat untuk menolak BN dalam PRU yang akan datang ini. Bersiap-siaplah Najib dan sekutunya untuk meninggalkan Putrajaya.

Wassalam


Selasa, 19 Februari 2013

Hilmi dipaksa jadi saksi lawan Yazid Sufaat

Hilmi dipaksa jadi saksi lawan Yazid Sufaat

Salmiyah Harun, 18 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Ibu Mohammad Hilmi Hasim hari ini memfailkan permohonan habeas corpus untuk mencabar penahanan anaknya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 8 Febuari lepas.

Ibunya Rahamah Abdul Majid melalui tetuan Zatul, Hida & Partners memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut peguam Fadiah Nadwa Fikri permohonan itu dibuat kerana Sosma itu sendiri bercanggah dengan perlembagaan kerana ia membenarkan bukti yang tidak mengikuti peruntukan dalam Akta Keterangan.

Katanya, Sosma adalah bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan perlindungan sama rata untuk setiap individu.

"Jelas mereka mahu menjadikan beliau sebagai saksi bagi melawan Yazid dan Halimah," tegas Fadiah.

Tambahnya, polis meminta Rahamah memujuk Hilmi supaya menjadi saksi bagi melawan Yazid Sufaat.

Malah katanya, sekiranya Hilmi enggan menjadi saksi beliau akan dikenakan empat pertuduhan yang akan membolehkan beliau dipenjara 97 tahun.

"Empat pertuduhan itu sengaja diadakan supaya Hilmi menjadi saksi, bagaimanapun Hilmi tidak akan mengaku salah dan tidak akan menjadi saksi dan minta dibicarakan di mahkamah," katanya.

Helmi yang kini masuk hari ke-11 ditahan dibawah Sosma dihalang dari mendapat khidmat guaman, beliau masih dalam tangkapan sehingga tempoh 28 hari.

Selain Hilmi, Yazid Sufaat, 49, dan Halimah Hussein, 52, antara tiga yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan dan ditahan di bawah akta baru itu pada 8 Februari lalu.

Yazid, bekas tahanan ISA, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang bulan ini kerana disyaki mengakibatkan keganasan terhadap orang awam di Syria, dan Halimah didakwa bersubahat dengan Yazid.

Yazid dan Halimah dikatakan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan antara Ogos dan Oktober tahun lalu.

Pastikan Al Quran braille terkawal - Sekretariat OKU PAS

Pastikan Al Quran braille terkawal - Sekretariat OKU PAS

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertingkatkan kawalan ke atas penerbitan Al Quran braille untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Ini kerana, ia dibimbangi akan disalahgunakan dan menjejaskan kesucian Al-Quran.

Demikian kata Mohammad Faizal Che Yusof (gambar), Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU PAS.

Menurut Faizal, penerbitan AlQuran Braille di Malaysia bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku tidak kurang 20 tahun yang lalu.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, mereka dapati penerbitan AlQuran Braille seolah-olah telah menjadi lubuk emas buat pihak-pihak tertentu.

Semenjak tahun 2011, telah ditegaskan betapa ada cubaan pelbagai pihak untuk menerbitkan AlQuran Braille dengan cara yang diragui bagi kegunaan OKU penglihatan.

Namun ingatan yang dikeluarkan oleh NGO yang bertanggungjawab langsung tidak diambil perhatian oleh pemerintah yang diterajui oleh Umno, katanya.

Penerbitan AlQuran Braille di Malaysia sehingga kini hanya dibenarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada sebuah sahaja NGO OKU penglihatan.

"Kami telah difahamkan bahawa beberapa pihak lain telah mula dan sedang menawarkan penerbitan AlQuran Braille tanpa suatu kawalan yang ketat.

"Kami menegaskan bahawa pihak kerajaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya memastikan penerbitan AlQuran Braille ini tetap memelihara kesucian dan ketulinan isi Al-Quran sebagaimana mashaf yang biasa.

"Lebih mendukacitakan, kami mendapati penerbitan Alquran Braille oleh pelbagai pihak ini turut ditawarkan ke luar Negara termasuk Palestin dan Ghazza," beritahu Faizal kepada Harakahdaily.

Walhal, kerajaan Arab Saudi telahpun menyedia penerbitan AlQuran Braille yang percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutamanya mereka yang berada di sekitar Asia Barat dan Asia Tengah.

"Kami memberi ingatan, penerbitan AlQuran Braille yang tidak dikawal oleh kerajaan membuka ruang untuk penyalahgunaan berlaku sama ada dari isi kandungan atau peruntukan dana yang banyak yang seharusnya tidak berlaku.

"Justeru, kami menyeru pihak kerajaan termasuklah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak lebih Sirius bagi memastikan penerbitan AlQuran Braille di Malaysia tetap terpelihara," katanya.

PRU13: Pakatan Rakyat lancar manifesto 25 Feb



PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifestonya pada 25 Februari nanti sempena Konvesyen Pakatan Rakyat ke-4 yang akan diadakan di Pusat Konvesyen Shah Alam.
Manifesto yang dinamakan Manifesto Rakyat yang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat, mengandungi empat teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Jelas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, intipati manifesto itu telah mengambil masa selama 18 bulan untuk proses rundingan dan kajian serta telah dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

"Manifesto ini mengabungkan ke semua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan juga belanjawan 2013.

"Barisan Nasional (BN) selalu menuduh Pakatan tidak ada dasar yang khusus untuk membawa kebaikkan kepada rakyat dan negara ini, namum apa yang kita putuskan dalam manifesto ini memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dan negara diberi keutamaan," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. (Gambar atas)

Jelas Rafizi lagi, pelancaran manifesto ini menandakan bermulanya kempen pilihanraya umum ke-13 (PRU13), malah beliau juga turut mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam manifesto rakyat.

"Pelancaran awal manifesto ini juga membuktikan komitmen Pakatan untuk memastikan kempen kali ini lebih tertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa oleh BN.

"Kelewatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk membubar parlimen telah memberi peluang kepada Pakatan untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci apa yang terkandung dalam manifesto tersebut," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu semakin lama Najib mengambil keputusan untuk membubar parlimen telah memberi peluang kepada rakyat untuk memahami manifesto ini.

Malah menurutnya, manifesto yang telah dipersetujui ini merupakan satu dokumen yang ringkas tetapi padat serta senang difahami oleh setiap lapisan rakyat.

"Kita tidak mengamalkan politik longkang tetapi apa yang kita bawa untuk rakyat adalah satu yang akan meningkatkan martabat rakyat serta keupayaan negara pada masa akan datang," jelas beliau.

Pakatan yang mula bersidang pada bulan September 2011 melibatkan seramai empat belas orang Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat.

Selain Dr Dzulkifly, wakil daripada PAS ialah Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Johor "medan pertempuran" paling sengit PRU13

Johor "medan pertempuran" paling sengit PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 18 Feb 2013
Mulanya saya bercadang ke Johor setakat dua hari. Bertolak pagi Jumaat, singgah sekejap di UKM, Bangi, berjumpa Dr Nidzam Sulaiman, menyiapkan wawancara sekitar isu-isu berkaitan PRU13 dari sudut pandang sarjana sains politik,  dan balik Kuala Lumpur esok petangnya.

Hari Ahad sudah dirancang program bersama keluarga. Dan terpaksa bertugas pada cuti Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa. Bagaimanapun, Johor berjaya menambat kaki saya sehingga pagi 11 Februari.

Hasrat awal saya sekadar  bertemu dan berbincang dengan seorang dua pimpinan PAS Johor, khususnya Pesuruhjaya Negeri, Dato' Dr Mahfodz Mohamad. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, mudah diajak bersembang di pejabat Harakah, Jalan Pahang.

Selain mendapatkan sudut pandang langsung aktivis akar umbi, naluri saya terdorong untuk merasai debar dan getar suasana sebenar di lapangan. Johor, yang pernah menyaksikan kekalahan teruk sehingga hilang wang pertaruhan calon-calon PAS, kini menjadi tumpuan ramai pemerhati.

Apabila mengetahui saya turun Johor Bahru, empat lima rakan-rakan tidak sabar-sabar bertanya  soalan, hampir sama: "Pakatan boleh menang? Macamana mood rakyat Johor?" Seorang sahabat lebih prihatin dengan kecenderungan mengundi masyarakat Melayu -- yang dilihat sebagai faktor penentu siapa menerajui Nusajaya -- selepas kaum Tionghua "berpatah arang" dengan BN.   

Daripada sebuah negeri yang dikenali kubu terkuat Umno dan langsung tidak terusik kekuatannya walaupun ketika negara digoncang kuat gelombang reformasi pada 1998-99, Johor selepas PRU12 bertukar menjadi medan sengit buat BN dan Pakatan meraih sokongan rakyat.

Berbekalkan jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, iaitu 26, yang semuanya sekarang dikuasai BN kecuali satu, maka perubahan sokongan pengundi Cina, kelas pertengahan dan generasi muda dilihat satu kelebihan besar buat Pakatan dalam "roadmap" ke Putrajaya, selain memastikan Nusajaya (pusat pentadbiran negeri) juga bertukar tangan.


Setiausaha Perhubungan PAS Johor, Onn Jaafar menyambut saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, di bilik gerakan PRU13 Parlimen Pulai, Taman Munshi Ibrahim, Johor Bahru. Salahuddin menunggu kami di bilik atas.

Salahuddin yang dijangka bertanding Parlimen Pulai dan Dun Nusa Jaya kelihatan menyimpan keyakinannya. Bicaranya tenang, menjelaskan kerencaman politik Johor dan harapan tinggi rakyat untuk melihat perubahan.

Beliau mahu saya menyelami isu-isu kritikal yang menyentuh sekali gus menekan kehidupan seharian bukan saja penduduk sekitar JB tetapi juga seluruh negeri. Sepintas lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyentuh persoalan kenaikan harga barangan, masalah pemilikan tanah, saingan hebat daripada orang luar, gejala sosial termasuk isu keselamatan.

Ketika mengiringinya -- setakat dua tiga kedai sahaja kerana keletihan -- untuk mengagihkan buah limau di Taman Universiti, Skudai, saya dapat mengesan reaksi positif masyarakat Cina terhadap Salahuddin.

"Sambutan lebih hebat diberikan kepada Salahuddin dalam majlis-majlis makan malam sebelum ini," kata Onn. "Saya sendiri saksikan orang Cina meraikannya bagaikan seorang MB baru. Mereka ternyata menaruh harapan dan keyakinan begitu tinggi kepada Salahuddin. Apa pun, fokus kita di Johor masih pengundi Melayu, bukan saja di Felda dan kampung tradisi, malah di kawasan bandaraya seperti JB ini, terutama kawasan terpinggir," tambahnya.

Esoknya, Sabtu, kami ke Pejabat PAS Kawasan Simpang Renggam. Onn memberitahu, ada pertemuan Dewan Harian PAS Johor dan kami boleh mengadakan wawancara dengan Dr Mahfodz seusai  mesyuarat. Dijangkakan ia berakhir sekitar jam 12 tengahari tetapi terlajak menjelang Zuhur.

Sementara menunggu selesai mesyuarat, saya berbual-bual dengan dua aktivis parti setempat. Rupanya mereka cukup mengambil berat perkembangan Harakah dan nampak seronok memberi komentar bagaimana kami seharusnya menyorot sesuatu isu.

Saya tertarik dengan pandangan tajam "di luar kotak" seorang penggerak PAS kawasan, seorang pesara kerajaan, yang pernah bertugas selama 23 tahun di Kelantan. "Saya mungkin berbeda dengan orang lain, tapi yang penting PAS di Johor ini, perlu pendekatan lebih segar,  lebih berani, proaktif,  jangan malu-malu lagi, biarlah kalau orang nak kata kurang ajar pun," tambahnya, dengan nada penuh yakin.

Ditanya persepsinya mengenai sambutan rakyat Johor terhadap PAS, beliau berkata: "Saya tak pandai mentafsir. Cuma, kepada petugas parti, tidak ada segan silu berlebihan macam dulu. Kami seronok buat kerja, yakin dengan diri sendiri. Suasana meriah, sama-sama pasang poster, sediakan tempat ceramah.

"Kalau dulu kita takut-takut berkempen, sekarang tidak lagi. Ibarat pasukan bola, kita bersedia berlawan dengan siapa saja. Sebaliknya, penyakit kita dulu, yang segan-segan dan malu-malu untuk ke depan, sudah beralih kepada orang Umno. Kita bukan dikongkong psikologi orang kalah lagi, Alhamdulillah. Harapnya Harakah dapat menyiarkan bahan-bahan yang mampu menyemarakkan semangat petugas-petugas parti."

Kami kemudian diajak ke majlis kenduri penyokong PAS, Daud Ithnin. Rumahnya tidak jauh. Kami menumpang kereta Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Negeri, yang dijangka bertanding Parlimen Simpang Renggam. Kata Suhaizan, hari itu saja dia mendapat enam undangan majlis kahwin. 

Wawancara dengan Pesuruhjaya Dr Mahfodz cukup menarik. Naib Ketua Dewan Ulama Pusat, yang juga Ahli Majlis Syuara ini bersuara perlahan dan teratur tetapi penuh yakin.

Beliau menitipkan pesanan kepada anggota parti agar lebih gigih berusaha, menyusun gerakerja dan jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan. Dr Mahfodz berkongsi harapan; daripada 29 Dun yang ditandingi, sasarannya 17 kerusi. Di peringkat Parlimen, katanya, daripada lapan kerusi yang ditandingi, tiga kerusi menjadi tumpuan, iaitu Pulai, Simpang Renggam dan Ayer Hitam.

Bekas tokoh akademik, yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), begitu teliti untuk menzahirkan keyakinannya terhadap kemenangan Pakatan di Johor.

"Asas sokongan kita masih orang Melayu, kita perlu mendekati mereka dengan ikhlas, memang ada kesukaran terutama di kawasan Felda dan Felcra, tapi kita mesti giatkan gerakerja," ujarnya.

"Kita ada bincangkan hal ini dalam mesyuarat Dewan Harian tadi, bagaimana untuk mengatasi kelesuan di tempat tertentu," tambah Dr Mahfodz.

Jam 3 petang, kami bergegas ke Parit Yaani, Batu Pahat, menjenguk kawasan yang bakal ditandingi Timbalan Pesuruhjaya I, Aminolhuda Hassan. Hujan lebat menyambut kami.

Pertemuan diatur dengan penduduk Kg Mohd Noor, yang berdepan dengan "projek sampah" Bukit Payong. Asalnya mereka penyokong tegar Umno. Sejak merdeka, parti pembangkang tiada ruang di sini.

Kesetiaan terhadap Umno tidak dihargai. Bantahan penduduk tidak dipeduli. Malah, wakil rakyat yang diberi kepercayaan bertindak menghina mereka.

Abang Utuh atau nama sebenar Abd Samad Saharan belum balik daripada rawatan dialisis ketika kami sampai. Bendera PAS dan KeADILan berkibar sepanjang lorong ke rumahnya.

Anak beliau, Mohd Nazreen, mesra mempersilakan kami masuk. Nazreen, yang lebih dikenali sebagai Black masih Timbalan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampungnya, tetapi bertindak nekad menyuarakan keresahan penduduk, termasuk di atas pentas Pakatan.

Abd Samad menjelaskan sebab penentangan terhadap pfojek pelupusan sampah Bukit Payong, yang bakal menyumbangkan bau busuk dan pencemaran udara, selain masalah lalulintas daripada lori berulang ali membawa lebih 600 tan sampah setiap hari.

"Kalau diteruskan juga projek sampah ini, mungkin akan bermula Arab Spring di Batu Pahat ini," katanya. Walaupun kami ketawa mendengarnya, saya yakin Abang Utuh mahu menunjukkan beliau dan penduduk serius mempertahankan hak.

"Kalau Mohamad Sabu dapat datang ke sini, cukup baik sekali. Kita gotong-royong buat kenduri. Lebih baik kalau Anwar Ibrahim turut sama, sekurang-kurangnya dapat makan tengahari di rumah saya," harapnya ikhlas.

Abd Samad pernah menjadi Ketua Cawangan Umno selama 25 tahun, dan timbalan ketua, 9 tahun. Beliau menubuhkan Umno cawangan Kg Mohd Noor pada 1974. Dilantik ketua kampung daripada tahun 2004-2009.

Saya perhatikan mereka dua beranak begitu menghormati Aminolhuda, seolah-olah sudah kenal lama. Sebelum pulang, saya hadiahkan buku Detik Utopia buat mereka, di samping memberi  jaminan untuk sama-sama menyokong bantahan penduduk.

Pagi Ahad, hari pertama Tahun Baru Cina, dari JB, kami bertolak ke Kulai, bilik gerakan PRU13 Dun Bukit Permai. Mazlan Aliman, Yang Dipertua PAS kawasan, Hisham Zin dan hampir 20 petugas parti sedia untuk bersarapan sekali.

Tidak boleh menunggu lama, walaupun teruja untuk menyelami pengalaman aktivis akar umbi, kami memburu masa ke Pengerang, ditemani Mazlan.

Lokasi paling selatan di timur Johor itu memang mendamaikan terutama dalam keadaan hujan renyai. Pekan Sungai Rengit memikat hati saya, apatah lagi apabila menyusuri jalan pantai ke Tanjung Pengelih. Pemandangan cukup cantik.

Apa pun saya tidak dapat melupakan hati budi dan keramahan Bendahari Gabungan NGO Pengerang (GNP), Chua Peng San atau lebih popular dengan panggilan Ah Chai.

Dari tengahari ke malam, pada hari raya Cina -- dan beberapa tetamunya terpaksa pulang hampa --  dia mengiringi kami ke tempat strategi, dari kubu tentera Jepun ke perkuburan Islam yang dipindahkan, meninjau jirat Cina yang masih dapat dipertahankan, melihat keunikan hubungan muhibbah di antara penduduk Melayu dan Tionghua yang bukan saja berjiran tetapi saling menumpang tanah.

Cukup serasi sekali hubungan anak gadis lulusan UTM,  Anis Afida Azli, yang juga Pengerusi GNP, yang dianggap seperti anak angkat keluarga Ah Chai.

Saya akan merakamkan pengalaman seharian bersama Ah Chai dan Anis di bumi Pengerang yang kini menangis, dalam keluaran Harakah akan datang.