Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 28 Mac 2013

Lagu : Agenda Anak Muda Berkebajikan






Lagu rasmi Agenda Anak Muda Berkebajikan http://www.youtube.com/watch?v=1-t-HD3wujM untuk tatapan dan halwa telinga semua :)

Pemuda PAS lawat penempatan sementara Lahad Datu

Pemuda PAS lawat penempatan sementara Lahad Datu

Harakahdaily, 27 Mac 2013
LAHAD DATU: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) semalam membuat kunjungan ke kem penempatan sementara penduduk Lahad Datu yang berdepan pencerobohan pengganas di kawasan mereka sejak sebulan lalu.

Kunjungan tersebut diketuai ketuanya Nasrudin Hassan bersama Setiausaha Khairul Faizi Ahmad Kamil dan turut disertai Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang diketuai Lahirul Latigu.

Rombongan tiba di penempatan sementara di Felda Sahabat petang semalam dan meluangkan masa dengan penduduk dan anggota keselamatan sehingga lewat malam.

Dianggarkan lebih 1450 penduduk masih lagi menetap di empat kem penempatan sementara menunggu suasana kembali pulih seperti sedia kala.

Dalam kunjungan itu, mereka turut menyampaikan bantuan hasil sumbangan orang ramai berupa makanan, makanan basah, keperluan belajar kepada anak-anak dan peti sejuk beku untuk tujuan penyimpanan barang basah.

"Antara keperluan anggota petugas JPA yang mencecah 200 orang satu masa ialah sleeping bag, khemah tidur kapasiti dua orang dan untuk kem penempatan pula ialah bahan makanan basah seperti ikan dan daging.

"Semalam kita dah belikan peti sejuk beku untuk dihantar ke sana sebab ia adalah keperluan mendesak untuk simpan bahan basah," kata Nasrudin.

Rombongan mereka juga turut diberikan taklimat gerakan oleh Kol Abdul Wahab Rahim.

Selesai menyantuni penduduk dan menyampaikan bantuan, rombongan DPPM juga turut meninjau kawasan termasuk pertemu dengan anggota keselamatan yang berkawal di sekitar Lahad Datu.

Selain mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini keadaan di sana, mereka juga turut menyampaikan sumbangan berupa air minuman kepada anggota yang bertugas.

Selasa, 26 Mac 2013

Shahrir: DAP hanya mahu 'bunuh' MCA

Shahrir: DAP hanya mahu 'bunuh' MCA - Sinar Harian
25 Mac 2013
 
JOHOR BAHRU - Tindakan DAP menghantar ramai pemimpin besarnya ke Johor untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hanyalah untuk satu tujuan iaitu 'membunuh'  MCA di negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Anggota parlimen Johor Baharu itu berkata, DAP berharap apabila ia berjaya 'membunuh' MCA pada PRU13, parti pembangkang itu akan diangkat sebagai wakil tunggal kepada masyarakat Cina di Johor.

"Ini tujuan DAP sebenarnya, untuk mengalahkan MCA dan jikalau mereka berjaya, mereka akan mengubah suasana politik di Johor berasaskan kepada politik perkauman.
Adakah ini yang dimahukan oleh masyarakat Cina di Johor?," katanya mengulas merasmikan jentera PRU13 Puteri, Pemuda dan Wanita BN baru-baru ini.

Menurutya, DAP mahu melakukan perkara yang sama sebagaimana dilakukan parti pembangkang itu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas - 'membunuh' parti Gerakan di negeri pulau itu.
Walaupun DAP mendakwa ia sebuah parti pelbagai kaum, tetapi  parti pembangkang itu hanya bertanding di kawasan majoriti pengundinya kaum Cina dan hanya menentang calon BN daripada parti MCA, kata Shahrir baru-baru ini ketika mengulas tindakan DAP memindahkan pemimpinnya bertanding di Johor.
DAP yang berhasrat menjadikan Johor sebagai medan utamanya pada PRU13, memutuskan untuk meletakkan penasihatnya Lim Kit Siang sebagai calon di kawasan parlimen Gelang Patah.

Parti pembangkang itu juga berhasrat meletakkan pakar strateginya, Liew Chin Tong yang juga merupakan anggota parlimen Bukit Bendera, sebagai calonnya di Johor dengan kemungkinan besar kerusi parlimen Kluang menjadi pilihan.

Anggota parlimen Johor Bahru itu berkata terdapat juga spekulasi pengerusi DAP Karpal Singh akan bertanding di Johor pada PRU13 ini, untuk kerusi parlimen Kulai yang kini disandang bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting.

Shahrir juga tidak menolak kemungkinan setiausaha agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanding di Johor memandangkan beliau dilahirkan di Johor Bahru.

Parlimen Kluang yang menjadi sasaran DAP kini disandang Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung, manakala parlimen Gelang Patah diwakili Tan Ah Heng.

Masyarakat Cina di Johor, kata Shahrir, perlu bertanya diri sendiri sama ada mereka mahukan DAP dan pembangkang untuk mempolitikkan semua perkara daripada pendidikan Cina kepada rumah ibadat dan agama, sebagaimana dilakukannya kini.

Berlainan dengan pembangkang, BN, katanya, tidak mencampuri urusan sekolah-sekolah Cina sebaliknya menyerahkan pengurusan kepada persatuan Tionghua, sama seperti yang dilakukan dalam pengurusan hal ehwal agama.
"DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempolitikkan semua perkara.

Masyarakat Cina, Melayu dan India di Johor perlu bertanya sama ada ini baik untuk masa depan di Johor dan Malaysia," kata Shahrir.

Mengenai kemungkinan PKR meletakkan bekas Panglima Tentera Darat Jen (B) Tan Sri Hashim Hussein sebagai calon mereka di kawasan parlimen Johor Bahru, Shahrir berkata apa yang lebih penting ialah sokongan pengundi, bukan calon. - Bernama

Rabu, 20 Mac 2013

Kempen "Earth Hour"

Earth Hour: Bandingkan kos elektrik rumah PM

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac ini bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

“Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan.

“Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac 2013 bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

Kempen selama sejam itu akan digerakkan ke seluruh dunia dengan penyertaan sebanyak lebih 135 buah negara. Kempen ini bermula sejak tahun 2007 oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) dan ia berterusan setiap tahun sejak itu.

Kempen ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya penjimatan eletrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini. Menjimatkan eletrik bererti menjimatkan tenaga dan sekaligus akan menyelamatkan bumi ini.

Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap penggunaan eletrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa henti yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.

Dengan kos hidup yang tinggi, ditambah dengan pembaziran penggunaan eletrik yang tidak berpatutan, kempen ini memupuk sikap supaya masyarakat pada waktu-waktu tertentu perlu menghargai tenaga dengan mengurangkan penggunaannya seminimum mungkin.

Adakalanya manusia menggunakan tenaga eletrik secara berlebihan sehinggakan pada ruang dan tempat yang tidak diperlukan penggunaannya juga masih digunakan dengan pelbagai alasan. Setidak-tidaknya selama sejam bergelap mengingatkan masyarakat supaya bersyukur dengan nikmat alam yang dikurniakan Allah SWT.

Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan. Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam (dibahagikan dengan RM10,267,868.15 untuk setahun menurut sumber Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Ini bererti sebanyak RM1188.00 dalam masa sejam dapat dijimatkan dari perbelanjaan eletrik rumah kedua-dua pemimpin tertinggi negara dan masuk ke kantung kerajaan.

Hakikatnya, dunia ini terlalu tercemar akibat pemanasan global yang boleh menyumbang kepada bencana alam akibat ketidaktentuan pada iklim.

Para saintis berpendapat suhu dunia menjadi semakin panas kerana pelepasan gas karbon dioksida yang berlebihan yang menyebabkan ia memerangkap haba.

Biasanya haba meresap dalam udara dan boleh dilepaskan ke atmosfera, tetapi dengan adanya satu lapisan karbon dioksida berlebihan, ia memerangkap haba. Sekaligus ia memberi kesan buruk kepada keadaan bumi seperti kecairan di Kutub Utara dan pergerakan ombak yang berubah yang akan memberi kesan kepada hidupan dunia.

Adalah diharapkan supaya masyarakat di seluruh negara terutama di bandar-bandar menyahut kempen ini dengan membantu bersama-sama menghidupkannya.

Internet percuma 30 minit bukan kehendak rakyat

 

Internet percuma 30 minit bukan kehendak rakyat

 

 
 Salmiyah Harun, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pemberian internet percuma untuk 30 minit pertama sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak mencapai apa yang dikehendaki rakyat.

Inisiatif yang diberikan kerajaan itu, jelas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil ianya terlalu jauh berbanding tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang menawarkan internet atau wifi secara percuma kepada seluruh rakyat negara ini.

"Setengah jam pertama tidak ada erti apa-apa hanya sekadar boleh buka internet sahaja. Setiap individu mengambil masa paling minima selama empat jam menghadap internet, selepas waktu kerja, ini tidak termasuk waktu siang. Setengah jam pertama terlalu sedikit," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, ramai sedia maklum rangkaian internet di luar bandar masih lagi tidak meluas malah masalah kelajuan internet hingga kini terus dipersoalkan.

"Macam mana hendak bagi percuma 30 minit pertama, nak buka internet d iluar bandar pun merangkak-rangkak, sudah tentu 30 minit pertama rugi macam tu sahaja. Kalau betul-betul hendak mendahulukan rakyat, bagilah betul-betul," katanya.

Khairul turut mempersoalkan kerajaan yang tiba-tiba sahaja mengumumkan insentif itu sedangkan sebelum ini Perdana Menteri sendiri mengatakan janji Pakatan Rakyat membanrupkan negara termasuk memberi wifi percuma.

"Perdana Menteri sendiri yang meniru janji Pakatan Rakyat, mengapa dia pula membuat perkara yang sama dengan janji Pakatan Rakyat. Kalau dia kata bankrup kenapa perlu laksana internet percuma," katanya.

Sebelum ini, Buku Jingga Pakatan Rakyat menawarkan wifi percuma kepada seluruh rakyat negara ini, tawaran itu mendapat keceman Umno BN yang mengatakan janji yang ditawarkan itu boleh membankrapkan negara.

Semalam, Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perkhidmatan Internet percuma bagi setengah jam pertama kepada warga miskin di bandar dan luar bandar.

Butiran lengkap mengenai perkara itu akan disediakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Selasa, 19 Mac 2013

Program Santai BBQ Di Umbai, Jasin






Maafkan Saya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

 
Bekas bos SPRM akan minta maaf pada MB
 
Bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan memohon maaf di mahkamah terbuka, kepada menteri besar Selangor berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 2009.

NONEPeguam Sankara Nair (kiri), yang mewakili Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan dan Ahmad Said telah bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu dalam dua akhbar yang telah melaporkan kenyataan Ahmad Said itu.

Ia perlu disiarkan di muka depan akhbar New Straits Times, tetapi tidak ada syarat khusus untuk akhbar The Star.

Bercakap di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, Sankara berkata responden bersetuju untuk membayar kos RM10, 000.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Lau Bee Lan.
 
Bekas bos SPRM akan minta maaf pada MB
4:17PM Mac 18 2013     
 
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dijangka akan memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ia berkaitan dengan kenyataan Ahmad Said mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh MP tersebut berhubung penyelenggaraan kereta peribadi dan pembelian sejumlah lembu bagi Hari Raya Aidiladha pada 2009 untuk kawasan parlimen yang diwakili Abdul Khalid.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah – yang dirunding sejak aawal pagi ini – dan akan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan esok.

Khalid hari ini memberi petunjuk bahawa beliau tidak akan menuntut gantirugi, namun terma penyelesaian itu hanya akan diketahui esok.

Beliau menamakan Ahmad Said dan kerajaan Malaysia sebagai responden di dalam saman tersebut.

Sabtu, 16 Mac 2013

Kawasan Pilihan : Papan Tanda Kluang Di Stesyen Keretapi









Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya dapat menemui banyak gambar dalam internet berkaitan dengan tajuk posting kali ini. Sekadar memuatnaik beberapa keping gambar di atas, sudah cukup untuk saya buktikan bahawa papan tanda ini adalah sangat istimewa kepada para warga Kluang lebih-lebih lagi yang menggunakan perkhidmatan keretapi sekian lamanya.

Gambar yang saya temui dengan banyak sekali jumlahnya adalah gambar kedai kopi yang popular iaitu Kluang Rail Coffee. Lokasi ini sememangnya cukup popular walaupun telah menggemparkan peminat kopi apabila air kopi dan roti bakarnya tercemar dengan perkara yang syubhat. Ini akan saya ulas dalam posting yang akan datang.

Apapun, saya bangga dilahirkan sebagai ORANG KLUANG.

Wassalam.

Politik dan agama mengikut perspektif Islam

Politik dan agama mengikut perspektif Islam


15 Mac 2013
Kemunculan teori pemisahan politik daripada agama dalam masyarakat Islam adalah perkara yang terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang menimbulkan perkara ini sebenarnya bertujuan mewujudkan fenomena menghalang kebangkitan semula "Negara Kuasa Besar Islam", yang berjaya membebaskan dunia dengan makna kemerdekaan yang hakiki. Kedaulatan wilayah Islam didirikan Rasulullah SAW adalah petunjuk Allah dalam ilmu politik, ia wajib diimani dan diamal oleh masyarakat Islam, lebih kuat lagi apabila sistem tersebut terbukti berjaya membebaskan masyarakat Arab daripada belenggu jahiliyyah yang sesat, zalim dan ganas.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, negara Islam ditegakkan oleh para sahabat dan tabi'en berjaya menumbangkan kuasa besar Timur dan Barat yang berorientasikan penjajahan dan perhambaan. Kebenaran politik Islam terbukti lagi apabila keseluruhan penduduk bumi yang diperintah oleh Islam menjadi penganut Islam yang setia sehinggalah kepimpinan negara bergilir dalam kalangan berbagai-bagai bangsa yang menganut Islam, tidak hanya dalam kalangan bangsa Arab sahaja.

Setelah negara Islam dijatuhkan dengan kehilangan khilafah, kuasa besar yang muncul selepasnya telah kembali kepada dasar jahiliyah baru yang diubahsuai dari semasa ke semasa. Negara tanah jajahan dikatakan merdeka daripada penjajahan asing dengan keluarnya penjajah dan diganti dengan sistem pemerintahan yang bersifat bangsa dan anak negeri, tetapi sebenarnya, ditukar kepada penjajahan pemikiran dengan penerusan ideologi dan sistem warisan peninggalan penjajah asing.

Semua keadaan ini memaksa negara dunia ketiga, khususnya negeri umat Islam terus disebut sedang membangun, tetapi tidak terbangun, oleh sebab dibelenggu penjajahan akal yang belum dirungkai dan terus bergantung dan berkait dengan negara yang pernah menjajah mereka dengan berbagai-bagai ikatan dan jalinan.

Kemunculan ideologi daripada sekularisme yang memisahkan urusan duniawi daripada agama dalam masyarakat Islam, khususnya aspek politik adalah warisan peninggalan penjajah dan termasuk dalam agenda barat yang menghalang kemunculan semula pemerintahan Islam yang sebenarnya menjadi penyelamat manusia sejagat.

Kuasa besar dunia hari ini menganggap Islam menjadi penghalang cita-cita mereka bagi menguasai dunia secara penjajahan atas nama hak asasi dan kebebasan, dengan penguasaan terhadap sesama manusia dan sumber kehidupan mereka secara sebelah pihak dan berkisar dalam kalangan bangsa dan golongan tertentu sahaja. Keadaan yang ada menjadikan seluruh dunia terkeluar dari landasan hidup bermasyarakat yang menjadi ikutan sejagat, hilangnya tanggungjawab kemanusiaan yang wajib seperti tolong-menolong dan berlaku adil terhadap semua umat manusia.

Yang dikatakan hak asasi manusia dan kebebasan hanyalah menjadi topeng godaan golongan yang kuat (autokrat) terhadap golongan yang lemah dan istilah kepada ungkapan "new world order" atau order baharu dunia sebenarnya adalah "penjajahan baru".

Malangnya, apabila sikap negatif terhadap politik sengaja diwujudkan dalam masyarakat Islam, sehingga lahirnya ungkapan sesat yang membuat kenyataan, bahawa semua urusan politik adalah kotor dan jijik, difahamkan ia termasuk juga politik Islam. Persepsi songsang ini ditimbulkan supaya umat Islam berpeluk tubuh menerima siapa sahaja yang memerintah, sehingga menerima siapa sahaja yang menjajah, asalkan bebas beribadat dan beradat, hanya cukup sekadar ini.

Kedudukan sikap acuh tidak acuh seperti itu menyebabkan Islam yang mulia tidak memimpin tetapi dipimpin atau dalam istilah popularnya "diperkudakan", tidak memerintah tetapi diperintah. Maka berlakulah kehinaan terhadap penganut Islam dan umatnya, sehingga diratah laksana makanan yang dikelilingi oleh para pelahap yang rakus.

Kewajipan menegakkan negara dalam syariat Islam dihilangkan, menyebabkan hukum-hukum Islam daripada Ilmu Allah, Kalam-Nya dan teladan daripada Rasulullah SAW disia-siakan bahkan ada yang dihina.

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa, walaupun diusahakan oleh mereka yang bersifat "kuasa besar", kerana ia datang daripada Allah Azza wa Jalla Tuhan Yang Maha Esa. Pencipta Alam, Tuhan Yang Maha Perkasa Lagi Bijaksana. Kita wajib menjadikan cahaya Islam ini petunjuk ke jalan yang benar, mengambil dan menimba daripada petunjuk-Nya yang terpelihara dalam al-Quran yang teguh dan kuat.

Sebelum kita meninjau dengan lebih jauh perbincangan tajuk ini, "Politik" dan "Islam" tidak difahami dengan sahih, sekiranya kita tidak memahami apakah takrif politik dan takrif Islam yang sebenarnya kerana Islam yang datang daripada Allah dan Rasul yang dipilih sendiri oleh Allah bagi menyampaikan Islam kepada manusia, hendaklah menjadi sumber yang asasi, supaya dapat dibezakan Islam dengan agama lain, serta dapat memahami apakah kedudukan politik dan amalannya mengikut ajaran Islam.

Khusus bagi orang-orang yang beriman dilarang sekeras-kerasnya mencela mana-mana ajaran Islam, termasuk juga politik Islam kerana semua ajaran ini berkait dengan iman dan Islamnya seseorang.

Tulisan ini menjelaskan tajuk khusus berkenaan politik dan hubungannya dengan agama mengikut perspektif Islam, penjelasan daripada al-Quran dan hadis dengan huraian oleh para ulama yang muktabar dalam kalangan salaf dan khalaf, kalangan yang benar-benar menerima pusaka Ilmu daripada para Nabi dengan benar, amanah dan ikhlas. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat membebaskan daripada belenggu kejahilan umat dan kelemahan ulama yang melanda umat Islam.

Perlu diketahui bahawa Islam mempunyai batas sempadan dengan ajaran yang lain, terpelihara daripada sebarang penyelewengan dengan jaminan Allah, ia tidak mampu dinodai oleh ajaran lain, sama ada yang dinamakan agama atau ideologi. Mereka yang cuba mengheret Islam daripada landasannya yang kukuh akan terpelanting ke dalam kebinasaan dunia dan celaka di akhirat, walaupun dia pemimpin yang berkuasa atau ulama yang berijazah tinggi.

Islam tetap memuliakan akal dan ilmu yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain, tetapi hendaklah diakui manusia, ilmu dan akalnya tetap bersifat makhluk yang dibebani kelemahan yang mewajibkan mereka merujuk petunjuk dan memohon pertolongan Allah. Ketahuilah bahawa manusia yang bersifat seperti iblis yang sombong, bongkak, angkuh dan enggan menyedari dia adalah makhluk yang lemah, tidak layak mendapat hidayah daripada Allah.

Takrif Politik

Perkataan politik berasal daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan perkataan yang sama dalam pelbagai bahasa dunia, sama ada bahasa Barat atau Timur. Makna dan maksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin dan mengendalikan urusan.

Dalam bahasa Arab ia disebut dengan perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan. Disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kaum Bani Israil pada zaman dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka, sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang diminta supaya mereka menunaikannya.”

Perkataan siyasah tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang dinaskan secara nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud perkataan "khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu daripada tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.

Firman Allah Taala, bermaksud:

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka (Malaikat) lalu berkata; Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu mereka yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah : ayat 30)

Para ulama seperti al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Khaldun di dalam kitabnya Al-Muqaddimah, Abu Ya'la dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, mereka masing-masing meletakkan siyasah (politik) dalam kewajipan Khilafah dan Imamah:

“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diwujudkan bagi melaksanakan kewajipan khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi melaksanakannya, hukumnya wajib dengan Ijma’(para ulama).”

Urusan politik termasuk dalam perkara ilmu fiqah dengan bab dan fasal serta furuknya. Ada juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama imamah, atau ahkam sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah as-Sakandari menyebut dalam mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan kata-kata Imam Malik:

“Sesiapa yang bertasawuf dalam keadaan tidak memahami ilmu fiqah, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng akidahnya) dan sesiapa yang mendalami fiqah dalam keadaan tidak mengambil kira ilmu tasawuf maka dia menjadi fasik dan sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”

Takrif Agama

Perkataan agama dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa sanskrit, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Barat dengan perkataan religion. Dihuraikan dengan makna ajaran dan kepercayaan yang berkait dengan ketuhanan dan aspek yang berhubung dengannya seperti ibadat dan akhlak atau kepercayaan kepada yang maha berkuasa dan perkara yang ada hubungan dengannya dari segi ibadat.

Islam bermaksud yang lebih luas daripada perkataan agama atau "religion". Al-Quran menyatakan ia adalah daripada maksud perkataan al-din. Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya agama dan cara hidup (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Dan tidaklah menjadi pertelingkahan dalam kalangan penganut agama kitab melainkan setelah datang kepada mereka ilmu (yang benar daripada Allah) kerana sikap melampau kalangan mereka, dan sesiapa yang kufur (ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu sangat segera hisabnya.” (Surah ali-Imran : ayat 19)

Walaupun diterjemahkan dengan perkataan agama, tetapi Islam memberi makna yang lebih luas daripada perkataan agama, mengikut bahasa yang lain kerana ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan diajar serta ditunjuk cara pelaksanaan oleh Rasulullah SAW merangkumi aspek yang tercakup di dalamnya ajaran yang berhubung dengan ketuhanan dan cara hidup yang menyeluruh mengikut fitrah kejadian manusia. Firman Allah, bermaksud:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Din Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) Din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum : ayat 30)

Fitrah ialah naluri atau sifat semula jadi manusia, berjasad, roh, ananiyyah (individualistik), madani atau hadari (bermasyarakat dan bertamadun). Dengan sifat ini mereka layak beribadah, berkhalifah dan beramanah. Maka Allah menugaskan mereka dengan panduan ajaran Allah yang dinamakan al-din yang menetapkan arahan dan peraturan dalam semua perkara yang menjadi fitrah itu dan mereka wajib akur secara menyerah dan tunduk yang diringkaskan dengan perkataan Islam.

Dengan huraian tersebut menunjukkan bahawa Islam yang di sebut Din itu lebih luas daripada takrif agama, lebih luas daripada tafsiran agama mengikut bahasa yang lain daripada bahasa al-Quran (bahasa Arab).

Ajaran Islam itu bukan sahaja dalam perkara hubungan manusia dengan Tuhan dalam aspek ibadah dan perkara akhlak, bahkan menyatakan cara hubungan manusia dengan dirinya dari segi roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan makhluk yang lain, sama ada yang berkait secara langsung bagi keperluan diri manusia atau tidak langsung, sehingga melibatkan seluruh alam semesta, yang nyata dan ghaib serta berwawasan daripada dunia sehingga akhirat.

Rasulullah SAW menghuraikannya apabila disoal oleh Malaikat Jibril dengan tiga bahagian, iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Para ulama menterjemahkannya dengan akidah, syariat dan akhlak. Perkara akidah menjadi perbincangan ilmu usul al-din atau akidah atau tauhid. Perkara syariat menjadi perbincangan ilmu fiqah dan perkara akhlak menjadi perbincangan ilmu tasawuf. Sehinggalah perkara asas dalam tiap-tiap aspek ini menjadi fardu ain yang diwajibkan ke atas setiap penganut Islam Islam lelaki dan wanita yang mukallaf.

Islam Risalah Semua Para Rasul

Semua Rasul SAW yang dilantik oleh Allah menganut Islam dengan maksud al-Din. Firman Allah Taala, bermaksud:

“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya; Tunduk patuhlah! (yakni Islam). Lantas Ibrahim menjawab; Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam.”

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan dengan perkara itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata); Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ajaran ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk Islam.” (Surah al-Baqarah : ayat 131-132)

Firman Allah lagi, bermaksud:

“Adakah kamu hadir ketika Ya’qub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya; Apa yang kamu sembah sepeninggalanku? Mereka menjawab; Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya (Islam).” (Surah al-Baqarah : ayat 133)

Firman Allah lagi, bermaksud:

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dia telah memilih kamu dan sekali-kali Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) ajaran orang tuamu Ibrahim, dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah, dia adalah Pelindungmu, maka dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” (Surah al-Hajj : ayat 78)

Perkataan agama dipakai kepada Islam hanya satu pendekatan untuk memudah faham, tetapi perlu kepada huraian yang lain supaya difahami dengan betul dan sahih bahawa Islam itu berbeza daripada takrif agama dan ajaran yang lain.

Hubungan Politik Dengan Agama

Keseluruhan agama yang lain daripada Islam, samada agama samawi yang telah diubah daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau ideologi politik ciptaan manusia juga, menegaskan bahawa politik tidak ada hubungan dengan agama. Dengan maksud perkara politik tiada kaitan dengan agama dan ia berasingan daripada agama, maka dalam urusan politik manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu sendiri tanpa bergantung kepada agama.

Adapun teori politik ciptaan manusia pula tidak ada kaitan dengan agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga kalangan yang mengaitkan politik dengan agama tetapi agama tidak boleh mengatasi keputusan politik.

Dalam masyarakat Barat yang menganut agama kristian secara jelas mengisytiharkan pegangan mereka kepada fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan yang dipertahankan.

Sebahagian mereka menidakkan agama dalam perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama negara tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah dalam kalangan mereka ideologi dan teori politik yang jelas, sama ada mengharamkan agama secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl Marx dan pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas, tetapi politik dibebaskan daripada agama seperti yang diamalkan dalam negara liberal demokrasi.

Apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, maka fahaman ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut berbagai agama. Malangnya, kalangan umat Islam juga terpengaruh dengannya sama ada secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada tekanan politik globalisasi.

http://www.tarbawi.my

Jumaat, 15 Mac 2013

Apa Sudah Jadi Dengan Lampu Isyarat Bulatan Kluang?

 
Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Pada 17 Julai 2012 yang lalu, Pakatan Rakyat Kluang telah mengadakan sidang media  berkaitan beberapa isu, klik SINI.
Di antara yang dibangkitkan pada ketika itu adalah berkaitan dengan isu pembaziran wang rakyat apabila projek lampu isyarat bulatan jalan Kluang-Air Hitam yang hanya dapat berfungsi tidak sampai sehari.
 
PR Kluang mahu pihak MPK menyatakan sebab mengapa projek itu gagal dilaksanakan dengan baik kerana kami yakin bahawa projek seumpama itu sudah pasti sudah diperhalusi keberkesanannya terlebih dahulu memandangkan kos projek tersebut menggunakan wang rakyat.
 
Selepas daripada kegagalan lampu isyarat tersebut berfungsi, beberapa papan tanda "Lampu Isyarat Sedang Diuji" telah diletak dikaki lampu isyarat sebagai tanda bahawa ia akan diuji semula selepas daripada itu. Namun, sejak daripada papan tanda itu diletakkan sehinggalah semalam, tidak pernah sekali pun lampu isyarat itu diuji semula.
 
Pelbagai respon telah diterima dan disiarkan melalui media cetak berkaitan dengan kenyataan media PR Kluang selepas daripada itu termasuklah daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi MCA Kluang yang mencadangkan agar bulatan tersebut dihapuskan dan sistem lampu isyarat akan dibina selepas daripada itu.
 
Cadangan tersebut ditolak oleh PR Kluang kerana kos pemasangan lampu isyarat sebelum daripada itu telah dikeluarkan terlebih dahulu dan sudah pasti ia merupakan satu pembaziran.
 

 
Pada pagi tadi, semasa saya melalui bulatan tersebut, saya terkejut apabila kesemua tiang lampu isyarat tersebut telah 'menyembah bumi' dan saya menjangkakan bahawa ia akan dibuka selama-lamanya. Sehingga kenyataan ini ditulis, tiang lampu isyarat tersebut masih terbaring di atas tanah tanpa kepastian apa sebenarnya akan terjadi.

Saya akan membuat kenyataan rasmi berkaitan dengan perkara ini dan sekiranya benar bahawa ia tidak akan digunakan lagi maka ada beberapa perkara yang saya perlu dapatkan kepastian daripada pihak MPK agar wang rakyat tidak dibazirkan dengan begitu saja.Adalah wajar MPK membuat penjelasan terhadap perkara ini sebelum ia menimbulkan pelbagai persepsi.
 
Sekian, wassalam

Rabu, 13 Mac 2013

Abim fail saman RM10j ke atas Utusan

Abim fail saman RM10j ke atas Utusan
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd berhubung penyiaran laporan yang didakwa menghina NGO berkenaan dan juga isteri Rasulullah.Writ saman tersebut menamakan Presiden Abim Amidi Abdul Manan sebagai plaintif, manakala Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Ketua Pengarang Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan Lukman Ismail dinamakan sebagai defendan.

NONEWrit saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 pagi ini oleh peguam Abim Mohd Khairul Anwar Ismail melalui Tetuan Anwar Ismail & Associates.

Writ saman itu merujuk kepada artikel yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 8 Februari bertajuk 'PAS Benarkan Tarian Lucah, Abim Hina Isteri Rasulullah?' di perenggan 16 dan 17.

Tulisan itu didakwa sebagai "suatu penyataan fitnah yang berniat jahat terhadap plaintif yang bertujuan untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta merendahkan martabat plaintif sebagai sebuah pertubuhan Islam dan dakwah yang cukup dikenali".

Amidi dalam writ samannya berkata artikel dan penyataan tersebut merupakan satu fitnah dan berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan reputasinya.

Selain itu ia juga didakwa menimbulkan kebencian dan penghinaan masyarakat umum sebagai pertubuhan Islam dan kepimpinannya serta mencari sensasi dan publisiti murahan didorong oleh kecenderungan politik dan tujuan lain.

NONE"Artikel fitnah dan penyataan fitnah tersebut yang dibuat terhadap plaintif adalah tidak benar dan salah sama sekali, malahan ianya tidak lain tidak bukan adalah bersifat liar dan jahat, dan secara keseluruhannya tidak berlaku adil kepada plaintif.

"Sebagai pertubuhan Islam dan dakwah, plaintif dengan tegasnya menafikan bahawa anugerah tersebut diwujudkan dan diberikan dengan bertujuan menghina dan mempersenda isteri Rasulullah SAW," writ saman itu dipetik.

Dokumen itu menyebut, anugerah dengan nama tersebut sebelum ini pernah diberikan oleh institusi lain selain Abim, termasuk juga institusi kerajaan.

Amidi juga berkata, beliau dan para pemimpin Abim menanggung malu dan kepercayaan masyarakat mula terhakis akibat “fitnah keterlaluan” yang didakwa memberi gambaran jahat keterlaluan kepada plaintif.

Writ itu difailkan selepas ketiga-tiga defendan enggan menarik balik artikel dan memohon maaf terbuka sehingga ke hari ini kepada Abim selepas notis tuntutan itu dihantar pada 22 Februari lalu.

Selain gantirugi pampasan RM10 juta, beliau turut menuntut gantirugi teruk, gantirugi teladan serta perintah injunksi untuk menahan artikel itu diterbit, dilafaz atau dicakapkan semula oleh Utusan atau/dan ejennya atau sesiapapun.

Selain itu Amidi turut menuntut antaranya faedah sebanyak 8 peratus ke atas jumlah penghakiman dan tarikh pemfailan saman sehingga penyelesaian penuh dan kos relif yang difikirkan adil dan berpatutan oleh mahkamah.

Turut mengiringi Amidi ke mahkamah hari ini ialah peguam Mohd Khairul Anuar dan Setiausaha Agung Mohamad Raimi Ab Rahim.

Malaysia Ikat Juara Tujuh Kali Australia Dengan Seri 1-1

Malaysia Ikat Juara Tujuh Kali Australia Dengan Seri 1-1

IPOH, 12 Mac (Bernama) -- Penyerang berbisa, Faizal Shaari muncul penyelamat pasukan negara apabila meledakkan gol penyamaan membolehkan Malaysia seri 1-1 menentang Australia dalam saingan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini malam Selasa.
Pada separuh masa pertama menyaksikan permainan bergaya dipamerkan pasukan negara yang dibimbing Paul Revington dengan beberapa gerakan cantik dan menggetarkan penjaga gol Australia Andrew Charter.

Pada minit ke-27 Muhammad Marhan Mohd Jalil tidak dapat melaksanakan penyudah yang cemerlang untuk mata pertama negara selepas berdepan secara solo dengan Charter.

Persembahan anak didik Ric Charlesworth dilihat tidak begitu kemas apabila, Malaysia beberapa kali melancarkan serangan berbahaya di dalam kawasan D bagi mencari mata pertama.

Bagaimanapun, seminit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat, gawang Malaysia dibolosi gol pertama Australia oleh Trent Mitton apabila berlaku pergelutan di hadapan pintu gol sekali gus membuat penjaganya, S. Kumar tersungkur. Hampir 4,000 peminat hoki yang memenuhi setiap ruang Stadium Hoki Sultan Azlan Shah tidak berganjak memberi sokongan padu kepada pasukan negara termasuk melalui nyanyian lagu 'Perajurit Tanah Air' dan pukulan gendang yang bergema di setiap sudut.

Pertarungan pasukan negara untuk mencari mata penyamaan pada separuh masa kedua akhirnya direalisasikan penyerang lincah, Faizal Shaari pada minit ke-69 selepas tolakan derasnya menembusi gawang juara tujuh kali itu.

Faizal tidak mensia-siakan peluang yang hadir dalam situasi pergelutan selepas pukulan penalti tidak dapat disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim di depan pintu gawang Australia.

Malaysia bakal berdepan Pakistan pada Khamis ini dalam perlawanan yang berlangsung sebelah malam.

Pasukan negara yang diketuai Mohd Shahrun Nabil Abdullah sebelum ini menewaskan Korea dan New Zeland dalam perlawanan masing-masing pada Sabtu dan Ahad lepas.

Terdahulu, semasa perlawanan pada sebelah petang tadi, Korea tumpas kepada New Zealand 0-3 manakala India mengukir kemenangan ketiga selepas mengalahkan Pakistan 3-1.

-- BERNAMA

Takziah Kepada Keluarga Prebet Ahmad Hurairah Ismail

 
Dua tentera terbunuh bertempur dan kemalangan
 
dikemaskini Seorang anggota tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan anggota 'tentera diraja Sulu' di Sungai Nyamuk di Lahad Datu pagi ini.

NONEManakala lewat petang ini, diumumkan bahawa seorang lagi anggota tentera meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lahad Datu.


Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zain berkata, pasukan keselamatan bertembung dengan lima anggota
penceroboh pada jam 7.45 pagi ini ketika melakukan operasi pembersihan di kawasan sekitar Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu.

Zulkifeli (kiri) berkata penceroboh berundur ke bahagian atas Sungai Nyamuk dan anggota mengekori mereka dan diikuti dengan pertempuran pada kira-kira jam 10.45 pagi.

Dalam pertempuran itu, katanya pasukan keselamatan membunuh tiga penceroboh, tetapi malangnya, seorang anggota pasukan keselamatan turut dibunuh.

Bercakap dalam satu sidang akhbar lewat petang ini, Zulkifeli berkata ini adalah korban pertama yang dialami pasukan keselamatan Malaysia sejak Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac.

Bagaimanapun, bercakap dalam satu sidang akhbar lewat malam ini, Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata dua penceroboh telah ditembak mati kerana pasukan keselamatan hanya menemui dua mayat.

Apabila ditanya mengenai kenyataan Zulkifeli sebelum ini, Hamza menjawab: "Tidak, saya tidak menafikan ia, mungkin beliau mendapat laporan awal, mungkin bilangan musuh yang ditembak tiga, tetapi hanya dua mayat ditemui."

Katanya, mungkin seorang lagi penceroboh mengalami kecederaan dan menyelamatkan dirinya (dan melarikan diri)," katanya.

Menurutnya lagi, pertempuran yang berlaku antara jam 9 pagi hingga 1.50 tengahari, di mana seorang anggota tentera cedera.

Hamza berkata, seorang lagi anggota tentera meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, apabila dia "hilang kawalan" ke atas trak tentera ketika dalam perjalanan pulang dari pekan Lahad Datu ke Cenderawasih.

Menurutnya, anggota tentera itu cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Manakala seoran glagi anggota tentera dalam trak tersebut cedera di pipinya. [Baca berita penuh]

Senarai anggota keselamatan terkorban

Sementara itu mengikut laporan Bernama, berikut adalah senarai anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah:    

  • 1 Mac 2013 - ASP Zulkifli Mamat, 29, dari Pasukan Polis Komando VAT 69.   
  • 1 Mac 2013 -  Sjn Sabaruddin Daud, 46, dari Pasukan Komando VAT 69.   
  • 2 Mac 2013 -  ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman.   
  • 2 Mac 2013 - ASP Michael Padel, 36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.   
  • 2 Mac 2013 -  Sjn Abdul Azis Sarikon, 48, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 - L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 - Sjn Detektif Baharin Hamit, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
  • 2 Mac 2013 - Kpl Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.   
  • 12 Mac 2013 - Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 RAMD Tawau.

Najib Perlukan Tambahan Masa Lagi Sebelum Bubar Parlimen

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,


Agak melucukan apabila Perdana Menteri tergamak untuk membuat perakuan bahawa beliau memerlukan masa tambahan sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum yang masih tak kunjung tiba lagi.
Apa alasan Najib? Alasannya adalaha beliau perlu buktikan kepada rakyat terlebih dulu bahawa pelan serta agenda transformasi yang dibawanya berjaya. 

Najib merasakan bahawa tempoh masa yang telah dilaluinya sebelum ini masih belum cukup dapat meyakinkan rakyat bahawa BN telah lakukan pelbagai perkara dalam masa empat tahun dan beliau mahu rakyat berikan lagi mandat kepada BN untuk membuat lebih baik dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Memang Najib cuba untuk membuat satu sketsa yang penuh dengan kelucuan. Saya katakan begitu kerana Najib seolah-olah tidak sedar bahawa tempoh sah kerajaan yang sedia ada pada ketika ini sudah sampai ke penghujungnya. Sama ada najib telah bersedia ataupun tidak untuk berhadapan dengan PRU ke 13 perlu ditempoh juga kerana tarikh akhir kerajaan yang ada ini akan tamat selepas 28 April yang akan datang ini. 

Bagi saya kelucuan yang ditimbulkan Najib ini telah meletakkan BN semakin jauh daripada pengundi. Ada ketika, Najib seperti sudah cukup bersedia untuk membubarkan Parlimen seperti mana yang telah dipertontonkan kepada rakyat pada hari terakhir Persidangan Tahunan UMNO yang lalu apabila semua perwakilan telah memberikan sokongan kepada beliau untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong. Tetapi sampai ke sudah ia tidak berlaku lagi.

Mungkin Najib tidak sedar bahawa 'grassroot' UMNO di semua peringkat telah pun menaikkan bendera BN untuk pusingan yang kedua dan mungkin juga yang ketiga. Ada bendera BN dah lusuh dan menyembah bumi kerana dipasang lebih setahun yang lalu kerana mereka percaya bahawa parlimen akan dibubarkan namun ia masih tidak mendatangkan hasil. Ada juga yang dijadikan pembungkus buah nangka.

Bagi saya, apa sebenarnya yang bermain diminda Najib sekarang ini adakah BN akan mendapat mandat lagi atau tidak daripada rakyat dan tidak timbul soal rakyat faham atau tidak transformasi yang di bawa oleh Najib.

Dalam bab ini, Najib sememangnya perlu belajar daripada Pak Lah yang dengan tenang membubarkan Parlimen walaupun tidak sampai setahun menjadi PM gantian pada tahun 2004.
Wassalam
 
-------------------------------------------------------------- 
PRU: Saya perlukan masa, kata Najib - Malaysiakini




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memerlukan masa sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang dihujani soalan berkaitan pilihan raya dalam rancangan  “Conversation with the PM” yang disiarkan di TV3 malam tadi berkata, beliau perlu membuktikan kepada rakyat terlebih dahulu bahawa pelan serta agenda transformasi yang dibawanya berjaya.

"Ya (boleh umum pilihan raya). Tetapi saya mahu berdepan dengan rakyat dan menunjukkan bahawa agenda transformasi kami sebenarnya sedang berjalan dan ini adalah kemajuan sebenar kepada negara. Inilah perubahan dan kita sedang menyampaikan. Dan rakyat boleh merasainya.

"Jadi saya perlukan masa kerana seperti yang anda tahu, apabila kita merancang sesuatu perkara, kita boleh merancang dan menyampaikan. Ia mengambil masa. Tetapi saya bersyukur yang keputusan (transformasi) adalah positif. Dan keputusan keseluruhannya menunjukkan bahawa ia mencapai di luar jangkaan kami dalam masa empat tahun.

"Mesej kami kepada rakyat ialah, kami telah lakukan pelbagai perkara dalam masa empat tahun ini.  Jika kami masih diberikan mandat, saya akan buktikan yang kami akan lakukan lebih baik dalam masa lima tahun akan datang," katanya.

Selain itu, dalam rancangan itu, Najib yang diajukan sebanyak 20 soalan berkata, rakyat Malaysia juga perlu bijak memilih serta menentukan sesebuah kerajaan pada masa akan datang.

Katanya, rakyat tidak wajar mempertaruhkan negara kepada pembangkang yang menurutnya mempunyai ideologi yang berbeza antara satu sama lain.

"Saya ingin memberitahu rakyat yang kita memerlukan kerajaan yang kuat untuk negara. Kita tidak boleh menerima ketidakstabilan dan ketidakstabilan ini yang akan menjadikan kerajaan lemah. Semua perkara yang baik telah dilakukan dan semua pencapaian yang telah kita lalui selama 50 tahun ini boleh dihakis dalam sekelip mata dan ini bukanlah untuk eksperimen.

"Ini adalah masa untuk kita semua meletakkan masa depan kepada kerajaan yang mempunyai rekod yang kukuh. Kerajaan yang mempunyai masa depan yang jelas. Kita tidak boleh memperjudikan kepada pembangkang sebab mereka tidak mempunyai platform yang kukuh serta masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza. Mereka juga tidak berdaftar dan mempunyai tiga simbol yang berbeza. Mereka juga tidak dapat menentukan siapa yang akan memimpin sekiranya mereka menjadi kerajaan.

"Jadi pesan saya kepada rakyat Malaysia, kita mempunyai masa depan yang cerah," kata Najib lagi.