TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Jumaat, 8 Mac 2013

Ibu tunggal berasa kecewa - Sinar Harian

Ibu tunggal berasa kecewa

KLUANG – Seorang ibu tunggal kecewa apabila dimaklumkan tuntutan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 telah ditunaikan oleh individu lain.

Perkara itu hanya disedari Natasha Ismail, 27, apabila bekas suaminya, Faridzul Abu Bakar, 28, ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat semakan dan mendapati nama  ketiga-tiga anaknya telah disalah gunakan oleh individu lain bagi mendapatkan wang BR1M 2.0 sebanyak RM500.
"Menyedari terdapat penyelewengan, saya dan bekas suami membuat dua laporan polis secara berasingan iaitu pada 20 dan 24 Februari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Malah, kami juga telah berjumpa dengan pihak LHDN berhubung perkara ini serta memohon pihak terbabit menjalankan siasatan dan seterusnya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Bagaimanapun, Natasha mendakwa sehingga kini pihaknya masih gagal mendapatkan sebarang maklum balas dari mana-mana pihak.

“Saya berharap pihak LHDN dapat menyelesaikan segera masalah ini dan khuatir bukan hanya saya sahaja yang terkena, kemungkinan individu lain juga akan turut menerima nasib sama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN daerah Kluang, Dzu Irwan Jamaludin mengesahkan telah menerima aduan terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami berharap pihak pengadu bersabar dan sebarang keputusan yang diperoleh akan dimaklumkan oleh pihaknya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya juga sedang menyiasat aduan mangsa berikutan laporan polis yang telah dibuat.

“Pihak kami akan menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan atas kesalahan menyeleweng,” katanya, semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan