Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 29 Mei 2013

Datuk Tamrin, Haris Ibrahim, Safwan Anang dan Tian Chua Di Tahan!



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Sekali lagi, Datuk Tamrin dan Haris Ibrahim ditahan lagi. Begitu juga seorang lagi pejuang Anak Muda, Safwan Anang yang di tahan di rumahnya ketika hendak pergi ke kuliah maghrib.

Selepas selesai mesyuarat di Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, saya terus ke Balai Polis Dang Wangi dan setibanya saya di sana kelihatan para penyokong telah berkumpul di hadapan balai polis tersebut. 

Kelihatan kelibat Datuk Tamrin yang sedang dikerumun oleh para wartawan dan mereka yang berada di sana. 

Begitu juga dengan sdr Safwan Anang yang disambut oleh para anak muda yang cukup kental semangat juang mereka.

Pagi nanti mereka akan ke Mahkamah untuk di dakwa di hadapan Hakim. Kita tunggu apa isah selanjutnya nanti.

Wassalam

Khamis, 23 Mei 2013

Semoga Adam Adli Terus Tabah dan Istiqamah Dalam Berjuang


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Alhamdulillah, walaupun hari ini saya mengiringi Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad untuk menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Damansara, saya masih sempat lagi sampai di Mahkamah untuk melihat perkembangan kes Adam Adli yang di tahan baru-baru ini.

Disebabkan 'appointment' telah ditetapkan pada pukul 11 pagi maka kami selesaikan terlebih dahulu urusan kami dan terus ke Mahkamah Sesyen KL selepas daripada itu. 

Setiba kami di sana, kelihatan para penyokong dan wartawan sedang keluar daripada mahkamah dan peguam Adam sedang membuat penjelasan berkaitan dengan kesnya itu.

Adam yang kelihatan letih dan penat tetapi masih mempunyai semangat untuk memberikan kata-kata untuk merangsang anak muda agar terus berjuang.

Negara kita perlukan lebih ramai lagi anak muda yang bersemangat waja seperti Adam Adli. Semoga ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk anak muda untuk bangkit menentang kezaliman dan menegakkan keadilan di negara kita yang tercinta ini.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
-----------------------------------------------------------------

Kes Adam disebut semula 2 Julai, ikat jamin RM5,000

Muhammad Faizal, 23 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini membebaskan Adam Adli Abdul Halim dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian setelah aktivis mahasiswa itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui ucapannya pada 13 Mei lalu.

Mahkamah juga membuat keputusan kes tersebut akan disebut semula pada 2 Julai depan.

Adam, 24, dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Beliau yang diwakili peguam S Ambiga sebelum ini ditahan selama lima hari di lokap Balai Polis Jinjang.

Pagi tadi, lebih 50 orang penyokong aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim hadir di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, pagi ini bagi memberi sokongan kepada Adam yang akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Adam telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu berhubung ucapan beliau pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor 13 Mei lalu.

Adam, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Turut hadir peguam N. Surendran, S Ambiga dan juga bapa Adam, Abdul Halim Abdul Hamid.

Pada awalnya keadaan menjadi sedikit kecoh apabila pihak polis tidak membenarkan penyokong Adam Adli memasuki pekarangan lobi mahkamah.

Namun keadaan kembali reda apabila perbincangan dilakukan antara penyokong dengan pihak polis.

Sabtu, 18 Mei 2013

Lagu Terbaru Saya : Ku Pinta Redha Mu


Lagu terbaru saya, "Ku Pinta Redha Mu" telah pun berada di Youtube sejak 16 Mei 2013 yang lalu, klik di sini

Lagu, lirik & vokal : Khairul Faizi AK
www.khairulfaizi.com

Sudah sunnah para pejuang,
Mengembara berkelana,
Dirempuh ombak penuh derita,
Redha Tuhan dipinta.

Susah senang silih berganti,
Miskin papa jadi tradisi,
Tidur baringnya tiada berwaktu,
Rezekinya Tuhan yang tahu.

Sunnah berjuang,
Diserah jiwa dan raga,
Menitis darah, keringat dan air mata,
Anak dan isteri ditinggal pergi,
Demi kehidupan di alam abadi.

Korus

Sabarlah wahai pejuang,
Jasadmu pasti dikekang,
Kerana berjuang tiada erti senang,

Biar jenuh hidup dipalu,
Menongkah badai sembilu
Kau tetap setia sehingga ke akhirnya.

Sudah sunnah para pejuang,
Mengembara berkelana,
Dirempuh ombak penuh derita,
Redha Tuhan dipinta.
Redha Tuhan dipinta.
Redha Tuhan...yang dipinta.

Selasa, 14 Mei 2013

Laporan Berita Isu Undi Awal di Dun Mahkota



Pas persoal kertas undi awal - Sinar Harian

KLUANG - Pas Kluang mempersoalkan empat kertas undi awal tertera nama calon Pas Dun Nusajaya yang ditemui sewaktu pengiraan undi awal yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Ahad lalu, di Dun Mahkota.
Ejen mengira undi bagi kerusi Pas Dun Mahkota, Syukri Ahmad berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang sewaktu dia diamanahkan untuk mengira bagi pihak Pas.

Menurutnya, ketika itu dia yang diarahkan untuk mengira undi bagi saluran empat Undi Awal Kem Mahkota, berasa pelik kerana terdapat empat kertas undi yang tertera nama Salahuddin Ayub sebagai calon Pas sedangkan calon Pas di Dun Mahkota yang bertanding adalah Khairul Faizi Ahmad Kamil.

“Saya juga mendapati, kertas undi tersebut adalah kertas undi bagi kerusi Dun Nusajaya.

"Saya sangat musykil bagaimana undi awal tersebut boleh berada di dalam tong undi Dun Mahkota kerana kertas undi awal pada 30 April lalu, telah disimpan rapi di bawah jagaan pihak keselamatan di Balai Polis Kluang.

“Selepas itu, saya telah meminta agar perkara ini dibawa kepada pengetahuan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengiraan undi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di IPD Kluang, di sini, semalam.

Syukri berkata, selepas selesai pengiraan undi itu, dia telah bertemu dengan calon Pas Dun Mahkota dan memaklumkan tentang perkara berkenaan.

Jelasnya, calon berkenaan  menyatakan, tindakan susulan perlu dilakukan dan setelah berbincang maka dia terus mengambil tindakan untuk membuat laporan polis agar kes tersebut dapat disiasat dengan segera.

Sementara itu, Khairul Faizi berkata, sebelum membuat laporan polis, pihaknya telah berbincang dengan peguam sama ada wajar atau tidak tindakan tersebut diambil.

Menurutnya, apabila peguam mereka mengatakan bahawa laporan polis boleh dibuat, beliau telah menyuruh Syukri untuk membuat laporan.

“Kami mahu keadilan dan biarlah proses pengundian dapat dijalankan dengan bersih tanpa ada sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.


Kertas undi ditemui dalam peti undi kawasan lain - Malaysiakini

 
Pemuda PAS Johor hari ini membuat laporan polis ke atas penemuan beberapa kertas undi dari kawasan DUN Nusa Jaya dalam satu peti undi dari kawasan berlainan.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seorang ejen pengiraan undi PAS untuk kawasan DUN Mahkota telah menemui perkara itu ketika penjumlahan dijalankan untuk pengundian awal pada 5 Mei.

Khairul Faizi, yang membuat laporan di balai polis Kluang berkata para ejen mengesan perkara itu apabila mendapati nama calon PAS untuk Nusa Jaya, Salahuddin Ayub tertera di kertas undi tersebut.

Mahkota terletak dalam kawasan parlimen Kluang manakala Nusa Jaya terletak dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Katanya, ejen terbabit mengemukakan bantahan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan menuntut agar undi tersebut dikira untuk kerusi Nusa Jaya.

Namun, SPR menganggap undi berkenaan sebagai undi rosak, katanya.

“Kami merujuk peguam dan memutuskan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki peti undi untuk pengundian awal bagi Mahkot, yang dimaterai dan ditempatkan di balai polis, mungkin telah diusik,” katanya.

Beliau menambah, ejen pengiraan berkenaan bagaimanapun tidak melihat sama ada kertas undi tersebut memihak kepada Salahuddin, yang tewas di kerusi Nusa Jaya kepada calon BN Zaini Abu Bakar dengan 2,201 undi.

Masa Untuk Membalas Sokongan Pengundi

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Hari ini hari sudah masuk hari ke lapan keputusan Pilihan Raya Umum ke ke 13 (PRU13) diumumkan dan seperti mana yang telah diketahui ramai bahawa BN terus menerima mandat untuk membentuk kerajaan yang baru. Walaupun mandat itu masih lagi dicabar melalui petisyen-petisyen pilihan raya namun hakikatnya BN masih lagi berkuasa dengan kemenangan yang semakin merosot dan menjunam serta tidak mengembirakan Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi BN.

Johor yang terkenal sebagai negeri terkuat UMNO/BN di Dunia telah dirobek dengan kemenangan 18 kerusi DUN daripada wakil PR (DAP - 13 kerusi, PAS - 4 kerusi, PKR - 1 kerusi) dan lima kerusi Parlimen (DAP - 4 kerusi, PKR - 1 kerusi) sehingga menyebabkan MB Johor yang baru terpaksa berdepan dengan wakil PR yang lebih ramai jika dibandingkan dengan mantan MB Johor sebelum ini.

Di Kluang, tema "Kluang Mencetus Perubahan" telah berjaya meraih sokongan yang luar biasa daripada pengundi sehingga Parlimen Kluang dan Dun Mengkibol telah berjaya ditawan oleh wakil DAP dan hanya tewas di Dun Mahkota dengan majoriti yang kecil, itu pun kerana BN telah dibantu dengan 'sokongan padu' daripada Undi Awal dan Undi Pos.Walau bagaimanapun, perjuangan untuk menang di Dun Mahkota masih diteruskan dengan petisyen yang akan dibuat tidak lama lagi.

Apapun, saya akan teruskan perjuangan saya bagi membalas sokongan seramai 18,323 pengundi yang telah menyokong PR di Mahkota dan perjuangan saya tidak akan terbatas dengan perbezaan kaum dan agama.

Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan. Sentiasa ingat bahawa :-

"KITA DIKIRA SEBAGAI 'KALAH' HANYA APABILA KITA BERHENTI BERUSAHA. ORANG YANG BERJAYA ADALAH ORANG YANG TIDAK PERNAH BERHENTI BERUSAHA. MAKA TERUSKAN USAHA SEHINGGA KITA BERJAYA"

Sekian, wassalam.

Posting Menarik Sepanjang PRU 13 Parlimen Kluang & Dun Mahkota