TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 14 Mei 2013

Laporan Berita Isu Undi Awal di Dun Mahkota



Pas persoal kertas undi awal - Sinar Harian

KLUANG - Pas Kluang mempersoalkan empat kertas undi awal tertera nama calon Pas Dun Nusajaya yang ditemui sewaktu pengiraan undi awal yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Ahad lalu, di Dun Mahkota.
Ejen mengira undi bagi kerusi Pas Dun Mahkota, Syukri Ahmad berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang sewaktu dia diamanahkan untuk mengira bagi pihak Pas.

Menurutnya, ketika itu dia yang diarahkan untuk mengira undi bagi saluran empat Undi Awal Kem Mahkota, berasa pelik kerana terdapat empat kertas undi yang tertera nama Salahuddin Ayub sebagai calon Pas sedangkan calon Pas di Dun Mahkota yang bertanding adalah Khairul Faizi Ahmad Kamil.

“Saya juga mendapati, kertas undi tersebut adalah kertas undi bagi kerusi Dun Nusajaya.

"Saya sangat musykil bagaimana undi awal tersebut boleh berada di dalam tong undi Dun Mahkota kerana kertas undi awal pada 30 April lalu, telah disimpan rapi di bawah jagaan pihak keselamatan di Balai Polis Kluang.

“Selepas itu, saya telah meminta agar perkara ini dibawa kepada pengetahuan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengiraan undi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di IPD Kluang, di sini, semalam.

Syukri berkata, selepas selesai pengiraan undi itu, dia telah bertemu dengan calon Pas Dun Mahkota dan memaklumkan tentang perkara berkenaan.

Jelasnya, calon berkenaan  menyatakan, tindakan susulan perlu dilakukan dan setelah berbincang maka dia terus mengambil tindakan untuk membuat laporan polis agar kes tersebut dapat disiasat dengan segera.

Sementara itu, Khairul Faizi berkata, sebelum membuat laporan polis, pihaknya telah berbincang dengan peguam sama ada wajar atau tidak tindakan tersebut diambil.

Menurutnya, apabila peguam mereka mengatakan bahawa laporan polis boleh dibuat, beliau telah menyuruh Syukri untuk membuat laporan.

“Kami mahu keadilan dan biarlah proses pengundian dapat dijalankan dengan bersih tanpa ada sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.


Kertas undi ditemui dalam peti undi kawasan lain - Malaysiakini

 
Pemuda PAS Johor hari ini membuat laporan polis ke atas penemuan beberapa kertas undi dari kawasan DUN Nusa Jaya dalam satu peti undi dari kawasan berlainan.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seorang ejen pengiraan undi PAS untuk kawasan DUN Mahkota telah menemui perkara itu ketika penjumlahan dijalankan untuk pengundian awal pada 5 Mei.

Khairul Faizi, yang membuat laporan di balai polis Kluang berkata para ejen mengesan perkara itu apabila mendapati nama calon PAS untuk Nusa Jaya, Salahuddin Ayub tertera di kertas undi tersebut.

Mahkota terletak dalam kawasan parlimen Kluang manakala Nusa Jaya terletak dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Katanya, ejen terbabit mengemukakan bantahan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan menuntut agar undi tersebut dikira untuk kerusi Nusa Jaya.

Namun, SPR menganggap undi berkenaan sebagai undi rosak, katanya.

“Kami merujuk peguam dan memutuskan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki peti undi untuk pengundian awal bagi Mahkot, yang dimaterai dan ditempatkan di balai polis, mungkin telah diusik,” katanya.

Beliau menambah, ejen pengiraan berkenaan bagaimanapun tidak melihat sama ada kertas undi tersebut memihak kepada Salahuddin, yang tewas di kerusi Nusa Jaya kepada calon BN Zaini Abu Bakar dengan 2,201 undi.

0 ulasan:

Catat Ulasan