Memulaukan majlis angkat sumpah sebagai anggota Parlimen tidak menghilangkan jawatan anggota Parlimen, tetapi mereka hanya akan terlepas peluang memilih speaker Dewan Rakyat, jelas gabungan NGO "Suara Rakyat 505".

Kumpulan yang mendakwa berlakunya penipuan besar-besaran dalam pilihan raya umum lalu juga menegaskan, jika semua anggota parlimen Pakatan Rakyat hadir pun, BN hanya memerlukan majoriti mudah untuk melantik speaker.

"Untuk melantik Speaker Dewan hanya memerlukan majoriti mudah dan ini bermakna walau kesemua anggota Parlimen Pakatan hadir sekalipun, BN yang mempunyai majoriti mudah boleh saja terus melantik sesiapa yang mereka mahu," menurut soalan lazim yang dikeluarkan gabungan itu hari ini.