TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 12 Jun 2013

Bekas menteri Umno sertai kecaman terhadap adik Najib kerana bela CEO AirAsia X

Bekas menteri Umno sertai kecaman terhadap adik Najib kerana bela CEO AirAsia X - Malaysian Insider

Jun 12, 2013

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin, hari ini menyertai kecaman terhadap adik perdana menteri Datuk Seri Nazir Razak kerana membela Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani kerana mengkritik pendirian rasis akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia.

Dua hari lalu Nazir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank Berhad memuji Azran kerana berani menyatakan pendiriannya walaupun tidak disukai ramai orang.

Azran diserang hebat oleh Utusan Malaysia dan pertubuhan Melayu berhaluan kanan sebelum ini selepas mengkritik akhbar milik Umno itu melalui akaun twitternya @azranosmanrani.


“Barangkali Nazir memikirkan tanpa Utusan Malaysia menyerang balas terhadap sikap melampau orang Cina, maka Barisan Nasional akan mendapat sokongan orang Cina,” tulis Zainuddin dalam kolumnya di Utusan Malaysia hari ini bertajuk “Korporat galak sikap dan amalan anarkis”.

“Sebenarnya Nazir menambah masalah yang dihadapi oleh Najib dan Umno,” tambah beliau lagi.

Menurut bekas menteri penerangan di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi itu, Nazir seolah-oleh merestui tindakan anarkis sesetengah tokoh korporat.

“Pada pandangan saya, oleh kerana Nazir menganggap Azran sebagai seorang pemimpin besar kerana tindakannya itu, maka bererti beliau merestukan amalan sikap anarkis CEO atau Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dalam badan-badan korporat atau syarikat besar.

“Tentulah semangat Azran bertambah tinggi dengan sokongan Nazir, adik kepada Perdana Menteri Malaysia yang tidak memahami krisis keyakinan yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Umno,” katanya.

Ketika melancarkan prospektus AirAsia X kelmarin adik kepada Najib itu dilaporkan berkata oleh media,” sesetengah orang mungkin memikirkan Azran melampau dalam kata-katanya tetapi apakah yang dapat kita harapkan apabila kita mempunyai seorang pengerusi seperti (Tan Sri) Rafidah Aziz”.
 
Zainuddin (gambar) yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia itu menyatakan tidak faham mengapa Nazir menganggap Azran sebagai pemimpin yang lantang dan berterus terang.
“Saya tidak tahu dalam soal apakah yang dimaksudkan oleh Nazir sebagai sikap terus terang Azran.
“Adakah tanggapannya Utusan sebagai akhbar rasis kerana menyiarkan berita ‘Apa Lagi Orang Cina Mahu’ atau ugutannya untuk menarik iklan AirAsia daripada Utusan Malaysia,” katanya.
Semalam pertubuhan bukan kerajaan Gabungan NGO Islam menyelar Nazir ekoran sokongannya terhadap Azran.

“Nazir dan Azran adalah dua contoh terbaik anak Melayu yang menepati maksud peribahasa ‘Seperti kacang lupakan kulit'.

“Justeru kami ingin sarankan agar Nazir dan Azran bertukar-tukar jawatan atas dasar suka sama suka demi menguatkan lagi sikap anti Melayu mereka,” kata Dzulkarnain Taib mewakili gabungan pertubuhan tersebut semalam.

Presiden Wartawan Muda Malaysia itu membidas Nazir kerana tidak mementingkan sensitiviti kaum Melayu sendiri, disamping mendakwa adik kepada Najib tidak pernah memahami rasa susah payah kerana dibesarkan dalam keluarga bangsawan.

“Tidak ramai orang Melayu bernasib baik seperti Nazir yang dilahirkan di dalam keluarga bangsawan.

“Kami sangat kesal dengan kenyataan Nazir kerana walaupun menerajui sebuah konglomerat bank yang terkemuka di rantau ASEAN, malangnya beliau terperangkap dalam kerangka pemikiran dan minda yang membelakangkan sentimen dan sensitiviti bangsa Melayunya sendiri,” katanya lagi.

Semenjak bulan lalu Azran turut dilaporkan menerima kritikan daripada Perkasa, kumpulan pendesak Melayu atas kenyataan kerasnya itu.

Utusan Malaysia turut menyiarkan pandangan pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan aktivis pro Umno menyelar Azran dan menggelarnya “sombong” dan Melayu yang lupa daratan.

Pengerusi AirAsia X Rafizah dan pengarahnya, Datuk Seri Kalimullah Hassan juga turut diserang daripada pelbagai kumpulan selepas kedua-duanya mempertahankan kenyataan Azran.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar turut menyokong Utusan dan berkata Azran tidak akan berada di posisi sekarang tanpa “perjuangan Melayu yang dilakukan Utusan Malaysia”.

0 ulasan:

Catat Ulasan