TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 18 Jun 2013

KENYATAAN MEDIA : KECEWAAN TAN SRI ABDUL AZIZ PERLU DITEBUS DENGAN PENGUNDURAN

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

KEKECEWAAN TAN SRI ABDUL AZIZ PERLU DITEBUS DENGAN PENGUNDURAN
(18 Jun 2013)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akhirnya meluahkan rasa kekecewaan mengenai isu dakwat kekal. Meskipun beliau tidak menjelaskan apa yang dikecewakan mengenai dakwat kekal itu, namun dapat dilihat ia berkaitan dengan penggunaan dakwat yang tidak kekal yang menjadi polemik rakyat.

Setelah ribuan laporan polis dibuat, ratusan ribu rakyat meluahkan rasa marah, kecewa dan kesal, malah pelbagai siri himpunan raksasa diadakan termasuk perhimpunan terbesar pada 22 Jun 2013 bagi membantah penipuan SPR kerana penggunaan dakwat yang tidak kekal, baru kini Pengerusi SPR meluahkan rasa kecewa berhubung penggunaannya.

Tan Sri Abdul Aziz seperti mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke 13 adalah kegagalannya dan kegagalan SPR keseluruhannya. Penggunaan dakwat kekal adalah perkara paling asas dalam tuntutan rakyat berhubung penambah baikan PRU ke 13. Itupun gagal ditunaikan dengan baik dan ia menjadi titik tolak kepada lebih banyak kepincangan yang berlaku kemudiannya. Seolah-olah, dakwat kekal adalah pintu kecurangan kepada penipuan terbesar yang tergambar dengan jelas melalui petisyen yang dikemukakan oleh banyak pihak.


Kekesalan Tan Sri Abdul Aziz sudah terlambat dan tidak berguna lagi. Ibarat susu yang tumpah tanah, insiden penipuan dalam PRU ke 13 sudah berlalu dan Malaysia mencatat sejarah antara negara yang berada dalam senarai demokrasi hitam di negara ini. Belum pernah dalam sejarah, petisyen PRU di failkan sebanyak ini menandakan semua pihak bersetuju berlaku penipuan semasa PRU. Sedikit kesilapan SPR sudah mengubah landskap politik negara, menyebabkan rakyat menjadi kecoh, berlaku perselisihan antara parti-parti politik, agensi kerajaan seperti SPR pula sudah tidak dipercayai lagi manakala negara Malaysia dilabel antara negara yang gagal melaksanakan sistem demokrasinya secara adil dan telus.

Langkah terbaik meluahkan kekecewaan Tan Sri Abdul Aziz adalah dengan mengundurkan diri serta merta.  Tidak ada gunanya beliau mempertahankan jawatannya kerana kegagalan beliau terlalu besar untuk ditebus dengan kekecewaan dan kekesalan. Berundur secara terhormat lebih baik dari diundurkan rakyat secara paksa.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan