Memulaukan majlis angkat sumpah sebagai anggota Parlimen tidak menghilangkan jawatan anggota Parlimen, tetapi mereka hanya akan terlepas peluang memilih speaker Dewan Rakyat, jelas gabungan NGO "Suara Rakyat 505".

Kumpulan yang mendakwa berlakunya penipuan besar-besaran dalam pilihan raya umum lalu juga menegaskan, jika semua anggota parlimen Pakatan Rakyat hadir pun, BN hanya memerlukan majoriti mudah untuk melantik speaker.

"Untuk melantik Speaker Dewan hanya memerlukan majoriti mudah dan ini bermakna walau kesemua anggota Parlimen Pakatan hadir sekalipun, BN yang mempunyai majoriti mudah boleh saja terus melantik sesiapa yang mereka mahu," menurut soalan lazim yang dikeluarkan gabungan itu hari ini.


Berikut senarai soalan lazim yang diedarkan mereka bagi menjawab tujuh persoalan berhubung saranan pemulauan majlis angkat sumpah yang dibuat mereka sebelum ini.

Apakah tuntutan Suara Rakyat 505 kepada ahli-ahli Parlimen?

Suara Rakyat 505 menuntut ahli-ahli parlimen Pakatan untuk boikot/t idak menghadiri upacara angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun 2013.

Kenapa?

Pertama sekali, ia selari dengan kenyataan Pakatan. Pakatan telah menyebut sebelum ini tidak mengiktiraf keputusan PRU-13 yang lalu kerana berlaku banyak penipuan. Dalam masa yang sama, lebih dari 35 kerusi yang telah dipetisyenkan . BERSIH juga tidak mengiktiraf BN sebagai kerajaan.

Kedua, untuk menarik perhatian media antarabangsa terhadap Malaysia. Upacara angkat sumpah selalu diberi perhatian meluas oleh media antarabangsa. Kita memerlukan liputan media ini untuk melawan arus media yang bias dan mengingatkan rakyat tentang penipuan pilihan raya.

Juga boleh baca kenyataan ini: PENJELASAN: DESAKAN BOIKOT MAJLIS ANGKAT SUMPAH

Adakah MP yang memboikot upacara angkat sumpah akan hilang jawatan mereka sebagai wakil rakyat?

Tidak. Sememangnya tidak. Artikel 59, Klausa 2 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa , ahli-ahli parlimen mempunyai masa sehingga enam bulan untuk mengangkat sumpah sebelum kerusinya diisytiharkan kosong.

Parlimen standing order juga menuntut speaker untuk membantu MP mengangkat sumpah secepat mungkin jika mereka tidak menghadiri sesi pertama. Asasnya, jika mereka tidak hadir pada hari tersebut, hari seterusnya mereka masih boleh dibantu speaker untuk mengangkat sumpah.

Pada 11 Jun 2013, Naib Presiden PKR Surendran pernah menjelaskan perkara ini.

Apakah yang akan terjadi kepada anggota Parlimen Pakatan yang menyertai boikot?

Mereka akan terlepas dalam memilih speaker Dewan. Untuk melantik Speaker Dewan hanya memerlukan majoriti mudah dan ini bermakna walau kesemua anggota Parlimen Pakatan PR hadir sekalipun, BN yang mempunyai majoriti mudah boleh saja terus melantik sesiapa yang mereka mahu.

Tidakkah BN akan mencuba meluluskan apa-apa sahaja undang-undang dengan ketiadaan anggota Parlimen Pakatan?

Ada sesetengah undang-undang yang hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan, dan ada yang memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan.

Untuk undang-undang dengan majoriti mudah, anggota Parlimen BN boleh meluluskannya tanpa kehadiran anggota Parlimen Pakatan. Untuk undang-undang dengan majoriti dua pertiga , BN tidak boleh meluluskannya dengan ketiadaan anggota Parlimen Pakatan.

Dalam mana-mana situasi, undang-undang baru memerlukan masa berminggu-minggu untuk dibawa ke Parlimen dan didebatkan,dirangka-semula, didebatkan lagi kemudian barulah ia diluluskan. Maka, mustahil bagi Parlimen untuk meluluskan undang-undang dalam masa 24 jam. Jadi perkara ini tidak harus dirisaukan.

Pernahkah ia dibuat sebelum ini?

Ya, perkara ini adalah tindakan wajar yang biasa dilakukan yang mana keputusan pilihan raya tidak diterima sebagai sah.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, anggota Parlimen Mongolia memboikot sesi pertama Parlimen kerana mereka menganggap pilihan raya dipenuhi banyak penipuan.

Pada tahun 2011, ahli-ahli pembangkang Turki juga boikot upacara angkat sumpah di Parlimen untuk menunjukkan protes terhadap beberapa anggota Parlimen yang dipenjara oleh Erdogan, yang kini berdepan dengan protes besar-besaran.

Ada banyak lagi contoh seperti di Sudan, Ghana, Fiji dan India.

Dan dalam negara-negara ini, anggota Parlimen tidak kehilangan kerusi mereka?
Tidak. Sememangnya tidak. Inilah demokrasi. Anggota Parlimen berhak untuk memboikot angkat sumpah kerana ini kebebasan meluahkan pendirian mereka. Ia sama seperti rakyat biasa yang memboikot sebarang acara/surat khabar kerana tidak berpuas hati dengannya. Mereka tidak kehilangan kerusi, malah mendapat liputan media secara meluas dalam masa yang sama menidakkan tuntutan kerajaan.