Kepemimpinan baru perkukuh parti selepas PRU-13 - Berita Harian

Kuala Lumpur: UMNO merombak kepemimpinan negeri dengan membuat perubahan enam Pengerusi dan Timbalan Pengerusi untuk memperkukuhkan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.

Negeri berkenaan ialah Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor.
Pelantikan diumumkan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi, di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.


UMNO Perlis yang sebelum ini diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu diganti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala Menteri Besarnya, Azlan Man dilantik Timbalan Pengerusi bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Shahidan.

Tukar jawatan

Pertukaran turut membabitkan Kedah apabila Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sebelum ini, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir saling bertukar jawatan.