TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 18 Ogos 2013

Himpunan Munajat 100K Berjaya Mencapai Matlamat

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

1. Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kekuatan dan kemudahan serta kelapangan kepada semua pihak dalam menjayakan satu perhimpunan yang dinamakan sebagai Himpunan Munajat 100K yang telah diadakan di Padang Merbok Kuala Lumpur semalam.


2. Walaupun tempoh yang diberikan untuk memastikan bahawa himpunan ini diadakan hanya dalam masa 2 hari sahaja secara 'bidan terjun' namun ia terbukti bahawa sekiranya tugas itu benar-benar diberikan fokus dan meletakkan pergantungan (dependence) kepada Allah maka dengan izinNya ia akan berjaya untuk dilaksanakan. Bak kata orang dulu-dulu 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.

3. Kehadiran para pimpinan politik dan NGO melambangkan betapa seriusnya mereka terhadap isu yang sedang melanda rakyat Mesir ketika ini. Presiden PAS Tuan Guru Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Haji Salahudin Ayub, Ketua Dewan Muslimat YB Kak Lah, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Ketua Dewan Ulama, Dr Mahfodz Mohamed, Timbalan Presiden IKRAM Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi GMI sdr Syed Ibrahim Syed Noh, sdr Jufitri Joha daripada ABIM dan ramai lagi pimpinan NGO memberikan sokongan kepada himpunan ini.


4. Kehadiran beberapa orang  pemimpin DAP yang terdiri daripada Setiausaha Publisiti YB Anthony Loke, Pengerusi Pendidikan Politik YB Liew Chin Tong, Ketua DAPSY YB Teo Kok Siong dan beberapa orang lagi pimpinan DAP sangat dihargai dan menunjukkan mereka lebih serius berbanding pemimpin UMNO yang masih segan silu untuk menyatakan sikap mereka mengutuk tindakan zalim kerajaan kudeta Mesir. Pemimpin UMNO perlu 'berkatalah benar walaupun pahit' dalam isu di Mesir ini.


 5. Kerjasama daripada pihak Polis dan DBKL adalah sangat dihargai. Bukan hanya memberikan kebenaran untuk penganjur mengendalikan program malah mereka memberikan kerjasama sepanjang himpunan tersebut diadakan semalam. Terima kasih daun keladi, semoga pada masa akan datang dapat anjurkan program di Padang Merbok lagi. Insya Allah esok saya akan hantar surat ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama yang diberikan.

6. Pasukan Jabatan Amal seperti biasa diamanahkan untuk menjaga keselamatan sepanjang program diadakan. Seramai 500 anggota telah bertugas bermula daripada pagi sehingga ke malam termasuklah tugas kebersihan, kutipan derma, persediakan tempat dan pasukan kecemasan. Jabatan Amal adalah aset Dewan Pemuda yang cukup penting dalam aktiviti kemasyarakatan dan sewajarnya anak-anak muda di seluruh negara menyertai pasukan Amal ini.


7. Ketua Komanden sdr Kamaruzaman Mohamad dan timbalannya sdr Nurul Islam telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan sepanjang majlis berlangsung. Pengerusi majlis, Ustaz Riduan Mohd Nor yang pakar dalam mengendalikan himpunan dan demonstrasi telah berjaya menghidupkan suasana sehingga ke akhirnya.

8. Kehadiran exco Dewan Pemuda PAS membantu melicinkan perjalanan program ibarat kata pepatah 'berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing' termasuklah menjadi petugas untuk mengutip derma jihad bermula daripada Ketuanya, Timbalan Ketuanya, Naib Ketuanya, seluruhnya!

9. Akhirnya, berterusanlah kita bermunajat kepada Allah agar isu yang sedang melanda saudara kita di Mesir akan berakhir dengan kejayaan di pihak Muslim Brotherhood dan Dr Mohamad Mursi akan dibebaskan.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Bilik Setiausaha DPPM
18 Ogos 2013, 12.15 tengahari
 


0 ulasan:

Catat Ulasan