TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 22 September 2013

BERSAMA MELANGKAH KEHADAPAN


MESYUARAT AGONG TAHUNAN
PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) KAWASAN KLUANG KALI KE 30
-------------------------------------------------------------
UCAPTEMA YANG DI PERTUA PAS KAWASAN KLUANG

TAJUK :  BERSAMA MELANGKAH KEHADAPAN.

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan Salam ke atas Junjungan kami Saiyidina Muhammad dan keatas keluarganya dan para sahabatnya semua.

Saya menggariskan LIMA PERKARA untuk sama-sama kita berikan perhatian di dalam Mesyuarat Agong PAS Kawasan Kluang kali ke 30 ini.

PERTAMANYA : MENGKOREKSI NAWAITU

Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya"

(Hadis Riwayat Bukhari).

Setiap ahli PAS wajar untuk kembali mengkoreksi tujuan menyertai PAS. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang didaftarkan sebagai sebuah parti politik meletakkan dasarnya adalah Islam yang mana tujuan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Niat penting untuk memastikan bahawa kita tidak lari dan tergelincir daripada landasan perjuangan. Mudah-mudahan ia akan membantu kita untuk terus bergerak dengan ikhlas menuju keredhaan daripadaNya.

KEDUANYA : MEMPERKUKUH TARBIYAH DAN DAKWAH

PAS telah melalui revolusinya yang pertamanya dalam institusi Tarbiyah sehingga melahirkan ramai kader-kader yang berjiwa kental. Ramai di antara kader-kader kita dahulu sanggup untuk mengorbankan apa sahaja demi sebuah perjuangan Islam.

Tarbiyah yang longgar menyebabkan ahli menjadi lesu dan hanyut sehingga menyebabkan salah faham terhadap ‘aqidah perjuangan’ menyebabkan mereka gagal melaksanakan misi dan visi perjuangan kita.

Justeru, memangkinkan semula program tarbiyah kepada semua ahli sebagai aktiviti wajib. Sistem dan perjalanan Tarbiyah yang kukuh akan memudahkan tugas sebagai pendakwah.

Tindakan :

i.        Memperkasa dan menaiktaraf kondisi Balai Islam Haji Omar Jani sebagai Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Kluang dengan penyusunan semula program tarbiyah dan kefahaman Islam.

ii.       Setiap Dewan dan PAS cawangan wajib melaksanakan usrah dan usrah gabungan dilaksanakan di peringkat PAS Kawasan.

iii.      Mengerakkan program dakwah secara berkala kepada masyarakat.

KETIGANYA : PRESTASI PAS KLUANG DALAM PILIHANRAYA (DUN MAHKOTA)

PAS Kluang telah mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah penubuhan PAS selama 30 tahun. Bermula dengan pengalaman 'hilang deposit' sehinggalah mencatatkan sokongan 48.5% pengundi di Dun Mahkota.

Tahun
PRU
PAS
BN
Majoriti
Peratus
2004
Kali ke 11
4,107

19,045

14,938

17.7 %

2008
Kali ke 12
9,009

17,489

8,480

34.0%

2013
Kali ke 13
18,323

19,431

1,108

48.5%


Ini membuktikan PAS semakin diterima oleh rakyat daripada sebuah parti yang kerdil sehingga hampir-hampir mencatatkan kemenangan.

Tidak mustahil PRU14 PAS akan diizinkan oleh Allah untuk menang. Post mortem  PRU telah dibuat dan ia perlu dijadikan panduan untuk menghadapi PRU ke 14.

Tindakan

i.        Membentuk semula Jawatankuasa MTD Mahkota di dalam Mesyuarat Pertama PAS kawasan Kluang sesi yang baru.

ii.       Persiapan awal seperti mengemaskini daftar pemilih, pendaftaran pengundi baru, petugas PACA dan kewangan perlu digerakkan sepanjang masa.

iii.      Mengenal pasti calon-calon berpontesi PRU untuk diketengahkan di dalam masyarakat.

KEEMPAT : MEMPERKUKUHKAN ORGANISASI
                          
Firman Allah

''Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.'' (Al-Saff: 4)

Bagi menghadapi tugas dan amanah yang lebih mencabar maka organisasi PAS perlu diperkukuh. PAS Kluang tidak boleh lagi bergerak di peringkat kawasan tetapi perlu hidup di cawangan-cawangan. Sesi ini kita berjaya menambahkan jumlah cawangan daripada 7 cawangan ke 12 Cawangan.

Cawangan baru :-

1.    PAS Cawangan Kampung Baru
2.    PAS Cawangan Kampung Bentong
3.    PAS Cawangan Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin
4.    PAS cawangan Taman Sri Impian
5.    PAS Cawangan Taman Ilham

Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Urusan Ulama’ adalah sayap kepada PAS kawasan. Pemuda perlu fokus kepada pembinaan generasi pelapis dan menarik undi golongan anak muda. Jabatan Amal dan PASTI perlu diperkukuh untuk menjadi jambatan PAS kepada masyarakat.

Dewan Muslimat perlu berusaha menarik sokongan golongan wanita kepada PAS dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan program agama.

Urusan Ulama’ perlu melaksanakan peranan utama urusan ini diwujudkan iaitu  menyatukan ‘Ulamak-ulamak PAS dalam Kawasan itu serta ‘Ulamak-ulamak yang belum menyertai PAS supaya menyertai PAS.

Tindakan

i.        Perlu berusaha untuk menubuhkan PAS cawangan di beberapa lokaliti yang mana PAS dan PR menerima sokongan yang masih rendah dan UPU yang masih belum mempunyai cawangan PAS seperti UPU Taman Berlian, UPU Kampung Melayu I, UPU Jalan Hospital dan UPU Taman Kerjasama.

ii.       Mengemaskini sistem pentadbiran mengikut Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja seperti yang telah diterbitkan oleh BPPNJ.

iii.      Mengemaskini data keahlian sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

iv.     Menyediakan pelan ekonomi untuk memastikan kewangan PAS Kawasan kukuh dan berterusan.

v.      Melancarkan kempen ‘Seorang Ahli Satu Cawangan” untuk memastikan setiap cawangan dapat diaktifkan.

KELIMA : PERKUKUH KERJASAMA PAKATAN RAKYAT KLUANG.

Di Kluang, PR telah berjaya menang kerusi Parlimen Kluang dan Dun Mengkibol. Hasrat untuk menang ketiga-tiga kerusi di Kluang tertangguh akibat Dun Mahkota masih kekal di tangan BN.

PRU ke-13 menyaksikan kerjasama PAS dan DAP serta PKR adalah yang terbaik pernah disaksikan. Cetusan idea sdr Liew Chin Tong untuk mewujudkan suasana 'Kempen Rakyat' dan 'Karnival Rakyat' sepanjang kempen PRU telah berjaya mengubah senario politik di Kluang. Apa yang penting sekarang adalah jalinan kerjasama kita bersama untuk melaksanakan harapan rakyat kepada kita.

Kerjasama untuk membantu YB Liew Chin Tong & YB Tan Hong Pin perlu dilaksanakan dengan teratur di seluruh Parlimen Kluang di samping menjalankan aktiviti PAS seperti yang dirancang.

Penutup

Ibaratkan diri kita sebagai sebatang lidi dan sebatang penyapu. Sebatang lidi jika diikat dengan seratus lidi yang lain maka akan terbentuklah sebatang penyapu.

Pergabungan kita sama ada dalam bentuk tenaga, pemikiran dan wang ringgit akan mampu membina sebuah pasukan yang kuat dan seterusnya akan lebih mudah untuk mencapai matlamat bersama. Kerana itu ukhuwah sesama ahli PAS perlu diperkukuh dan segala perselisihan perlu diselesaikan dengan baik serta perlu memaafkan segala kesilapan yang terdahulu.

Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya selaku YDP PAS Kluang sepanjang sesi ini dan semoga semuanya akan diganjari oleh Allah S.W.T.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
Sesi 2011 – 2013
YANG DI PERTUA PAS KAWASAN KLUANG
SESI 2011-2013

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL dilahirkan pada 11 Januari 1973 di Kampung Masjid Lama, Kluang Johor. Telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Monaliza Musa dan telah dikurniakan seramai lima orang cahaya mata.

PENDIDIKAN

·         Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, Johor
·         Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Kluang, Johor 
·         Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak
·         Diploma Kejuruteraan Elektrik (Perhubungan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
·         Diploma Tasawur Islam daripada Institut Latihan Perkaderan (ILHAM)
·         Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kemasyarakatan (Sains Politik) Universiti Sains Malaysia (USM)
·         Menyambung Pengajian Ijazah Tinggi dalam bidang Geopolitik di Universiti Malaya (UM)


PENGALAMAN DAN PENGLIBATAN DALAM POLITIK DI DALAM PARLIMEN KLUANG

·         Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS cawangan Kampung Melayu (1997-1999),
·         Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang (1997-1999),
·         Setiausaha PAS Kawasan Kluang (1999-2001),
·         Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang (2001-2005),
·         Ketua PAS Cawangan Bandar Kluang (2003-2005),
·         Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang (2005-2007),
·         Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang (2007-2009),
·         Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang (2009-2011),
·         Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang (2011-2013),
·         Ketua Penerangan PAS Cawangan Taman Sri Kluang (2013 - sekarang)


0 ulasan:

Catat Ulasan