Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 18 November 2013

Ingkar arahan parti, DAP pecat Adun Pujut





Sehari dua ini, kita telah mendengar kisah Dr Hassan Ali seperti mahu kembali kepangkuan PAS,  sebuah parti yang telah beliau sertai dan telah berikrar mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Saya tidak mahu menulis tentang perkara itu buat masa ini, insya Allah dalam masa beberapa hari lagi jika berkesempatan saya akan menulisnya tetapi saya sangat tertarik dengan berita seorang ADUN DAP yang dipecat kerana ingkat arahan parti.

Apa yang diingkarinya? Di antara adalah kerana tidak mahu memberikan SUMBANGAN WAJIB kepada parti sebagai ADUN. Tindakan-tindakan lain yang dilakukan oleh YB Fong tidaklah saya ketahui lagi kerana saya belum temui kenyataan penuh Pengerusi Lembaga Disiplin DAP.

Walaupun seperti tidak wajar dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti tapi saya melihat ia adalah satu penegasan yang tinggi kepada ahli-ahli parti yang telah dipilih sebagai ADUN.

Jika tidak menunaikan sumbangan bulanan pun dianggap melanggar arahan parti dan boleh dipecat maka apa lagi jika berterusan mengkritik parti dan terus mencemuh PAS selepas dipecat.

Wassalam.

Harakahdaily,
18 Nov 2013

KUALA LUMPUR: DAP hari ini melucut keahlian parti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Sarawak, Fong Pau Teck (gambar) berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin DAP, Tan Kok Wai berkata, keputusan memecat Fong itu dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin setelah mendapati beliau melakukan banyak tindakan yang melanggar disiplin parti.

Beliau berkata, Fong juga didapati gagal dan enggan memberi sumbangan wajib bulanan sebagai wakil rakyat kepada parti biarpun elaun Adun Sarawak telah dinaikkan.

“Ini bermakna beliau ingkar kepada arahan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Cheras dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ujar beliau, Fong diberi peluang membuat rayuan dalam masa 14 hari bermula daripada tarikh pemecatan merujuk kepada Perlembagaan Parti Fasa VII perenggan 3.

Rabu, 13 November 2013

Makna Angka 40 Dalam Usia Manusia.


Assalamu'alaikum sahabat yang disayangi...
Makna Angka 40 Dalam Usia Manusia.

Assalamu’alaikum,

Bila ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak. Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. Bila saya cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma psikologi barat untuk menggambar kehidupan mesti enjoy dan berseronok, dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.

Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,

حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

"Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.

Pada ayat yang lain, firman Allah;

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ

Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,

لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد

"Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dpt mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ," Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati".

The Star Bangkit Isu Memali : Salahnya Adalah Pemimpin UMNO


Isu Memali berkumandang lagi. Kali ini dicetuskan oleh The Star pada hari ini yang memaparkan bahawa Memali adalah kesan daripada ajaran sesat di Malaysia.

The Star mungkin cuba bermain api dengan cuba membakar api kemarahan namun saya melihat bahawa ia adalah satu lagi cara pemerintah untuk mengalihkan tumpuan PAS terhadap persiapan muktamar yang akan berlangsung bermula 20 November ini.

Bagi saya, yang salah tetap UMNO dan pemimpin UMNO yang bertanggung jawab merosakkan pemikiran rakyat terhadap perkara yang sebenar.

The Star mesti memohon maaf dan menarik balik arikel tersebut tetapi pemimpin UMNO jangan berlepas tangan di atas tindakan mereka.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
12 November 2013

ADAKAH PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA TIDAK SERIUS UNTUK SELESAIKAN ISU KERUGIAN PKFZ?


ADAKAH PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA TIDAK SERIUS UNTUK SELESAIKAN ISU KERUGIAN PKFZ?
Tarikh : 10 November 2013

Sehingga catatan ini dibuat, masih belum lagi kedengaran kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri Malaysia atau mana-mana pemimpin kerajaan (kecuali Menteri Belia dan Sukan sebentar tadi) terhadap keputusan mahkamah membebaskan Mantan Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang sebelum ini dituduh menipu Putrajaya berhubung urusan pembelian tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dr Ling dibebaskan pada 25 Oktober 2013 lalu apabila mahkamah mendapati beliau tidak bersalah atas dakwaan menipu dan sengaja tidak memaklumkan maklumat kepada kerajaan persekutuan dalam kes PKFZ.

Tuduhan ke atas beliau cukup berat iaitu beliau dituduh sengaja tidak mendedahkan dan menipu kabinet bahawa terdapat kadar faedah tambahan sebanyak 7.5% setahun pada harga pembelian tanah untuk projek PKFZ, sedangkan ia telah ditetapkan pada RM1,088,456,000 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berasaskan RM25 sekaki persegi, termasuk kadar faedah.

Malang lagi buat rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan kes ini sejak siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang ditubuhkan untuk menyiasat isu PKFZ apabila Peguam Negara (AG) mengambil sikap untuk tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan Dr Ling sehingga tarikh tutup rayuan telah berakhir pada 8 November 2013.

Ia semenangnya keputusan 'malang yang berbau' untuk rakyat Malaysia kerana AG dan Jabatan Peguam Negara (JPN) yang seakan tidak ambil pusing dengan salah urus dalam pentadbiran PKFZ telah menyebabkan kerajaan rugi RM12.5 bilion.

Intelek Malaysia mendesak agar AG perlu menjelaskan kenapa JPN tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah ini. Adakah kerana ianya melibatkan mantan seorang Menteri daripada Parti Pemerintah maka JPN merasakan 'redha' dengan keputusan mahkamah?

Adakah isu PKFZ ini sengaja ingin dikuburkan? Apa yang pasti, ketirisan telah berlaku dalam isu PKFZ dan ketirisan itu dilakukan oleh manusia yang tidak berintegriti dalam menjalankan amanah.

Sikap acuh tak acuh Perdana Menteri dan jamaah Menteri juga akan menebalkan lagi kepercayaan rakyat bahawa Transformasi yang dilaung-laungkan oleh PM adalah retorik semata-mata.

Rakyat sedang menunggu penjelasan Peguam Negara di atas keputusan tidak membuat rayuan dan tindakan lanjut daripada Perdana Menteri berhubung isu kerugian PKFZ ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden Intelek Malaysia
www.intelekmalaysia.org.

INDAHNYA BERSAMA PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)


INDAHNYA BERSAMA PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Di antara keputusan yang mengejutkan pernah saya lakukan adalah mengistiharkan diri menyertai PAS sehingga ia mengejutkan ahli keluarga dan kawan-kawan yang hampir semuanya adalah UMNO. Aruah ayah saya betul-betul terkejut (bukan cobaan) apabila mendapat tahu bahawa saya sering pulang lewat ke rumah kerana menghadiri usrah Pemuda PAS. Mana tidaknya, keluarga saya dikenali dengan keUMNOannya lebih-lebih keluarga sebelah ibu saya.

Kawan-kawan lagilah sukar menerima keputusan saya ini. Mereka buktikan dengan tidak mengundi saya ketika bertanding sebagai calon PAS di kerusi DUN Mahkota pada tahun 2004 sehingga hampir-hampir hilang deposit ketika itu. Namun, ia berbeza ketika ini dengan sokongan terhadap PAS sangat berubah daripada dahulu.

Kenapa saya memilih PAS? Pertamanya kerana dasar PAS adalah ISLAM dan PAS memperjuangkan Islam. UMNO juga memperjuangkan Islam tapi sekadar tempelan sahaja kerana lebih Melayunya daripada Islam. Jika ada Islam pun hanya masa-masa tertentu saja. Bila ada program agama barulah wanitanya kenakan selendang tapi bila waktu lain selendangnya melilit di bahu.

Keduanya, PAS tak berebut jawatan seperti UMNO. Biasanya orang PAS menolak jawatan bila diberikan dan tidak meminta bila tidak disenaraikan kerana orang PAS tahu jawatan adalah satu amanah yang cukup besar dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di Akhirat kelak. Jika terpilih memikul sesuatu amanah maka laksanakan dengan sebaik mungkin dan jika tidak terpilih maka jadilah pengikut yang taat kepada pimpinan. Tidak perlu nak berkempen sana sini seperti UMNO minta perwakilan mengundi dan menaburkan duit bagi membeli undi. Ada 'team' itu dan 'team' ini yang kononnya lebih baik daripada team yang lain sehingga menimbulkan keretakan dan perpecahan dalam UMNO seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Ketiga, PAS mengajar bahawa segala kerja buat kita akan diberikan pahala dan dosa. Buat kerja dalam PAS akan dapat pahala, insya Allah kerana PAS menyeru kepada kebaikan dan menolak kemungkaran. UMNO tidak percaya tentang perkara ini maka kerana itu mereka boleh lakukan apa saja dalam politik sebab bagi mereka politik lain agama lain.

Kerana itu, saya memilih untuk bersama dengan PAS dan berjuang dengan PAS kerana Allah sehingga saya kembali kepadaNya satu masa nanti.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Kluang, Johor Darul Takzim.
12 November 2013

SUHAIZAN DAN KAMARUZAMAN : PENERUS PEJUANGAN PEMUDA PAS.


SUHAIZAN DAN KAMARUZAMAN : PENERUS PEJUANGAN PEMUDA PAS.

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Gambar yang saya posting ini adalah potret dua orang sahabat saya dalam Pemuda PAS. Gambar ini saya abadikan semasa mesyuarat terakhir Dewan Pemuda PAS Malaysia di Rantau Panjang baru-baru ini.

Kami berlima (termasuklah sdr Adram Musa dan YB Ustaz Baihaki) adalah RAKAN SEBAYA dan kami menyertai DPPM pada tahun 2005 melainkan Ustaz Baihaki dua tahun selepas itu. Suhaizan saya kenali sejak di UTMKL manakala Kamaruzaman pula apabila mula melibatkan diri dengan aktiviti Pemuda PAS di peringkat Pusat.

Dulu kami adalah 'backdrop team' semasa Zaman Haji Salahudin Ayub, Ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Sabki Yusuf dan lain-lain memimpin Pemuda PAS. Di mana ada sidang media, laporan polis, serahan memorandum maka kami lah yang akan berperanan sebagai 'backdrop' untuk menceriakan suasana.

Di penghujung sesi ini, dengan peraturan baru berkaitan tentang usia Pemuda maka kami yang bertiga lagi dengan segala hormatnya telah dipersilakan untuk melangkah keluar daripada DPPM melainkan Suhaizan dan Kamaruzaman yang tersenarai untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Sacara umumnya, saya melihat kedua-dua sahabat saya ini adalah mereka yang berkemampuan untuk mengemudi DPPM pada sesi yang akan datang walaupun masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, Suhaizan dengan Sarjana Sains Komputer manakala Kamaruzaman dengan Sarjana Pengurusan. Mengenali perjuangan sejak di Universiti dan terlibat dengan gerakan mahasiswa. Kedua-duanya pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Negeri (Suhaizan di UTM, Kamaruzaman di UPM).

Kedua-duanya 'pakar' menghimpunkan rakyat dengan pelbagai himpunan di Lembah Klang seperti PPSMI, GMI dan BERSIH. Jika tanya SB, hampir pasti SB sudah 'marking' muka kedua-dua Pemuda ini jika ada ura-ura himpunan aman akan diadakan di sekitar KL.

Bila bertanding jawatan tertinggi maka adakalanya ia akan mengundang rasa hati dan perasaan gundah gulana lebih-lebih lagi akan ada pihak luar yang meng'ajinamoto'kan sesuatu peristiwa.

Hadapi dengan tenang dan letakkan pergantungan kepada Allah kerana apa yang kalian berdua lakukan adalah untuk mendapat Keredhaan daripadaNya dan bagi meneruskan perjuangan Pemuda PAS. Mudah-mudahan ia tidak menghakis ukhwah Islamiah di antara keduanya.

Wassalam.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
12 November 2013

Jumaat, 8 November 2013

MUKTAMAR SEBAGAI MEDAN MEMPERKUKUHKAN TAHLUF SIASI PAS BERSAMA PAKATAN RAKYAT



MUKTAMAR SEBAGAI MEDAN MEMPERKUKUHKAN TAHLUF SIASI PAS BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Saya diamanahkan untuk membahas tentang perkara yang berkaitan dengan Tahluf Siasi semasa Konvensyen PAS negeri Johor yang diadakan pada hari Ahad yang lalu.

Saya telah membentangkan tentang sejarah tahluf siasi yang pernah dilalui oleh PAS Johor sejak ditubuhkan pada 19 Mac 1954. Sepanjang tempoh ini, ada kalanya PAS dilihat tidak mendapat kelebihan dan ada kalanya ia menguntungkan.

Apabila PAS menyertai Parti Perikatan selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Ini kerana kerusi Melayu UMNO di dalam Perlimen ketika itu sangat sedikit dan untuk mengekalkan kuasa Melayu PAS telah bersetuju untuk menjadi anggota baru Parti Perikatan dan seterusnya menukar nama kepada Barisan Nasional pada tahun 1974.

Dek kerana Johor adalah kubu UMNO maka PAS Johor tidak meletakkan calon dalam PRU ke 4 iaitu pada tahun 1974 di atas pemuafakatan politik pada ketika itu dan BN terus menguasai pentas politik dan Pilihan Raya di Johor. Keputusan PAS Johor untuk tidak meletakkan calon telah menyebabkan beberapa ahli PAS mengistiharkan diri bertanding sebagai calon bebas.

Apabila PAS ditendang keluar daripada BN pada tahun 1978, barulah PAS Johor kembali mengorak langkah menyertai Pilihanraya dengan bertanding menentang BN di 23 kerusi Dun dan 12 kerusi Parlimen di seluruh Johor.

Perpecahan UMNO pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Parti Melayu semangat 46 (S46) memberikan kelebihan kepada PAS secara keseluruhannya sehingga terbentuknya kerajaan APU di Kelantan yang masih utuh sehingga kini namun ia bukanlah khabar gembira untuk PAS Johor. Pilihan Raya Umum ke 10 pada tahun 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan partai pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat.

PAS Johor sekali lagi ‘mendapat nasib malang’ PAS Johor hanya dibenarkan untuk meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau, Rengit dan Benut kerana ia disebabkan keputusan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.

Walaupun peratusan sokongan kepada PAS melepasi 30% di setiap kerusi yang ditandingi namun ia telah mengurangkan pengaruh PAS di kawasan-kawasan lain di seluruh negeri Johor. PAS berterusan mengalami nasib yang sama apabila menghadapi PRU ke 9 dengan jumlah kerusi yang sedikit.

Namun, ia berbeza dengan situasi tahluf siasi apabila PAS bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN), DAP dan PRM pada tahun 1998 setelah Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Kerjasama di gabungan Barisan Alternatif ini telah memberikan ruang kepada PAS untuk bertanding lebih daripada 20 kerusi DUN dan Parlimen manakala pada tahun 2004 PAS telah meletakkan calon di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS menang satu kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan teknikal BN. PAS berjaya mendapat sokongan sebanyak 18.3% undi keseluruhannya kerusi yang telah ditandingi.

Pilihan Raya Umum kali ke 12 yang diadakan pada tahun 2008 memberikan ruang untuk PAS bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN. PAS buat pertama kalinya telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13, PAS Johor telah bertanding 30 kerusi DUN dan 7 Parlimen tetapi kali ini PAS Johor telah mendapat keputusan yang terbaik dalam sejarah PAS di Johor apabila berjaya menang 4 kerusi DUN dan meningkatkan sokongan kepada 42% daripada jumlah kerusi yang ditandingi. PAS menang di Dun Putri Wangsa dan Dun Parit Yani serta mengekalkan kerusi Dun Maharani dan Dun Sungai Abong.

Apa yang dapat saya nyatakan di sini, PAS Johor telah mendapat banyak manfaat di atas keputusan permuafakatan politik ini walaupun pada dua permuafakatan awal telah memberikan kesan negatif kepada perkembangan PAS di Johor sehingga berlakunya perpecahan di dalam PAS.

PAS kawasan Kluang memperakui bahawa Tahluf Siasi PAS telah membantu kepada peningkatan sokongan pengundi kepada PAS di Dun Mahkota, Kluang. PAS Kluang telah mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah penubuhan PAS selama 30 tahun. Bermula dengan pengalaman 'hilang deposit' pada tahun 1986 sehinggalah mencatatkan sokongan 48.5% pengundi di Dun Mahkota.

Tahun
PRU
PAS
BN
Majoriti
Peratus
2004
Kali ke 11
4,107
19,045
14,938
17.7 %
2008
Kali ke 12
9,009
17,489
8,480
34.0%
2013
Kali ke 13
18,323
19,431
1,108
48.5%

Apa yang perlu ketika ini adalah penegasan terhadap Tahluf Siasi yang telah dibina sejak tahun 2008 itu diperkuatkan dan diperbaiki segala bentuk kelemahan. Diperakui bahawa terdapat beberapa kelemahan yang berlaku seperti pertindahan kerusi di beberapa tempat tetapi ia bukanlah satu perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung pada 22 – 24 November 2013 yang akan datang ini di Shah Alam adalah medan terbaik untuk PAS secara keseluruhannya memperhalusi segala bentuk kelemahan yang wujud sepanjang permuafakatan politik ini, mudah-mudahan pergabungan di dalam Pakatan Rakyat akan menjadi lebih utuh untuk menumbangkan BN dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan berkebajikan untuk rakyat Malaysia.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
8 November 2013.