Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 25 November 2014

Hasil pertemuan PAS-Pasma dibawa ke mesyuarat Pusat

Hasil pertemuan PAS-Pasma dibawa ke mesyuarat Pusat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Krisis PAS Pusat akan membawa hasil pertemuan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ke mesyuarat PAS Pusat awal Disember nanti.


Pengerusinya, Salahuddin Ayub ketika menghubungi berkata, atas mandat yang telah diberikan oleh mesyuarat PAS Pusat satu pertemuan dengan Pasma telah diadakan di sebuah tempat di Kuala Lumpur.

"Pertemuan dua jam yang diadakan semalam berjalan dengan‎ suasana yang baik.

"Jawatankuasa ini telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan dan mengambil maklumat tentang isu-isu yang berbangkit terutama isu-isu yang meresahkan ahli-ahli termasuk keputusan Majlis Syura PAS yang melarang ahli-ahli PAS terlibat dengan program Pasma," katanya yang telah mempengerusikan pertemuan tersebut.

Katanya, turut hadir pada pertemuan tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Majlis Syura, Ustaz Idris Ahmad dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Sementara itu, dari Pasma pula adalan Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi, Muhamad Husin (Timbalan Pasma), Mohd Taib Ahmad (Setiausaha Agung), Che Nordin Che Husin (Penolong Setiausaha Agung) dan Penasihat Undang-Undang Pasma, Zulhazmi Sharif.

"Jawatankuasa ini telah mengambil maklum semua isu-isu yang dibincangkan.

"Jawatankuasa ini juga tidak memberikan sebarang komitmen dalam bentuk arahan atau persetujuan. Segala hasil pertemuan ini akan dibawa pada mesyuarat PAS Pusat akan datang‎," sambung beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut berharap agar semua pihak dan ahli-ahli PAS untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap pertemuan tersebut. -HARAKAHDAILY 25/11/2014

Isnin, 24 November 2014

WAWANCARA BERSAMA HARAKAH

WAWANCARA BERSAMA HARAKAH

HARAKAH : BAgaimana PAS mendepani pengurusan konflik yang berlaku sejak dahulu hingga ke hari ini?

Jawapan : Sebagai di antara sebuah organisasi politik yang tertua di Malaysia, sudah pasti PAS telah menempuh pelbagai konflik dan krisis di dalam sejarahnya. Konflik bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya ia dapat diurus dengan baik namun seandainya konflik di dalam organisasi tidak diuruskan maka ia akan menjadi krisis dan seterusnya membawa kepada pepecahan.
PAS telah berjaya melalui konflik dan krisis dalaman parti dengan baik selama 63 tahun ini. Sehingga kini, belum ada konflik atau krisis yang menyebabkan PAS berpecah sehingga membawa PAS kepada khancuran. Memang benar krisis dalam PAS telah menyebabkan terbentuknya parti politik baru seperti HAMIM dan BERJASA tetapi PAS masih terus utuh di persada politik negara.

PAS meletakkan rujukannya Al-Quran, Hadith, Ijma' Ulamak dan Qias sebagai panduan dalam menghadapi konflik dalaman parti. Konflik dan krisis dalaman parti diselesaikan di dalam musyawarah yang dibincangkan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Jika sesuatu isu itu tidak dapat diselesaikan maka ia akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak (MSU) ataupun Lembaga Disiplin PAS berpndukan kepada isu yang berkaitan.

Namun, tidak dinafikan bahawa PAS terpaksa berdepan dengan krisis yang pelbagai akhir-akhir ini. Oleh kerana itu, PAS telah membentuk jawatankuasa Pengurusan Krisis yang dipengerusikan oleh Haji Salahudin Ayub.

HARAKAH : Apakah tindakan yang di ambil pemimpin-pemimpin PAS dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti?

Jawapan : Sebagai 'orang baru' dalam kepimpinan PAS Pusat, saya melihat bahawa isu yang berlaku berkaitan dengan masalah dalaman parti bukanlah isu besar sekiranya ia diurus dengan baik. Bukan masanya lagi untuk 'sweep under carpet' sebarang konflik yang berlaku.

Kerana itu, tindakan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis adalah merupakan satu tindakan yang tepat pada masanya. Isu yang berlegar dalam parti wajar diuruskan oleh satu komiti yang memberikan fokus terhadap apa jua isu yang berbangkit.

Perbincangan tentang konflik dalaman secara terperinci bukan lagi perkara yang menjadi prioriti dilaksanakan dalam mesyuarat PAS Pusat tetapi ia mestilah diperhalusi, diteliti dan dinilai dengan sebaiknya. Jawatankuasa pengurusan konflik berperanan untuk melaporkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk tindakan seterusnya sama ada membuat keputusan ataupun menyerahkannnya kepada MSU atau Jawatankuasa Disiplin PAS.

Perkembangan ini saya lihat sebagai sesuatu yang positif dan mampu untuk mengatasi konflik dan krisis yang berlaku dan seterusnya dapat memacu PAS lebih gemilang pada masa hadapan.

HARAKAH : Bagaimana PAS mendepani pengurusan isu dengan pelbagai pandangan pemimpin-pemimpinnya?

Jawapan : Sebahagian daripada konflik dilihat berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh AJK PAS Pusat. Ada ketikanya, terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang bukan berautoriti untuk bercakap mengenainya.

Dalam retreat PAS Pusat baru-baru ini, perkara ini telah dibincangkan dan setiap AJK PAS Pusat tidak mempunyai halangan untuk membuat kenyataan yang berkaitan dengan aktiviti lajnah atau jabatan yang mereka ketuai.


HARAKAH : Masyarakat luar melihat PAS telah menunjukkan perlakuan yang bertentangan dengan slogan yang dibawanya untuk membangun bersama Islam kerana beberapa krisis yang berlaku tidak dapat ditangani dengan baik...


Jawapan : Seperti yang saya nyatakan tadi, konflik yang dapat diurus dengan baik akan mendatangkan kesan positif kepada organisasi. Itulah yang sedang dilalui oleh PAS ketika ini. Tanpa perlu menafikan berlakunya konflik, ia sedang diuruskan oleh PAS dan hasil daripada retreat PAS Pusat baru-baru ini telah menemui beberapa penyelesaian.

Apa yang penting adalah kesediaan kita untuk mengakui bahawa terdapatnya konflik dalaman dan berusaha bersama-sama untuk mengatasinya.
Jika ia dapat diatasi maka keyakinan masyarakat terhadap PAS akan kembali semula.

HARAKAH : Adakah struktur kepimpinan dalam PAS menyumbang kepada polemik yang tidak berkesudahan?

Jawapan : Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa ia berlaku kerana tautan ukhuwwah yang longgar di kalangan kita, bukannya struktur kepimpinan parti. Kurangnya program tidak formal mempengaruhi hubungan sesama pimpinan.

Pengamatan saya, ia terjadi akibat kesibukan dalam pelbagai urusan yang menyebabkan masa untuk bersama menjadi semakin kurang.

Retreat PAS Pusat yang diadakan di Kuala Selangor baru-baru ini bagi saya adalah program yang patut diadakan dengan lebih kerap. Perlu ada program pemukiman seperti itu.

HARAKAH : Persepsi umum melihat PAS tidak menggunakan meja rundingan sebaliknya sesetengah isu didiamkan sehingga akhirnya meledak dan menjejaskan perpaduan dalaman.

Jawapan : Pandangan saya, meja rundingan dan bermesyuarah adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu yang berlaku. Sama ada kita suka atau tidak, setiap isu yang berlaku mesti diselesaikan bukannya lagi dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Menggunakan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian sesuatu isu itu adalah merupakan tradisi PAS sejak dahulu lagi. Malah saya melihat bahawa PAS berjaya menyelesaikan banyak isu dalaman parti melalui mesyuaratnya.

Kudis yang dibiarkan akan menjadi barah yang membunuh. Begitu juga dengan konflik dan krisis dalam organisasi. Konflik yang berterusan akan menyebabkan krisis akan berlaku. Jika krisis dibiarkan sahaja maka akan wujud pertembungan.

Perundingan perlu dilakukan seawal ianya masih lagi dalam keadaan konflik. Andai sudah menjadi pertembungan maka ia sudah terlewat untuk berunding.

Apapun, saya percaya bahawa kepimpinan PAS Pusat matang dan berwibawa untuk berhadapan dengan segala isu yang melanda

Selasa, 18 November 2014

BAHAGIAN KE 19 : PENGAJARAN DARIPADA PERLUMBAAN ARNAB DAN KURA-KURA (VERSI BARU)

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kisah perlumbaan sang arnab dan sang kura-kura adalah merupakan salah satu cerita yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia dan saya pasti ia adalah kisah yang diketahui oleh kita sama ada yang dewasa sehinggalah kanak-kanak yang belum tumbuh giginya. Malah, ia adalah cerita yang disampaikan daripada generasi ke generasi di seluruh dunia sebagai cerita hiburan kepada anak-anak.

Alkisah, suatu masa yang dahulu, sang arnab dan sang kura-kura telah bersetuju untuk bertanding lumba lari bagi menentukan siapa yang lebih laju. Cabaran ini dibuat oleh kura-kura kerana tidak tahan dengan ejekan arnab yang merendah-rendahkan kura-kura yang dilihat sangat perlahan apabila melangkah. Arnab bersetuju dengan cabaran daripada kura-kura kerana arnab yakin bahawa mustahil kura-kura mampu mengalahkannya. Arnab yang mempunyai daya pecutan yang tinggi menyahut cabaran itu  dan berlakulah perlumbaan di antara dua haiwan ini.

Bermula daripada garisan permulaan, arnab terus memecut sehingga kura-kura hanya mampu melihat kelibat arnab daripada jauh. Namun, kura-kura meneruskan langkahnya yang perlahan tetapi penuh konsisten ke arah garisan penamat. Kura-kura tidak menghiraukan ejekan para penonton di tepi laluan perjalanannya malah menganggap ia adalah satu cabaran untuk meneruskan perjalanannya.

Kita juga tahu bahawa arnab yang telah berlari jauh meninggalkan kura-kura mula memperlahankan langkahnya apabila melihat bayangan kura-kura telah hilang daripada pandangannya.

Lalu, arnab bersandar di sebatang pokok untuk merehatkan diri sehingga matanya terlelap. Akibat terlalu lama sang arnab tertidur maka kura-kura yang perlahan dan konsisten itu telah berjaya memotong sang arnab sehingga akhirnya berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Sang arnab yang terjaga daripada tidurnya terus melangkah dengan laju ke garisan penamat namun arnab terkejut apabila kura-kura telah diiktiraf sebagai juara dalam perlumbaan tersebut. Arnab kecewa dan menyesal dengan apa yang terjadi dan menanggung malu akibat daripada sikapnya itu.

PENGAJARAN : Perlahan-lahan dan konsisten membawa kejayaan sehingga berjaya mengalahkan mereka yang pantas tetapi tidak konsisten . Dalam menguruskan sebuah organisasi kita memerlukan sikap yang konsisten atau istiqamah dalam perjuangan. Walaupun mungkin kita lemah dan sedikit bilangannya tetapi istiqamah adalah merupakan salah satu kunci kejayaan.

Penekanan terhadap keperluan beristiqamah telah dipertegaskan oleh Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar PAS kali ke 60. Istiqamah satu perkataan yang terlalu mudah untuk disebut tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Aisyah r.a pernah ditanya oleh Masruq: "Wahai Aisyah! Apakah amalan yang paling digemari oleh Rasulullah SAW?" Jawab Aisyah: "Yang berterusan". 

BAHAGIAN KE 18 : KEPENTINGAN KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI

BAHAGIAN KE LAPAN BELAS :   KEPENTINGAN KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Pengenalan

Perjalanan sesebuah organisasi tidak dapat lari daripada berkomunikasi. Kepentingan komunikasi dalam konteks pengurusan sesebuah organisasi memang telah lama diakui. Ia diibaratkan sebagai ‘nadi’  kerana tanpa satu sistem komunikasi yang berkesan, akan menyebabkan proses perancangan sesebuah organisasi tidak akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Secara umumnya, komunikasi didefinasikan sebagai proses pertukaran dan pemindahan maklumat dari individu atau satu pihak kepada seseorang atau pihak lain. Menerusi komunikasi, ahli-ahli dalam organisasi dapat bertukar maklumat dalam memajukan bahagian kendalian masing-masing. Jika dilihat di dalam organisasi PAS, komunikasi akan menghubungkan pentadbiran PAS daripada peringkat PAS Pusat sehinggalah di peringkat PAS cawangan. Jika tidak ada komunikasi maka organisasi PAS akan gagal mencapai gerakerja yang kemas dan tersusun malah akan menjadi kacau-bilau. Kerana itu, komunikasi memainkan peranan penting dalam konteks survival sesebuah organisasi kerana ia adalah perhubungan komunikasi antara manusia (human communication).

Kepentingan komunikasi dari perspektif Islam telah dijelaskan dalam firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu dari pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dalam dan kamu)”

Justeru bahagian ini akan membincangkan betapa pentingnya komunikasi dalam pengurusan organisasi dan kepentingan komunikasi berkesan diterapkan di dalam pentadbiran organisasi PAS.

Kepentingan Komunikasi

Dr Abdullah Hassan dalam bukunya, “Komunikasi Untuk Pendakwah” membahagikan kepentingan komunikasi kepada 3 bahagian.  Pertamanya, manusia berkomunikasi disebabkan mereka hendak memahami segala kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

Keduanya ialah membantu manusia menjalin hubungan. Terdapat kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi menunjukkan bahawa faktor kebahagiaan manusia yang paling besar ialah apabila wujudnya perhubungan yang rapat sesama manusia yang mengatasi kebahagiaan wang, kerjaya dan seks.

Isnin, 3 November 2014

BAHAGIAN KE 17 : KEPIMPINAN ORGANISASI YANG BERKESAN

BAHAGIAN KETUJUH BELAS :   KEPIMPINAN ORGANISASI YANG BERKESAN

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kali ini kita akan berbicara tentang Kepimpinan Organisasi Yang Berkesan. Ia adalah satu topik yang penting kerana kepimpinan adalah perkara yang menyentuh kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat primitif atau sebaliknya.

Kepimpinan adalah keupayaan untuk mempengaruhi serta membangunkan individu dan pasukan untuk mencapai beberapa objektif yang menyumbangkan kepada keseluruhan matlamat. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk meyakinkan orang lain untuk memberikan kepercayaan kepada seseorang untuk mengetuai atau memimpin sesuatu organisasi melainkan diberikan kepercayaan.

Tugas pemimpin pula adalah untuk menyempurnakan tugas dalam organisasi mengikut skop yang ditentukan oleh organisasi. Kuasa yang diserah perlu digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. 

Seorang pemimpin mestilah bertindak mengikut kesesuaian kedudukannya. Bermakna, sekiranya diamanahkan sebagai seorang Ketua Cawangan PAS maka bertindaklah dengan kuasa sebagai Ketua Cawangan, bukannya bertindak seperti seorang Yang Di Pertua PAS Kawasan ataupun Pesuruhjaya PAS Negeri.

KENAPA KEPIMPINAN DIPERLUKAN

Kepentingan kepimpinan dinyatakan di dalam hadith Rasullullah S.A.W ada bersabda yang maksudnya “Jika tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang dari mereka dilantik menjadi ketua.” Bayangkan jika jumlah sekecil tiga orang pun perlu melantik seorang pemimpin bayangkan lagi jika kumpulan atau pasukan mahupun organisasi yang besar sudah tentu seorang pemimpin wajar dilantik sebagai ketua.

Rasulullah s.a.w  juga pernah bersabda yang maksudnya: “Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu, bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.”

Jumaat, 31 Oktober 2014

Johor Darul Takzim Boleh!



Rabu, 29 Oktober 2014

BAHAGIAN KE 16 - MOTIVASI DALAM ORGANISASI




BAHAGIAN KEENAM BELAS :   MOTIVASI DALAM ORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kepentingan motivasi dalam berorganisasi dilihat sangat penting kerana motivasi diibaratkan sebagai pemangkin untuk pembangunan diri secara spiritual bagi merealisasikan cita-cita dan harapan yang dibina. Walaupun ia bukanlah sesuatu  kewajipan untuk mewujudkannya namun ia diibaratkan seperti pemberi semangat kepada pekerja dan petugas untuk melaksanakan tugas mereka dengan jayanya.

Di dalam organisasi PAS, saya kategorikan tiga kumpulan yang dilihat sebagai pekerja atau petugas parti. Pertamanya, ahli PAS yang bertugas secara sepenuh masa di dalam pentadbiran PAS, keduanya ahli PAS yang bekerja secara sebahagian masa dan yang ketiganya adalah ahli PAS yang bertugas sebagai Murobbiton . Kumpulan pertama adalah mereka yang bekerja di pelbagai sektor dalam parti seperti pegawai pentadbiran di Pejabat Agung PAS atau pejabat pentadbiran di seluruh negara, pegawai kepada lajnah atau jabatan. Kumpulan kedua iaitu kumpulan teramai dalam parti iaitu petugas separuh masa yang berada di semua bahagian organisasi PAS. Golongan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai karier sendiri namun sebahagian masa mereka diperuntukan untuk menggerakkan parti di pelbagai sektor. Kumpulan ketiga adalah kumpulan ‘murobbiton’ yang bekerja tanpa gaji atau elaun yang tetap tetapi golongan ini memberikan masa mereka kepada gerakerja PAS.

Pembahagian tiga kumpulan ini adalah dengan tujuan untuk memudahkan kita memahami kaedah yang bersesuaian untuk memotivasikan mereka dalam ruang lingkup yang sesuai dengan mereka.

Motivasi perlu dibina kerana ia tidak datang dengan sendirinya. Memupuk motivasi secara berterusan akan menjadikan motivasi kerja semakin meningkat dan akhirnya menjadikan pekerjaan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan.

BILA MOTIVASI BERMULA

Proses motivasi bermula apabila seseorang itu mula mengenalpasti keinginan atau keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.

Seperti yang telah dijelaskan bahawa pekerja yang bermotivasi adalah aset kepada organisasi. Sebaliknya, pekerja yang tidak bermotivasi adalah bebanan kepada organisasi.  Mereka menjadi barah yang akan turut mempengaruhi pekerja lain mengikut perangai negatif itu. 

Motivasi adalah pencetus atau pemangkin kepada kecemerlangan pekerja dan seterusnya memberi kesan baik kepada seluruh organisasi. Soal motivasi kerja perlu diberi perhatian oleh setiap organisasi.  Kita perlu sedar bahawa kejayaan organisasi bergantung juga kepada keupayaan pekerja melaksanakan tugas yang telah ditetapkan mengikut standard dan spesifikasi.

Khamis, 23 Oktober 2014

BAHAGIAN KE 15 : PENYELESAIAN MASALAH & MEMBUAT KEPUTUSAN


Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Dalam menguruskan organisasi, satu perkara penting yang perlu dikuasai oleh seorang pemimpin adalah bagaimana untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan sama ada di dalam ataupun di luar mesyuarat.

Setiap masalah yang muncul perlulah diakhiri dengan jalan penyelesaian. Sekiranya ia tidak ditangani maka masalah yang kecil akan menjadi besar dan seterusnya membarahi organisasi.

JENIS-JENIS KEPUTUSAN

Keputusan adalah penting untuk menentukan hala tuju organisasi. Kebanyakkan keputusan selalunya terdiri daripada dua kategori ; Keputusan Berprogram (Programmed Decisions) dan Keputusan Tidak Berprogram (Non Programmed Decisions).

Keputusan Berprogram adalah satu prosedur yang sistematik dan termaktub. Ia biasanya rutin, berulang dan berstruktur dengan peraturan yang telah disediakan. Contoh mudah, apabila berlaku kehilangan peralatan pejabat maka laporan dikemukakan kepada pegawai terlibat. Manakala Keputusan Tidak Berprogram adalah bentuk tidak berstruktur dan memerlukan prosedur tertentu dalam membuat keputusan yang kreatif. Ia terjadi diluar kawalan dan tidak pasti yang memberi kesan kepada organisasi. Contohnya, MH370 hilang daripada radar dan tidak dapat ditemui sehingga ke hari ini.

Dalam ilmu pengurusan, menyelesaikan masalah ditafsirkan sebagai satu proses menentukan tindak balas yang sesuai dan tindakan yang perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Menyelesaikan masalah menjadi tanggungjawab utama pentadbir. Setiap pentadbir yang berjaya mestilah berkeupayaan membuat keputusan yang dapat membantu organisasi mencapai matlamat dan pada masa yang sama dapat memuaskan keperluan-keperluan ahli-ahli dalam organisasi.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan masalah dalam berorganisasi termasuklah di dalam PAS. Ia boleh berlaku akibat wujud perbezaan pendapat atau pendirian, pertindihan tugas dan tanggungjawab, diskriminasi dan pilih kasih, rasa iri hati, pertembungan antara kumpulan, hubungan dalam organisasi, kepentingan peribadi dan pelbagai sebab yang lain.

PEMBUATAN KEPUTUSAN BERKUMPULAN

Terdapat dua kaedah untuk menyelesaikan masalah iaitu Pembuatan Keputusan Individu dan Pembuatan Keputusan Berkumpulan. Namun dalam ruangan ini, saya ingin nyatakan berkaitan dengan Pembuatan Keputusan Berkumpulan yang sesuai dengan topik perbincangan ini.

Pembuatan keputusan berkumpulan merupakan satu cara membuat keputusan yang melibatkan individu lain yang mungkin berkepentingan dalam isu atau masalah yang ingin diputuskan.  Terdapat dua teknik pembuatan keputusan berkumpulan yang biasa digunakan iaitu Teknik Kumpulan Norminal dan Teknik Kumpulan Delphi.

Teknik Kumpulan Norminal ialah satu proses pembuatan berstruktur dalam bentuk perbincangan kumpulan kecil secara bersemuka. Proses ini menghalang seseorang individu daripada mendominasikan perbincangan dan menggalakkan penglibatan individu yang pasif dan menghasilkan satu set cadangan atau penyelesaikan berprioriti. Langkah yang perlu dituruti adalah seperti berikut ; pertamanya pecahkan individu yang hadir kepada kumpulan yang kecil antara 5-6 orang ahli. Keduanya, kenalpasti satu masalah untuk diatasi. Ketiganya, Arahkan setiap ahli untuk menjana idea secara individu tentang keadah penyelesaian. Keempat, kumpulkan idea yang telah dijana oleh semua ahli dan dicatatkan atas Flipchart atau papan hitam/putih. Seterusnya, setiap idea dinilai dan diundi oleh setiap individu. Keenam dan yang terakhir, undian dikongsi dalam kumpulan dan idea paling kerap dipilih sebagai keputusan kumpulan.

Khamis, 16 Oktober 2014

BAHAGIAN KE 14 : MENGURUS MESYUARAT DENGAN BERKESAN

BAHAGIAN KEEMPATBELAS :   MENGURUS MESYUARAT DENGAN BERKESAN

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Dalam Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS (MPPP) telah disentuh berkaitan dengan pengurusan mesyuarat PAS di peringkat PAS kawasan.  Walaupun ia tercatit sebagai rujukan PAS di peringkat kawasan namun ia masih lagi relevan untuk digunakan pakai oleh mesyuarat PAS di semua peringkat. Saya akan menyentuh secara umum kandungan MPPP di dalam tulisan ini tetapi beberapa ‘tips’ akan diberikan bagi membantu melaksanakan dan menguruskan mesyuarat yang lebih berkesan dan efektif kepada pentadbiran PAS.

Tujuan Mesyuarat

Mesyuarat adalah merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kita berorganisasi, bukan sekadar kerana ia tercatat di dalam Buku Perlembagaan PAS atau MPPP tetapi kepentingannya telah tercatat di dalam firman Allah S.W.T. dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu dan apabila engkau telah berazam, maka bertakwalah kepada Allah.”

Melalui mesyuarat akan berlakunya komunikasi dua hala di antara tiga individu atau lebih dalam situasi formal yang tercatatnya segala hasil perbincangan yang direkodkan. Mesyuarat diadakan dengan tujuan untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat, menyelesaikan masalah berbangkit, membuat keputusan, memberikan maklumat dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak bagi mencapai objektif bersama melalui proses komunikasi. Semua itu tidak dapat dilaksanakan hanya dengan bersembang atau pertemuan tidak formal.

Persiapan Awal Mesyuarat

Bagaimana kita dapat mengendalikan pengurusan mesyuarat yang berkualiti? Di antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah perlunya ada objektif dan agenda yang jelas. Kehadiran ahli mesyuarat diberikan maklumat terlebih dahulu supaya berlakunya ‘homework’ dan ‘research’ bagi memastikan mereka hadir ke mesyuarat dengan persediaan maklumat yang sebaiknya. Keduanya, mesyuarat dan ahli mesyuarat menghargai masa yang bernilai dengan memulakan dan menamatkan mesyuarat seperti mana masa yang ditetapkan. Ketiganya, kemudahan fizikal seperti kerusi, meja, papan putih, kertas, pensil, Pemancar LCD dan sistem siaraya telah disediakan dengan sebaiknya. Perkara keempat, notis mesyuarat dihantar kepada ahli mensyuarat tidak kurang daripada 14 hari atau tempoh yang ditetapkan daripada tarikh mesyuarat. Ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada ahli mesyuarat merancang masa mereka untuk menghadiri mesyuarat.

Kelimanya, perbincangan di dalam mesyuarat dilaksanakan secara positif. Kerana itulah, mesyuarat dimulakan dengan membaca surah Al-Fatihah dengan harapan Allah memberikan hidayah kepada seluruh ahli mesyuarat agar ianya diberikan petunjuk.

Rabu, 8 Oktober 2014

BAHAGIAN KE 13 : PENGURUSAN KRISIS DALAM BERORGANISASI


BAHAGIAN KETIGABELAS :   PENGURUSAN KRISIS DALAM BERORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Dalam bahagian yang kelima, saya telah jelaskan berkaitan dengan perbezaan di antara konflik dan krisis serta kesan positif dan negatif apabila berlaku konflik dan krisis di dalam organisasi termasuk PAS dengan tajuk Menangani Konflik dan Krisis Dalam Berorganisasi. Ia diterangkan secara umum dengan beberapa contoh yang mudah seperti konflik di peringkat PAS cawangan yang berlaku akibat daripada kecenderungan yang berbeza di antara Ahli Jawatankuasa Kerja PAS cawangan tersebut.

Di penghujung tulisan tersebut saya telah nyatakan betapa perlunya penggerak organisasi termasuk penggerak PAS di semua peringkat didedahkan dengan ilmu Pengurusan Krisis (Crisis Management) iaitu satu kaedah yang sistematik dan tersusun untuk mengenalpasti dan menangani kejadian kecemasan yang berlaku atau mungkin akan berlaku dalam sesuatu krisis. Pengurusan krisis yang cekap dan mantap akan membantu mengurangkan kerosakan pada imej organisasi dan mampu memulihkan keadaan balik ke asal dalam tempoh masa yang singkat.

PAS dan Konflik Dalaman Parti

PAS telah melalui tempoh perjuangan yang agak panjang masanya iaitu telah masuk ke usia 63 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951. PAS adalah parti kedua tertua selepas UMNO walaupun UMNO hakikatnya telah diharamkan pada tahun 1988 akibat pertembungan sesama sendiri. Sejak PAS ditubuhkan, telah berlaku konflik dan krisis sehingga menyebabkan tertubuhkan parti politik yang lain seperti HAMIM, BERJASA malah PAS pernah menghadapi krisis sehingga Naib Presiden istihar keluar daripada PAS dan menyertai UMNO, Naib Presiden dipecat daripada PAS dan pelbagai lagi episod duka namun PAS tetap kekal sehingga kini.

Namun pepatah Melayu ada menyebut bahawa Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah. Itulah yang mungkin sedang PAS melalui pada ketika ini iaitu konflik dalaman yang perlu diselesaikan dengan segera. Tidak dapat tidak, konflik yang berpanjangan akan menimbulkan krisis dan sekiranya ia tidak ditangani dengan segera maka kebimbangannya akan membawa kepada perpecahan yang merugikan banyak pihak.

BAHAGIAN 12 : WAJAH BARU MANUAL PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PAS


BAHAGIAN KEDUA BELAS : WAJAH BARU MANUAL PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PAS

Muktamar PAS Pusat yang bersidang di Dataran Salleh Ros di Parit Raja, Batu Pahat Johor Darul Takzim telah memahatkan sejarah apabila Manual  Pengurusan dan Pentadbiran PAS (MPPP) yang diterbitkan oleh Sektor Pemerkasaan Organisasi di bawah Pejabat Setiausaha Agung PAS telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru  Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Hampir 2200 naskah MPPP telah terjual sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS Pusat di negeri Johor ini. Sepanjang tinjauan saya, bukan hanya para Setiausaha PAS di peringkat negeri dan kawasan sahaja yang membeli MPPP tetapi juga melibatkan ahli PAS yang hanya memegang jawatan di peringkat cawangan. Saya terserempak kelmarin dengan 3 anggota Jabatan Amal yang telah membeli MPPP dan mereka memberitahu bahawa mereka terpanggil untuk memiliki MPPP kerana ingin ‘belajar’ bagaimana PAS menguruskan partinya.

MPPP adalah dokumen penting untuk rujukan pentadbiran PAS di semua peringkat khususnya kepada Setiausaha PAS Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. MPPP ini mengandungi pelbagai maklumat yang diperlukan oleh seorang Setiausaha PAS Kawasan yang berperanan untuk mentadbir sebuah organisasi PAS kawasan yang semakin mencabar dewasa kini.

Kali terakhir, PAS menerbitkan Manual Pengurusan adalah pada tahun 2002 di atas usaha almarhum Ustaz Hassan bin Syukri ketika menjawat posisi selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Ustaz Hassan Syukri yang dikenali sebagai Tokoh Pengurusan dan Pentadbiran PAS begitu serius dalam memberikan perhatian untuk memastikan PAS sentiasa memperbaiki pentadbirannya.

Sabtu, 6 September 2014

BAHAGIAN KE 11 : PENGURUSAN KUALITI MENYELURUH (TQM) RAHSIA MEMBINA ORGANISASI MANTAP.

BAHAGIAN KESEBELAS :     PENGURUSAN KUALITI MENYELURUH (TQM) RAHSIA MEMBINA ORGANISASI MANTAP.

Pengenalan

Saya mula mengenali Konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh atau Total Quality Management (TQM) ketika berkhidmat di dalam bidang Kejuruteraan Pengeluaran (Production Engineering) di Asahi Industries di Kluang sekitar tahun 1996 sehingga tahun 2000. Ia adalah sebuah syarikat daripada negara Jepun yang kemudiannya dibeli oleh Casio, sebuah lagi syarikat daripada negara Matahari Terbit.

Seperti mana diketahui umum, Jepun adalah merupakan sebuah negara yang berjaya membangunkan ekonomi dan negaranya dalam masa yang singkat selepas negara tersebut dimusnahkan oleh pengeboman atomik ke atas Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika terhadap Jepun sehingga menghentikan Perang Dunia ke 2 di Asia.

Konsep TQM sebenarnya mula diperkenalkan sekitar tahun 1920-an lagi apabila  kaedah statistik mula digunakan dalam pengawalan kualiti di kilang-kilang di Amerika Syarikat. Ia hanya dipopularkan di Jepun khususnya di kalangan pengurus-pengurus korporat negara tersebut pada tahun 1950-an dalam sektor industri.

TQM dibangunkan di Jepun oleh dua orang rakyat Amerika iaitu Dr W. Edwards Deming dan Joseph M. Juran. Pada permulaan, peringkat kerja mereka adalah berkaitan dengan kaedah statistik untuk mengukur kualiti dalam industri kejuruteraan.

Dr. W. Edwards Deming adalah seorang pakar statistik telah dihantar ke Jepun telah menyarankan pengusaha-pengusaha Jepun agar memberi tumpuan terhadap proses dalam organisasi dengan fokus utama adalah pekerja dalam organisasi berusaha memperbaiki ketidaksempurnaan dalam setiap langkah pemprosesan.

TQM ialah satu kaedah untuk meningkatkan kualiti yang menekankan kepada pendekatan menyeluruh. Istilah TQM pertama kalinya diutarakan oleh Armand Feigenbaum terbitan McGraw-Hill tahun 1983 dalam mengutarakan kaedah kualitinya. Kaoru Ishikawa pula menerbitkan buku What Is Total Quality Control? The Japanese Way terbitan Prentice-Hall pada tahun 1985 untuk menyesuaikan TQM dengan waqi’ di Jepun.

Kejayaan perlaksanaan TQM ini telah berjaya menimbulkan kesedaran di seluruh dunia tentang pentingnya kualiti dalam kehidupan manusia. Ia bukan sahaja memanfaat pelanggan kerana dapat menikmati output yang berkualiti, tetapi juga kepada organisasi itu sendiri, khususnya melalui penjimatan kos dan peningkatan kecekapan operasi. Ini adalah kunci kepada kejayaan sesebuah organisasi. Selain itu, Konsep-konsep TQM melibatkan kualiti melalui pencegahan, jaminan kualiti dan pembaikan berterusan.

Kita akan melihat beberapa perkara asas kepada perlaksanaan TQM dalam organisasi seperti PAS. Ini adalah kerana ada yang masih sangsi tentang keperluan TQM yang asalnya memfokuskan tentang produktiviti sedangkan PAS adalah organisasi yang berorentasikan politik.

Selasa, 2 September 2014

BAHAGIAN KE 10 : MERANCANG MELALUI PENGURUSAN MELALUI OBJEKTIF (MBO) DAN MENILAI MENGGUNAKAN KEY PERFORMANCE INDICATOR (KPI)


MERANCANG MELALUI PENGURUSAN MELALUI OBJEKTIF (MBO) DAN MENILAI MENGGUNAKAN KEY PERFORMANCE INDICATOR (KPI)

Pada bahagian yang lalu saya telah memberikan penerangan secara umum berkaitan dengan konsep komunikasi berkesan. Ia sangat penting untuk difahami bagi menjayakan MBO kerana komunikasi daripada pihak atasan dan bawahan adalah penentu kejayaaan. Justeru kali ini, kita akan lihat betapa pentingnya usaha untuk merancang dengan satu sistem yang tersusun dan efektif untuk mencapai  sasaran sesebuah organisasi.

KONSEP Pengurusan Melalui Objektif (MBO) yang dipopularkan oleh Peter Drucker bukanlah satu perkara yang baru dalam pengurusan kerana ia telah lama dilaksanakan di negara-negara Barat dan kini telah ada tanda-tanda yang memperlihatkan bahawa konsep itu juga boleh dilaksanakan di negara ini dalam sektor kerajaan mahupun swasta.  MBO adalah satu konsep di mana pihak pengurusan atau pemimpin sesuatu organisasi mempunyai matlamat atau hala tuju yang jelas yang akan dibawa terhadap sesuatu organisasi di bawah pentadbirannya.

Apakah itu yang dikatakan OBJEKTIF? Objektif adalah merupakan sasatu sasaran yang dirangka untuk dicapai oleh sesebuah organisasi pada masa hadapan. Ia ditetapkan dalam satu jangka masa yang ditentukan oleh organisasi dan strategi-strategi dirangka untuk mencapai objektif tersebut. Ia perlu dirancang dengan teliti oleh kumpulan tertentu yang dibentuk dalam organisasi.

Konosuke Matsushita yang menghasilkan satu formula tentang pengurusan objektif pada tahun 1928 telah nyatakan bahawa  pengurusan dengan objektif adalah satu manifestasi tentang tanggungjawab sebagai seorang industrialis yang pada akhirnya meningkatkan kualiti kehidupan melalui kedewasaan. Kerana itu maka menjadi keperluan bagi sesebuah organisasi mempunyai wawasan atau matlamat, maklumat yang tepat dan mempunyai pembangunan teknologi yang sesuai.

Dari sudut tenaga pekerja dalam sesebuah organisasi pula, setiap dari mereka mempunyai alat untuk mengumpul pemikiran, menstruktur semula, mencernakannya dan mampu menyebarkan maklumat berkenaan kepada yang memerlukan. Di samping itu, semua maklumat dalam syarikat berkenaan boleh diperoleh oleh semua tenaga kerja yang menghendakinya dan pekerja berkenaan akan memberikan daya kreativiti masing-masing.

BAHAGIAN KE 9 : KEPENTINGAN KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN


BAHAGIAN KESEMBILAN :     

KEPENTINGAN KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Sebelum ini, kita telah membincangkan perkara yang berkaitan dengan menangani konflik dan krisis dalam berorganisasi pada bahagian kelima yang lalu yang mana telah disentuh bahawa adalah merupakan satu keperluan untuk mewujudkan komunikasi berkesan bagi mengelakkan konflik dalam organisasi. Oleh itu, kali ini kita akan membicarakan tentang kepentingan komunikasi berkesan dalam pengurusan organisasi.

Komunikasi merupakan perkara yang amat penting bagi sesebuah organisasi. Organisasi yang tidak memberikan perhatian kepada komunikasi akan membantutkan usaha serta perancangan sesebuah organisasi untuk memastikan ia akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Kegagalan berkomunikasi dengan baik khususnya dalam sebuah organisasi politik akan menimbulkan konflik dalam organisasi lebih-lebih lagi zaman ini sistem komunikasi cukup pantas untuk menyebarkan maklumat seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Kita dapat lihat contoh-contoh yang telah berlaku baru-baru ini yang mana konflik yang melibatkan PAS iaitu krisis perlantikan Menteri Besar (MB) di Selangor. Tersebar secara meluas di laman sosial sepucuk surat kononnya PAS telah keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang ditandatangi oleh Presiden PAS. Surat palsu ini telah berjaya mengejutkan banyak pihak termasuk kepimpinan PAS di peringkat bawah sehingga terpaksa dibuat penafian oleh Setiausaha Agung PAS.

Ahad, 10 Ogos 2014

BAHAGIAN KE 8 : KEPENTINGAN MEWUJUDKAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA






BAHAGIAN KELAPAN :   KEPENTINGAN MEWUJUDKAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

PENGENALAN

Pengurusan Sumber Manusia (PSM) adalah merupakan satu kaedah atau sistem yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi dengan tujuan untuk membentuk dan mengurus pekerja yang telah dilantik untuk menjalankan tugas yang diberikan. PSM adalah sesuatu yang penting dan perlu di lakukan dengan baik, sempurna dan beretika oleh mana-mana organisasi tidak kira organisasi itu kecil ataupun besar. Walaupun telah ada pelbagai bentuk robotik dan alat sokongan dalam melaksanakan kerja namun Manusia masih tetap merupakan aset terpenting kepada setiap organisasi tidak kira samada ianya sebuah syarikat besar atau kecil, organisasi kerajaan atau swasta atau pertubuhan sukarela. Menguruskan manusia sehingga mencapai manusia yang berkualiti adalah matlamat utama PSM diwujudkan.

Sebelum kita menyelami lebih dalam peranan PSM ini, perlu diperjelaskan dahulu perbezaan di antara Sumber Manusia dan Pengurusan Sumber Manusia. Sumber Manusia bagi sesebuah organisasi adalah merupakan semua staf atau pekerja yang merangkumi pekerja dan pengurus yang terdapat di dalam organisasi tersebut. Tanpa sumber manusia , organisasi tidak akan dapat bergerak malah tidak akan wujud.

Manakala, Pengurusan sumber manusia adalah tugas semua pengurus. Pengurusan sumber manusia melibatkan usaha-usaha pemilihan, pengambilan, pengekalan, pemberhentian, pembangunan dan penggunaan sumber manusia dengan cara yang betul dalam sesebuah organisasi. Dalam sesebuah organisasi, biasanya ia dikendalikan oleh bahagian Personel.

Keperluan Pengurusan Sumber Manusia

Walaupun PAS adalah merupakan sebuah organisasi politik namun PSM tetap menjadi keperluan untuk diwujudkan kerana terdapat sumber manusia yang bertugas untuk melicinkan perjalanan parti.

Pekerja atau sumber manusia adalah aset utama sesebuah organisasi, ianya hendaklah dijaga, dibangunkan, diselia dan diwujudkan peluang kerjaya untuk mengekalkan mereka agar organisasi akan membangun dan berkembang selaras dengan visi, misi dan objektif organisasi. Adalah tidak wajar meletakkan para pekerja menaiktaraf prestasi mereka sendiri tanpa peranan yang dilakukan oleh sesebuah organisasi.

Oleh kerana itu, seorang Pengurus diperlukan bagi memastikan kelicinan perjalanan sumber manusia dalam pengurusan organisasi. Pengurus berperanan dalam memberi perkhidmatan dan membantu pengurus lini dalam pengurusan sumber manusia. Pengurus sumber manusia terlibat dalam proses pengrekrutan, pemilihan, orientasi dan latihan pekerja, penyimpanan rekod pekerja dan lain-lain aktiviti personel. Fungsi di atas akan dapat membantu pengurus lini dalam menyedia dan mengurus sumber manusia dengan lebih berkesan.

Keduanya, Pengurus menyediakan khidmat nasihat kepada pengurus lini yang berkaitan dengan sumber manusia dengan memberikan khidmat nasihat yang berkaitan dengan masalah-masalah displin pekerja, ganjaran, motivasi, pengrekrutan dan lain-lain fungsi yang berkaitan dengan sumber manusia atau tenaga buruh.

Ketiganya, Pengurus mengawal aktiviti-aktiviti yang berhubung dengan sumber manusia dalam organisasi agar ia lebih seragam dengan memastikan semua pengurus mematuhi peraturan-peraturan organisasi ataupun kerajaan dalam proses pengambilan pekerja, pemberian pampas an, latihan, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Dalam kolum kali ini, saya akan fokuskan kepada keperluan untuk Penstafan dan Latihan dalam PSM kerana dua perkara ini menjadi asas kepada pembentukan gerakerja yang efektif kepada organisasi kita di semua peringkat.