TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Sabtu, 28 Jun 2014

BAHAGIAN KE 3 : MENGADAPTASI TEORI PENGURUSAN KE DALAM PENTADBIRAN PAS.




BAHAGIAN KETIGA : MENGADAPTASI TEORI PENGURUSAN KE DALAM PENTADBIRAN PAS.

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Dalam ilmu Pengurusan, kita akan didedahkan dengan teori pengurusan yang melibatkan teori daripada pelbagai ahli falsafah dan pakar pengurusan sejak tahun 1770an sehinggalah ke peringkat teori terkini yang digunakan oleh pelbagai sektor. Teori-teori ini terhasil daripada pelbagai sebab yang akan dinyatakan nanti.

Secara ringkasnya, teori-teori ini ada di antaranya pun telah kita aplikasikan dalam sistem pentadbiran kita pada ketika ini. Akan dinyatakan sebab-sebab teori pengurusan ini perlu diperjelaskan kepada penggerak organisasi PAS di setiap peringkat.

Sejarah awal teori pengurusan telah dipelopori oleh Robert Owen dan Charles Babage sekitar tahun 1771 – 1871. Robert Owen menyatakan bahawa pekerja merupakan sumber daya pengurusan yang signifikan. Owen percaya bahawa pengurusan yang memperbaiki keadaan persekitaran kerja atau pelaburan pada sumber daya manusia dapat meningkatkan output dan keuntungan.


Konsep yang dipelopor oleh Charles Babbage pula membabitkan pembahagian kerja di mana beliau meyakini bahawa pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama secara berulang-ulang akan semakin terampil dan semakin efisien.

Konsep Pendekatan Klasik (1880 – 1927) pula berlaku akibat daripada perkembangan revolusi industri pada pertengahan kurun ke 19. Isu yang berbangkit pada ketika ini adalah masalah yang dihadapi oleh para pengurus syarikat untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Apa yang ingin dicapai adalah organisasi menjadi cekap sehingga menghasilkan pengeluaran yang tinggi dan kejayaan organisasi. Disamping itu juga, pengurusan mencari kaedah bagaimana menjadikan organisasi menjadi cekap.

Dalam dunia Sains Pengurusan, Federick W. Taylor cukup dikenali dan beliau digelar sebagai “Bapa Pengurusan Saintifik”. Taylor memulakan kajian secara saintifik terhadap pergerakan pekerja dalam industri melebur besi. Beliau telah membuat pemilihan terhadap pekerja yang mempunyai keupayaan sebenar, memberikan pekerja latihan dan insentif untuk melaksanakan kerja dengan kaedah kerja yang tepat.

Taylor juga memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu . Taylor turut memperkenalkan sistem waktu rehat berjadual bagi membantu mengurangkan kepenatan bekerja.

Secara keseluruhannya, Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik yang melibatkan perkara seperti penentuan pergerakan, pengkhususan kerja, perancangan dan penjadualan rapi, pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi dan yang terakhirnya insentif upah.  Pandangan Taylor tentang memotivasikan pekerja melalui perkara-perkara seperti dinyatakan tadi digunakan oleh kita pada hari ini.

Teori Klasikal telah mengenalpasti pengurusan sebagai elemen penting dalam masyarakat terancang dan menjadi begitu penting dalam dunia yang global. Pendekatan Klasikal telah mengenal pasti fungsi utama pengurusan iaitu perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan dan pengawalan.

Bagaimanapun fungsi pengurusan bergantung kepada keupayaan dan kemahiran seseorang pengurus.

Pendekatan Klasikal juga telah memberi sumbangan kepada teknik-teknik pengurusan seperti analisis pergerakan dan masa, kemudahan kerja, sistem upah, jadual pengeluaran, pengujian personel dan belanjawan.

Ada juga Teori Pengurusan yang mengambil pendekatan melalui tingkahlaku yang mana Pengurus yang inginkan kejayaan perlu memahami tentang manusia, iaitu pekerja & berusaha menyesuaikan organisasi dengan manusia.  Di antaranya, Elton Mayo dan kesan Hawthorne dalam kajian dilakukan di Hawthorne Works of The Western Electric Company oleh Elton Mayo dan rakannya dari Universiti Harvard. Begitu juga dengan Elton Mayo dengan teorinya sentuhan kemanusiaan itu penting dalam mewujudkan produktiviti yang tinggi, Hugo Munsterberg yang mencipta lapangan psikologi industri iaitu kajian saintifik individu ditempat kerja dalam usaha untuk memaksimakan produktiviti dan untuk sebarang perubahan.

Mary Parker Follett, salah seorang ahli falsafah dalam bidang pengurusan dalam Teori Organisasi Klasik melalui pendekatan Pergerakan Hubungan Manusia menyatakan organisasi patut dilihat dari perspektif gelagat manusia secara individu dan berkumpulan.

Apabila zaman berubah maka pendekatan teori pengurusan juga terdapat perubahan pada bahagian-bahagian tertentu. Contohnya, Tom Peters telah memberikan teori dan pendekatan terhadap mengurus kekaburan dan paradoks. Tom Peters menyatakan bahawa menguruskan organisasi perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran, keberanian mencuba tanpa memikirkan kepada kegagalan dan perlu menghampiri dengan pelanggan.

Tokoh pengurusan moden yang popular masa kini adalah seperti Abraham Maslow, Chris Argyris, D. Mc. Gregor, Edgar Schein, D. Mc. Cleland, R. Blake & J. Mouton, Ernest Dale dan Peter Drucker. Begitu juga dengan Douglas Mc Gregor dengan Teori X & Y, William Ouchi dengan Teori Z dan Michael Porter dengan memberikan lima kekuatan persaingan utama.

Begitulah gambaran serba sedikit perkembangan Sains Pengurusan yang perlu diketahui perkembangannya. Saya akan menyentuh berkaitan dengan sistem pengurusan Islam pada bahagian yang akan datang. Justeru apa pentingnya bagi kita untuk membaca dan memahami teori-teori pengurusan ini?.

Saya berpandangan terdapat 4 perkara yang penting ingin disampaikan dalam penulisan ini berkaitan dengan Teori Pengurusan.

1.       Teori terhasil daripada pengalaman, pengamatan, kajian dan pemerhatian. Pengurusan PAS walaupun mengaplikasikan pelbagai teori pengurusan di dalam pentadbiran namun perlu juga kita menggunakan segala pengalaman yang telah dilalui selama ini untuk menjadi ‘guide’ kepada gerakerja pengurusan dalam organisasi kita.

Walaupun secara umumnya pengurusan PAS di peringkat cawangan-cawangan sebagai contohnya, tidak jauh bezanya di antara satu cawangan dengan cawangan yang lain namun waqi’ cawangan mempunyai perbezaannya. Oleh itu, dalam menguruskan organisasi kita, keperluan untuk melihat keadaan setempat wajar diberikan perhatian. Ingat, berdepan dengan jawatan kuasa yang terdiri daripada golongan professional tidak sama dengan situasi mengendalikan cawangan yang didokongi oleh golongan petani (contoh).

2.       Perkara yang penting dalam teori pengurusan adalah output daripada produktiviti. Apakah output yang menjadikan produktiviti kita berjaya mencapai sasaran? Andai output tidak sampai sasaran maka apa tindakan yang perlu dilakukan oleh pengurusan parti? Atau kita merasakan sudah cukup dengan hasil yang ada atau pun kita sememangnya tidak menghiraukan apa yang sepatutnya dicapai.

3.       Evolusi Teori Pengurusan berterusan sepanjang zaman dan sentiasa ada penambahbaikan mengikut zamannya. Sebab itu, ilmu pengurusan perlu disegarkan pada setiap sesi dan sebaik-baiknya apabila sesi baru bermula. Kursus pengurusan organisasi wajib dilaksanakan agar organisasi PAS dapat ditadbir dengan sebaiknya. Dunia ketika ini dihubungkan dengan pelbagai aplikasi seperti Facebook dan Whatsapp, tidak sama seperti mana pengurusan PAS 20 tahun lalu yang tidak kenal dengan SMS pun lagi.

4.       Adaptasi sistem yang baik untuk menambah baik sistem pengurusan yang sedia ada. Bengkel pengurusan diadakan untuk memastikan setiap pengurusan PAS Cawangan dan Kawasan didedahkan dengan sistem pengurusan yang terkini dan ianya selari dengan kehendak di peringkat yang lebih tinggi. Aplikasi SISPRO, SSDP dan SPOKAS yang telah disediakan oleh Jabatan ICT perlu difahami dan digunapakai dalam pentadbiran PAS di semua peringkat.

Oleh itu, proses penambahbaikan terhadap pengurusan PAS dengan penggunakan pelbagai konsep pengurusan perlulah dilaksanakan mengikut arus masa kini. Sekretariat PAS Pusat akan cuba untuk membantu merealiasikan harapan ini dengan bantuan daripada Lajnah Pemerkasaan Parti dan Jabatan ICT PAS.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pemerkasaan Organisasi.

0 ulasan:

Catat Ulasan