DALAM satu sesi di Persidangan Wakaf Antarabangsa di Istanbul, Turki, pada Jun 2014, Datuk Syed Ali Al Attas, Presiden, Dewan Perdagangan Melayu Malaysia, mengingatkan sejarah pengaruh besar Turki ke atas dunia Melayu, terutama di Johor.
Turki menjadi ikon politik Johor sejak pengasas Johor moden, Sultan Abu Bakar, melawat Turki pada 1866, sehingga bendera rasmi Johor kemudiannya diganti, memakai corak bendera Turki dengan ditambah lataran biru.

Hubungan Turki dengan Johor lebih istimewa setelah Rogayah Hanim, wanita bangsawan Turki, berkahwin dengan bangsawan Johor. Rogayah Hanim dihantar Sultan Abdul Hamid, Khalifah Empayar Osmaniah, sebagai tanda persahabatan Khalifah dengan kesultanan Johor.

Rogayah melahirkan beberapa pemimpin ternama, termasuk Datuk Onn Jaafar, mantan Menteri Besar Johor, juga pengasas Umno; diikuti anak Datuk Onn, Tun Hussein, mantan Perdana Menteri Malaysia. Rogayah turut melahirkan beberapa tokoh intelek besar dan ahli ekonomi terkenal.

Islam mengatasi sekular di Turki

Hubungan istimewa antara Turki dan Johor terjalin rapat kerana kedua-duanya negeri Islam. Namun perubahan sejarah membuatkan Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk secara rasmi cuba membuang identiti Islam, setelah memilih perlembagaan sekular untuk Turki.