TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 4 Ogos 2014

BAHAGIAN KE 6 : PERBANDINGAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM, PENGURUSAN BARAT DAN PENGURUSAN JEPUN




BAHAGIAN KEENAM : PERBANDINGAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM, PENGURUSAN BARAT DAN PENGURUSAN JEPUN

Dalam bahagian yang terdahulu, saya telah menyampaikan maklumat berkaitan dengan Sistem Pengurusan Islam (SPI) dan Sistem Pengurusan Konvensional (SPK) atau pengurusan Barat dan kali ini saya akan menjelaskan serba sedikit berkaitan dengan Sistem Pengurusan Jepun (SPJ) dan di akhir penulisan nanti akan dinyatakan perbezaan di antara ketiga-tiga sistem tersebut.

Perkara yang menjadi perbincangan di kalangan para sarjana dalam bidang pengurusan adalah keberkesanan sistem dan konsep pengurusan Jepun yang sangat berkesan malah ianya menjadi ikutan dan contoh di seluruh dunia ketika ini.

Sebut saja Pengurusan Kaizen atau 7QC Tools kita sudah terbayang satu kaedah pengurusan yang diterima pakai dan dipraktikkan di pejabat kerajaan ataupun swasta sama ada di Malaysia atau di negara-negara lain. Kesungguhan Jepun untuk meningkatkan gaya dan daya pengurusannya, Edward Deming dan Joseph Juran telah diberi mandat untuk membantu membangunkan infrastruktur Jepun selepas Perang Dunia Kedua sehingga wujudnya satu sistem pengurusan yang akhirnya dikenali sebagai Total Quality Management (TQM).

Seorang sarjana barat, Peter Ferdinand Drucker yang telah menghasilkan lebih 40 buah buku dalam bidang pengurusan dan yang telah mempopularkan kaedah Management By Objective (MBO) melalui bukunya The Practice of Management membuat kajian tentang keberkesanan sistem pengurusan Jepun.  Beliau menyatakan bahawa tiga faktor yang diberikan penekanan dalam SPJ adalah membuat keputusan yang berkesan, keduanya mengharmonikan keselamatan pekerjaan dengan keperluan lain seperti produktiviti, fleksibiliti dalam kos buruh, dan penerimaan perubahan dalam syarikat. Ketiganya, Membangunkan pengurus profesional muda.


SPJ lebih mementingkan kerjasama dalam bertindak dan mementingkan kejayaan dalam satu pasukan. Ia digambarkan seperti golongan petani yang lebih mementingkan kerjasama, kerja berpasukan, saling bergantung, bekerja kuat, bergantung kepada musim, bertapak di sesuatu tempat, memerlukan perancangan rapi, suka meniru dan membaiki ciptaan orang lain.

Kerana itu, SPJ dilihat sebagai model pengurusan yang berkesan dan sesuai pada zaman ini. Namun, perbandingan ketiga-tiga sistem pengurusan ini dilakukan untuk melihat perbezaan di antara ketiga-tiganya dan apakah yang dapat dilakukan untuk membantu meningkatkan sistem pengurusan kita.

Perbandingan di antara Pengurusan Barat, Islam dan Jepun.

Umumnya dapat dilihat bahawa SPK atau pengurusan barat lahir daripada falsafah ekonomi sekular yang lebih mementingkan keuntungan produktiviti dan tidak memberikan perhatian kepada aspek agama, akhlak, budaya, nilai, serta pembangunan insan dalam perlaksanaannya.

SPK lebih mementingkan bagaimana organisasi dapat mencapai sasaran produktivitinya dan mengembangkan kuasa. SPK juga lebih menjurus ke arah memaksimumkan produktiviti, kualiti dan keuntungan dalam mencapai kemajuan dan kejayaan. Pengurusan barat mementingkan kelakuan atau gelagat bermoral atau beretika mengikut keadaan tempat dan masa manakala perkara yang berkaitan dengan agama dianggap sebagai peribadi.

Ia berbeza dengan SPI yang meletakkan Tauhid sebagai asas dalam sistem pengurusannya. SPI jika hendak dibandingkan dengan sistem-sistem pengurusan yang lain nyata sekali jauh lebih sempurna kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang melibatkan aspek jasmani, rohani, dan akal.

SPI berasaskan kepada nilai yang pasti mendapat keredhaan Allah yang berpandukan sumber Al-Quran dan Al-Sunnah dengan mengambilkira nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. SPI bukan saja bermatlamatkan kejayaan di dunia malah ia juga mendambakan kejayaan di Akhirat.

SPI memberikan penekanan terhadap unsur-unsur dalaman manusia kerana Islam percaya bahawa bila suburnya kekuatan dalaman maka ia akan memberikan kekuatan kepada jasad dan tindakan.

Kewujudan Pengurusan Barat, Islam dan Jepun.

Telah dinyatakan dalam bahagian terdahulu iaitu SPI telah lama wujud iaitu pada zaman Rasulullah lagi yang berkembang seiring perkembangan Islam pada zaman itu. SPI dibangunkan dengan berpandukan Al-Quran dan ia diubahsuai mengikut suasana, zaman dan tempat bermula pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin sehinggalah ia mencapai kegemilangannya pada zaman Khalifah Uthmaniah.

SPK mula wujud ketika zaman Revolusi Industri, zaman yang pada ketika itu mementingkan produktiviti daripada kepentingan dan kebajikan pekerja. Manakala SPJ bermula selepas perang dunia kedua di atas kemahuan rakyat Jepun untuk membangunkan kembali negara mereka yang musnah dan ianya lahir daripada sikap masyarakat Jepun yang rajin dan suka hidup bekerjasama di antara satu sama lain.

Perbandingan Konsep-konsep Pengurusan Islam, Barat dan Jepun

Perbezaan yang besar wujud di antara falsafah dan matlamat pengurusan barat dan Jepun dengan Islam di mana matlamat pengurusan barat dan Jepun hanya mementingkan dunia semata-mata manakala pengurusan Islam menggandingkan urusan dunia seiring dengan urusan akhirat.    

Jika dilihat daripada pengurusan Barat dan Jepun, kedua-duanya hampir mempunyai kesamaan daripada beberapa sudut, di antaranya kedua-duanya menggunakan etika kerja dan profesionalisme sebagai alat untuk mendapatkan keuntungan material. Matlamat mereka terbatas hanya untuk mencapai kejayaan di dunia sahaja. Andai mereka telah mencapai sasaran maka mereka akan merancang dan merencana strategi baru untuk mencapai kejayaan atau pun hasil yang lebih baik daripada sebelumnya.

Manakala SPI meletakkan matlamatnya adalah untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T. dengan menggunakan bahan dan sumber yang dimanfaatkan untuk mencapai matlamat dan kesejahteraan ummah.

Daripada sudut pekerja, SPK dan SPJ berpegang kepada konsep “pekerja adalah pekerja” yang mana ia mewujudkan pemisahan di antara pekerja dan pihak pengurusan. Pekerja akan terus bekerja bagi mencapai matlamat organisasi tetapi ia tidak dilihat sebagai sebahagian daripada organisasi sehingga memungkinkan berlakunya mogok dan bantahan daripada pekerja.

Namun, pengurusan Islam dan pengurusan Jepun mempunyai persamaan iaitu pekerja adalah aset terpenting organisasi kerana pekerja yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi. Maka kebajikan pekerja diberikan keutamaan.

Perkara yang membezakan antara pengurusan Islam dan Jepun adalah SPJ mengamalkan konsep “Life – Long Employment” iaitu  konsep yang menganggap diri mereka sebagai “hak milik” organisasi dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi sehingga mati. SPI pula selain seorang insan, manusia juga adalah seorang khalifah di muka bumi yang diberi tanggungjawab untuk memakmurkan bumi dan umat manusia sejagat. Tujuan jangka pendek SPI adalah untuk mencapai untung atau rugi dan tujuan jangka panjang adalah untuk kemakmuran ummah.

Kesimpulan
 
Melalui perbandingan di antara ketiga-tiga sistem pengurusan ini, kita dapat simpulkan bahawa SPI adalah sistem pengurusan yang berterusan sehingga ke akhirat manakala SPK dan SPJ lebih mementingkan kejayaan di dunia dan mencapai produktiviti yang disasarkan. Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa walaupun SPJ dan SPK memberikan keutamaan kepada kejayaan di dunia, kedua-dua falsafah pengurusan ini adalah melalui ‘tools’ dan kaedah yang telah direka dan mampu membantu untuk memperkasa dan memperkemas sistem pengurusan kita.

Di sinilah pentingnya untuk kita menggabungkan kesemua sistem ini bagi menaik taraf sistem pengurusan berorganisasi. Perbezaan yang wujud di antara sistem pengurusan ini perlulah di ambil perhatian untuk mengambil nilai yang positif bagi diterapkan di dalam perlaksanaan pengurusan organisasi.

Perlaksanaan kaedah TQM dan MBO dalam pengurusan organisasi perlu diteruskan namun ia perlu diterapkan dengan nilai SPI yang meletakkan Allah matlamat utama pengurusan (perkara yang berkaitan dengan TQM dan MBO akan diperjelaskan dalam bahagian yang akan datang sebagai panduan berorganisasi dan merancang perjalanan organisasi dengan berobjektif). Jika tidak maka ia tidak ada nilai pengurusan yang kita laksanakan yang akhirnya hanya berakhir dengan kemenangan dan kejayaan di dunia sahaja.

Akhirnya, Ezra F. Vogel dalam bukunya "Why Japan is No.1" telah merumuskan kehebatan negara Jepun yang mencapai taraf dunia, adalah disebabkan oleh budaya yang diamalkan oleh masyarakatnya.

Apakah budaya yang menjadi amalan mereka itu? Pertama ialah disiplin, masyarakat Jepun begitu tinggi displin mereka dari segi ketepatan masa, kepatuhan kepada ketua, kekemasan berpakaian. Keduanya teliti dalam setiap perbuatan. Ketiga ialah kaizen iaitu pembaikan yang berterusan dan keempat ialah budaya cintakan ilmu. Budaya ini wajar diterapkan di dalam diri kita kerana ia sememangnya selari dengan kehendak Islam.

Wassalam

0 ulasan:

Catat Ulasan