TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 10 Ogos 2014

BAHAGIAN KE 8 : KEPENTINGAN MEWUJUDKAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA






BAHAGIAN KELAPAN :   KEPENTINGAN MEWUJUDKAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

PENGENALAN

Pengurusan Sumber Manusia (PSM) adalah merupakan satu kaedah atau sistem yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi dengan tujuan untuk membentuk dan mengurus pekerja yang telah dilantik untuk menjalankan tugas yang diberikan. PSM adalah sesuatu yang penting dan perlu di lakukan dengan baik, sempurna dan beretika oleh mana-mana organisasi tidak kira organisasi itu kecil ataupun besar. Walaupun telah ada pelbagai bentuk robotik dan alat sokongan dalam melaksanakan kerja namun Manusia masih tetap merupakan aset terpenting kepada setiap organisasi tidak kira samada ianya sebuah syarikat besar atau kecil, organisasi kerajaan atau swasta atau pertubuhan sukarela. Menguruskan manusia sehingga mencapai manusia yang berkualiti adalah matlamat utama PSM diwujudkan.

Sebelum kita menyelami lebih dalam peranan PSM ini, perlu diperjelaskan dahulu perbezaan di antara Sumber Manusia dan Pengurusan Sumber Manusia. Sumber Manusia bagi sesebuah organisasi adalah merupakan semua staf atau pekerja yang merangkumi pekerja dan pengurus yang terdapat di dalam organisasi tersebut. Tanpa sumber manusia , organisasi tidak akan dapat bergerak malah tidak akan wujud.

Manakala, Pengurusan sumber manusia adalah tugas semua pengurus. Pengurusan sumber manusia melibatkan usaha-usaha pemilihan, pengambilan, pengekalan, pemberhentian, pembangunan dan penggunaan sumber manusia dengan cara yang betul dalam sesebuah organisasi. Dalam sesebuah organisasi, biasanya ia dikendalikan oleh bahagian Personel.

Keperluan Pengurusan Sumber Manusia

Walaupun PAS adalah merupakan sebuah organisasi politik namun PSM tetap menjadi keperluan untuk diwujudkan kerana terdapat sumber manusia yang bertugas untuk melicinkan perjalanan parti.

Pekerja atau sumber manusia adalah aset utama sesebuah organisasi, ianya hendaklah dijaga, dibangunkan, diselia dan diwujudkan peluang kerjaya untuk mengekalkan mereka agar organisasi akan membangun dan berkembang selaras dengan visi, misi dan objektif organisasi. Adalah tidak wajar meletakkan para pekerja menaiktaraf prestasi mereka sendiri tanpa peranan yang dilakukan oleh sesebuah organisasi.

Oleh kerana itu, seorang Pengurus diperlukan bagi memastikan kelicinan perjalanan sumber manusia dalam pengurusan organisasi. Pengurus berperanan dalam memberi perkhidmatan dan membantu pengurus lini dalam pengurusan sumber manusia. Pengurus sumber manusia terlibat dalam proses pengrekrutan, pemilihan, orientasi dan latihan pekerja, penyimpanan rekod pekerja dan lain-lain aktiviti personel. Fungsi di atas akan dapat membantu pengurus lini dalam menyedia dan mengurus sumber manusia dengan lebih berkesan.

Keduanya, Pengurus menyediakan khidmat nasihat kepada pengurus lini yang berkaitan dengan sumber manusia dengan memberikan khidmat nasihat yang berkaitan dengan masalah-masalah displin pekerja, ganjaran, motivasi, pengrekrutan dan lain-lain fungsi yang berkaitan dengan sumber manusia atau tenaga buruh.

Ketiganya, Pengurus mengawal aktiviti-aktiviti yang berhubung dengan sumber manusia dalam organisasi agar ia lebih seragam dengan memastikan semua pengurus mematuhi peraturan-peraturan organisasi ataupun kerajaan dalam proses pengambilan pekerja, pemberian pampas an, latihan, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Dalam kolum kali ini, saya akan fokuskan kepada keperluan untuk Penstafan dan Latihan dalam PSM kerana dua perkara ini menjadi asas kepada pembentukan gerakerja yang efektif kepada organisasi kita di semua peringkat.


Keperluan Penstafan

Penstafan adalah merupakan salah satu proses pengurusan yang melibatkan proses pengambilan staf baru, pemilihan staf, orientasi, penilaian prestasi, pertukaran tugasan termasuklah dengan proses memberhentikan pekerja. Penstafan yang biasanya dilakukan oleh bahagian Personel adalah bahagian yang paling rapat dengan pekerja kerana semua urusan pekerja dilaksanakan oleh bahagian ini.

i.          Pengambilan Pekerja

Sama ada kita suka ataupun tidak, pengambilan pekerja baru dalam organisasi adalah sesuatu yang penting. Andai tersalah pilih pekerja yang tidak bersesuaian dengan tugas yang akan diberikan maka ia sudah tentu akan merencatkan perjalanan organisasi.

Sebagai contoh, jika kekosongan jawatan itu berkehendak kepada seorang pekerja yang mahir dalam urusan dokumentasi maka keperluan kemahiran pekerja baru, di antaranya adalah mahir mengunakan perisian Microsoft Word, Excel ataupun Power Point namun jika yang dipilih adalah mereka yang mahir dengan pengunaan perisian AutoCad maka ia akan menyukarkan keadaan.

Sebab itu, pengambilan pekerja mestilah dilakukan secara teliti bagi memilih mereka yang berminat dan berkelayakan. Ia tidak semestinya diisi oleh mereka yang berada diluar organisasi (sumber luaran) kerana berkemungkinan terdapat sumber dalaman iaitu pekerja yang sedia ada dalam organisasi dapat ditawarkan ke jawatan baru di atas kemahiran yang dimilik dan pengalamannya yang telah dilalui.

Terdapat banyak kaedah yang digunakan untuk mengambil pekerja baru (sumber luaran) yang biasa digunakan iaitu melalui permohonan dan temuduga terus dari calon secara walk in atau write in. Satu lagi kaedah yang agak porpular adalah dengan, membuat pengiklanan menerusi media cetak, media elektronik dan media sosial.

ii.         Pemilihan Pekerja

Pemilihan merupakan proses untuk memilih calon yang terbaik daripada sejumlah calon-calon yang memohon untuk mengisi kekosongan jawatan pada sesuatu masa yang tertentu. Secara umumnya, terdapat prosedur yang biasanya digunakan untuk mengambil staf baru iaitu mengisi borang permohonan, menjalani ujian untuk proses pemilihan dan ia bergantung kepada kerja yang ditawarkan. Seterusnya, proses temuduga kepada calon yang layak. Sekiranya calon melepasi proses temuduga maka calon akan ditawarkan dengan surat tawaran rasmi daripada organisasi dan biasanya akan diminta menjalani ujian kesihatan bagi memastikan bahawa calon tidak mendatangkan masalah kepada organisasi pada masa akan datang.

iii.        Orientasi Pekerja

Orientasi merupakan proses untuk memperkenalkan, menyesuaikan dan membudayakan pekerja baru dengan suasana pekerjaan organisasi. Ianya bukan satu proses ‘membuli’ pekerja baru seperti yang difahami oleh segelintir daripada kita. Adalah sangat penting orientasi dilaksanakan kerana ia membantu pekerja memahami dan memotivasikan pekerja untuk melaksanakan khidmat dengan sebaiknya. Ia juga membantu membaiki kedudukan pekerjaan dengan peningkatan keyakinan diri.

Pengalaman saya ketika menjalani minggu orientasi di Samsung Electron Devices, Seremban selepas menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di UTM, semua pekerja didedahkan dengan geografi Korea, sejarah Samsung, lagu rasmi Samsung, misi dan visi Samsung. Malah, kami diajar dengan senaman Samsung yang perlu dipraktiskan setiap pagi sebelum memulakan kerja.

Latihan dan Pembangunan Pekerja

Bagi memastikan bahawa pekerja dapat ‘berlari seiringan’ dengan matlamat pembangunan organisasi, mereka perlu dilatih dengan pelbagai latihan yang berkaitan sama ada latihan tersebut melibatkan latihan sambil bekerja, latihan di luar tempat kerja, latihan intensif ataupun latihan yang dikendalikan oleh profesional dari institusi tertentu yang berkaitan.

Pembangunan Pekerja pula merupakan program-program yang menekankan aspek kepimpinan, produktiviti dan isu-isu organisasi yang bertujuan untuk memberi pengetahuan tentang konsep-konsep teoritikal, untuk memperkayakan organisasi melalui program sumber manusia serta menyedarkan pengurus terhadap tanggungjawab mereka.

Mewujudkan Pengurusan Sumber Manusia Di Dalam Pentadbiran PAS

Sebagai sebuah parti politik, pentadbiran PAS dikendalikan oleh Setiausaha. Tugas mentadbir organisasi diletakkan kepada sekretariat dan secara tidak langsung semua staf akan menuruti arahan daripada Setiausaha. Fasal 26(4)(b) dan 26(4)(e) Perlembagaan PAS menyatakan bahawa Setiausaha Agung menjadi ketua pegawai yang bertanggungjawab bagi perlaksanaan pentadbiran Pejabat Agung PAS dan pengambilan pegawai dan kakitangan pejabat Agung PAS. Begitu juga dengan Fasal 41(3)(b) yang menyatakan tugas Setiausaha Badan Perhubungan di atas perkara yang sama.

Namun, dengan perkembangan yang sedang dialami oleh PAS ketika ini, sudah tiba masanya PAS mewujudkan sebuah unit atau jabatan Personel yang akan menguruskan sumber manusia di dalam organisasi.

Sama ada Pengurus ini adalah terdiri daripada mereka yang berjawatan Setiausaha seperti yang diperuntukan di dalam perlembagaan PAS, apa yang penting adalah para pegawai atau pekerja PAS di semua peringkat akan dikawal selia dengan sebaiknya.

Penutup

Kita perlu menyedari betapa sumber manusia itu sangat penting untuk dibajai dan dijaga agar ia dapat ‘perform’ sepanjang berkhidmat dengan sesebuah organisasi. Walaupun mungkin terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk menyediakan latihan dan insentif namun ia sebenarnya akan membantu organisasi bergerak dengan lebih baik dan berkesan.

Wassalam.



Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pemerkasaan Organisasi
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
www.khairulfaizi.net
+60132565530

0 ulasan:

Catat Ulasan