TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 4 Ogos 2014

BAHAGIAN KE 7 : PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN




BAHAGIAN KETUJUH : PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN



Assalamu’alaikum dan salam perjuangan



Semasa program Kembara Ramadhan Pemuda PAS Malaysia ke Johor, saya teringat pesanan Dr Nushi Mahfodz kepada para Pemuda PAS Johor perkara yang berkaitan dengan masa. Beliau menyebut bahawa umat Islam di seluruh dunia adalah mereka yang sangat menepati masa iaitu semasa waktu berbuka puasa. Masing-masing akan mengadap juadah berbuka terlebih awal sebelum azan berkumandang. Namun, ia tidak mampu untuk dipraktiskan dalam perkara yang lain-lain.



Setiap kali selepas selesai mesyuarat, pertemuan mahupun program, menjadi kelaziman bagi kita untuk menutup program dengan bacaan tasbih kifarah dan surah Al-Ashr. Surah Al-Ashr yang membawa maksud ‘Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan sesama mereka tentang kebenaran dan berpesan tentang kesabaran’ adalah surah yang berkaitan dengan kepentingan masa.



Menutup majlis dengan surah yang bermaksud ‘Demi Masa’ adalah satu tanda peringatan kepada kita bahawa betapa pentingnya masa itu untuk ditepati dan dihargai. Malangnya, sebahagian daripada kita tidak terasa bersalah walaupun lewat menghadiri majlis ataupun mesyuarat dengan sengaja.



Saya cuba mendapatkan respon daripada rakan-rakan facebook tentang kelemahan kita menguruskan masa dalam kehidupan. Siti Zaleha Ummu Hafiz memberikan respon bahawa budaya kita selalu mengamalkan masa flexi/anjal. Hakikatnya, budaya ini menyebabkan masyarakat kita tidak terasa pentingnya untuk menepati masa kerana keanjalan memberikan ruang untuk hadir ke sesuatu acara tidak tepat pada masanya. Manakala, seorang lagi responden, Mael Palarae berpendapat bahawa masyarakat kita tidak menganggap masa itu bernilai, baik nilai itu dikira dari segi agama mahupun displin dunia sambil mengajak para pembaca untuk menonton filem IN TIME yang ditayangkan pada tahun 2011.



Oleh kerana itu, sangat wajar kita sebagai penggerak jamaah Islam meneliti kepentingan menguruskan masa dengan sebaik mungkin. Pengurusan Masa ialah perihal mengurus masa dengan sebaik mungkin, sehingga masa itu memberi munafaat bagi semua pihak, bukan hanya kepada kita sahaja kerana masa yang kita ada sama seperti yang ada pada orang lain. H. Jackson Brown Jr. pernah berkata “Don’t say you don’t have enough time. You have exactly the same number of hours per day that were given to the others.”



Kepentingan masa



Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat melainkan ditanya dahulu tentang empat perkara, tentang umurnya dan untuk apa dihabiskan, masa mudanya bagaimana ia mempergunakanya,  hartanya dari mana ia memperolehinya dan untuk apa ia membelanjakannya dan tentang ilmunya bagaimana ia memanfaatkannya". ".



Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).


Kedua-dua Hadith ini menggambarkan betapa pentingnya masa kepada kita.



Apa Itu Pengurusan Masa



Dalam bidang pengurusan, masa adalah termasuk di dalam satu perkara yang perlu diurus. Sehebat mana seseorang itu dalam bidang pengurusan tugas dan kerjayanya namun jika masa tidak dapat diurus dengan berkesan maka sukar baginya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.



Pengurusan masa adalah suatu ilmu yang berkaitan dengan teknik dan cara seseorang itu mengurus, membahagi dan mengatur masa sehariannya supaya dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.



Pengurusan masa juga ditafsirkan sebagai pengurusan aktiviti dalam satu jangka masa tetapi bukan mengurus masa untuk sesuatu aktiviti. Ia merupakan kebolehan untuk mengawal apa yang dilakukan, bila, bagaimana, dan mengapa kita melakukannya.



Bagaimana Menguruskan Masa Dengan Berkesan



Pengurusan masa adalah berkaitan dengan pengurusan matlamat. Kegagalan meletakkan matlamat dalam sesuatu pengurusan akan menyebabkan sesuatu tindakan itu dibuat sambil lewa ataupun sekadarnya. Ia adalah amat berbeza seandainya kita meletakkan matlamat yang akan menghasilkan satu tindakan yang lebih tersusun termasuklah pengurusan masa.



Kita juga perlu kenalpasti apakah perkara yang mengganggu kita daripada menepati masa. Sebagai contohnya, apabila di pejabat, peruntukan masa kerja selama lapan jam, berapa jam kita habiskan dengan Facebook ataupun WhatsApp untuk tujuan peribadi? Begitu juga dengan penggunaannya diluar waktu kerja sehingga pelbagai kerja tertangguh?



Sebenarnya, terdapat banyak tips untuk menguruskan masa dengan berkesan. Dalam kolum ini, saya kongsikan lima tips yang dilihat sangat sesuai dengan sistem pengurusan kita di dalam PAS.



1.        Set Matlamat dan strategi



Setiap kerja buat kita perlulah dikenalpasti matlamat kita dalam jangka sama panjang dan pendek. Dengan merancang matlamat tersebut, kita akan tahu apa perlu dicapai dan mengapa perlu kita capai matlamat tersebut bagi memudahkan kita membuat keputusan perkara penting yang perlu diselesaikan. Jika tiada matlamat maka kerja kita akan tidak terarah sehingga menyebabkan masa yang diperuntukan untuk menyiapkan sesuatu perkara akan menjadi panjang.



2.        Elakkan Daripada Melakukan Semua Perkara.



Dalam kita berorganisasi, terkadang terdapat sesetengah individu yang cenderung untuk melakukan semua perkara. Daripada penyediaan kertas kerja, menyediakan dokumen, mengedalikan program dan menyediakan hadiah kesemuanya dilakukan seorang diri. Golongan ini biasanya dikenali sebagai ‘The Lone Ranger’ dalam jamaah.



Tidak dapat dinafikan bahawa dengan melakukan semua kerja akan mengembirakan hati kita namun ia belum tentu menyenangkan hati orang lain kerana tidak akan berlau ‘check and balance’ dalam pengurusan program. Pengurusan masa yang baik memerlukan anda menumpukan kepada tugas penting dan sedikit dalam masa yang telah ditetapkan. Pengurusan masa yang buruk berlaku apabila anda menumpukan terlalu banyak kerja yang kurang penting dalam masa yang tidak menentu.



3.        Penyediaan Senarai Semak.



Senarai semak akan memudahkan anda dalam pengurusan organisasi. Bukan mudah untuk mengingatkan semua perkara yang anda patut lakukan melainkan anda mencatitkannya dalam satu senarai semak.



Setelah tugasan selesai dilaksanakan, pastikan anda tandakan pada senarai. Aktiviti ini memudahkan anda melihat tugasan yang telah anda selesaikan dan tugasan yang masih belum dilaksanakan. Ia lebih baik dapat dipaparkan di papan putih atau papan kenyataan supaya anda tidak tercicir tugas yang telah diamanahkan.



4.        Elakkan Kerja Bertangguh dan Selesaikan Tugas Pada Hari ini.



Di antara gejala negatif yang sering menyerang penggerak organisasi adalah menangguhkan kerja yang sepatutnya diselesaikan pada hari tersebut. Sering petugas membawa kerja yang sepatutnya disiapkan ke hari yang berikutnya. Ini membuatkan kerja yang tertangguh mengganggu kerja yang sepatutnya disiapkan pada hari yang berikutnya.



5.         Kerjasama



Perlu praktiskan sikap untuk melakukan kerja bersama-sama ataupun mendapatkan kerjasama daripada kumpulan kerja kerana ini lebih menjimatkan masa. Pepatah Melayu, “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing” cukup membayangkan bahawa kerja berpasukan akan membantu kita dalam mempercepatkan penyiapan kerja. Budaya kerja berpasukan ini sangat dipraktiskan oleh masyarakat Jepun dalam melakukan aktiviti mereka.



Penutup



Kita perlu berazam untuk mengubah sikap kita dalam menguruskan masa. Alan Lakein pernah menyatakan bahawa “Masa adalah kehidupanmu, membuang masa mu adalah membuang kehidupanmu, tetapi untuk menguasai masa mu adalah untuk menguasai kehidupanmu”.



Bukan kita yang mencipta masa dalam kehidupan kita tetapi kita membentuk kehidupan kita di dalam masa. Kerana itu, pepatah Melayu ada menyebut bahawa “Masa Itu Emas” menunjukkan sejak zaman dahulu lagi manusia mengakui emas begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan turut menjadi kebanggaan. Begitu juga dengan nilainya masa dalam kehidupan kita seharian.


Berusahalah agar kita menjadi seseorang yang menghargai masa diri dan masa orang lain sebagai bukti bahawa Ramadhan yang telah berlalu benar-benar membentuk diri kita yang memahami apa erti Al-Ashr.



Wassalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan