TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 2 September 2014

BAHAGIAN KE 9 : KEPENTINGAN KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN


BAHAGIAN KESEMBILAN :     

KEPENTINGAN KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Sebelum ini, kita telah membincangkan perkara yang berkaitan dengan menangani konflik dan krisis dalam berorganisasi pada bahagian kelima yang lalu yang mana telah disentuh bahawa adalah merupakan satu keperluan untuk mewujudkan komunikasi berkesan bagi mengelakkan konflik dalam organisasi. Oleh itu, kali ini kita akan membicarakan tentang kepentingan komunikasi berkesan dalam pengurusan organisasi.

Komunikasi merupakan perkara yang amat penting bagi sesebuah organisasi. Organisasi yang tidak memberikan perhatian kepada komunikasi akan membantutkan usaha serta perancangan sesebuah organisasi untuk memastikan ia akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Kegagalan berkomunikasi dengan baik khususnya dalam sebuah organisasi politik akan menimbulkan konflik dalam organisasi lebih-lebih lagi zaman ini sistem komunikasi cukup pantas untuk menyebarkan maklumat seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Kita dapat lihat contoh-contoh yang telah berlaku baru-baru ini yang mana konflik yang melibatkan PAS iaitu krisis perlantikan Menteri Besar (MB) di Selangor. Tersebar secara meluas di laman sosial sepucuk surat kononnya PAS telah keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang ditandatangi oleh Presiden PAS. Surat palsu ini telah berjaya mengejutkan banyak pihak termasuk kepimpinan PAS di peringkat bawah sehingga terpaksa dibuat penafian oleh Setiausaha Agung PAS.


Begitu juga dengan pelbagai ‘posting’ yang kononnya dikeluarkan oleh kepimpinan AJK PAS Pusat yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Mesyuarat Khas PAS Pusat. Ia tersebar secara meluas di dalam WhatsApp dan berjaya menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan para penyokong.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan interaktif di laman sosial maka PAS perlu memberikan perhatian terhadap meningkatkan komunikasi yang lebih berkesan bagi mengelakkan kecelaruan penyampaian maklumat ke semua peringkat. Komunikasi di laman sosial akan saya sentuh secara terpeinci dalam keluaran yang akan datang.

Secara umumnya , proses komunikasi amat perlu dalam melaksanakan fungsi elemen-elemen pengurusan. Ini bermakna pengurus memerlukan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan individu atau kumpulan. Situasi ini memerlukan komunikasi yang efektif sebelum membuat sebarang keputusan kepada pihak lain.

Islam Memberi Perhatian Terhadap Komunikasi

Islam telah menegaskan betapa perlunya kita memberikan perhatian kepada komunikasi yang berkesan.  Dalam Surah al-Nahl ayat ke 125, Allah telah berfirman :

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”

Berkomunikasi dengan hikmah membawa maksud menyampaikan degan cara bijaksana namun perlu ada ketegasan dan kebenaran di atas apa yang disampaikan. Apa yang penting adalah mesej yang disampaikan dapat membezakan di antara yang benar dan yang batil. Setiap maklumat yang disampaikan mestilah disokong dengan hujah kukuh yang mampu memberikan keyakinan kepada para pendengar.

Namun begitu, kita juga perlu sedar bahawa tidak semua manusia mempunyai tahap pemikiran dan tahap ilmu yang sama. Bercakap dengan masyarakat di luar bandar sudah tentunya tidak sama dengan bercakap dengan para golongan masyarakat di bandar.

Tujuan Komunikasi Berkesan

Terdapat beberapa tujuan komunikasi berkesan dalam berorganisasi. Di antaranya ;

1.    Kita perlu memahami bahawa keberkesanan komunikasi akan melancarkan perjalanan perancangan ke arah mencapai matlamat sesebuah organisasi. Kesemua fungsi-fungsi elemen proses pengurusan akan disalingkaitkan melalui komunikasi.

2.    Komunikasi dalam organisasi juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat yang benar, sahih dan tepat pada waktu kepada ahli-ahli dalam organisasi supaya peningkatan prestasi organisasi dapat dilaksanakan. Kegagalan menyalurkan maklumat yang benar, sahih dan tepat pada waktunya akan menyebabkan organisasi bergerak dalam situasi yang lari daripada ‘target’ asalnya.

3.    Komunikasi yang berkesan juga mestilah dilihat daripada sudut dimensi Kesepaduan Organisasi iaitu tahap sejauh mana kakitangan bersepadu dan terlibat dalam interpersonal bagi mencapai matlamat yang dikongsi bersama. Komunikasi yang kabur akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham yang boleh menjejaskan kesepaduan organisasi.

4.    Komunikasi dalam organisasi sebenarnya lebih komplek daripada komunikasi individu kerana ia melibatkan banyak pihak dan perlu berdepan dengan banyak pihak yang kerenah dan ragam mereka yang pelbagai. Komunikasi dalam sesebuah organisasi melibatkan ramai orang dan melibatkan skop yang agak luas.

Komunikasi Lisan dan Bukan Lisan

Salah satu buku yang menjadi rujukan saya berkaitan dengan komunikasi berkesan sejak 12 tahun yang lalu adalah buku “Komunikasi Untuk Pemimpin” yang ditulis oleh Prof Dr Abdullah Hassan dan Dr Ainon Mohd. Buku ini banyak membantu para pemimpin untuk berinteraksi dengan mereka yang dipimpin sama ada diperingkat pentadbiran mahupun awam.

Dr Abdullah dan Dr Ainon telah mengklasfikasikan komunikasi terbahagi kepada dua bentuk, bentuk pertama adalah komunikasi lisan iaitu komunikasi yang disampaikan kepada pendengar dengan bahasa pertuturan seperti ceramah, pidato, pengucapan umum, temuramah dan yang seumpama dengannya.

Bentuk komunikasi yang kedua ialah komunikasi bukan lisan iaitu komunikasi yang disampaikan dalam bentuk bukan lisan. Ia termasuklah ekspresi muka, simbol, cara pemakaian, pandangan mata, gerak geri anggota tubuh, nada suara dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. juga menggunakan komunikasi visual yang merupakan salah satu daripada komunikasi bukan lisan. Daripada Abdullah bin Abbas r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. melukis empat garisan di atas tanah dan baginda bertanya, “Adakah kamu tahu mengapa Aku melakarkan empat garisan ini?” Mereka menjawab Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Lalu Baginda bersabda, “Semulia-mulia wanita di Syurga kelak ada empat orang iaitu Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhamad, Maryam binti Imran dan Aishah binti Muzahim, isteri Firaun”. Ini adalah merupakan contoh teknik lakaran yang merupakan di antara kategori komunikasi bukan lisan.

Prof Dr Abdullah Hassan dan Dr Ainon Mohd juga menggariskan bahawa komunikasi berkesan mempunyai lima ciri : kefahaman, keseronokan, pengaruh kepada sikap, perhubungan yang bertambah baik dan ada tindakan. Saya akan menjemput kedua-dua tokoh ini untuk membentangkan kelima-lima ciri tersebut dalam bengkel pengurusan yang akan diadakan selepas daripada Muktamar PAS Pusat akan datang ini.

Dalam pada itu, kajian Harcourt, Kriza dan Merrier pada tahun 1996, para pengurus menghabiskan 95 peratus masa bekerja mereka untuk berkomunikasi manakala pekerja bawahan menggunakan 60 peratus daripada masa bekerja mereka dalam pelbagai bentuk komunikasi. Ini menunjukkan bahawa proses komunikasi dalam organisasi melibatkan kesemua anggota dalam organisasi tersebut.

Kesimpulan

Komunikasi berkesan sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi. Kegagalan berkomunikasi akan melahirkan suasana tidak harmoni dan akhirnya akan memberikan kesan negatif terhadap pengurusan dan pentadbiran. Akan mula timbul rasa curiga dan sangka buruk ke atas pentadbir oleh para pekerja dan begitu juga sebaliknya. Rasa curiga dan sangkaan buruk akan melahirkan konflik dalam berorganisasi dan akan menjadi lebih para apabila terdapat ‘batu api’ yang cuba membakar api kemarahan dan kebencian.

Pengurusan zaman kini terpaksa berhadapan dengan alat komunikasi yang pelbagai, daripada kaedah lama seperti surat khabar, surat dan memo, kita juga berhadapan dengan alat komunikasi baru seperti facebook, email dan aplikasi WhatsApp. Walaupun alat komunikasi media baru ini telah sedikit sebanyak menimbulkan kekecohan dalam organisasi namun kita perlu bijak untuk menghadapinya. Justeru perlu diberi perhatian terhadap perkara ini.

Keperluan untuk mewujudkan komunikasi berkesan telah dibuktikan dengan pelbagai kajian yang dilakukan sama ada di dalam negara atau di luar negara berkaitan dengan komunikasi dalam berorganisasi. Secara panjang lebarnya akan dijelaskan dalam kursus-kursus organisasi di bawah sektor Pemerkasaan Organisasi selepas selesai muktamar nanti, insya Allah.


Wassalam.



0 ulasan:

Catat Ulasan