TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 29 Oktober 2014

BAHAGIAN KE 16 - MOTIVASI DALAM ORGANISASI




BAHAGIAN KEENAM BELAS :   MOTIVASI DALAM ORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kepentingan motivasi dalam berorganisasi dilihat sangat penting kerana motivasi diibaratkan sebagai pemangkin untuk pembangunan diri secara spiritual bagi merealisasikan cita-cita dan harapan yang dibina. Walaupun ia bukanlah sesuatu  kewajipan untuk mewujudkannya namun ia diibaratkan seperti pemberi semangat kepada pekerja dan petugas untuk melaksanakan tugas mereka dengan jayanya.

Di dalam organisasi PAS, saya kategorikan tiga kumpulan yang dilihat sebagai pekerja atau petugas parti. Pertamanya, ahli PAS yang bertugas secara sepenuh masa di dalam pentadbiran PAS, keduanya ahli PAS yang bekerja secara sebahagian masa dan yang ketiganya adalah ahli PAS yang bertugas sebagai Murobbiton . Kumpulan pertama adalah mereka yang bekerja di pelbagai sektor dalam parti seperti pegawai pentadbiran di Pejabat Agung PAS atau pejabat pentadbiran di seluruh negara, pegawai kepada lajnah atau jabatan. Kumpulan kedua iaitu kumpulan teramai dalam parti iaitu petugas separuh masa yang berada di semua bahagian organisasi PAS. Golongan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai karier sendiri namun sebahagian masa mereka diperuntukan untuk menggerakkan parti di pelbagai sektor. Kumpulan ketiga adalah kumpulan ‘murobbiton’ yang bekerja tanpa gaji atau elaun yang tetap tetapi golongan ini memberikan masa mereka kepada gerakerja PAS.

Pembahagian tiga kumpulan ini adalah dengan tujuan untuk memudahkan kita memahami kaedah yang bersesuaian untuk memotivasikan mereka dalam ruang lingkup yang sesuai dengan mereka.

Motivasi perlu dibina kerana ia tidak datang dengan sendirinya. Memupuk motivasi secara berterusan akan menjadikan motivasi kerja semakin meningkat dan akhirnya menjadikan pekerjaan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan.

BILA MOTIVASI BERMULA

Proses motivasi bermula apabila seseorang itu mula mengenalpasti keinginan atau keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.

Seperti yang telah dijelaskan bahawa pekerja yang bermotivasi adalah aset kepada organisasi. Sebaliknya, pekerja yang tidak bermotivasi adalah bebanan kepada organisasi.  Mereka menjadi barah yang akan turut mempengaruhi pekerja lain mengikut perangai negatif itu. 

Motivasi adalah pencetus atau pemangkin kepada kecemerlangan pekerja dan seterusnya memberi kesan baik kepada seluruh organisasi. Soal motivasi kerja perlu diberi perhatian oleh setiap organisasi.  Kita perlu sedar bahawa kejayaan organisasi bergantung juga kepada keupayaan pekerja melaksanakan tugas yang telah ditetapkan mengikut standard dan spesifikasi.

Islam juga meletakkan motivasi sebagai salah satu perkara untuk mendorong seseorang meningkatkan tugas dan kerja yang diberikan. Tiga perkara yang penting dan saling berkait adalah niat, kaedah dan matlamat. Niat sebagai asas dalam melakukan tugas mestilah disandarkan kerana Allah iaitu untuk mencari keredhaan Allah.  Matlamat dalam kerja adalah untuk ganjaran di Akhirat. Kaedahnya adalah bergantung kepada jalan yang dipilih oleh manusia bagi mencapai matlamat tersebut.

TEORI-TEORI MOTIOVASI

Tedapat banyak teori motivasi yang dikemukakan oleh ahli psikologi. Kebanyakan teori-teori motivasi boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu teori yang berasaskan keperluan dan teori yang berasaskan proses kognitif. Dalam pengajian Pengurusan, teori yang paling popular dalam teori keperluan adalah Teori Keperluan Maslow dan Teori Pencapaian McClelland. Manakala, teori yang berasaskan kognitif sering merujuk kepada Teori Jangkaan Vroom dan Teori Ekuiti Adam.

Teori Keperluan Maslow menyatakan bahawa manusia mempunyai lima keperluan yang disusun mengikut hirarki. Menurut beliau yang dicatatkan di dalam bukunya yang bertajuk "A Theory of Human Motivation" iaitu yang pertamanya, keperluan asas manusia adalah keperluan fisiologi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Keperluan fisiologi, sekiranya salah satu daripada keperluan ini tidak dipenuhi, ia akan mempengaruhi arah fokus pekerja semasa menjalankan sesuatu tugas.

Keduanya, keperluan keselamatan diri manakala keperluan tahap ketiga adalah keperluan sosial. Keperluan keselamatan diri termasuk keselamatan peribadi, keselamatan kewangan, kesihatan dan tidak akan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa manakala keperluan sosial jika dipenuhi akan menyebabkan perasaan ketegangan dan stress di kalangan pekerja dapat dielakkan atau dikurangkan.

Keempat pula manusia akan memenuhi keperluan ego dan penghormatan diri. Keperluan ini ada kaitan dengan keperluan pekerja untuk dihormati dan diberi peluang menghormati orang lain. Beri mereka tugas yang boleh memberi mereka peluang untuk memberi sumbangan. Ini akan meningkatkan "penghormatan diri".

Terakhirnya, keperluan tertinggi adalah keperluan kepada kesempurnaan kendiri. Keperluan ini berkaitan dengan keperluan untuk mencapai cita-cita diri sendiri mengikut potensi seseorang manusia atau pun pekerja. Kajian mendapati bahawa individu yang tinggi keperluan pencapaian lebih berjaya dalam pekerjaannya jika jenis pekerjaan tersebut membantu pencapaian peribadinya.

Dari sudut kognitif pula, Teori Jangkaan Vroom menjelaskan bahawa manusia berkelakuan berdasarkan hasil yang dijangka boleh memberi kepuasan, sebagai contohnya kenaikan pangkat.

MOTIVASI PEKERJA MESTI DIRANCANG

Seperti yang telah dinyatakan tadi, usaha untuk memotivasikan pekerja perlu dirancang dan disusun, ia tidak boleh dibiarkan hadir dengan sendirinya. Ada  teori yang menyatakan bahawa pekerja sebenarnya tidak minat untuk bekerja dan cuba mengelakkan menjalankan tugas jika keadaan mengizinkan. Namun ada juga teori di mana pekerja dipercayai sebagai bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Pekerja ini tidak perlu diarah atau dipaksa membuat tugasnya. Sebab itu, dipercayai bahawa pekerja di dalam golongan kedua akan berkerja dengan lebih kuat lagi jika diberi insentif yang berpatutan.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI

Sebelum proses motivasi dilakukan terhadap pekerja dan petugas, organisasi perlu memahami faktor-faktor yang mempengaruhi mereka iaitu Perbezaan Individu, Ciri-ciri Pekerjaan dan Amalan-amalan Organisasi. Apa yang dimaksudkan Perbezaan Individu itu adalah ciri-ciri yang ada pada setiap individu yang mempengaruhi seperti keperluan peribadi, nilai, sikap, minat dan kebolehan yang mereka bawa ke dalam tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Ciri-ciri pekerjaan pula melibatkan aspek-aspek sesuatu polisi kerja yang menentukan batasan dan cabarannya. Ini termasuklah kepelbagaian dalam kemahiran yang diperlukan untuk melakukan pekerjaan. Keduanya, darjah sejauh mana pekerja boleh menyiapkan keseluruhan tugas daripada awal sehingga ke akhir. Ketiganya, kesignifikan peribadi yang dikaitkan dengan pekerjaan itu. Seterusnya adalah autonomi dan yang kelimanya jenis dan sejauh mana maklumbalas mengenai prestasi yang pekerja terima. Amalan-amalan organisasi pula merujuk kepada peraturan, polisi sumber manusia, amalan pengurusan dan sistem ganjaran sesebuah organisasi.

MOTIVASI TERHADAP PETUGAS PAS

Seperti yang telah dinyatakan di atas, saya kategorikan petugas PAS kepada tiga kumpulan. Walaupun ketiga-tiga kumpulan mempunyai perbezaan namun perkara yang sama di antara mereka adalah keyakinan yang ditanamkan dalam diri iaitu bekerja kerana Allah, bekerja untuk mencari KeredhaanNya dan bekerja untuk memenangkan Islam. Kefahaman tentang perjuangan Islam perlu disemai dan dibajai di dalam hati-hati para petugas dan pekerja agar kerja buat mereka tidak menjadi sia-sia.

Bertepatan dengan FirmanNya dalam Surah As-Saff ayat 10 -12 yang bermaksud Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kerana itu, para petugas PAS ditarbiyah untuk melakukan pengorbanan dalam tugas yang diamanahkan kerana ganjarannya adalah lebih besar di Akhirat nanti tanpa perlu menafikan bahawa asas keperluan kepada petugas diberikan perhatian oleh pentadbir atau pengurusan parti.

PENUTUP

Pentadbir Organisasi wajar memberikan perhatian terhadap proses memotivasikan para pekerja dan petugas lebih-lebih lagi di dalam pentadbiran dan pengurusan PAS. Kaedah memotivasikan para petugas perlulah mengikut kesesuaian.

Proses pengecasan semangat melalui motivasi perlu diteruskan dari masa ke masa agar perjalanan organisasi akan terus mantap dan berkesan.

Wassalam.


0 ulasan:

Catat Ulasan