TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 18 November 2014

BAHAGIAN KE 19 : PENGAJARAN DARIPADA PERLUMBAAN ARNAB DAN KURA-KURA (VERSI BARU)

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kisah perlumbaan sang arnab dan sang kura-kura adalah merupakan salah satu cerita yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia dan saya pasti ia adalah kisah yang diketahui oleh kita sama ada yang dewasa sehinggalah kanak-kanak yang belum tumbuh giginya. Malah, ia adalah cerita yang disampaikan daripada generasi ke generasi di seluruh dunia sebagai cerita hiburan kepada anak-anak.

Alkisah, suatu masa yang dahulu, sang arnab dan sang kura-kura telah bersetuju untuk bertanding lumba lari bagi menentukan siapa yang lebih laju. Cabaran ini dibuat oleh kura-kura kerana tidak tahan dengan ejekan arnab yang merendah-rendahkan kura-kura yang dilihat sangat perlahan apabila melangkah. Arnab bersetuju dengan cabaran daripada kura-kura kerana arnab yakin bahawa mustahil kura-kura mampu mengalahkannya. Arnab yang mempunyai daya pecutan yang tinggi menyahut cabaran itu  dan berlakulah perlumbaan di antara dua haiwan ini.

Bermula daripada garisan permulaan, arnab terus memecut sehingga kura-kura hanya mampu melihat kelibat arnab daripada jauh. Namun, kura-kura meneruskan langkahnya yang perlahan tetapi penuh konsisten ke arah garisan penamat. Kura-kura tidak menghiraukan ejekan para penonton di tepi laluan perjalanannya malah menganggap ia adalah satu cabaran untuk meneruskan perjalanannya.

Kita juga tahu bahawa arnab yang telah berlari jauh meninggalkan kura-kura mula memperlahankan langkahnya apabila melihat bayangan kura-kura telah hilang daripada pandangannya.

Lalu, arnab bersandar di sebatang pokok untuk merehatkan diri sehingga matanya terlelap. Akibat terlalu lama sang arnab tertidur maka kura-kura yang perlahan dan konsisten itu telah berjaya memotong sang arnab sehingga akhirnya berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Sang arnab yang terjaga daripada tidurnya terus melangkah dengan laju ke garisan penamat namun arnab terkejut apabila kura-kura telah diiktiraf sebagai juara dalam perlumbaan tersebut. Arnab kecewa dan menyesal dengan apa yang terjadi dan menanggung malu akibat daripada sikapnya itu.

PENGAJARAN : Perlahan-lahan dan konsisten membawa kejayaan sehingga berjaya mengalahkan mereka yang pantas tetapi tidak konsisten . Dalam menguruskan sebuah organisasi kita memerlukan sikap yang konsisten atau istiqamah dalam perjuangan. Walaupun mungkin kita lemah dan sedikit bilangannya tetapi istiqamah adalah merupakan salah satu kunci kejayaan.

Penekanan terhadap keperluan beristiqamah telah dipertegaskan oleh Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar PAS kali ke 60. Istiqamah satu perkataan yang terlalu mudah untuk disebut tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Aisyah r.a pernah ditanya oleh Masruq: "Wahai Aisyah! Apakah amalan yang paling digemari oleh Rasulullah SAW?" Jawab Aisyah: "Yang berterusan". 


Pembaca sekelian, biasanya kisah ini  berakhir setakat itu sahaja namun ia bersambungan  dengan kisah yang lebih menarik.  Sang arnab kecewa dengan kekalahannya itu. Sang arnab membuat post-mortem terhadap kekalahan itu dan hasil daripada kajian itu, sang arnab mendapati bahawa kekalahan itu adalah disebabkan oleh sikapnya sendiri yang terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa. Arnab mendapati bahawa dirinya angkuh dan percaya bahawa dengan kelebihan yang ada pada dirinya sudah mampu untuk mengalahkan sang kura-kura.

Hasil daripada post-mortem itu, arnab telah memuhasabah diri dan mengubah sikap dalam kehidupannya. Arnab tidak lagi bongkak malah bersikap positif, fokus dalam bertindak dan berhati-hati dalam melaksanakan tugasnya dalam segala tindakan.

Maka, arnab mempelawa kura-kura untuk kembali bertarung dalam pertandingan lumba lari dan akhirnya arnab telah berjaya menang bergaya dan berjaya membuktikan bahawa perubahan skiapnya telah membantu kemenangan.

PENGAJARAN : Pantas dan konsisten dapat menewaskan perlahan-lahan dan konsisten. Jika kita dapat mempercepatkan tindakan kita maka ia akan membantu organisasi kita lebih cekap dan mantap. Ia termasuklah dalam menyelesaikan krisis atau pun konflik dalam organisasi, memproses borang keahlian, pendaftaran pertubuhan dan surat-menyurat. Lambat dan konsisten adalah baik namun pantas dan konsisten adalah lebih baik.

Kekalahan kura-kura pada kali ini telah menyebabkan kura-kura mula tercabar apabila mahkota kemenangannya terpaksa diserahkan kepada arnab. Maka, sang kura-kura membuat penilaian semula dan strategi untuk kembali memenangi perlumbaan. Kura-kura sedar bahawa ia lebih perlahan daripada arnab apabila berlari, kerana itu, kura-kura melihat bahawa strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan dengan mencadangkan laluan yang baru.

Cabaran dikemukakan kepad arnab dan arnab terus menerimanya tanpa cuba untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang laluan baru tersebut. Arnab tampil ke garisan permulaan dan menggunakan kaedah yang sama dengan pecutan larian sehingga akhirnya bertemu dengan sebuah sebuah sungai yang besar melintangi laluan lariannya. Oleh kerana arnab yang tidak mempunyai kebolehan untuk berenang maka sang arnab tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah akhirnya kura-kura sampai di situ dan meneruskan  perjalanannya dengan berenang melintasi sungai tersebut seterusnya berjalan sehingga ke garisan penamat. Kura-kura sekali lagi berjaya memenangi pertandingan tersebut dan merampas kejuaraan daripada sang arnab.

PENGAJARAN : Kita perlu mengenal pasti kelebihan diri kita, walaupun mungkin kita berdepan dengan jentera lawan yang lebih ramai namun ia belum pasti memberikan kemenangan kepada mereka. Peperangan Badar telah membuktikan bahawa tentera Islam menang walaupun bilangan tentera Islam sedikit jika dibandingkan dengan tentera musyrikin.

Kerana itu, perancangan stategik amat penting untuk mengenalpasti kelebihan, kekurangan, peluang dan ancaman terhadap organisasi agar tindakan kita lebih tersusun rapi.

Begitu juga dengan kecenderungan yang memainkan peranan dalam membuat tindakan. Tidak semua daripada kalangan kita yang mempunyai kemampuan seperti berpidato walaupun kita berkehendak untuk menjadi seorang pemidato terkemuka. Mungkin, kelebihan yang ada pada kita adalah dalam bidang pengurusan maka fokus terhadap kelebihan yang pada kita adalah lebih baik.

Kisah arnab dan kura-kura sampai kepada kemuncaknya apabila kura-kura dan arnab bersetuju untuk memeterai perjanjian damai dan persahabatan. Sang arnab dan sang kura-kura berbincang agar mereka bersatu untuk mencapai kemenangan yang lebih gemilang.

Mereka telah menjadi rakan yang mampu berkerjasama dalam perlumbaan. Dengan idea yang dibincang dan dicanai bersama maka timbul idea agar mereka bergabung dalam perlumbaan seterusnya sebagai sebuah pasukan.

Dalam perlumbaan ini, arnab telah mendukung kura-kura dibelakangnya lalu memecut sehingga ke tebing sungai. Tiba giliran arnab bertukar posisi dengan kura-kura dan kura-kura terus berenang sehingga tiba di tebing di seberang sungai. Kemenangan ini dicapai dengan kiraan masa yang jauh lebih baik daripada kemenangan kura-kura secara solo sebelum itu.

PENGAJARAN : Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan dan kepakaran yang terdapat pada individu jika digabungkan maka akan mewujudkan satu kekuatan dalam organisasi. Namun jika kita mengambil kira kelemahan sebagai aspek bagi menentukan masa depan organisasi maka tidak mustahil organisasi juga akan terkesan.

Berkerja dalam sebuah organisasi memerlukan gerakerja berpasukan atau teamwork di antara satu sama lain sesama ahli di dalam organisasi. Kelemahan ahli pasukan wajar ditampung oleh ahli yang lain bukannya menyalahkan ahli tersebut sehingga menyebabkan kumpulan kita kalah dalam persaingan.

Penutup

Kisah arnab dan kura-kura versi baru ini saya adaptasikan daripada sebuah video motivasi yang berada dalam Youtube yang telah dimuatnaik beberapa tahun yang lalu. Walaupun ia hanyalah sebuah kisah rekaan namun ia sangat menarik untuk diterjemahkan dalam pengurusan organisasi.


Faktor konsisten, istiqamah, berperancangan stategik dan kerja berkumpulan mestilah diterapkan dalam diri dan organisasi kita. Masa untuk melakukan perubahan sudah bermula semoga dengan itu ia akan membantu memantapkan pengurusan PAS di semua peringkat.

Sekian, wassalam.


0 ulasan:

Catat Ulasan