TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 24 November 2014

WAWANCARA BERSAMA HARAKAH

WAWANCARA BERSAMA HARAKAH

HARAKAH : BAgaimana PAS mendepani pengurusan konflik yang berlaku sejak dahulu hingga ke hari ini?

Jawapan : Sebagai di antara sebuah organisasi politik yang tertua di Malaysia, sudah pasti PAS telah menempuh pelbagai konflik dan krisis di dalam sejarahnya. Konflik bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya ia dapat diurus dengan baik namun seandainya konflik di dalam organisasi tidak diuruskan maka ia akan menjadi krisis dan seterusnya membawa kepada pepecahan.
PAS telah berjaya melalui konflik dan krisis dalaman parti dengan baik selama 63 tahun ini. Sehingga kini, belum ada konflik atau krisis yang menyebabkan PAS berpecah sehingga membawa PAS kepada khancuran. Memang benar krisis dalam PAS telah menyebabkan terbentuknya parti politik baru seperti HAMIM dan BERJASA tetapi PAS masih terus utuh di persada politik negara.

PAS meletakkan rujukannya Al-Quran, Hadith, Ijma' Ulamak dan Qias sebagai panduan dalam menghadapi konflik dalaman parti. Konflik dan krisis dalaman parti diselesaikan di dalam musyawarah yang dibincangkan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Jika sesuatu isu itu tidak dapat diselesaikan maka ia akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak (MSU) ataupun Lembaga Disiplin PAS berpndukan kepada isu yang berkaitan.

Namun, tidak dinafikan bahawa PAS terpaksa berdepan dengan krisis yang pelbagai akhir-akhir ini. Oleh kerana itu, PAS telah membentuk jawatankuasa Pengurusan Krisis yang dipengerusikan oleh Haji Salahudin Ayub.

HARAKAH : Apakah tindakan yang di ambil pemimpin-pemimpin PAS dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti?

Jawapan : Sebagai 'orang baru' dalam kepimpinan PAS Pusat, saya melihat bahawa isu yang berlaku berkaitan dengan masalah dalaman parti bukanlah isu besar sekiranya ia diurus dengan baik. Bukan masanya lagi untuk 'sweep under carpet' sebarang konflik yang berlaku.

Kerana itu, tindakan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis adalah merupakan satu tindakan yang tepat pada masanya. Isu yang berlegar dalam parti wajar diuruskan oleh satu komiti yang memberikan fokus terhadap apa jua isu yang berbangkit.

Perbincangan tentang konflik dalaman secara terperinci bukan lagi perkara yang menjadi prioriti dilaksanakan dalam mesyuarat PAS Pusat tetapi ia mestilah diperhalusi, diteliti dan dinilai dengan sebaiknya. Jawatankuasa pengurusan konflik berperanan untuk melaporkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk tindakan seterusnya sama ada membuat keputusan ataupun menyerahkannnya kepada MSU atau Jawatankuasa Disiplin PAS.

Perkembangan ini saya lihat sebagai sesuatu yang positif dan mampu untuk mengatasi konflik dan krisis yang berlaku dan seterusnya dapat memacu PAS lebih gemilang pada masa hadapan.

HARAKAH : Bagaimana PAS mendepani pengurusan isu dengan pelbagai pandangan pemimpin-pemimpinnya?

Jawapan : Sebahagian daripada konflik dilihat berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh AJK PAS Pusat. Ada ketikanya, terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang bukan berautoriti untuk bercakap mengenainya.

Dalam retreat PAS Pusat baru-baru ini, perkara ini telah dibincangkan dan setiap AJK PAS Pusat tidak mempunyai halangan untuk membuat kenyataan yang berkaitan dengan aktiviti lajnah atau jabatan yang mereka ketuai.


HARAKAH : Masyarakat luar melihat PAS telah menunjukkan perlakuan yang bertentangan dengan slogan yang dibawanya untuk membangun bersama Islam kerana beberapa krisis yang berlaku tidak dapat ditangani dengan baik...


Jawapan : Seperti yang saya nyatakan tadi, konflik yang dapat diurus dengan baik akan mendatangkan kesan positif kepada organisasi. Itulah yang sedang dilalui oleh PAS ketika ini. Tanpa perlu menafikan berlakunya konflik, ia sedang diuruskan oleh PAS dan hasil daripada retreat PAS Pusat baru-baru ini telah menemui beberapa penyelesaian.

Apa yang penting adalah kesediaan kita untuk mengakui bahawa terdapatnya konflik dalaman dan berusaha bersama-sama untuk mengatasinya.
Jika ia dapat diatasi maka keyakinan masyarakat terhadap PAS akan kembali semula.

HARAKAH : Adakah struktur kepimpinan dalam PAS menyumbang kepada polemik yang tidak berkesudahan?

Jawapan : Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa ia berlaku kerana tautan ukhuwwah yang longgar di kalangan kita, bukannya struktur kepimpinan parti. Kurangnya program tidak formal mempengaruhi hubungan sesama pimpinan.

Pengamatan saya, ia terjadi akibat kesibukan dalam pelbagai urusan yang menyebabkan masa untuk bersama menjadi semakin kurang.

Retreat PAS Pusat yang diadakan di Kuala Selangor baru-baru ini bagi saya adalah program yang patut diadakan dengan lebih kerap. Perlu ada program pemukiman seperti itu.

HARAKAH : Persepsi umum melihat PAS tidak menggunakan meja rundingan sebaliknya sesetengah isu didiamkan sehingga akhirnya meledak dan menjejaskan perpaduan dalaman.

Jawapan : Pandangan saya, meja rundingan dan bermesyuarah adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu yang berlaku. Sama ada kita suka atau tidak, setiap isu yang berlaku mesti diselesaikan bukannya lagi dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Menggunakan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian sesuatu isu itu adalah merupakan tradisi PAS sejak dahulu lagi. Malah saya melihat bahawa PAS berjaya menyelesaikan banyak isu dalaman parti melalui mesyuaratnya.

Kudis yang dibiarkan akan menjadi barah yang membunuh. Begitu juga dengan konflik dan krisis dalam organisasi. Konflik yang berterusan akan menyebabkan krisis akan berlaku. Jika krisis dibiarkan sahaja maka akan wujud pertembungan.

Perundingan perlu dilakukan seawal ianya masih lagi dalam keadaan konflik. Andai sudah menjadi pertembungan maka ia sudah terlewat untuk berunding.

Apapun, saya percaya bahawa kepimpinan PAS Pusat matang dan berwibawa untuk berhadapan dengan segala isu yang melanda

0 ulasan:

Catat Ulasan