Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 2 Ogos 2015

KENYATAAN MEDIA - ISU KENAIKAN TARIF AIR JOHOR 2015

RAKYAT JOHOR TERUS MENDERITA AKIBAT KEGAGALAN KERAJAAN BN JOHOR MENGURUSKAN AIR
Tarikh : 1 Ogos 2015

Pengumuman kenaikan tarif air di Johor antara RM2 dan RM3 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang bermula pada hari ini adalah merupakan berita dukacita bagi seluruh rakyat Johor. Ia secara tidak langsung terus membuktikan bahawa penswastaan Air Johor sebelum ini merupakan satu kegagalan yang berterusan oleh kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN).
Ura-ura bahawa tarif air di Johor akan dinaikkan telahpun sampai kepada pengetahuan umum pada September tahun lalu apabila Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Johor iaitu Datuk Ir Hasni Mohammad membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri Johor akan memutuskan cadangan kenaikan tarif air selewat-lewatnya awal tahun 2015. Namun ia telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana kerajaan negeri tidak menerima sebarang permintaan atau kertas cadangan untuk menaikkan tarif air di Johor pada ketika itu.
SPAN telah menaikkan tarif ini atas cadangan daripada Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd yang sebelum ini merupakan syarikat swasta yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 1999 namun telah menemui kegagalan yang berterusan termasuklah meningkatkan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat akibat kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.
Akibat daripada kegagalan ini maka satu perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan air di Johor di kerajaan Pusat, kerajaan negeri Johor, Randhill dan SAJ telah dilakukan yang mana ia melibatkan pengambilalihan aset-aset berkaitan air Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi yang dianggar sebanyak RM4.025 bilion, manakala liabiliti ataupun tanggungan ke atas aset-aset berkaitan air tersebut pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion. [1]
Keputusan SPAN menaikkan tarif air Johor yang sebelum ini adalah merupakan tarif air yang tertinggi di Malaysia [2] adalah merupakan tambahan bebanan baru terhadap rakyat Johor yang semakin terhimpit kehidupan mereka akibat daripada kos sara hidup yang semakin tinggi.
PAS Johor ingin mempertegaskan bahawa bebanan rakyat Johor yang terpaksa membayar tarif yang tinggi ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan Johor pimpinan UMNO/BN kerana menswastakan perbekalan air Johor sebelum ini.
Justeru PAS Johor membantah kenaikan tarif yang telah diumumkan ini kerana ia tidak menyelesaikan masalah yang sepatutnya diberikan perhatian oleh SPAN.
Sekian. Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruh Jaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

Selasa, 14 Julai 2015

MASA CEPAT BERLAKU TANDA SEMAKIN HAMPIRNYA KIAMAT



Kita telah sampai ke 27 Ramadhan 1436. 

Ramadhan akan sampai ke penghujungnya dua hari lagi.

Terasa cepat masa berlaku, bukan?

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radliyallah 'anhu berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ


"Tidak terjadi hari kiamat dan sehingga dihilangkannya ilmu, banyak gempa bumi, masa semakin berdekatan (terasa singkat), banyak terjadi fitnah, dan banyak pembunuhan." 
(HR. Bukhari, no. 1036)


Dalam hadis lain disebutkan , Anas RA berkata , Rasulullah SAW bersabda , "Hari Kiamat tidak akan berlaku kecuali masa semakin singkat. Penyingkatan ini terjadi sedemikian cara seperti satu tahun yang berlalu seperti sebulan dan sebulan yang berlalu seperti seminggu dan seminggu berlalu seperti satu hari dan satu hari yang berlalu seperti satu jam dan satu jam yang berlalu seperti secepat kilat , " 
(Tirmidhi , Zuhd : 24 , 2333).

Sentiasa beringat wahai sahabat...

Isnin, 13 Julai 2015

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS ISU PERGADUHAN DI LOW YAT






Kenyataan Media Presiden PAS
Isnin 26 Ramadan 1436 / 13 Julai 2015
“SEMUA PIHAK PERLU BERTENANG, ELAKKAN PROVOKASI”
Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat kesal dengan peristiwa kekecohan yang berlaku di kawasan tengah Bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh 12 jam yang lalu.
Sehubungan dengan itu, PAS ingin merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang Kuala Lumpur agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baharu yang boleh menghangatkan suasana. Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum yang ada dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman.
PAS meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apapun puncanya, dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

TULIS TENTANG SAYA SELEPAS SAYA MATI - PAK DAENG


Catatan Hujung Ramadhan - 2
"TULIS TENTANG SAYA SELEPAS SAYA MATI - PAK DAENG"
Kelmarin, saya ditakdirkan dapat bertemu dengan seorang tokoh pejuang dalam PAS. Dr Sanusi Daeng Mariok atau lebih mesra dipanggil Pak Daeng adalah merupakan mantan Pesuruh Jaya PAS negeri Johor dan mantan Naib Presiden PAS Pusat.
Pak Daeng yang menetap di Sungai Merab, Bangi hadir ke program PIHAK 2.0 di Air Hitam. Kehadirannya bukanlah sebagai penceramah ataupun pengisi kuliah tetapi sebagai tetamu & orang lama PAS Johor.
Sudah tentu saya gembira dengan kehadiran Pak Daeng. Tangan Pak Daeng disambut dan susuk tubuhnya dipeluk tanda rindu dan kasih sayang kepada seorang murabbi yang kental jiwanya, kuat semangatnya dalam mengharungi pejuangan yang berliku.
Pada pagi Ramadhan ke 26 ini, saya kongsikan satu perkara yang belum pernah dicatatkan di mana-mana laman sebelum ini.
Beberapa tahun yang lalu saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan saya bercadang untuk menulis tentang sejarah perjuangan Pak Daeng khususnya dalam menerajui kepimpinan PAS.
Saya fikir wajar untuk dikongsikan tentang sejarah perjuangan beliau, saya ingin mencatitkan mehnah & tribulasi yang beliau hadapi serta latar belakang dirinya. Dalam fikiran saya tentulah Pak Daeng akan menyambutnya dengan hati yang terbuka kerana setakat ini belum pernah saya membaca mana-mana tesis yang menulis tentang dirinya.
Namun andaian saya meleset, saya agak hampa apabila tidak menyangka Pak Daeng menolak hasrat saya itu. Pak Daeng menjelaskan bahawa memang ada pihak yang bertemu dengannya dengan hasrat sama seperti saya tetapi Pak Daeng terpaksa menolak kerana punya alasan yang tersendiri.
"Ya akhie, jika anta ingin menulis tentang ana, tunggulah ana mati dahulu" lebih kurang begitulah kata Pak Daeng.
Pak Daeng jelaskan bahawa apa jua boleh berlaku ketika seseorang itu masih hidup. Mungkin puluhan tahun seseorang itu berjuang dan berjasa kepada jamaah namun belum tentu di akhir hidupnya akan terus kekal bersama PAS. Benar, sejarah telah membuktikan bahawa ianya pernah berlaku dan tidak mustahil ia akan berlaku lagi.
Mudah-mudahan dalam sejarah yang bakal ditulis, nama kita tidak akan dibaca oleh generasi masa hadapan sebagai mereka yang tercicir daripada perjuangan.
Wassalam.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
26 Ramadhan 1436

HUDUD MEMBAWA SAYA KEPADA PAS DAN TERUS KEKAL BERSAMANYA



Catatan Hujung Ramadhan.

HUDUD MEMBAWA SAYA KEPADA PAS DAN TERUS KEKAL BERSAMANYA

Teringat saya ketika mula-mula mendengar kehendak kerajaan Kelantan melaksanakan Hudud. Dek kerana kurang ilmu berkaitan dengan undang-undang Islam maka saya memilih untuk menyokong pandangan bahawa Hudud tidak sesuai pada zaman ini.

Peluang melanjutkan pengajian di UTM Jalan Semarak telah membuka ruang kepada saya untuk memahami apa itu hudud yang sebenarnya. Walaupun pengajian saya di UTM dalam bidang Kejuruteraan namun saya berpeluang untuk mengenali Hudud melalui subjek Pengajian Islam dan kuliah-kuliah agama di tempat lain.

Saya mula menyedari bahawa Hudud itu adalah undang-undang dari Allah S.W.T, Tuhan saya dan Tuhan kepada seluruh makhluk di atas dunia ini. Tidak mungkin Hudud akan menzalimi manusia kerana Islam itu adil untuk semua.

Saya memilih untuk menyertai PAS selepas tamat pengajian di UTM pada tahun 1997 walaupun keluarga saya adalah penggerak UMNO di Kluang. Saya akui bahawa Hudud membawa saya menyertai PAS walaupun saya sedar pada ketika itu, PAS adalah parti kerdil jika dilihat dari sudut bilangan ahli dan cawangannya jika nak dibandingkan dengan UMNO.

Saya membesar dengan pelbagai aktiviti UMNO dan tidak kekok untuk menyertai program UMNO pada ketika itu. Namun di atas sikap dan pendirian kepimpinan UMNO yang mempermain-mainkan Hudud dan menjadikan Hudud sebagai bahan kempen politik maka hati saya tidak cenderung lagi kepada parti cap keris tak bersarung ini.

Saya percaya kepada kepimpinan almarhum tok guru Nik Aziz di Kelantan yang serius untuk melaksanakan undang-undang ciptaan Allah. Saya percaya kepada kepimpinan PAS Pusat yang terus mendokong kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud.

PAS terus konsisten memperjuangkan Hudud walaupun ditekan dan diinjak dalam pelbagai bentuk serangan yang menguji kesabaran.

Kekonsistenan PAS untuk memperjuangkan Hudud masih utuh walaupun adakalanya ia tidak mendapat sokongan yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah daripada anggota dalam parti.

Saya akui kadang-kadang terasa juga kesedihan di dalam hati apabila ada di kalangan sahabat-sahabat seangkatan saya mahu meninggalkan PAS kerana marah, tidak puas hati, kecewa, geram dan apa jua yang sewaktu dengannya apabila berhadapan dengan situasi dalaman ketika ini.

Kerana itu wahai para sahabat, saya akan terus kekal bersama PAS kerana Hudud telah membawa saya ke dalam jamaah dan parti ini. Saya sertai PAS bukan kerana pemimpin tertentu tetapi percaya kepada dasar perjuangannya. Selagi dasarnya tidak berubah maka disinilah saya akan terus berjuang, insya Allah.

Usaha untuk merealisasikan Hudud mungkin jalannya akan lebih sukar selepas ini namun saya percaya bahawa Allah akan sentiasa ada bersama.

Semoga Allah kuatkan dan semangat serta tetapkan pendirian saya dan para sahabat semua.


Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
25 Ramadhan 1436

Selasa, 2 Jun 2015

FAKTOR MEMPENGARUHI TREND PENGUNDI MUDA


Keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) telah membuktikan bahawa pengundi muda telah menunjukkan satu trend perubahan besar dalam menentukan kepimpinan negara. Ia telah mula dapat dikesan semasa PRU12 apabila parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) telah hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengundi di negara ini yang berumur 40 hingga 21 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah berjumlah kira-kira lima juta orang (41 peratus), kuasa mereka sebagai penentu keputusan pilihan raya amat besar.

Kawasan bandar terus mendapat kepercayaan daripada pengundi malah jumlah kemenangan semakin tinggi oleh calon Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dibuktikan di Parlimen Gelang Patah dan Kluang. Keputusan PRK di Rompin dan Permatang Pauh baru-baru ini juga membuktikan sokongan pengundi muda semakin meningkat daripada PRU13 yang lalu.

The Asia Foundation (NGO) telah menjalankan kajian khusus terhadap 'pandangan orang muda' sejak 2007 menyatakan sikap ingin ambil tahu tentang pentadbiran negara dalam kalangan belia meningkat setiap tahun.

Paradigma pengundi muda dikatakan sudah berubah dan kelompok ini diibaratkan seperti suara baru yang menuntut hak mereka supaya diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang memimpin. Bagi pengundi muda, adalah menjadi satu keperluan kepada mereka untuk memilih parti yang bakal menerajui masa depan mereka adalah parti yang memenuhi citarasa dan hasrat anak muda yang bakal mengisi masa depan negara.

Trend pengundi muda berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Walaupun tidak dinafikan masih ada lagi pengundi muda khususnya yang tinggal diluar bandar yang masih tegar dengan sokongan mereka kepada BN namun dengan kepesatan teknologi kini akan memudahkan golongan ini membuat perubahan mentaliti dan sokongan dalam menentukan pemerintah pada masa hadapan.

Pengundi muda yang semakin kritis dengan isu semasa yang mereka lalui setiap hari tidak akan mudah menerima apa yang telah diwarisi oleh keluarga mereka. Jika mereka lihat bahawa tindakan kerajaan atau pemerintah tidak betul maka mereka berani menegur dan teguran mereka jika tidak didengari akan diterjemahkan di atas kertas undi.

PENGARUH MEDIA BARU

Kepesatan pembangunan internet telah memangkinkan media baru untuk tumbuh melata dan menjadi sumber rujukan pengundi muda. Media konvensional yang sebelum ini menjadi media utama tidak lagi menjadi rujukan kepada pengundi muda lebih-lebih lagi ianya dikawalselia oleh pemerintah dengan ideologi dan propoganda yang memenuhi citarasa pemerintah. Berita yang tidak telus dan berat sebelah menjauhkan media konvensional daripada pengundi muda.

Kebergantungan golongan pengundi muda kepada media untuk mendapatkan maklumat dalam membuat keputusan tidak dapat dinafikan. Cuma mediumnya telah berubah apabila media baru lebih mendapat tempat di hati pengundi muda. Setiap isu yang ditimbulkan akan mudah untuk dibandingkan dengan sumber yang lain, bukan hanya sumber satu hala sahaja.

Media konvensional dilihat hanya mengembangkan ideologi parti pemerintah terutamanya menjelang pilihan raya. Mereka bertanggungjawab menyampaikan mesej pilihan raya serta ideologi parti pemerintah Terdapat pelbagai cara pemaparan tentang parti pemerintah. Sejarah kegemilangan parti, kejayaan yang di bawa serta perubahan-perubahan yang dilakukan oleh parti menjadi agenda yang penting. Perkara yang sama diulang-ulang sehingga menimbulkan rasa jelek di kalangan pengundi muda.

PENGARUH ISU SEMASA

Isu semasa khususnya isu yang berkaitan dengan pengundi adalah menjadi satu perkara yang penting untuk mempengaruhi pola dan sikap pengundi muda. Jika dilihat trend pengundian dalam PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh, isu GST dan isu 1MDB sangat signifikan dan menjadi topik hangat yang diperdebatkan di kalangan masyarakat termasuklah di dalam media baru.

Pengundi di kawasan Bandar yang mudah akses dengan media baru melalui internet dapat membandingkan maklumat yang mereka terima sebelum ia dinilai sebagai yang lebih tepat dan mampu mempengaruhi pengundian.

PENGARUH PENGIKLANAN POLITIK

Perkara yang penting dalam mendapatkan sokongan pengundi adalalah bagaimana parti politik merangka strategi dan taktik-taktik terkini dalam membentuk sebuah kempen komunikasi politik yang efektif dan strategik.

Sebab itu, periklanan politik ataupun marketing politic sangat penting untuk mempengaruhi pengundi. Konsepnya sama sahaja dengan mengiklankan produk dalam pasaran. Cuma ia dibezakan dengan produk yang disampaikan oleh parti politik adalah berdasarkan apa yang diperlukan oleh pengundi dalam penyampaiannya.

PRU13 menyaksikan pengiklanan politik sangat meluas dengan pelbagai pendekatan sama ada yang dapat dilihat di kawasan pilihan raya atau pun yang disebarkan melalui media baru.

Strategi Pemasaran Politik banyak bergantung kepada kekreativitian penggerak parti politik dan kemampuan untuk memikat pengundi akan menjadi satu kelebihan kepada parti yang bertanding.

Apa yang penting adalah, pemasaran atau pengiklanan politik ini mestilah berdasarkan kepada matlamat perjuangan parti dan isu yang diperjuangkan dengan tujuan dapat meningkatkan imej dan kredibiliti sesebuah parti.

FAKTOR CALON

Perkara yang penting yang dapat mempengaruhi pengundi adalah faktor calon yang bertanding bagi mewakili parti politik. Walaupun trend pengundi pada ketika ini menunjukkan bahawa ia akan mengundi kepada parti politik yang bertanding namun faktor calon juga mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Faktor yang mempengaruhi calon termasuklah integriti calon, pengaruh calon dalam kawasan setempat, kemampuan calon menyelesaikan isu setempat, pendekatan calon sepanjang kempen dijalankan dan khidmat calon selama ini.

Sekian. Wassalam.


KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
15 Syaaban 1436 bersamaan 2 Jun 2015

Isnin, 13 April 2015

Apabila Dr Mahathir Terasa Keseorangan


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Setiap hari, pasti komentar Dr Mahathir ditunggu-tunggu oleh saya dan mungkin anda juga. Entah apa agaknya yang Dr Mahathir akan coretkan di dalam blognya ataupun dikeluarkan oleh mana-mana media tentang DS Najib. 

Mungkin tatkala  dari bangun, Dr Mahathir terus teringatkan Najib yang dahulunya dilihat seorang yang baik dan berpotensi untuk menggantikan Pak Lah yang teruk diserang oleh Dr Mahathir sehingga Pak Lah tersungkur sebelum berjaya sampai ke garisan penamat di PRU ke 13.

Dr Mahathir berharap sangat agar Najib akan menjadi PM yang jauh lebih baik daripada Pak Lah daripada segala segi. Pak Lah yang 'dijatuhkan' lebih awal sebelum berjaya menghabiskan kariernya sebagai PM sebelum pembubaran Parlimen. Gerakan massa yang dilakukan oleh Dr Mahathir mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Apabila Najib diangkat sebagai PM, suara Dr Mahathir kembali reda, tiada lagi serangan bertali arus terhadap pemerintahan negara malah Najib yang mendapat sokongan Dr Mahathir mencetuskan pelbagai idea yang cuba untuk meraih kembali sokongan rakyat khususnya daripada kaum bukan Melayu.

Malangnya, keputusan PRU ke 13 membuktikan Najib gagal melakukan 'kejutan' yang telah sebelum ini berjaya dilakukan oleh Pak Lah pada PRU ke 11 tahun 2004. Idea 1Malaysia dan BR1M tidak mampu membeli hati para pengundi.

BN walaupun berjaya merampas kembali negeri Kedah namun tidak berjaya mengurangkan sokongan rakyat kepada PR. Dr Mahathir 'all out' berkempen di negeri Kedah sehingga akhirnya mengangkat anaknya dilantik oleh BN Kedah sebagai MB yang baru.

Dr Mahathir dilihat semakin tidak percaya dengan Najib dan beliau merasakan bahawa Najib tidak lagi mahu mendengar nasihatnya. Dr Mahathir telahpun mengistiharkan pada tahun lalu untuk menarik sokongannya kepada Najib.

Namun, gerakan Dr Mahathir untuk 'menjatuhkan' Najib pada kali ini tidaklah mendapat sokongan yang besar daripada pelbagai pihak. Posting  Dr Mahathir dalam blognya, chedet.com idak lagi semeriah dahulu dengan pelbagai komentar yang menyokong tindakan dan usaha Dr Mahathir.

Malah Dr Mahathir mengakui bahawa beliau keseorangan dalam usaha menentang kemungkaran Najib namun nampaknya Dr Mahathir masih belum mahu mengalah. Saya percaya Dr Mahathir tidak akan menamatkan serangannya terhadap Najib dan tiada istilah menyerah kalah dalam kamus hidup beliau.

Dr Mahathir sebenarnya tahu siapa dan pihak mana yang sehaluan dengannya dalam mendepani isu-isu yang dbangkitkan selama ini. Justeru Dr Mahathir perlu bersedia untuk menentukan pendiriannya walaupun mungkin ia akan menyebabkan Dr Mahathir akan dihina dan dipenjarakan.

Selamat berjuang, Dr Mahathir.

Wassalam.


Khamis, 9 April 2015

Kasih Bonda 2015 - Unplugged

Dr M: Sokong PM? Sokonglah hutang 1MDB - Malaysiakini


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan yang menyokong penggantinya, Datuk Seri Najib Razak juga perlu menyokong 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang kini menanggung hutang RM42 bilion.

Golongan itu perlu menyokong tindak tanduk firma berkenaan, yang masih belum dapat memberi penjelasan mengenai dana tersebut, kata Mahathir.

“Adakah anda juga sokong (langkah) menyimpan berbilion ringgit di Cayman Islands?

“Adalah anda juga sokong (langkah) bahawa, selepas membawa pulang wang tersebut, ia mesti disimpan di sebuah Bank Switzerland di Singapura?

“Adakah anda menyokong penjelasan bahawa wang tersebut tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia oleh perdana menteri dan menteri kewangan kerana Bank Negara akan banyak soal?,” katanya.

Selasa, 7 April 2015

RUU HUDUD MENUNGGU GILIRAN UNTUK DIBENTANGKAN DALAM PARLIMEN

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Dijangkakan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan berpeluang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Parlimen hari ini.

Ia bergantung kepada perbentangan dan urusan-urusan kerajaan sama ada dapat diselesaikan terlebih dahulu atau tidak. Jika tidak selesai maka ia akan dibawa ke hari esok dan seterusnya iaitu hari terakhir sidang pada 9 April 2015.

Semoga urusan TG Presiden PAS dipermudahkan.

Wassalam.

---------------------------------------------------------

RUU Hudud dalam giliran penghujung untuk dibentangkan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Senarai aturan urusan mesyuarat dan usul-usul dalam Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Rang Undang-undang (RUU) persendirian mengenai pelaksanaan Hudud berada dalam giliran terakhir.


Kemasukan RUU tersebut telah difailkan Ahli Parlimen PAS Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai usaha terkini bagi membentang dan membahaskannya di Parlimen.

Aspirasi Abdul Hadi dan kerajaan PAS Kelantan itu adalah antara perkara yang dinantikan banyak pihak dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 April.

Berdasarkan kelaziman peraturan dalam Dewan Rakyat, urusan kerajaan menjadi keutamaan untuk diselesaikan sebelum pembentangan dan perbahasan hal-hal lain, termasuk RUU persendirian.

Oleh kerana itu, kemungkinan untuk RUU pelaksanaan hudud itu dibentangkan hari ini adalah tipis.

Rang berkenaan iaitu RUU Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac lalu dengan mendapat sokongan sebulat suara daripada kesemua kesemua 44 anggota dewan. Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong  rang undang-undang itu.

Dalam perkembangan hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membacakan buat kali kedua mengenai RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara 2015.

Antara yang tersenarai dalam aturan mesyuarat adalah mengenai RUU Penjara (Pindaan), RUU Kanun Keseksaan (Pindaan ) 2015, RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015, yang kesemuanya dibentangkan oleh Zahid.

Isnin, 6 April 2015

SUNGAI SEMBERONG KIRI TERCEMAR!



HEBAHAN MEDIA

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Pada 3 April 2015, saya telah menerima satu aduan mengenai air Sungai Semberong Kiri yang kelihatan airnya sangat kotor. Saya telah menerima beberapa keping gambar melalui WhatsApp dan mendapati bahawa air sungai kelihatan gelap.

Pada  4 April 2015 saya telah turun meninjau keadaan air Sungai Semberong Kiri di Kluang. Saya ditemani oleh Encik Mahat Ismail, Naib Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang dan Timbalan Pengerusi PAR Kluang.

Kami telah pergi melihat sendiri berkaitan dengan aduan dan mengambil sampel air daripada sungai di kawasan Kampung Tanah Runtoh dan kawasan bersebelahan sebuah kilang berhampiran dengan kampung tersebut.

Sampel air yang pertama kami telah ambil daripada kawasan empangan sungai sebelum daripada kawasan beroperasinya sebuah kilang dan sampel kedua kami telah ambil daripada kawasan pembuangan air daripada sebuah kilang ke dalam sungai.

Didapati, air yang diambil daripada kawasan kilang tersebut berbau busuk dan kotor seperti yang dapat dilihat dalam gambar yang dilampirkan.

Saya melahirkan rasa amat kesal di atas perkara yang terjad ini kerana sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk Kluang telah dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang pasti, pencemaran air telah berlaku dan ia mestilah di ambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

“Mendepani Cabaran, Melangkah Kehadapan”

Disediakan oleh ;

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Kluang.
Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang.
6 April 2015, 9.50 pagi

ISU : MENUNGGU RESPON DARIPADA NAJIB

MENUNGGU RESPON DARIPADA NAJIB

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Agak marah juga Kelab Veteran UMNO dengan Tun Dr Mahathir yang dilihat semakin mengasak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sejak akhir-akhir ini. Kelmarin Setiausaha kelab tersebut, Datuk Mustapha Yaakob menggambarkan Dr Mahathir seperti diserang HISTERIA dan HILANG KEWARASAN kerana berterusan menyerang Najib. Dr Mahathir diingatkan supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik Perdana Menteri.

Dr Mahathir diingatkan juga agar bertindak seperti seorang Negarawan agar dia akan terus dihormati dan disanjungi maka tegurlah Najib dengan penuh berhemah dan berhikmah. Jika tidak, maka yang akan rugi adalah UMNO dan Melayu.

Begitulah luahan hati seorang veteran UMNO terhadap seorang veteran UMNO. Seperti sudah tidak dapat diselindungi lagi, Najib terus diserang oleh Dr Mahathir selepas cuba untuk meredakan serangannya sebelum ini terhadap beberapa isu yang berputar di dalam masyarakat pada ketika ini seperti yang dapat kita baca dalam blog Dr Mahathir www.blogchedet.cc, yang menyentuh mengenai kes seperti Altantuya, BR1M, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14.

Semalam, seorang Senator daripada UMNO/BN juga melahirkan rasa dukacita dengan perkembangan ini. Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin mengharapkan agar isu yang berlaku seperti yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dibincang secara berhemah dalam perundingan. Sebagai memberi respon terhadap cara Dr Mahathir menyampaikan pandangannya, Toh Puan Zaitun menyatakan bahawa  nasihat menasihati bukannya melalui media, Twitter, Facebook, blog dan sebagainya kerana itu akan membuatkan rakyat keliru.

Berbeza dengan respon daripada Ketua Pemuda UMNO yang mencadangkan agar isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan dan tidak boleh diabaikan kerana ia perkara yang mendapat perhatian ramai.

Walaupun satu masa dahulu, Dr Mahathir pernah menggelar Khairy sebagai ‘budak tingkat 4’ namun Khairy mengingatkan bahawa Dr Mahathir adalah merupakan mantan PM dan kerajaan harus mendengar dan menghayati apa yang ditulis beliau. Khairy berpandangan bahawa mengambil sikap tidak mengambil tahu tentang isu yang dibangkitkan akan mengeruhkan lagi keadaan.

Isu pertembungan Dr Mahathir dan Najib bukanlah satu perkara yang baru. Pada awal tahun 2015, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee cuba meyakinkan bahawa isu perbalahan di antara Dr Mahathir dan Najib adalah rekaan semata-mata dan sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu termasuk media sosial untuk memburukkan imej pentadbiran Najib. Beliau tidak percaya bahawa Dr Mahathir berusaha untuk menjatuhkan Najib tetapi ianyaadalah provokasi pihak berkepentingan.

Namun, ia seperti tidak dapat dibendung lagi apabila Dr Mahathir secara terbuka mengistiharkan bahawa jika ingin selamatkan masa depan negara maka PM mestilah ditukar kerana terlalu banyak skandal dan isu yang tidak dijawab oleh Najib.

Saya layari blog Dr Mahathir untuk membaca ‘posting’ dan saya tertarik dengan posting yang bertajuk “Menegur” bertarikh 18 Ogos 2014. Dr Mahathir mengakui bahawa beliau telah mengistiharkan menarik semula sokongan beliau terhadap kepimpinan Najib. Selain daripada faktor kekalahan teruk BN dalam PRU ke 13, Dr Mahathir telah menyebut bahawa isu ketegangan kaum, kelemahan Najib yang tunduk kepada desakan pembangkang dalam isu pemansuhan ISA, isu wang kerajaan yang diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan dan beberapa isu lagi.

Dr Mahathir mempunyai kelebihan dan kehebatannya yang tersendiri. Walaupun tidak memegang jawatan PM dan tanpa menguasai media dan kerajaan Dr Mahathir berjaya menumbangkan Pak Lah Badawi. Dr Mahathir dibantu oleh penulis-penulis blog yang menyebabkan Pak Lah mengalami kekalahan teruk dalam PRU ke 12 pada tahun 2008 walaupun Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa yang membawa kepada perletakkan jawatan Pak Lah sebagai PM.

Walaupun pertembungan ini melibatkan Dr Mahathir dan Najib namun ia bukanlah isu peribadi yang telah disebut oleh beberapa pihak. Isu ini adalah isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir adalah selari dengan isu yang telah diperjuangkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat selama ini. Biarlah dituduh oleh parti pemerintah bahawa PR sengaja menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat tetapi dengan kembalinya Dr Mahathir ke dalam kancah politik ini akan menyedarkan kepada masyarakat bahawa negara kita kian parah dan kitalah yang perlu melakukan perubahan.

Sekian. Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

6 April 2015, 1.50 petang