TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 6 April 2015

ISU : MENUNGGU RESPON DARIPADA NAJIB

MENUNGGU RESPON DARIPADA NAJIB

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Agak marah juga Kelab Veteran UMNO dengan Tun Dr Mahathir yang dilihat semakin mengasak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sejak akhir-akhir ini. Kelmarin Setiausaha kelab tersebut, Datuk Mustapha Yaakob menggambarkan Dr Mahathir seperti diserang HISTERIA dan HILANG KEWARASAN kerana berterusan menyerang Najib. Dr Mahathir diingatkan supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik Perdana Menteri.

Dr Mahathir diingatkan juga agar bertindak seperti seorang Negarawan agar dia akan terus dihormati dan disanjungi maka tegurlah Najib dengan penuh berhemah dan berhikmah. Jika tidak, maka yang akan rugi adalah UMNO dan Melayu.

Begitulah luahan hati seorang veteran UMNO terhadap seorang veteran UMNO. Seperti sudah tidak dapat diselindungi lagi, Najib terus diserang oleh Dr Mahathir selepas cuba untuk meredakan serangannya sebelum ini terhadap beberapa isu yang berputar di dalam masyarakat pada ketika ini seperti yang dapat kita baca dalam blog Dr Mahathir www.blogchedet.cc, yang menyentuh mengenai kes seperti Altantuya, BR1M, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14.

Semalam, seorang Senator daripada UMNO/BN juga melahirkan rasa dukacita dengan perkembangan ini. Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin mengharapkan agar isu yang berlaku seperti yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dibincang secara berhemah dalam perundingan. Sebagai memberi respon terhadap cara Dr Mahathir menyampaikan pandangannya, Toh Puan Zaitun menyatakan bahawa  nasihat menasihati bukannya melalui media, Twitter, Facebook, blog dan sebagainya kerana itu akan membuatkan rakyat keliru.

Berbeza dengan respon daripada Ketua Pemuda UMNO yang mencadangkan agar isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan dan tidak boleh diabaikan kerana ia perkara yang mendapat perhatian ramai.

Walaupun satu masa dahulu, Dr Mahathir pernah menggelar Khairy sebagai ‘budak tingkat 4’ namun Khairy mengingatkan bahawa Dr Mahathir adalah merupakan mantan PM dan kerajaan harus mendengar dan menghayati apa yang ditulis beliau. Khairy berpandangan bahawa mengambil sikap tidak mengambil tahu tentang isu yang dibangkitkan akan mengeruhkan lagi keadaan.

Isu pertembungan Dr Mahathir dan Najib bukanlah satu perkara yang baru. Pada awal tahun 2015, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee cuba meyakinkan bahawa isu perbalahan di antara Dr Mahathir dan Najib adalah rekaan semata-mata dan sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu termasuk media sosial untuk memburukkan imej pentadbiran Najib. Beliau tidak percaya bahawa Dr Mahathir berusaha untuk menjatuhkan Najib tetapi ianyaadalah provokasi pihak berkepentingan.

Namun, ia seperti tidak dapat dibendung lagi apabila Dr Mahathir secara terbuka mengistiharkan bahawa jika ingin selamatkan masa depan negara maka PM mestilah ditukar kerana terlalu banyak skandal dan isu yang tidak dijawab oleh Najib.

Saya layari blog Dr Mahathir untuk membaca ‘posting’ dan saya tertarik dengan posting yang bertajuk “Menegur” bertarikh 18 Ogos 2014. Dr Mahathir mengakui bahawa beliau telah mengistiharkan menarik semula sokongan beliau terhadap kepimpinan Najib. Selain daripada faktor kekalahan teruk BN dalam PRU ke 13, Dr Mahathir telah menyebut bahawa isu ketegangan kaum, kelemahan Najib yang tunduk kepada desakan pembangkang dalam isu pemansuhan ISA, isu wang kerajaan yang diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan dan beberapa isu lagi.

Dr Mahathir mempunyai kelebihan dan kehebatannya yang tersendiri. Walaupun tidak memegang jawatan PM dan tanpa menguasai media dan kerajaan Dr Mahathir berjaya menumbangkan Pak Lah Badawi. Dr Mahathir dibantu oleh penulis-penulis blog yang menyebabkan Pak Lah mengalami kekalahan teruk dalam PRU ke 12 pada tahun 2008 walaupun Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa yang membawa kepada perletakkan jawatan Pak Lah sebagai PM.

Walaupun pertembungan ini melibatkan Dr Mahathir dan Najib namun ia bukanlah isu peribadi yang telah disebut oleh beberapa pihak. Isu ini adalah isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir adalah selari dengan isu yang telah diperjuangkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat selama ini. Biarlah dituduh oleh parti pemerintah bahawa PR sengaja menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat tetapi dengan kembalinya Dr Mahathir ke dalam kancah politik ini akan menyedarkan kepada masyarakat bahawa negara kita kian parah dan kitalah yang perlu melakukan perubahan.

Sekian. Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

6 April 2015, 1.50 petang

0 ulasan:

Catat Ulasan