TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 2 Jun 2015

FAKTOR MEMPENGARUHI TREND PENGUNDI MUDA


Keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) telah membuktikan bahawa pengundi muda telah menunjukkan satu trend perubahan besar dalam menentukan kepimpinan negara. Ia telah mula dapat dikesan semasa PRU12 apabila parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) telah hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengundi di negara ini yang berumur 40 hingga 21 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah berjumlah kira-kira lima juta orang (41 peratus), kuasa mereka sebagai penentu keputusan pilihan raya amat besar.

Kawasan bandar terus mendapat kepercayaan daripada pengundi malah jumlah kemenangan semakin tinggi oleh calon Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dibuktikan di Parlimen Gelang Patah dan Kluang. Keputusan PRK di Rompin dan Permatang Pauh baru-baru ini juga membuktikan sokongan pengundi muda semakin meningkat daripada PRU13 yang lalu.

The Asia Foundation (NGO) telah menjalankan kajian khusus terhadap 'pandangan orang muda' sejak 2007 menyatakan sikap ingin ambil tahu tentang pentadbiran negara dalam kalangan belia meningkat setiap tahun.

Paradigma pengundi muda dikatakan sudah berubah dan kelompok ini diibaratkan seperti suara baru yang menuntut hak mereka supaya diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang memimpin. Bagi pengundi muda, adalah menjadi satu keperluan kepada mereka untuk memilih parti yang bakal menerajui masa depan mereka adalah parti yang memenuhi citarasa dan hasrat anak muda yang bakal mengisi masa depan negara.

Trend pengundi muda berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Walaupun tidak dinafikan masih ada lagi pengundi muda khususnya yang tinggal diluar bandar yang masih tegar dengan sokongan mereka kepada BN namun dengan kepesatan teknologi kini akan memudahkan golongan ini membuat perubahan mentaliti dan sokongan dalam menentukan pemerintah pada masa hadapan.

Pengundi muda yang semakin kritis dengan isu semasa yang mereka lalui setiap hari tidak akan mudah menerima apa yang telah diwarisi oleh keluarga mereka. Jika mereka lihat bahawa tindakan kerajaan atau pemerintah tidak betul maka mereka berani menegur dan teguran mereka jika tidak didengari akan diterjemahkan di atas kertas undi.

PENGARUH MEDIA BARU

Kepesatan pembangunan internet telah memangkinkan media baru untuk tumbuh melata dan menjadi sumber rujukan pengundi muda. Media konvensional yang sebelum ini menjadi media utama tidak lagi menjadi rujukan kepada pengundi muda lebih-lebih lagi ianya dikawalselia oleh pemerintah dengan ideologi dan propoganda yang memenuhi citarasa pemerintah. Berita yang tidak telus dan berat sebelah menjauhkan media konvensional daripada pengundi muda.

Kebergantungan golongan pengundi muda kepada media untuk mendapatkan maklumat dalam membuat keputusan tidak dapat dinafikan. Cuma mediumnya telah berubah apabila media baru lebih mendapat tempat di hati pengundi muda. Setiap isu yang ditimbulkan akan mudah untuk dibandingkan dengan sumber yang lain, bukan hanya sumber satu hala sahaja.

Media konvensional dilihat hanya mengembangkan ideologi parti pemerintah terutamanya menjelang pilihan raya. Mereka bertanggungjawab menyampaikan mesej pilihan raya serta ideologi parti pemerintah Terdapat pelbagai cara pemaparan tentang parti pemerintah. Sejarah kegemilangan parti, kejayaan yang di bawa serta perubahan-perubahan yang dilakukan oleh parti menjadi agenda yang penting. Perkara yang sama diulang-ulang sehingga menimbulkan rasa jelek di kalangan pengundi muda.

PENGARUH ISU SEMASA

Isu semasa khususnya isu yang berkaitan dengan pengundi adalah menjadi satu perkara yang penting untuk mempengaruhi pola dan sikap pengundi muda. Jika dilihat trend pengundian dalam PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh, isu GST dan isu 1MDB sangat signifikan dan menjadi topik hangat yang diperdebatkan di kalangan masyarakat termasuklah di dalam media baru.

Pengundi di kawasan Bandar yang mudah akses dengan media baru melalui internet dapat membandingkan maklumat yang mereka terima sebelum ia dinilai sebagai yang lebih tepat dan mampu mempengaruhi pengundian.

PENGARUH PENGIKLANAN POLITIK

Perkara yang penting dalam mendapatkan sokongan pengundi adalalah bagaimana parti politik merangka strategi dan taktik-taktik terkini dalam membentuk sebuah kempen komunikasi politik yang efektif dan strategik.

Sebab itu, periklanan politik ataupun marketing politic sangat penting untuk mempengaruhi pengundi. Konsepnya sama sahaja dengan mengiklankan produk dalam pasaran. Cuma ia dibezakan dengan produk yang disampaikan oleh parti politik adalah berdasarkan apa yang diperlukan oleh pengundi dalam penyampaiannya.

PRU13 menyaksikan pengiklanan politik sangat meluas dengan pelbagai pendekatan sama ada yang dapat dilihat di kawasan pilihan raya atau pun yang disebarkan melalui media baru.

Strategi Pemasaran Politik banyak bergantung kepada kekreativitian penggerak parti politik dan kemampuan untuk memikat pengundi akan menjadi satu kelebihan kepada parti yang bertanding.

Apa yang penting adalah, pemasaran atau pengiklanan politik ini mestilah berdasarkan kepada matlamat perjuangan parti dan isu yang diperjuangkan dengan tujuan dapat meningkatkan imej dan kredibiliti sesebuah parti.

FAKTOR CALON

Perkara yang penting yang dapat mempengaruhi pengundi adalah faktor calon yang bertanding bagi mewakili parti politik. Walaupun trend pengundi pada ketika ini menunjukkan bahawa ia akan mengundi kepada parti politik yang bertanding namun faktor calon juga mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Faktor yang mempengaruhi calon termasuklah integriti calon, pengaruh calon dalam kawasan setempat, kemampuan calon menyelesaikan isu setempat, pendekatan calon sepanjang kempen dijalankan dan khidmat calon selama ini.

Sekian. Wassalam.


KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
15 Syaaban 1436 bersamaan 2 Jun 2015

0 ulasan:

Catat Ulasan