Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 29 September 2016

UCAPAN TAHNIAH KEPADA TUAN GURU DATO' DR MAHFODZ BIN MOHAMED


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah kepada Tuan Guru Dato' Dr Mahfodz bin Mohamed di atas perlantikan sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) pada 28 September 2016 (semalam).

Saya percaya bahawa beliau adalah tokoh yang sangat berwibawa untuk memikul amanah dan tanggung jawab ini berdasarkan kepada pengalaman beliau di dalam pelbagai sektor yang telah diceburi.

Pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya, pada tahun 1983-1993 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya selama tiga tahun (1996-1999).

Dalam bidang akademik, Dr Mahfodz adalah merupakan Pengerusi dan Pengetua, Maahad Tahfiz Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Muar, Johor dan pernah diamanahkan sebagai  Presiden Institut Teknologi Ibnu Sina (INTIS) pada tahun 2000-2001.

Dr Mahfodz juga pernah dilantik sebagai Penasihat Akademik Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) pada tahun 2001-2004 dan pernah dilantik sebagai Ahli panel Lembaga Akreditasi Negara (LAN) tahun 1998-2000.

Dr Mahfodz juga pernah diamanahkan sebagai Naib Yg Di Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tahun 1987-1999, Ahli lembaga penasihat syariah Amanah Saham Aiman (MARA), 1996-1999 dan Ahli lembaga pengawas syariah Takaful Nasional pada tahun 1994-1999 

Dr Mahfodz mula terlibat secara sepenuh masa dalam politik selepas tamat perkhidmatan di UM dan mula bertanding sebagai calon PAS di kerusi Dun Batu Tiga dalam Parlimen Shah Alam pada tahun 1999.

Tahun 2004, Dr Mahfodz bertanding di kampung halamannya sendiri iaitu di DUN Bukit Serampang dan pada tahun 2013 Dr Mahfodz telah bertanding di Dun Gambir dan kalah tipis dengan 310 undi.

Dalam Politik, Dr Mahfodz pernah diamanahkan sebagai Yang Di Pertua PAS kawasan Pagoh, Timbalan Pesuruh Jaya PAS Negeri Johor (2001-2005). Kini diamanahkan sebagai Pesuruh Jaya PAS Negeri Johor sejak tahun 2005 kecuali pada penggal 2013-2015.


Di peringkat Pusat, Dr Mahfodz adalah merupakan Ahli Majlis Syura dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Dengan pengalaman yang beliau telah dan sedang dilalui saya percaya Tuan Guru Dato’ Dr Mahfodz mampu untuk memikul tugas terbarunya ini dengan sebaiknya.

Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang berpanjangan kepadanya.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
29 September 2016

MAHFODZ MOHAMED DILANTIK KETUA KLUSTER DAKWAH MPI - AHMAD ZAHID


PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan bagi menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap merasmikan Multaqa Ekonomi MPI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Mahfodz diyakini dapat membawa kluster dakwah itu ke arah usaha penyatuan ummah dengan berkesan seperti peranan yang dimainkan penyandangnya sebelum ini.

"Kluster dakwah kehilangan seorang tokoh. Pada hemat saya, ia harus digantikan oleh seorang lagi tokoh yang boleh membawa kluster ini ke arah penyatuan ummah dengan keupayaan mengetepikan kobilah, fahaman dan perbezaan politik demi kemaslahatan (manfaat) ummah secara keseluruhan," katanya.

Allahyarham Haron, 76, yang juga Mursyidul Am PAS, yang dilantik mengetuai kluster dakwah pada Januari lepas, meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung pada 16 Sept lepas.

Ahmad Zahid berkata pelantikan Mahfodz dibuat bukan berasaskan parti politik atau organisasi yang disertainya tetapi atas kepercayaan MPI terhadap keupayaan Pesuruhjaya PAS Johor itu menerajui multaqa dan melontarkan pandangan kepada kerajaan dan sektor lain ke arah mewujudkan penyatuan ummah.

Timbalan perdana menteri berkata walaupun tidak menghubungi Mahfodz secara langsung namun percaya beliau akan menerima pelantikan itu demi kemaslahatan ummah.

Ditubuhkan atas inisiatif Ahmad Zahid sendiri, MPI yang dianggotai tokoh daripada pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberi cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima resolusi multaqa mengandungi lima saranan dalam usaha mengintegrasikan sistem ekonomi, antaranya membangunkan institusi waqaf korporat, menjadikan syarikat berkaitan kerajaan sebagai institusi korporat amanah dan menubuhkan profesion audit halal global.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1286795

Selasa, 27 September 2016

BERJASA MAMPU MEMPERKUKUH GAGASAN



BERJASA MAMPU MEMPERKUKUH GAGASAN

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

1. Beberapa hari yang lalu Parti Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) membuat pengistiharan untuk menyertai Gagasan Sejahtera (Gagasan) yang terdiri daripada PAS dan IKATAN.

2. Walaupun ia masih belum dibincangkan lagi di dalam mesyuarat Gagasan namun hasrat parti merupakan satu lagi pemangkin baru kepada perjuangan dalam politik di Malaysia.

3. BERJASA adalah sebuah parti politik yang diasaskan oleh Dato' Haji Muhamed bin Nasir yang pernah satu ketika dahulu dipecat sebagai Ahli PAS sehingga gugur jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1977. 

4. BERJASA telah menyertai BN selepas PAS ditendang keluar sehingga seterusnya berjaya menjatuhkan PAS di Kelantan dalam PRU tahun 1978 sehingga PAS hanya mampu mempertahankan dua kerusi DUN sahaja.

5. BERJASA akhirnya kembali bersama PAS menentang BN dalam PRU tahun 1990 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang pada masa itu dianggotai juga oleh sebuah parti yang juga merupakan serpihan daripada PAS iaitu Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) yang diasaskan oleh bekas Presiden PAS Tan Sri Dr. Haji Asri Muda pada tahun 1983. Sebuah parti lagi yang bersama APU adalah Parti Melayu Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

6. Gabungan ini berjaya merampas kembali Kelantan daripada BN dengan kemenangan 40-0.

7. Kini BERJASA ingin kembali untuk berjuangan bersama PAS dan sahabat baru IKATAN. Saya percaya BERJASA mampu memberikan kekuatan baru kepada Gagasan untuk membina Malaysia yang Sejahtera.

8. Politik kita politik matang. Kematangan kita dalam mengemudi bahtera politik Malaysia membuka mata, minda dan hati rakyat untuk memilih Gagasan sebagai pengganti BN yang semakin korup dan tandus integriti.

"POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA"

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
27 September 2016

Isnin, 26 September 2016

RISALAH RUU 355 DALAM BAHASA MANDARIN


CATATAN HUJUNG : PAS TETAP KEKAL DI HATI RAKYAT







CATATAN HUJUNG : PAS TETAP KEKAL DI HATI RAKYAT
(Telah disiarkan di dalam akaun FB saya)

1. Alhamdulillah, sepanjang hari ini penuh dengan aktiviti, bermula dengan Sidang Meja Bulat RUU 355 di Hotel Sri Malaysia Johor Bahru pada sebelah pagi, program bersambung di Parlimen Sri Gading dengan ziarah mahabbah ke Rumah Warga Emas Sejahtera, edar Kuih Bulan dan risalah RUU355 dalam bahasa Malaysia dan Mandarin di BP Mall, edaran Tanglung, Kuih Bulan di Taman Maju, Batu Pahat.

2. Program terakhir adalah menyampaikan ceramah Isu Semasa di Kampung Linau, Bukit Pasir dalam Parlimen Batu Pahat bersama Dr Najihatussolehah binti Ahmad, YB Ust Abdullah Hussin & Dr Mohd Ramli bin Kari.

3. Saya dapat katakan dan simpulkan di sini, PAS yang dilihat oleh sesetengah pihak setahun yang lalu akan 'karam' dalam persada politik negara sebenarnya semakin diterima oleh masyarakat.

4. Tidaklah perlu saya nyatakan satu persatu namun cukuplah saya coretkan bahawa sepanjang program hari ini PAS masih dekat di hati rakyat yang berbilang kaum dan agama.

5. Jika sebelum ini masyarakat Cina menjauhkan diri dengan PAS akibat dimomokkan dengan imej yang negatif, jika sebelum ini masyarakat Melayu menolakkan PAS kerana berkawan dengan DAP namun ia sudah berbeza kini.

6. Justeru penggerak PAS di semua peringkat wajarlah menggandakan usaha dan gerakerja untuk turun kelapangan bertemu dengan rakyat kerana isu RUU355 membuka ruang untuk rakyat mengenali dan menyayangi PAS.

7. PAS semakin mendapat tempat di hati rakyat. Malah, ratusan NGO semakin mendekati PAS. PAS bukan sahaja mendapat 'Kawan Baru' parti Ikatan sehingga tertubuhnya Gagasan Sejahtera, kini parti Berjasa sudah mengistihar untuk bergabung bersama dalam Gagasan.

8. Inilah perjuangan kita, inilah penyelesaian kita. Kita berjuang bukan kerana nama tetapi untuk mencapai keredhaanNya. Redha Allah yang kita cari untuk kejayaan di dunia dan akhirat.

Wassalam.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Kluang, Johor Darul Takzim
25 September 2016
1.43 pagi.

KEMBALI BERKARYA D SINI!


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan...

Apa khabar semua? Semoga semuanya sihat dan bertenaga untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan masing-masing.

Blog saya telah 'kehilangan' domainnya sejak beberapa bulan yang lalu akibat daripada terlepas pandang untuk 'renew' jangka hayatnya.

Justeru saya gunakan domain 'free' www.khairulfaizi73.blogspot.my dan selamat tinggal www.khairulfaizi.net.

Semoga kita bertemu lagi dan semoga saya mampu untuk beristiqamah dalam dunia blog yang telah saya ceburi sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil