TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 11 Oktober 2016

POLITIK MALAYSIA SEMAKIN MENARIK

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

1. Politik Malaysia semakin menarik perhatian umum, walaupun mungkin tidaklah semeriah pemerhatian terhadap Pilihan Raya Presiden Amerika di antara Hillary Clinton dan Donald Trump namun ia masih tetap dilihat menarik kerana pelbagai peristiwa dan insiden yang telah dan sedang berlaku.

2. Wujudnya beberapa parti politik baru dan yang paling terbaru adalah Penang Front Party (PFP) yang dikatakan mesra BN dan bakal bertanding 25 kerusi DUN di Pulau Pinang. Mudah kata, PFP memfokuskan untuk menguasai Pulau Pinang dan musuhnya adalah DAP.

3. Pengerusi PFP berkata, jika mereka menang di Pulau Pinang maka mereka akan mohon lesen daripada kerajaan Persekutuan untuk membuka kasino ala Macau supaya Pulau Pinang akan dapat meningkatkan industri pelancongan. Mungkin PFP percaya bahawa BN akan bersetuju dengan cadangan untuk "Judi Halal" yang diberi lesen seperti yang sedang gah di singgahsana di atas Genting Highland.

4. Parti pecahan UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walaupun pada awalnya dilihat tidak memberikan ancaman kepada UMNO namun 'roadshow' PPBM akhir-akhir ini semakin berjaya mencuit hati rakyat Malaysia khususnya veteran UMNO untuk bersama berjuang dengan Dr Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin. PPBM juga sedang mencari 'regu' yang sesuai untuk berdepan dengan BN dan hasrat untuk PAS turut serta dalam blok mereka.

5. Parti Amanah Negara (PAN) pula wujud selepas Muktamar Tahunan PAS pada tahun 2015 apabila sebahagian daripada barisan pimpinan PAS Pusat kalah dan seterusnya mewujudkan Harapan Baru  (sebelum wujud PAN) bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.

6. Mantan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal pula mengumumkan keluar parti dan menubuhkan parti baru di Sabah. Gerakan Shafie Apdal telah berjaya menarik ribuan ahli UMNO di Sabah untuk mengikut jejak langkahnya. Pengerusi PKR Sabah, YB Datuk Lajim Ukim pula mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sabah dan keluar daripada PKR dan bakal bersama dalam parti baru tajaan Shafie Apdal.

7. Ketika ini, PAS dan IKATAN bergabung dalam GAGASAN yang bakal dianggotai juga oleh parti BERJASA yang telahpun mengistiharkan untuk bersama GAGASAN. Usaha untuk memperkukuhkan GAGASAN terus dilaksanakan dan tidak mustahil keanggotaannya akan bertambah dengan perkembangan politik di negara kita sekarang ini.

8. Ketelitian untuk menentukan halatuju perjuangan khususnya dengan siapa untuk berkawan dan dengan siapa menjadi lawan sedang dibuat perkiraan. Sama ada "Dua Penjuru" atau "Tiga Penjuru" ia bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi PAS. Walaupun TS Muhyiddin Yassin semacam yakin bahawa PAS akan bersama dengan blok pembangkang cadangannya namun ia masih terlalu awal untuk dipastikan. Tidak mustahil nanti PPBM pula yang akan sertai blok Gagasan bersama PAS.

9. Ia masih terlalu awal namun apa yang pastinya politik Malaysia semakin menarik.

Wassalam.

KFAK - 11 Oktober 2016

0 ulasan:

Catat Ulasan