TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 11 Oktober 2016

SAKIT SEBAGAI SATU PERINGATAN

SAKIT SEBAGAI SATU PERINGATAN

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

1. Setiap yang hidup pasti akan merasai saat kematian. Walaupun kita tidak tahu bila masanya akan hadir kematian itu namun ia adalah sesuatu yang telah disuratkan kepada makhluk yang hidup, tidak kira sama ada mereka bersedia atau tidak, mahu atau tidak mahu namun ia mesti menerima hakikat bahawa ia akan mati satu hari nanti.

2. Larilah ke planet mana pun namun Malaikat Maut tetap akan berada bersama kita untuk menarik keluar roh daripada jasad kita ini.

3. Sakit adalah merupakan salah satu daripada peringatan Allah kepada hambaNya bahawa kematian itu semakin menghampiri dirinya.

4. Seorang sahabat saya, apabila ditanya kepadanya akan keadaan sakitnya yang masih belum pulih, jawapannya bahawa di penghujung hidup kita di atas dunia ini adalah MATI. Maka sakit ini menjadi peringatan kepadanya bahawa mati semakin menghampiri diri kita.

5. Ada yang mati secara mengejut di kala badan yang sihat dan cergas, tiba-tiba Allah mengambil nyawanya dalam kemalangan sebagai contohnya. Ada yang mati ketika sedang berehat-rehat menonton siaran TV, ada yang mati kerana tersedak makanan dan ada yang mati ketika sedang nyenyak tidur. Bermakna, tanpa apa-apa 'signal' diberikan manusia boleh kehilangan nyawa mereka.

6. Berbeza dengan yang Allah berikan mereka sakit, ia adalah satu peringatan yang paling mudah untuk kita segera sedar bahawa hidup kita tidak selama-lamanya di dunia ini.

7. Sabda Rasulullah S.A.W.
Maksudnya: Ada dua (jenis) nikmat yang kebanyakkan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang (senggang).
(Hadith riwayat al-Bukhari)

8. Kita yang terlalai sering membazirkan masa yang terluang dengan aktiviti yang hanya untuk keseronokan di dunia, sehingga sering kita lupa bahawa dunia ini hanya tempat untuk sementara waktu sahaja. Itulah kita yang dinamakan manusia.

9. Teman-teman, selain daripada satu tanda peringatan kepada kita, sakit juga adalah merupakan salah satu cara sebagai penebus dosa. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda ;

“Tiada seorang mukmin yang ditimpa oleh kepenatan atau penyakit atau risau fikiran atau sedih hati, walaupun jika terkena duri, melainkan semua penderitaan itu akan dijadikan penebus dosanya oleh Allah” (HR Bukhari-Muslim).

10. Sebagai manusia biasa, kita sukar untuk tidak melakukan dosa. Pengaruh daripada nafsu dan syaitan yang berterusan menggoda umat manusia sehingga ke akhir zaman menyebabkan kita lalai dan leka, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini maksiat boleh dilalui dan dilihat di mana-mana.

11. Sukar untuk kita mengelak daripada berhadapan dengan situasi seperti ini namun bukan bermakna kita perlu redha dan membiarkan sahaja ia berlaku.

12. Selain daripada memohon keampunan daripada Allah, sakit adalah merupakan salah satu cara Allah mengampun dosa- dosa yang telah kita lakukan.

13. Mengakhiri tulisan ini, pesanan untuk diri saya dan para sahabat serta para pembaca agar kita sentiasa beringat dalam setiap tindakan kita. Hidup kita hanya sementara sahaja di sini, Hidup yang panjang menanti kita di Akhirat nanti.

Sekian, wassalam.

KFAK
11 Oktober 2016

0 ulasan:

Catat Ulasan