TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 1 November 2016

KHABAR DUKA : RON95, RON97 DAN DIESEL NAIK 15 SEN MULAI 1 NOVEMBER 2016


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Mendapat berita kenaikan 15 sen seliter untuk semua bahan bakar untuk kenderaan sudah semestinya menyedihkan.

Pengguna seperti saya yang menggunakan Ron95 terpaksa menambah RM 6.00 setiap kali mahu mengisi penuh  kereta yang tangkinya 40 liter. Hanya kurang 5 sen untuk digenapkan kepada RM 2.00 seliter.

Pastinya ia berita yang menyedihkan khususnya kepada rakyat yang bergelut dengan kehidupan seharian yang semakin dihimpit dengan pelbagai kos yang terus meningkat naik.

Tambahan 15 sen walaupun dilihat kecil bagi sesetengah pihak tetapi ianya akan meningkatkan kos kehidupan seharian rakyat. Ini belum ditambah lagi dengan kos tol yang terpaksa dilalui oleh rakyat pada setiap hari khususnya mereka yang bekerja di ibu kota Kuala Lumpur dan seumpama dengannya.

Kos hidup yang semakin tinggi akan menyebabkan hidup rakyat semakin terhimpit dan tersepit, bakal dirasai oleh warga kota yang telah terkesan daripada peningkatan tambang perkhidmatan awam seperti bas, LRT dan Komuter sekitar 50% pada akhir tahun yang lalu.

Rata-rata pengguna yang dapat dibaca melalui laman Facebook teman-teman saya mengeluh dengan kenaikan ini. Selain daripada mengkritik kenaikan ini, ramai juga yang meluahkan rasa dukacita kerana golongan muda yang sedang dalam proses membina kehidupan yang semakin mencabar terpaksa menambahkan kos perbelanjaan dalam tempoh sebulan ini. 

Kembimbangan terhadap kenaikan harga barangan harian juga menjadi igauan ngeri kepada pengguna lebih-lebih lagi berkaitan dengan harga makanan. Minggu lalu, saya terkejut apabila mendapati bahawa harga air suam segelas yang dibeli di sebuah restoran di Kluang bernilai 40 sen! Semoga tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan kenaikan harga minyak ini untuk meningkatkan kos-kos yang lain. 

Apa komen anda sebagai rakyat dan pengguna? 

Sekian. Wassalam. 

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

=================================================

KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 15 sen seliter mulai tengah malam ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata harga runcit baharu bagi RON95 berkuat kuasa 1 Nov ialah RM1.95 seliter manakala RON97 (RM2.30 seliter).
"Harga runcit baharu bagi diesel pula RM1.90 seliter," katanya kepada Bernama, malam ini.   
Harga runcit petrol sepanjang Oktober bagi RON95 ialah RM1.80 seliter, RON97 (RM2.15) dan diesel (RM1.75). - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan