TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 10 November 2016

RESOLUSI KONGRES RAKYAT JOHOR



RESOLUSI KONGRES RAKYAT JOHOR
TROPICAL INN, JOHOR BAHRU
22HB OKTOBER 2016

PENDAHULUAN
Bahawa Kongres Rakyat Johor telah mengadakan persidangan dengan tema ‘MEMBINA JOHOR SEJAHTERA’ pada 22hb Oktober 2016, bertempat di Tropical Inn Johor Bahru. Bahawa persidangan ini telah dihadiri oleh 385 orang yang mewakili 35 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non Governmental Organization) iaitu:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Yayasan Amal – Jabatan Pembangunan Wanita & Keluarga Johor (AMALNITA)
Batu Pahat Care
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Persatuan Profesional Islam Anak Johor (GAPHOR)
Gabungan NGO Melayu Johor (GABUNG)
Geng Ustaz (GU)
Indian Muslim Professional (IMPROF)
Persatuan Graduan United Kingdom dan Eire (IPRO)
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Pertubuhan Prihatin Johor Bahru (JB PRIHATIN)
Kebajikan Rangkaian Tentera dan Veteran ATM (KERABAT)
Kulai Prihatin
Kongres Rakyat Johor (KRJ)
Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA)
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA JOHOR)
Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)
Pengguna Prihatin
PERANTAU (cawangan Johor)
Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA)
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
Pertubuhan Kebajikan Sejahtera (SEJAHTERA)
Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Prihatin (PERMAI CARE)
PERSATUAN NELAYAN KG LADANG GELANG PATAH
PERSATUAN PENGGUNA CAWANGAN JOHOR (CAP)
PERTUBUHAN KOMUNITI IHSAN NEGERI JOHOR
Pertubuhan Kebajikan dan Kemasyarakatan Pasir Gudang (PG CARE)
Persatuan Gerakan Gagasan Generasi 2 (CBDB)
Pertubuhan Kebajikan Amanah Prihatin Kulai Johor (PKAP)
Persaudaraan Muslimah (SALIMAH)
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Yayasan Amal
Wakil Yayasan Raja Zarith Sofia


Bahawa persidangan ini telah mendengar segala fakta, pemerhatian dan keluhan daripada pelbagai pihak untuk pelbagai isu yang melanda rakyat Johor. Setelah mendengar semua dapatan-dapatan tersebut, persidangan ini telah sebulat suara menetapkan pendirian terhadap resolusi-resolusi seperti berikut:

ISU AIR NEGERI JOHOR
1. Bahawa isu krisis air bersih merupakan isu yang kronik dalam negeri Johor, terutama di Kluang, Mersing dan Pasir Gudang. Catuan air di beberapa bahagian Johor juga sering berlaku dan sentiasa berulang. Walaupun Dewan Undangan Negeri Johor telah meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Air 1921 pindaan 2014 bagi penjagaan kawasan tadahan, namun langkah penguatkuasaan masih lagi tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Justeru, Kongres ini menggesa kerajaan negeri untuk mempertingkatkan usaha memelihara kawasan tadahan hujan tersebut dengan mempertingkatkan usaha-usaha penguatkuasaan.

2. Bahawa pembangunan di negeri Johor sangat pesat dan dijangka populasi negeri akan meningkat. Ini juga akan meningkatkan pertumbuhan industri. Ini semua akan meningkatkan permintaan air pada masa yang akan datang. Justeru, Kongres menggesa Kerajaan Negeri untuk mencari sumber air baru dengan lebih serius dan terancang dengan kadar segera agar bekalan air sentiasa mencukupi dengan peningkatan permintaan.

3. Bahawa tarif air di negeri Johor adalah yang tertinggi di Malaysia. Perkhidmatan SAJ masih lagi banyak yang perlu diperbaiki. Pada masa yang sama, desakan hidup rakyat dengan kekangan ekonomi yang semakin meruncing menyebabkan ramai rakyat yang terkesan. Justeru, Kongres ini mencadangkan agar Kerajaan negeri Johor hendaklah meluaskan perlaksanaan skim air percuma 35 meter padu kepada lebih ramai golongan rakyat miskin. Kongres juga menggesa agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan penurunan tarif air supaya setara dengan tarif air di negeri-negeri lain di Malaysia.

4. Bahawa SAJ Holdings adalah satu-satunya syarikat air di Johor. Sebagai sebuah syarikat GLC kepada kerajaan negeri, keutamaan perkhidmatan perlulah diutamakan berbanding keuntungan. Justeru, Kongres menggesa agar kerajaan negeri menghadkan keuntungan SAJ dan lebihan keuntungan digunakan untuk proses pembersihan dan penambahbaikan kawasan-kawasan tadahan dan empangan

ISU FAKIR MISKIN


5. Bahawa pelbagai bentuk subsidi barangan keperluan rakyat telah ditarik sedikit demi sedikit dengan yang terbaru ialah minyak masak. Bahawa subsidi yang diamalkan kerajaan adalah melibatkan semua rakyat tanpa kecuali. Bahawa BR1M yang diamalkan oleh kerajaan bersifat ‘one-off’. Maka Kongres ini mencadangkan kerajaan negeri Johor supaya menyediakan kad diskaun khas untuk golongan fakir miskin bagi barangan keperluan harian. Ini secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dan bantuan subsidi ini adalah lebih fokus kepada golongan sasaran.

6. Bahawa masalah rumah bagi golongan berpendapatan rendah sememangnya kritikal terutama di bandaraya sebesar Johor Bahru. Bahawa sebahagian besar daripada mereka tidak berpeluang memiliki rumah sendiri. Justeru, pihak Kongres mencadangkan kerajaan negeri memberi peluang golongan yang benar-benar layak kemudahan memiliki rumah PPRT. Di samping itu Kongres juga mencadangkan agar amalan pemberian kuota untuk parti-parti politik dihapuskan kerana terdedah kepada penyelewengan.

ISU FELDA


7. Bahawa isu geran tanah bagi peneroka FELDA masih lagi menghantui peneroka. Kerajaan negeri sewajarnya menghargai usaha yang telah mereka lakukan dalam membangunkan FELDA. Justeru, pihak Kongres menggesa Kerajaan negeri untuk memberikan geran tanah kekal kepada semua peneroka di seluruh negeri Johor.

8. Bahawa FELDA memerlukan generasi pelapis untuk mengusahakan FELDA. Pihak Kongres mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan memperuntukkan lot-lot rumah kepada generasi kedua FELDA. Bantuan pinjaman melalui agensi-agensi FELDA perlu dipermudahkan bagi urusan pemilikan rumah yang dibina oleh FELDA.

ISU PEMBANGUNAN DAN PERUMAHAN BANDAR


9. Bahawa masalah setinggan di bandaraya Johor Bahru yang dilaporkan di antara tertinggi di Malaysia memang membimbangkan. Faktor kemiskinan menyebabkan mereka sukar untuk berpindah melainkan mendapat pampasan yang baik. Kongres menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi pampasan yang setimpal. Ini termasuk mempertimbangkan status sewa beli bagi rumah PPRT dan bukannya hanya sebagai penyewa sebagaimana amalan sekarang.

10. Bahawa golongan B40 merupakan golongan yang signifikan di negeri Johor. Menyedari bahawa kebanyakan golongan ini tidak mempunyai tanah yang dijadikan syarat untuk memohon projek ‘My Beautiful New Home’ yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Pembentangan Bajet 2017. Kongres menggesa Kerajaan Johor agar mengambil peluang projek ini dengan memperbanyakkan unit tawaran rumah projek ini di negeri Johor disamping mengurniakan tanah bagi mereka yang layak .

11. Bahawa menyedari terdapat banyak bangunan-bangunan dan kuarters-kuarters Kerajaan yang kosong dan tidak digunakan lagi di sekitar negeri Johor. Sebahagian daripada bangunan-bangunan ini dibiarkan usang dan kadangkala digunakan untuk aktiviti tidak bermoral oleh pihak-pihak tertentu. Justeru, Kongres ini menyarankan agar Kerajaan negeri memudahkan birokrasi agar premis-premis ini boleh digunakan oleh NGO-NGO di Johor Bahru untuk melakukan aktiviti kebajikan mereka seperti rumah perlindungan dan penempatan sementara gelandangan di Johor Bahru.

12. Bahawa menyedari sebahagian bangunan-bangunan tinggal ini masih boleh diperbaiki dan boleh digunakan. Namun peruntukan Kerajaan Negeri bagi membaikpulih bangunan-bangunan tersebut memang tidak mencukupi. Justeru, Kongres menggesa kerajaan negeri menambah peruntukan bagi membaik pulih bangunan-bangunan tersebut supaya ianya selesa untuk diduduki oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor.

13. Bahawa banjir kilat didapati sering berlaku di bandaraya Johor Bahru. Di antara sebab yang dilaporkan ialah pembangunan Sungai Seget yang sedang rancak berlaku. Kongres menggesa Kerajaan negeri Johor menyediakan pelan tindakan bagi mengelakkan banjir kilat daripada berulang terutamanya ketika hujan yang lebat dan air pasang.

ISU PENDIDIKAN


14. Bahawa pendidikan sesebuah negara sangat penting dalam menghasilkan masyarakat yang bersatu padu. Sekolah-sekolah yang pelbagai aliran menyebabkan polarisasi kaum yang semakin ketara dan kelihatan gagal dalam menghasilkan masyarakat yang bersatu padu tersebut. Justeru, Kongres ini menyokong penuh pandangan Tengku Mahkota Johor supaya hanya ada satu sistem aliran persekolahan sahaja di negeri ini. Sekolah-sekolah vernakular perlulah ditutup secara berperingkat. Pada masa yang sama, bahasa-bahasa kaum utama di negeri ini perlu dijadikan bahasa elektif pilihan kepada semua pelajar.

15. Bahawa sekolah-sekolah tahfiz telah berkembang pesat di negeri ini. Kebanyakannya tanpa prasarana yang cukup. Kongres ini berpendapat bahawa kerajaan perlu memperuntukkan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah tersebut untuk memperbaiki prasarana mereka.

16. Bahawa Sekolah Agama Kerajaan Johor merupakan sekolah pendidikan Islam yang ditadbir urus oleh Kerajaan Johor sejak zaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar. Aspek amali didapati agak kurang dalam kurikulum sedia ada. Justeru, Kongres mencadangkan agar kurikulum Sekolah ini disemak semula dengan memasukkan elemen amali seperti Kad laporan mengerjakan solat dan sebagainya. Disamping itu, Kongres menggesa agar Sekolah Agama Kerajaan Johor dilanjutkan sehingga peringkat Menengah Rendah dengan kurikulum yang praktikal untuk golongan remaja.

17. Bahawa Sekolah Agama Johor merupakan satu sistem pendidikan agama yang unik di negara ini. Namun terdapat beberapa kelemahan yang jelas kelihatan seperti sistem penggajian guru-guru, layanan ‘double-standard’ di kalangan warga pendidik sendiri dalam pematuhan pelajar kepada jadual waktu pembelajaran pelajar dan kitab-kitab pembelajaran yang sentiasa berubah. Justeru, kongres ini mencadangkan agar kerajaan negeri memartabatkan dan memperkasakan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Kongres juga mencadangkan agar buku-buku yang digunakan perlulah mempunyai ciri-ciri yang boleh digunakan lama. Ini akan mengurangkan beban ibubapa yang mempunyai anak yang ramai.

18. Bahawa terdapat aduan penyalahgunaan premis dan aktiviti sekolah untuk tujuan politik. Program-program yang berbaur politik dilaksanakan di sekolah dengan menggunakan nama-nama lain. Ia banyak menimbulkan keresahan kepada guru-guru dan ibubapa. Kongres ini ingin menekankan supaya kerajaan negeri bertegas dalam menjadikan sistem pendidikan di negeri ini bebas daripada pengaruh politik kepartian yang sempit dan menjadikan sekolah sebagai ruang yang terbuka kepada pembinaan masyarakat.

19. Bahawa langkah Kerajaan Johor di atas nasihat Tuanku Sultan Johor menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Kelepasan Am adalah satu langkah yang perlu dipuji. Namun apabila ianya tidak diselaraskan untuk semua sektor kerajaan dan swasta menyebabkan kualiti hubungan kekeluargaan sebahagian rakyat terjejas. Justeru, Kongres ini memohon Kerajaan negeri untuk mempertimbangkan supaya cuti hujung minggu di negeri ini diselaraskan pada hari Jumaat bagi sektor Kerajaan dan Swasta.

ISU PENIAGA KECIL DAN ASING


20. Bahawa terdapat ramai warganegara asing yang menyalahgunakan permit kehadiran mereka di negara ini. Ada di kalangan mereka yang memulakan aktiviti perniagaan tanpa premis seperti menjaja barangan tertentu.Ini secara tidak langsung menggambarkan lemahnya penguatkuasaan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Kongres merasakan sudah sampai masanya Kerajaan perlu tegas terhadap warga asing yang berniaga dan menyalahgunakan permit kemasukan mereka ke negara ini dengan penghantaran kembali ke negara asal mereka.

21. Bahawa ada warganegara asing yang berniaga menggunakan premis warga tempatan. Ini disebabkan ada warga tempatan yang ingin mengambil jalan mudah dengan ‘mengalibabakan’ premis dan lesen perniagaan mereka. Ia menyebabkan tertutup peluang rakyat yang benar-benar berminat untuk berniaga. Kongres menggesa Kerajaan Negeri untuk bertegas dalam isu ini dengan mengenalpasti pemilik premis perniagaan yang mengalibabakan premis dan menarik balik lesen perniagaan mereka.

22. Bahawa menyedari kesukaran dan kesulitan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil, Kongres menggesa supaya pihak kerajaan negeri meningkatkan lagi skim bantuan kepada peniaga-peniaga kecil dengan pelbagai kaedah, contohnya, memudahkan permohonan lesen perniagaan atau memberikan lesen perniagaan secara percuma, mewujudkan lebih banyak tapak-tapak pasar malam dan perniagaan kecil berpusat dan sebagainya.

ISU PEMANDU TEKSI JOHOR


23. Bahawa kewujudan UBER dan GRABCAR menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas. Lebih ketara bagi pemandu teksi syarikat yang terpaksa membayar sewa harian wajib kepada syarikat-syarikat pengendali teksi tersebut. Kongres merasakan Kerajaan negeri Johor hendaklah menghapuskan amalan konsensi syarikat pengendali teksi secara berperingkat dan memastikan pemandu-pemandu teksi sedia ada mendapat permit teksi individu. Kongres juga menggesa kerajaan negeri membina applikasi ‘Teksi online’ sendiri bagi menjaga kepentingan pemandu-pemandu teksi yang berdaftar.

ISU AGAMA


22. Bahawa Solat merupakan kunci utama dalam diri seorang muslim. Kongres merasakan Kerajaan Negeri perlu menitikberatkan persoalan solat di kalangan rakyat. Kongres mencadangkan supaya kerajaan negeri menggerakkan kempen membudaya Solat berjemaah untuk seluruh rakyat negeri ini.

23. Bahawa telah tersedia ruang-ruang solat di pasaraya-pasaraya di seluruh negeri Johor. Pada masa yang sama tiada kemudahan tempat solat untuk akitiviti luar dan keramaian seperti di pasar-pasar malam. Justeru, Kongres merasakan Kerajaan Negeri perlu menyediakan ‘Surau Bergerak’ untuk kegunaan rakyat negeri ini dalam program-program tersebut.

ISU PENGGUNA


24. Bahawa isu makanan halal adalah sangat penting kepada pengguna Islam di negeri ini. Kadangkala pengusaha makanan atau peniaga tidak menitikberatkan persoalan makanan halal tersebut. Justeru, Kongres menggesa Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor agar meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan semua pengusaha makanan dan rumah sembelihan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2011(semakan Kedua).

25. Bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) perlu diberi perhatian sewajarnya dan perlu dibantu.Golongan ini dilihat tersisih dan terpinggir dalam arus pembangunan negeri berikutan kekurangan kemudahan asas untuk mereka di bangunan kerajaan, swasta dan tempat-tempat awam. Justeru, kongres ini menggesa Kerajaan Johor hendaklah mewartakan semua bangunan di negeri Johor perlulah mematuhi piawaian mesra OKU. Pada masa yang sama, Kongres menggesa Kerajaan Negeri menubuhkan satu pusat khas untuk OKU bagi membela kebajikan OKU ini.

ISU NELAYAN GELANG PATAH


26. Bahawa tanpa menolak sebarang perancancangan dan perlaksanaan pembangunan oleh kerajaan negeri di kawasan dan perkampungan nelayan tradisi, namun menyedari nasib nelayan di Gelang Patah semakin meruncing dengan semakin kurang tangkapan ikan. Nasib mereka diburukkan lagi apabila satu-satunya jeti yang digunakan untuk ke laut ketika air surut telah dipindahkan untuk pembangunan oleh pemaju. Justeru, pihak kongres mendesak Kerajaan Negeri supaya memindahkan projek pembangunan tersebut dan sebaliknya menaikkan taraf jeti yang sedia ada dan memberi bantuan sewajarnya terhadap pembangunan masa hadapan industri nelayan di negeri Johor.

ISU FELDA CAHAYA BARU


27. Bahawa masalah Felda Cahaya Baru tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak Kerajaan Negeri Johor.Ahli lembaga pengarah Cahaya Baru Development Berhad (CBDB) telah tidak menjalankan tugas dan amanah yang diberi sehingga gagal membayar baki jualan tanah sekitar RM400 juta kepada peneroka Felda Cahaya Baru yang mengikuti projek pembangunan tanah CBDB. Ini menimbulkan kesusahan kepada keluarga peneroka yang terlibat. Justeru, Kongres ini menggesa agar Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pemberian pampasan oleh pihak pemaju, sebagaimana yang telah dijanjikan kepada peneroka yang terlibat.

Bahawa resolusi Persidangan Kongres Rakyat Johor yang bertemakan ‘Membina Johor Sejahtera’ ini dengan penuh takzim diserahkan kepada:
1. DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri & Jajahan Takluk Johor Darul Takzim
2. YAB Dato Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor Darul Takzim

0 ulasan:

Catat Ulasan