TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Sabtu, 31 Disember 2016

MENANTI CABARAN TAHUN 2017

MENANTI CABARAN TAHUN 2017

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan.

1. Hari ini adalah hari terakhir kita berada dalam tahun Masehi 2016. Pelbagai peristiwa suka duka berlaku sepanjang tahun yang mungkin meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap apa yang telah kita lakukan dan kita lalui. Terlintas di fikiran saya beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian apabila tahun 2017 bakal menjelma beberapa jam selepas tulisan ini disebarkan kepada umum.


2. Pertamanya, Amerika Syarikat akan mula dipimpin oleh Donald Trump yang saya sifatkan sebagai Presiden Amerika yang bakal menjadi musuh kepada dunia khususnya negara Islam. Beberapa kenyataan yang beliau pernah sampaikan dilihat mempunyai rasa kebencian terhadap Islam.

3. Akhir tahun lalu, Trump telah membuat satu kenyataan yang mahu melarang golongan Muslim masuk ke AS sehingga beliau ditempelak oleh lagenda tinju dunia, Allahyarham Muhammad Ali. Trump juga pernah membuat kenyataan bahawa sekiranya beliau berjaya dipilih sebagai Presiden AS maka beliau akan mengiktiraf Batulmuqaddis sebagai Ibu Kota Israel. Trump telah menyatakan kesediaannya ini setelah pertemuannya dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang mengunjungi beliau di pejabatnya di Tower Trump di New York.

4. Justeru umat Islam perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran ini. George Bush yang juga bekas Presiden AS daripada Parti Republikan pernah mencipta kejutan dengan peristiwa 911 maka Trump yang juga daripada parti yang sama sudah mula menunjukkan taringnya walaupun secara rasminya masih belum lagi bertugas di White House.


5. Keduanya, konflik yang sedang terhadap umat Islam di seluruh dunia. Paling menyentuh hati adalah kekejaman kerajaan Burma atau Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya yang terus dibunuh, disiksa, dirogol, dibakar dan dihalau seperti tiada lagi nilai kemanusiaan lagi.

6. Kekejaman ini telah berlaku sejak sekian lama namun ia dipandang sepi oleh kebanyakkan negara. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 'mati kutu' untuk mencari jalan penyelesaian. Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) digesa perlu lebih serius memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya yang berada di beberapa negara termasuk Malaysia. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu bertegas dengan sikap Myanmar yang terus mengganas tanpa perlu rasa bimbang dengan ancaman daripada mereka.

7. Rakyat Malaysia perlu lebih sensitif dengan isu ini kerana ia sangat dekat dengan tanahair kita. Justeru bagi menghadapi tahun 2017 ini maka menjadi satu tanggungjawab kita untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka melalui pelbagai agensi yang ada.


8. Ketiganya, tekanan ekonomi terhadap rakyat Malaysia. Matawang Ringgit Malaysia terus jatuh berbanding dengan nilai Dollar AS yang kini 1USD adalah bersamaan RM4.48!

9. Kebanyakkan ibubapa telah mula merasai keperitan untuk menghadapi sesi persekolahkan tahun hadapan. Keperluan anak-anak meningkat dari tahun ke tahun. Ada di kalangan ibu bapa terpaksa membuat pinjaman kewangan untuk tujuan persekolahan anak. Kononnya yuran pendidikan percuma untuk pelajar sekolah seperti yang pernah diumumkan oleh Pak Lah dalam Bajet 2008 tetapi hakikatnya ia hanyalah 'gurauan' penyedap hati.

10. Kerajaan terus 'menyedut' duit melalui GST daripada rakyat. Orang kaya, orang miskin semuanya terpaksa membayar cukai sedangkan rakyat hakikatnya bergelut untuk meneruskan kehidupan.

11. Apa yang akan berlaku terhadap ekonomi pada tahun 2017 pastinya akan merunsingkan kita. Tiada gambaran matawang Malaysia akan pulih dengan perkembangan ekonomi Malaysia seperti hari ini. Hutang negara terus meningkat dan belum ada tanda ia akan berkurangan.


12. Keempat dan yang terakhirnya, Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dijangka akan berlaku pada tahun 2017. Uniknya Malaysia, tarikh PRU sememangnya sentiasa menjadi teka-teki dengan pelbagai teori dan andaian. Ada yang menjangkakan bulan Mac, tidak kurang yang menjangkakan akan berlaku pada bulan Julai dan ada juga yang meramalkan selepas berlakunya Temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur. Namun tahun 2017 adalah tahun jangkaan yang kuat PRU14 akan berlaku.

13. BN cukup tertekan pada kali ini kerana prestasi mereka pada PRU13 adalah yang paling buruk dalam sejarah PRU di Malaysia. Di tambah lagi dengan krisis dalaman parti sehingga terpecatnya TS Muhyiddin Yassin sebagai TPM sehingga wujudnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Presiden UMNO pul dilihat sebagai liabiliti kepada UMNO/BN dengan pelbagai palitan isu yang bakal membantu kejatuhan BN dalam PRU14 ini.

14. Pilihan rakyat ketika ini adalah terarah kepada kumpulan pembangkang yang bakal mencabar BN yang semakin rapuh. PAS dan Ikatan bergerak dalam satu Gabungan yang dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera (Gagasan). Dengan konsep dan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) membantu mendekatkan PAS dengan massa. Langkah PAS untuk ke Putrajaya diteruskan demi masa hadapan rakyat, agama dan negara tanpa menafikan dan menggadaikan prinsip dan dasar perjuangan.

15. Justeru tahun 2017 ini usaha perlu digandakan, program perlu diperbanyakkan, aktiviti perlu dipelbagaikan dan organisasi perlu diperkasakan agar PAS dapat terus menembusi dan memenangi hati rakyat di seluruh negara. Kempen PAS PILIHANKU menjadi tanggungjawab semua ahli PAS untuk memastikan bahawa dalam tempoh empat bulan ini seramai lebih kurang 130,000 ahli baru mesti didaftarkan di seluruh negara. Ahli PAS perlu lebih gigih berkerja pada tahun 2017, lebihkan masa untuk membantu gerakerja jamaah di semua peringkat.

16. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” yang di petik daripada ayat ke 11 surah Ar-Rad engingatkan kita bahawa perubahan mampu untuk dilakukan dengan kita melakukan perubahan tersebut.Semoga tahun 2017 akan memberikan sinar baru dengan penuh pengharapan kepada kita semua.


INILAH PENYELESAIAN KITA
PAS PILIHANKU

Sekian.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Jalan Raja Laut, Ibu Kota Kuala Lumpur.

31 Disember 2016

0 ulasan:

Catat Ulasan