Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Khamis, 24 Ogos 2017

Usrah Kelompok di Kampung Sepinang, Segamat

Usrah Kelompok di Kampung Sepinang, Segamat malam tadi.

Di antara pengisian yang telah saya sampaikan ;

1. Al-Ma'thurat adalah amalan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW serta surah-surah dari Al-Quran yang dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna.

2. Sebagai pejuang Islam, maka digalakkan secara konsisten dan istiqamah membaca Al-Ma'thurat pada waktu pagi dan petang/malam untuk memantapkan jiwa.

3. Hasan Al-Banna adalah pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir, menghadapi pelbagai ujian untuk memperjuangkan Islam di sana dan perjuangan mereka mendapat tentangan yang hebat sehinggalah ke hari ini.

4. Perjuangan memerlukan pengorbanan dan sentiasa diuji seperti mana yang tercatat dalam Al-Quran dan ia menjadi sunnah dalam perjuangan.

5. Pejuang bukan hanya mengorbankan harta dan masa sahaja untuk mendapatkan keredhaan Allah tetapi juga sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi mencapai matlamat ini.

6. Itulah juga yang telah dilakukan oleh As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama para sahabatnya 32 tahun yang lalu sehingga terkorban Syahid di Memali yang percaya dan yakin dengan tindakan mereka.

7. Mereka yang mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. mestilah berjuang dengan semaksimum mungkin sehingga sanggup mengorbankan masa dan harta, malah menggadaikan nyawa bagi memastikan Islam mencapai kemenangan.

8. PAS dalam apa jua keadaan terus berjuang bagi menegakkan Islam dalam pemerintahan dan kehidupan masyarakat. PAS kekal dengan dasar perjuangannya biarpun berkemungkinan kehilangan sokongan dalam Pilihanraya.

9. Mengingatkan kepada para ahli-ahli PAS supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan tetapi perlu bersedia menerima kekalahan kerana kalah atau menang adalah urusan Allah.

10. Menyarankan agar semua kepimpinan dan Ahli PAS mendapatkan maklumat yang tepat melalui sumber yang benar seperti Harakah. Oleh kerana itu kita hendaklah membeli Harakah dan menjadikannya bacaan tetap setiap keluaran.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil.
24 Ogos 2017, 1.38 pagi.

Selasa, 22 Ogos 2017

DIALOG BERSAMA BISHOP BUKTI PAS AMALKAN BUDAYA POLITIK MATANG






 DIALOG BERSAMA BISHOP BUKTI PAS AMALKAN BUDAYA POLITIK MATANG 

Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 21 Ogos 2017 telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya mengadakan pertemuan dengan Bishop Bernard Paul  di MAJODI Centre yang terletak di Masai, Johor. 

Bishop Bernard bersama paderi-paderi dan jawatankuasa MAJODI Centre telah menyambut ketibaan rombongan daripada PAS yang terdiri daripada YB Ust Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz (AJK PAS Pusat/Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat), Khairul Faizi bin Ahmad Kamil (Penolong Setiausaha Agung PAS/Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor), Haji Hussin bin Ismail (Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat), Ustaz Mohamad bin Ibrahim (Setiausaha Lajnah Dakwah PAS Pusat), Ahmad Aljohari bin Mohd Yusof (Setiausaha PAS Negeri Johor) dan beberapa AJK Lajnah Dakwah PAS yang turut hadir bersama.

Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam tiga puluh minit itu telah berlangsung secara harmoni dengan kedua-dua pihak saling bertukar pandangan ke arah untuk mewujudkan keharmonian di dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Pelbagai perkara telah dibangkitkan dalam pertemuan ini termasuklah berkaitan pindaan Akta RUU355 dan RUU164, hukum hudud dan hubungan di antara masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

Dalam ucapan YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, beliau menyebut bahawa kejahilan memahami tentang agama telah menyebabkan hubungan sesama masyarakat menjadi rosak. 

"Agama adalah untuk sejahtera. Kerana itu PAS mengajak kepada kesejahteraan. Tiada agama yang mengajak ke arah perkara yang negatif" ujur beliau.

Manakala Bishop Bernard dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada YB Ustaz Nik Mohamad Abduh serta rombongan daripada PAS kerana telah berusaha membina 'jambatan' untuk membentuk suasana masyarakat yang lebih harmoni. 

Beberapa pandangan dan cadangan yang dikemukakan di dalam pertemuan tersebut akan di bawa kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Diharapkan pertemuan seperti  ini akan mendekatkan PAS dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
22 Ogos 2017, 1.34 pagi.
www.khairulfaizi.net

#politikmatangsejahtera
#sejahterabersamaislam
#bpms

Ahad, 20 Ogos 2017

ISU MEMALI : SALAHUDIN AYUB PERTAHAN DR MAHATHIR

Apabila timbul kembali isu Memali, saya memang menunggu komentar daripada bekas pemimpin PAS termasuklah Haji Salahudin Ayub.

Nampaknya kali ini Salahudin lebih selesa untuk mempertahankan Dr Mahathir, tidak seperti dulu dan menyalahkan pihak lain yang kononnya cuba raih undi daripada orang Melayu.

Selagi isu Memali tidak diselesaikan maka selagi itulah ia akan dibicarakan dalam massa.

Sama ada Salahudin suka atau tidak, Dr Mahathir tidak terlepas daripada terlibat dalam isu yang menyayatkan hati ini.

Rabu, 16 Ogos 2017

PAS SEDIA BERI KERJASAMA TANGANI JENAYAH




PAS SEDIA BERI KERJASAMA TANGANI JENAYAH

SEGAMAT, 16 Ogos 2017 - Parti Islam SeMalaysia (PAS) kawasan Segamat pada hari ini telah mengadakan pertemuan Mahabbah dan menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Daerah Segamat di Ibu Pejabat Kontinjen Daerah Segamat petang tadi.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor kepada Supt. Raub bin Selamat di pejabatnya selepas kedua-pihak mengadakan perbincangan mengenai perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan beberapa cadangan telah dikemukakan kepada Ketua Polis Daerah Segamat untuk dipertimbangkan.

Pertemuan tersebut telah berjalan dengan harmoni dengan kedua-dua pihak telah memberikan pandangan dan idea yang baik dengan bermatlamatkan agar keselamatan masyarakat akan lebih terjamin pada masa akan datang.

Menurut Khairul Faizi, keselamatan adalah satu perkara yang sangat dititik-beratkan oleh masyarakat kerana setiap hari dilaporkan berlakunya pelbagai bentuk jenayah di seluruh negara. Masyarakat juga bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dapat dipertingkatkan dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam memberikan maklumat yang diperlukan.

Khairul Faizi juga berpendapat bahawa kesedaran mengenai jenayah perlulah dimulakan sejak daripada kecil lagi. Jenayah seperti 'Mat Rempit' dan penyalahgunaan dadah kebanyakkannya melibatkan golongan remaja dan anak muda.

Rombongan PAS kawasan Segamat telah diketuai oleh Encik Khairul Faizi yang diiringi oleh Hj Moin bin Mohd (Naib Yang Di Pertua PAS kawasan Segamat), Puan Nurzahrah binti Abdul Wahab (Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Segamat) Encik Mohd Daud bin Mohd Jan (AJK PAS kawasan Segamat), Encik Norhanif bin Othman (AJK Dewan Pemuda PAS kawasan Segamat) dan Cik Yuhanis binti Mohd Aris (AJK Dewan Muslimat PAS kawasan Segamat).

Sabtu, 12 Ogos 2017

TUAN GURU PRESIDEN PAS KEMBALI CERIA




Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Tuan Guru Presiden PAS kembali mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada pagi ini.
Alhamdulillah, gembira melihat TGHH kembali sihat & ceria

#SejahteraBersamaIslam

Jumaat, 11 Ogos 2017

TRKS UCAPAN PERBAHASAN RUU164 OLEH MP KOTA BHARU

*Teks Ucapan Perbahasan RUU 164 oleh YB Kota Bharu*  Ini  pendirian PAS. Lawan walau pun  BN bawa. kebenaran drp Allah. Kebenaran kawan kita, walau pun orang yang bawa itu musuh kita. Kebatilan musuh kita walau pun drp kawan kita.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, salam sejahtera. Saya ucap terima kasih kepada kerana diberi peluang untuk membahaskan pindaan Akta Rang Undang-undang 164 ini dan saya akan cuba menghabiskan dalam masa yang diberikan.
Pertamanya, saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan yang mulia ini berhubung dengan asal usul ataupun sejarah sedikit mengenai wujudnya Akta 164 ataupun Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976.

Saya berdasarkan kepada Hansard dalam Parlimen ini, di mana pada 4 November 1975, Akta 164 ini telah dibaca bagi kali yang kedua dan ketiga dan telah diluluskan pada tahun 1976. Akta 164 ini Tuan Yang di-Pertua, adalah dibuat hasil daripada recommendation ataupun pengesyoran suatu Royal Commission on Non-Muslim Marriage And Divorce Law yang telah dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya pada masa itu, Tan Sri Ong Hok Tai. Itu pada tahun 1970 ditubuhkan, recommendation dibawa oleh kerajaan pada masa itu, hanya di bawah ke Parlimen pada tahun 1975 dan diluluskan hanya pada tahun 1976. Rekod juga menunjukkan Tuan Yang di-Pertua, bahawa Akta 164 ini walaupun diluluskan dalam tahun 1976 tetapi hanya telah digazetkan untuk di-enforce atau kuat kuasa pada tahun 1982. Maknanya, enam tahun selepas daripada itu.

Point saya di sini, Tuan Yang di-Pertua, isu berkaitan dengan Akta 164 ini adalah satu isu yang rumit. Ia memerlukan satu Royal Commission, kemudian dibahaskan. Saya mempunyai rekod Hansard Parlimen. Ia dibahaskan antaranya oleh Ahli Parlimen pada masa itu Allahyarham Syed Jaafar Albar yang banyak memberikan pandangan kepada kerajaan pada masa itu bahawa undang-undang ini adalah satu undang-undang yang rumit kerana ia melibatkan kepentingan antara agama. Orang Islam ada kepentingannya, orang bukan Islam pun ada kepentingannya.

Oleh sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya daripada pihak parti saya pada hari ini untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan, mungkin lebih kurang sama dengan Yang Berhormat Ipoh Barat tetapi alasannya berbeza, supaya rang undangundang ini ditangguhkan oleh pihak kerajaan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk sama-sama kita bincang perkara ini. Ada wakil bukan Islam, ada wakil Islam dan kami bersedia untuk memberikan sumbangan ini, kerana sebagaimana Yang Berhormat Beruas kata tadi dan juga Yang Berhormat Shah Alam kata, isu agama pun ada, isu sosial pun ada. Semua hendak kepada keharmonian di dalam peruntukan ini.

Oleh sebab itu, pada asasnya, saya mencadangkan supaya ditangguhkan perkara ini untuk dibincangkan dalam satu jawatankuasa yang boleh dibincangkan dan difikirkan bersama. Itu perkara yang pertama, yang asas pada perbincangan saya.

Kalau sekiranya cadangan saya supaya kerajaan menangguhkan perbahasan ini kepada satu tarikh lain dan menubuhkan jawatankuasa tidak diterima ataupun tidak dipertimbangkan, saya hendak highlight-kan bahawa— sebagai seorang peguam— mungkin rang undang-undang ini bercanggah dengan banyak undang-undang yang sedang ada dalam negara kita ini.

Saya bagi satu contoh ya. Di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayahwilayah Persekutuan) 2003, di dalam seksyen 46(2) dengan jelas mengatakan bahawa,
_ “Jika salah satu pihak kepada satu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh mahkamah.”_

Maksud mahkamah di sini ialah mahkamah syariah. Jadi kalau seksyen 51 dibahas dan diluluskan, ia bercanggah dengan akta Kerajaan Persekutuan sendiri. Ini perlu diteliti dulu. Kalau boleh, buat consequential amendment bersama-sama. Itu pun tidak apa sudah. Itu yang pertama,

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Kedua, saya hendak highlight-kan peruntukan dalam cadangan pindaan ini juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A) di mana dengan jelas menyatakan bahawa bidang kuasa mahkamah syariah untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan orang-orang Islam.

_“The courts referred to in clause (1) shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of Syariah courts.”_
Apabila seorang bukan Islam masuk Islam, his personal law or her personal law is syariah law. Dia tertakluk mengikut Perkara 121(1A). Jadi, pindaan ini juga bercanggah dengan Perkara 121(1A).

Ketiga, ia juga jelas, sebagaimana dibahaskan oleh rakan saya daripada Ipoh Barat tadi, Perkara 12(4). Sama ada kita bersetuju atau tidak, inilah kedudukannya di mana di dalam Perlembagaan ini menyebutkan bahawa— saya baca dua-dua.

Dalam bahasa Inggeris _“For the purpose of Clause (3) the religion of a person under the age of 18 years shall be decided by his parent or guardian.”_
Saya baca bahasa Melayu, dalam softcopy. Saya tidak ada hardcopy.
_“Bagi maksud fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”_

Oleh sebab itulah di dalam kes yang diputuskan oleh Federal Court iaitu kes Subashini Rajasinggam versus Saravanan Thangatoray and others, Mahkamah Persekutuan, Federal Court telah memutuskan bahawa the translation atau interpretation of Perkara 12(4) iaitu guardian, disebut sini

_“Either husband or wife has the right to convert a child of marriage to Islam. The word ‘parent’ in Article 12(4) of the Federal Constitution which states that the religion of a person under the age of 18 shall be decided by his parents or guardian, means *a single parent*.”_

Ini keputusan yang mengikat kita pada hari ini, yang berhubung dengan tafsiran Perkara 12(4).

Jadi oleh sebab itulah, sekali lagi saya kata, kerajaan perlu tangguh pembentangan rang undang-undang ini. We form a committee consist of everyone yang ada kepentingan, stakeholders, kerana kita hendak mencari satu solution. Kami bukan mempertahankan hak orang Islam sahaja. Kita memikirkan juga hak orang bukan Islam. Akan tetapi without the committee, kita tidak boleh mengadakan perbahasan sebagai contohnya.

Tuan Yang di-Pertua, kalaulah tadi tangguh pun tidak boleh, kemudian terima inconsistency antara bill ini dengan undang-undang lain tidak diterima, saya hendak mencadangkan supaya kalau hendak diteruskan juga cadangan ini, perlu dibuat satu pindaan dan saya mencadangkan supaya di dalam Akta 164 ini, kerajaan menubuhkan satu badan yang dinamakan apa sahaja, mungkin mediation centre ataupun satu tribunal yang berkonsepkan mediasi supaya apabila satu-satu kes sama ada telah dibawa ke mahkamah ataupun sebelum dibawa ke mahkamah, pergi kepada mediation centre ini untuk pihak-pihak menyelesaikan masalah dan di sinilah berlakunya keharmonian. Kalau di mahkamah, mungkin dikatakan bias, sebagaimana Yang Berhormat Ipoh Barat sebut tadi. Mungkin bias dan sebagainya. Kita tidak boleh terima atau paling kurang - akan tetapi kalau ada arbitration, arbitrator, mediation, mungkin masalah-masalah ini dapat diselesaikan.

Untuk mediation ini, Tuan Yang di-Pertua, ini bukan satu perkara yang luar biasa. Di mahkamah-mahkamah sivil sekarang ini, dalam kes pertikaian kes-kes sivil, ada kebanyakan hakim-hakim menasihatkan pihak-pihak ini supaya pergi kepada mediation. Satu benda yang boleh dibuat.

Jadi atas sebab inilah, atas kepentingan semua pihak rakyat Malaysia kita, saya terus mencadangkan lagi bahawa mediation ini dijadikan satu konsep untuk  menyelesaikan masalah kerana Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya hendak juga beritahu rekod juga menunjukkan bahawa cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja ‘Ong’ tadi itu sebenarnya juga tidak dipersetujui oleh agama-agama lain contohnya agama Sikh, agama Buddha dan juga Kristian Katolik, tidak bersetuju dengan itu. Oleh sebab itu dia mengambil masa yang lama. This is a record yang ada.

Tuan Yang di-Pertua, saya berpandangan dengan rendah diri bahawa pindaan yang berada di hadapan kita sekarang ini belum dapat menyelesaikan masalah. Banyak lagi perkara yang akan pergi ke mahkamah dan akan dibuat pelbagai tafsiran dan sebagainya dan semua perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah. Saya stick kepada pandangan saya untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Terima kasih.


_Sumber Rujukan: Handsard Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 09 Ogos 2017_

Khamis, 3 Ogos 2017

Kenaikan yang tertangguh demi PRU14



KERISAUAN mendalam terhadap kemarahan rakyat yang kini semakin memuncak, kerajaan BN telah menangguhkan beberapa pelaksanaan cukai demi mendapatkan mandat baru.
Antaranya:
1. GST yang lebih meluas perlaksanaannya telah ditangguhkan. Pelaksanaan GST terhadap 60 jenis barangan makanan yang sepatutnya berlaku tahun ini telah ditangguhkan.
2. Cukai pelancongan yang meluas termasuk kepada pelancong tempatan. Kini cukai tersebut hanya dikenakan pada pelancong luar negara.
3. Kenaikan tarif elektrik yang tertangguh.
Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) dilaksanakan pada Januari 2014.
Di bawah sistem ini, kerajaan boleh menyemak semula kadar tarif setiap 6 bulan berdasarkan perubahan harga bahan api dan penjanaan. Tempoh untuk pelarasan itu tamat pada 30 Jun 2017 dan kerajaan telah menangguhkan penyelarasan itu setakat ini.
Menurut laporan Ketua Audit Negara 2017, pungutan hasil kerajaan merosot sebanyak RM6.7 bilion daripada RM219.1 bilion kepada RM212.4 bilion bagi 2016.
Jadi tidak hairanlah mengapa wujudnya cadangan-cadangan seperti di atas daripada kerajaan BN pada tahun ini. Mekanismenya sama, iaitu ia berbentuk menghisap duit rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara sementara kebocoran dan ketirisan terus berlaku.
Ketiga-tiga cadangan di atas datang yakni kerana kerajaan BN kekurangan dana seperti yang dirasai di semua sektor awam hari ini.
Apa yang membingungkan rakyat terutamanya kakitangan kerajaan di sektor awam yang bergelut dengan potongan bajet ialah meskipun kekurangan dana, kerajaan BN terus memberikan hadiah, yang dikatanya bukan gula-gula politik sempena PRU14.
Contohnya, pengumuman ganjaran kepada para peneroka Felda yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini dianggarkan melebihi RM1 bilion dan insentif kepada tentera, terutama kepada tak berpencen dan yang tergolong dalam kumpulan B40.
Semua 'hadiah' ini datang di sebalik keperluan 1MDB membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion dalam 2 ansuran sebelum 31 Disember 2017.
Namun, kini semua cadangan itu ditangguhkan. Ini gara-gara kerana PRU14 semakin dekat dan BN sedang bergelut untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat.
Jika BN menang di PRU14 walaupun tidak menang undi popular, ini bermaksud rakyat telah memberikan mandat kepada cadangan-cadangan di atas dilaksanakan tanpa sekatan. Oleh itu, wahai rakyat Malaysia yang belum berdaftar, daftarlah sebagai pengundi sebelum terlambat.
Dan undilah PAS dan Gagasan Sejahtera. PAS menjanjikan pentadbiran yang bersih daripada rasuah sebagaimana yang tertera di dalam laporan Ketua Audit Negara 2016, di mana Pejabat Menteri Besar dan SUK Kelantan memperoleh markah 99.0% untuk Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 menewaskan negeri-negeri lain.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 2/8/2017

Rabu, 2 Ogos 2017

Pengiktirafan Audit Negara Satu Cabaran


KERAJAAN negeri menyifatkan pengiktirafan Jabatan Audit Negara terhadap Kelantan sebagai satu cabaran bagi mengekalkan rekod pada tahun-tahun akan datang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, penghargaan tersebut merupakan satu cabaran kepada kerajaan negeri.
Katanya, ia juga merupakan hasil daripada dasar dan pendekatan kerajaan negeri yang melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran berasaskan Islam.
"Ini juga adalah hasil daripada usaha bersama penjawat awam sehingga kita berjaya mencapai tahap sekarang," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim.
Laporan terbaru Jabatan Audit Negara memberi markah 99 peratus Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Prestasi itu mendahului negeri-negeri lain termasuk Selangor (96.20 peratus), Pulau Pinang (96.16 peratus), Terengganu (94.50 peratus), Johor (91.30 peratus) dan Kedah (90.01 peratus).
Laporan Audit Negara 2016 juga mendapati pencapaian pengurusan kewangan bagi 12 jabatan dan agensi negeri di Kelantan cemerlang.
Manakala lima jabatan dan agensi mendapat penarafan pada tahap baik. – HARAKAHDAILY 2/8/2017

Jumaat, 28 Julai 2017

Mengapa Saya Pilih Bas Ekpress Sebagai Pengangkutan Utama



Di antara sebab Bas Ekspress menjadi pilihan saya untuk bergerak khususnya ke selatan Tanahair kerana ia menjimatkan, merehatkan dan menepati masa.

Berbeza ke Utara, saya lebih memilih ETS sebagai pengangkutan yang lebih effisien, menjimatkan dan menepati masa. Tidak pastilah akan bila ETS ke Johor akan disiapkan tetapi ia pasti memudahkan perjalanan dengan kenderaan awam nanti.

Saya bertolak dari TBS pukul 9.30 pagi dan tiba di Batu Pahat lebih kurang pukul 12.45 tengahari. Manakala, saya bertolak dari Batu Pahat pukul 4.00 petang dan dijangka tiba di TBS kira-kira pukul 7.30 malam.

JIMAT, REHAT, EFISIEN DAN 'ONTIME'

#KKKL
#SATRIA
#SSINTERNATIONAL

Sentiasa Prihatin Dengan Saudara Kita Di Palestin

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Alhamdulillah, satu Demonstrasi Aman Solidariti Untuk Selamatkan Masjid Al-Aqsa telah berjaya diadakan selepas solat Jumaat tadi di perkarangan Masjid Sultan Ismail Batu Pahat.

Seperti mana yang dilaksanakan di seluruh tanahair, demonstrasi atau himpunan Aman ini diadakan bagi menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin dan mengecam tindakan Yahudi Zionist yang berterusan menzalimi penduduk Palestin dan menyekat umat Islam menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Selain daripada saya, turut berucap adalah Ustaz Nawfal Mahfodz, sdr Rosman Kemin, Ustaz Aliffuddin bin Ramlee dan ust Danial Hassan yang mengetuai Doa Wehdah.

Sdr Samsudin Jaafar telah bertindak sebagai Pengerusi Majlis.

Majlis walaupun agak kurang 'berseri' apabila YB Ustaz Abdullah Hussin, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen program bersama PAS Negeri Terengganu, namun tanpa kehadiran YB PJ majlis dapat diteruskan dengan sebaiknya dengan mandat yang diberikan.

Terima kasih kepada Jawatankuasa Himpunan yang diketuai oleh Timbalan Ketua DPPNJ Ustaz Nawfal kerana berjaya mengendalikan persiapan majlis dengan baik walaupun diberikan tugas dalam tempoh yang singkat. 

Terima kasih kepada pasukan Jabatan Amal Johor yang telah bertugas mengawal keselamatan dan pasukan PDRM yang bertugas.

"Sentiasa prihatin dengan nasib saudara kita di Palestine"

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor













Khamis, 27 Julai 2017

TIDAK WAJAR PLUS DIJUAL KEPADA SYARIKAT INDIVIDU - YB TAKIRI

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus*

Khamis 27 Julai 2017 | 03 Zulkaedah 1438H

*TIDAK WAJAR JUAL PLUS KEPADA SYARIKAT MILIK INDIVIDU*

1. Saya merujuk kepada suatu laporan oleh The Edge pada 24 Julai lalu yang menyatakan bahawa Tan Sri Abu Sahid Mohamad, pemilik Maju Holdings Sdn. Bhd. mahu mengambil alih syarikat pengendali konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd. dengan membeli 51% saham UEM Group Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

2. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa TS Abu Sahid Mohamad turut berhasrat untuk membeli 49% lagi saham PLUS Malaysia Bhd. milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

3. Sekalipun rundingan mengenainya masih belum dimulakan, apa yang mendukacitakan ialah apabila TS Abu Sahid Mohamad memaklumkan bahawa beliau amat yakin akan berjaya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd. kerana telah mendapat restu daripada pihak tertinggi dalam negara.

4. Oleh demikian, saya menggesa Kerajaan agar segera membuat penjelasan berhubung isu ini memandangkan PLUS Malaysia Bhd. adalah pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara yang memiliki dan menguruskan aset yang amat strategik milik negara yang tidak wajar untuk ia dipindahmilikkan kepada mana-mana syarikat milik individu lain.

5. Perlu diberikan perhatian bahawa lebuh raya ini adalah aset matang yang menyediakan peruntukan deviden yang stabil terutamanya kepada pencarum-pencarum KWSP. Sekiranya KWSP tidak lagi mempunyai hak pemilikan ini, dividen kepada para pencarum pasti akan terjejas.

6. Selain itu, sekiranya ia tidak lagi menjadi milik Kerajaan, rundingan mengenai kenaikan kadar tol akan menjadi lebih terhad. Berbanding sekarang, kadar tol di jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 960 km itu tertakluk kepada kajian setiap 3 tahun dan hanya melibatkan agensi milik Kerajaan menjadikannya lebih anjal untuk dirundingkan termasuk boleh untuk membuat penangguhan.

7. Jika ia menjadi milik individu, penangguhan ini hampir mustahil boleh berlaku bahkan Kerajaan juga berkemungkinan menghadapi risiko lain seperti disaman dan meningkatkan perbelanjaan negara akibat perlu membayar pampasan justeru rakyat juga pastinya akan turut sama terbeban.

Sekian.

_*”Sejahtera Bersama Islam”*_

*YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1662155507127806&id=569086473101387

Buktikan Solidariti Kita

KEZALIMAN ZIONIS YAHUDI TIDAK AKAN BERHENTI

HAKIKATNYA rejim Zionist Israel tidak berhenti menzalimi rakyat Palestin dan umat Islam. Selagi mana hasrat mereka untuk menguasai bumi Palestin, membunuh dan mengusir rakyat Palestin, menceroboh dan merampas Masjid Al-Aqsa, maka selagi itu mereka tidak akan berhenti.

Umat Islam di Palestin hidup dalam keadaan tidak keruan, setiap masa berhadapan dengan tindakan ganas tentera Yahudi yang tiada belas kasihan dan ehsan.

Minggu yang lalu, dilaporkan bahawa Imam masjid Al-Aqsa, Sheikh Ikrima Sabri dikejarkan ke hospital selepas cedera ditembak de­ngan peluru getah oleh rejim zio­nis ketika menunaikan solat di luar pintu pagar masjid Al-Aqsa kerana menghalang mereka menunaikan solat di dalam perkarangan masjid. Malah terdapat di kalangan umat Islam  yang mati dan cedera dalam kejadian tersebut.

Buktikan solidariti kita bersama rakyat Palestin dan gesaan membebaskan masjidil Aqsa dari cengkaman Zionist Israel di saat dunia turut mengecam perbuatan keji ini!

Sejahtera Bersama Islam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.net
3 Zulkaedah 1438 bersamaan 27 Julai 2017

Rabu, 26 Julai 2017

SAUDARA BARU PERLU BANTUAN KITA



*SAUDARA BARU PERLUKAN BANTUAN KITA*

Pada 21 Julai yang lalu, PAS kawasan Segamat telah menziarahi seorang saudara baru iaitu Encik Ismail bin Abdullah kerana kami telah menerima maklumat berkaitan dengan keadaan beliau yang uzur dan keperluan untuk membantu menyiapkan rumah beliau.

Kami dibantu oleh sdr Hashim yang sangat rapat dengan sdr Ismail dan telah banyak membantu Ismail dalam pelbagai urusan.

Malangnya, pada hari tersebut kami dimaklumkan oleh adik Ismail bahawa Ismail telah dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat akibat Sakit jantung.

PAS kawasan Segamat telah meninjau dan melihat sendiri keadaan rumah tersebut dan telah menghulurkan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak bagi menyiapkannya.

Hari ini, sdr Hashim yang menguruskan kerja baikpulih ini telah menghantar maklumat terkini mengenai sdr Ismail yang telah kembali ke rumah dan proses membaiki rumahnya. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar namun masih ada kekurangan yang perlu ditampung lagi.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, sila hubungi *Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS kawasan Segamat , Haji Moin bin Abdul di Italian 0197307196* atau terus _bank in_ ke akaun *PAS KAWASAN SEGAMAT (Maybank : 5510 5231 2905) atau (BIMB : 0107 8010 0029 58)*

Sekian, wassalam.

Haji Moin bin Abdul
Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS kawasan Segamat
2 Zulkaedah 1438 bersamaan 25 Julai 2017.

RAYUAN SUMBANGAN PEMBUKAAN SRITI AL-UKHUWWAH KLUANG!




[MOHON BANTUAN SEBARAN - TERIMA KASIH]

Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) ialah sekolah rendah yang ditubuhkan bagi meneruskan kesinambungan dari pra-pendidikan Islam di Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI).

SRITI telah digerakan diseluruh negara secara serius pada tahun 2016 dan kini lebih dari 70 buah SRITI telah beroperasi seluruh negara.

Kurikulum SRITI berdasarkan sukatan KSSR dari Kementerian Pendidikan , Diniyyah (Silibus Kaffah) dan Tahfiz.

Sebagai sekolah rendah harian , SRITI berharap agar anak-anak dapat menguasai 6juzuk selepas mereka tamat pembelajaran di SRITI.

Jabatan SRITI Kluang telah ditubuhkan pada tahun ini bagi memastikan hasrat dan kesinambungan PASTI Kawasan Kluang dapat teruskan pada peringkat yang seterusnya.

SRITI Tahfiz Al Ukhuwwah , Kluang bakal beroperasi sementara pada tahun 2018 di Bangunan dan premis lama PASTI Al Ukhuwwah Cawangan Kg. Bentong Kluang bagi penjimatan kos operasi dan dalam masa yang sama Jabatan SRITI Kluang giat mencari dana pembangunan dan bangunan dan tanah bagi pertambahan murid pada tahun yang akan datang.

Jabatan SRITI Kluang mengalu-alukan sumbangan tuan/puan yang budiman bagi mencapai hasrat dan tujuan yang murni ini.

Bagi yang ingin menyumbang boleh disalurkan atas nama :

Teras Ilmuan Enterprise
(Syarikat pengurusan kewangan , perbekalan dan persekolahan Sriti Kluang)
Bank Islam Malaysia Berhad
01050010034073.

Maklumkan jumlah sumbangan tuan/puan kepada kami 019 726 0730 bagi tujuan rekod dan catatan semasa.

Ayuh , bantu kami bagi mencapai hasrat dan tujuan murni ini. Moga sumbangan derma tuan/puan menjadi jariah berkekalan. Insya Allah.

Terima Kasih.

Ustaz Muhammad Aliffudin Bin Ramlee.
Pengerusi Jabatan SRITI Kluang.
Timbalan Pengerusi Jabatan PASTI Kluang.

DOAKAN SAYA TERUS ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN - PAKCIK SHAABAN




DOAKAN SAYA TERUS ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN - PAKCIK SHAABAN

Petang semalam bersama sahabat PAS kawasan Segamat, kami ke Kampung Paya Lang menziarahi seorang aktivis PAS yang terlantar sakit sejak beberapa tahun yang lalu.

Ini adalah kali kedua saya berpeluang menziarahi beliau yang telahpun berusia 78 tahun dan tidak mampu untuk bergerak melainkan diusung dan diangkat oleh orang lain. Malah beliau telah hilang deria penglihatan dan  pendengarannya juga telah mula lemah.

Beliau adalah Encik Shaaban bin haji Abdul Kadir, merupakan aktivis lama PAS di Segamat. Rumah beliau menjadi 'markaz' PAS di Kampung Paya Lang dan menjadi lokasi pertama ceramah PAS di kampung ini.

Ditemani oleh isteri tersayang yang kian uzur dimamah usia namun terus bersama suami menjaga dan menguruskan kehidupan.

Kawasan rumah pakcik Shaaban termasuk dalam kawasan yang sering ditenggelami banjir. Bayangkan setiap kali air mula masuk ke dalam rumah, pakcik Shaaban terpaksa dipindahkan ke bahagian atas rumah untuk diselamatkan, mujurlah bantuan anak dan jiran yang tinggal berdekatan dengan rumahnya dapat membantu memindahkan pakcik Shaaban.

Namun, apa yang menyentuh hati saya, pakcik Shaaban berpesan supaya kami meneruskan perjuangan dan minta supaya doakan beliau agar terus beristiqamah dalam perjuangan sehingga ke akhir hayatnya.

Semoga Allah merahmati pakcik Shaaban dan memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
2 Zulkaedah 1438 bersamaan 26 Julai 2017

Selasa, 10 Januari 2017

TAHNIAH FAIZ SUBRI!

Alhamdulillah, akhirnya pemain tempatan tanahair mencipta nama di persada Bola Sepak Dunia dengan memenangi anugerah PUSKAS yang mungkin tidak pernah termimpi oleh kita semua.

Jaringan yang telah dilakukan oleh Faiz pada tahun lalu sememangnya menjadi salah satu jaringan terhebat dalam bola sepak dan ianya telah berjaya memenangi hati para peminat bola sepak untuk memberikan undian
sehingga membawa kemenangan.

Semoga kemenangan ini akan memberikan ransangan kepada Faiz untuk terus
mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kariernya dan menjadi contoh kepadapemain muda yang lain.

Faiz, terus konsisten dengan penampilan MENUTUP AURAT ketika di atas padang ya...

Khairul Faizi Ahmad Kamil 

---------------------------------------------------------------

Jaringan langgar 'hukum fizik' menang!
10 JANUARI 2017


KEJAYAAN Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa. 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi Bernama, berkata kejayaan itu membuatkan lebih ramai pemain lain akan berusaha untuk mencapai kejayaan di pentas bola sepak dunia.


"Kejayaan ini bukan sahaja buat dirinya namun ia penting bagi pemain lain meletakkan sasaran pencapaian peribadi mereka dalam bola sepak. Saya percaya sedikit sebanyak, ia akan memberi kesan positif kepada pemain lain," katanya.


Beliau berkata pengiktirafan terhadap jaringan penyerang Pulau Pinang itu sebagai gol tercantik di dunia sepanjang 2016 oleh FIFA di majlis anugerah berkenaan di Zurich, Switzerland pada Isnin, ternyata sesuatu yang luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia, sekali gus mengharumkan nama negara.

Pencapaian Mohd Faiz itu membuktikan pemain tempatan adalah setanding dan boleh 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan pemain handalan dunia. Bagaimanapun, bakat pemain tempatan masih perlu diasah bagi melahirkan pemain kelas dunia pula, kata Hamidin.


Pada awalnya, beliau berkata sama ada Mohd Faiz berjaya atau tidak meraih anugerah tersebut bukan persoalan utama kerana namanya yang disenarai pendek dalam pencalonan tiga jaringan tercantik di dunia pun sudah cukup membanggakan peminat tanah air.


Dua lagi calon ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemainwanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.


"Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Faiz daripada pihak FAM dan peminat bola sepak negara. Kemenangannya membuatkan seluruh dunia membuka mata dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia," katanya.


Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.


Sepakan melencong masuk ke gawang lawan itu membolehkan beliau bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu.


Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.


Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. - Bernama


Isnin, 9 Januari 2017

PAS 2017 - NIK ABDUH

PAS 2017

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .



Pada hujung 2014, bah besar melanda negeri Kelantan. Sangat besar sehingga tidak mungkin rakyat Kelantan melupainya. Beberapa bulan kemudian, pada pertengahan 2015, bah besar melanda PAS pula. Ia juga besar dan sangat sukar buat ahli PAS melupainya.

Bah besar adalah musibah. Setiap musibah pasti dibilang-bilang sebab dan akibatnya yang buruk-buruk. Tetapi nantinya akan terlihat hikmat dan kebaikan daripadanya. Ia kejadian dan takdir Allah yang selalu saja tersembunyi hikmat dan kebaikannya ditutup keburukan dan kecelakaan di mata kita manusia.

Justeru setiap musibah, selepas keburukannya mereda, ia akan menjadi nafas baru dan kebangkitan semula buat mangsanya. Ia hanya perlu kuat dan yakin. Jika tidak, musibah akan kekal menjadi musibah yang memanjangkan tempoh sedih, salah menyalah dan putus asa.

Kerajaan Kelantan dan rakyatnya telah berusaha bangkit daripada sengsara bah besar tersebut. Impak positif dicari-cari bagi meringankan tanggungan berat rasa terkejut, takut dan sedih. Bantuan semua pihak begitu banyak membantu pemulihan samada material dan kerohanian. Sudah pasti pemulihan terbaik adalah kepasrahan dan keyakinan yang tinggi terhadap kuasa Allah yang maha agong dan betapa dekatnya takdir Allah ke atas manusia.

PAS juga telah melalui proses yang sama. Kejutan perpecahan dan pergelutan amat dahsyat dirasakan. Ia seperti proses salin semula kulit yang amat jarang berlaku dalam parti. Kali terakhir adalah pada awal 80-an semasa konsep kepimpinan ulamak mula dibentuk. Ramai yang keluar parti kerana tidak setuju dan kecewa.

Tetapi PAS masa itu bangkit dengan cepat. Dalam beberapa tahun kemudiannya, ia memacu laju dengan kepimpinan baru yang lebih muda, bersemangat dan mahukan tajdid dan reformasi di dalam parti dan perjuangannya. Kejayaan mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990 menjadi bukti besarnya impak positif daripada musibah perpecahan dalaman PAS pada awal 80-an itu.

Apa yang berlaku ke atas PAS lebih 30 tahun lepas itu, itulah yang sedang berlaku ke atas PAS hari ini. Bah besar atau musibah pergelutan dalaman yang memuncak pada 2015 itu sudah pun mereda sakan. Walaupun masih dirasai kesannya yang buruk, tetapi impak positif yang merupakan hikmah tersembunyi daripada setiap musibah ciptaan Allah mula tumbuh, berputik dan hampir membuahkan hasil yang baik.

Gema bahawa ahli PAS akan keluar beramai-ramai berakhir dengan pendedahan jumlah ahli PAN yang sedikit dan gagal menepati sasaran awal mereka. Sebaliknya PAS terus menerima pendaftaran ahli baru yang berkali ganda lebih ramai berbanding rekod bilangan ahlinya yang dikesan keluar parti dan masuk PAN. Lebih meyakinkan, pendaftaran ahli baru menyaksikan lebih 70 peratus adalah daripada kalangan anak muda.

Begitu juga, paling menggegarkan adalah keluarnya singa-singa besar PAS daripada PAS. Bermula bekas Timbalan Presiden, naib-naib, AJK PAS Pusat dan nama-nama besar di semua peringkat, PAS diandai akan pecah besar dan berdepan kecelakaan yang boleh meranapkan segala kekuatan yang telah lama terbina. Bagi sesetengah yang sukakan perpecahan ini, mereka menganggap bahawa ia adalah satu hukuman dan balasan yang setimpal ke atas kepimpinan baru PAS dan ahlinya yang menolak kepimpinan lama yang keluar parti kemudiannya.

Tetapi yang pergi telah pun pergi. Ia tidak pula menghalang yang datang untuk terus datang. Kini yang pergi telah dilupai. Nama mereka tidak lagi disebut kecuali sebagai lawan politik yang dipalang oleh perbezaan pandangan yang nyata. Mereka tidak lagi dilihat mewakili pandangan asal PAS, bahkan sebagai bekas penyusup dan penyeludup pandangan dan idea luar yang nyata bertentangan dengan dasar dan prinsip parti.

Kepimpinan baru PAS menyerlahkan tokoh-tokoh baru yang bukan baru di dalam PAS. Mereka telah lama bekerja di dalam dan untuk PAS. Jika ditanya di mana mereka hari itu? Kita hanya perlu menjawab, mereka berada di tempat mana pengganti mereka hari ini yang tidak juga dilihat. Ada kepimpinan yang perlu dilihat seterang-terangnya. Ada kepimpinan dan tempat yang tiada pun keperluan untuk dilihat secara terang-terang. Sampai masanya mereka akan dilihat atau diperlihatkan.

Di dalam PAS, pentarbiyahan mengajar ahlinya agar bekerja dan terus bekerja tanpa perlu mengejar apa-apa untuk dilihat oleh manusia dan dinobat dengan kemasyhuran. Ia kekuatan tersembunyi yang dimiliki PAS semenjak lama. PAS sentiasa elegan dengan elemen kejutannya untuk negara.

Kepimpinan baru PAS adalah memenuhi tuntutan semasa. Selain barisan profesional, aktivis dan ulamaknya yang kompeten, kini lahir para ilmuan dan ahli akademik yang menyumbang secara langsung untuk PAS. Tenaga yang pernah menyumbang di universiti dan institusi ilmiah daripada yang berjawatan profesor, doktor falsafah dan pakar kini seiring sederap melangkah di medan siyasah yang lebih mencabar yang memerlukan penguasaan dari segenap segi dan segmen kegiatan dan aktiviti masyarakat yang pelbagai dan rencam.

Kekuatan dan energi inilah yang memungkinkan PAS secara berani memperkenalkan satu pendekatan dan strategi baru yang lebih berdaya saing memacu perjuangan PAS yang bertunjangkan dasar dan prinsip Islam yang nyata. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) dilancarkan oleh PAS bersama beberapa komponen sokongan lain yang bertujuan memahamkan dan menarik rakyat Malaysia untuk turut mendukung hala tuju perjuangan PAS ke arah membina negara Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Beberapa ciri dan kriteria utama di dalam BPMS seperti politik berprinsip, dakwah, berfakta, aman, berpenyelesaian Islam dan beberapa lagi, walaupun bukanlah suatu yang asing di dalam politik PAS, tetapi melalui BPMS, ia diperkasakan dan dijadikan satu budaya yang diharap mampu menjadi senjata utama di dalam membawa budaya politik negara yang lebih baik.

Kerana politik berprinsip dan berfaktalah, PAS mengambil pendirian menolak bekerjasama politik dengan DAP dan PAN. Kerana prinsip dakwah dan amanlah PAS meredakan ketegangan dengan Umno BN. Kerana politik berfakta yang menolak persepsi palsu dan berpenyelesaian Islamlah PAS memilih untuk menyokong dan membangkang sesuatu isu dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Budaya politik sejahtera juga menjemput PAS untuk terus meningkatkan jalinan hubungan dengan semua institusi rakyat yang dibentuk melalui jabatan-jabatan kerajaan dan NGO-NGO yang menyumbang kepada kebangunan dan kemajuan negara. PAS yakin semua pihak harus dan mesti diberi hak dan peluang untuk memberi dan menyumbang.

Mungkin bagi sesetengah ahli dan penyokong PAS, ia kelihatan mengelirukan. Tetapi melalui proses pembudayaan yang mungkin memakan masa yang tidak pendek, lama-kelamaan kekeliruan itu akan berganti kejelasan dan keyakinan terhadap pendekatan baru PAS tersebut.

Mendepani cabaran 2017 yang dilihat oleh kebanyakan pengamat politik sebagai tahun diadakan PRU14, PAS begitu yakin bahawa PAS adalah pilihan terbaik untuk rakyat dan negara. Segala kekusutan yang melanda negara mestilah diatasi dengan penyelesaian yang kukuh dan lestari. Ia adalah penyelesaian Islam yang jelas, mudah, adil dan menaungi kebenaran.

Seluruh jentera kerja PAS mestilah bergerak seiring memastikan kejayaan parti PAS. Lupakan musibah lepas yang melanda. Ia lumrah perjuangan yang harus ditempuhi dengan kesabaran, keyakinan, azam dan tawakkal. Semoga Allah mengurniakan istiqamah hingga akhir nanti.

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

NARAZA MUDA | .


Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baharu mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda. Kebiasaannya lantikan dibuat sebelum memasuki tahun baharu jika pengerusi yang lama tidak disambung perkhidmatannya yang tamat 31 Disember 2016. Bila pelantikan ini diumumkan melepasi minggu pertama awal tahun baharu, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Lagi pelik dan menghairankan apabila Tan Sri Isa Samad masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi. Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan Pengerusi Felda sebelum ini. Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017.  Kenapa Perdana Menteri tidak berani memberi tugasan menerajui FGV kepada Tan Sri Shahrir? Jika Shahrir mampu dilihat terbaik menerajui Felda, kenapa masih mengekalkan Isa?

Perkara ini hampir sama bila Isa menyingkirkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini, Datuk Emir Mawani Abdullah dan diganti dengan Datuk Zakaria Arshad , seorang anak peneroka Felda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  FGV. Isa dilihat masih tidak mahu melepaskan FGV. Perdana Menteri juga tidak berani singkirkan Isa. Datuk  Emir Mawani pernah mencetuskan perbalahan terbuka dengan Isa, Presiden FGV waktu itu membuat kenyataan, FGV  memutuskan cadangan pemilikan 37 peratus  saham PT Eagle dibatalkan kerana mendapat bantahan dari pemegang saham FGV.

Selang beberapa hari, Isa menyanggah kenyataan  Mawani, Isa mengatakan FGV tidak batalkan cadangan pemilikan saham PT EHP  tetapi ditangguhkan sementara urusan ini walaupun ada maklumat mengatakan FGV telah membayar ratusan juta sebagai komitmen untuk urusan pemilikan PT Eagle Hight Plantations (PT EHP) . Sebaliknya Isa memaksa Felda Investment Corporation (FIC ) meneruskan rundingan memiliki 37 peratus saham PT EHP anak syarikat Rajawali Group sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia.

Seolah-olah ada sesuatu kepentingan yang tidak akan dilepaskan Isa sehingga agenda peribadi beliau berjaya disempurnakan. Sebab itu bila tersebar maklumat di kalangan warga Felda, Tan Sri Isa akan terus menerajui Felda untuk beberapa tahun lagi, tentangan terhadap Isa kian melebar dan desakan bertali arus dari pelbagai pihak. Tindakan terbaharu dari kerajaan ini semakin menampakkan kecelaruan yang parah sedang dialami Felda.

Sudah tentunya Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan memberi perhatian kepada barisan kepimpinan pengurusan Felda sebagai langkah pertama. Semua perniagaan teras akan diteliti serta kewangan semasa sebenar Felda akan diberi penekanan sebagai langkah awal beliau memulihkan keyakinan 2 juta warga Felda dan rakyat Malaysia.

Felda yang menjadi pemegang saham terbesar FGV, sudah tentu akan menghadapi kesan besar daripada turun naik saham FGV. Tan Sri Shahrir  juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Tan Sri Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV. Langkah Shahrir akan terhalang, apa jua tindakan pengerusi Felda ini akan terencat merujuk perkembangan terkini. Apa yang Tan Shahrir boleh strukturkan hanya pada Felda, tetapi FGV tiada apa yang boleh dibuat, bahkan satu lagi pertembungan pengurusan akan terjadi.

Hampir semua anak syarikat dan aset Felda Holdings sebelum ini sudah diserahkan kepada FGV terutama tanah ladang sawit Felda seluas 360,000 hektar kini milik FGV. Aset ini merupakan 'angsa bertelur emas' bagi Felda kerana mampu memberi pendapatan tunai RM1.2 bilion hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Felda banyak menyelesaikan masalah dan membuka pelaburan baru hasil dari kewangan yang kukuh serta urustadbir yang cemerlang sehinggalah Tan Sri Isa dilantik Pengerusi Felda pada 2011.

Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holdings telah disingkir oleh Isa Samad dan digantikan Felda Hodings dengan FGV. Sejak dari ini banyak dana Felda dan FGV mulai digunakan untuk membuat pelaburan besar ratusan juta bahkan berbilion ringgit dalam dan luar negara. 

Di sinilah terletaknya cabaran utama pengerusi Felda yang baharu untuk memulihkan Felda dan yang paling utama keyakinan pengundi warga Felda di 317 tanah rancangan di 54 daripada 222 parlimen perlu dikekalkan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14. Pada PRU13 yang lalu, 51 kawasan parlimen telah dimenangi Barisan Nasional dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap kerusi Barisan Nasional.

Dengan dilema hutang ratusan ribu ringgit direkodkan kepada akaun peneroka yang sudah bergelar warga emas, pengurusan tanam semula yang banyak masalah, penjagaan ladang oleh Felda Technoplant yang teruk  gagal disembunyikan lagi oleh pengurusan Isa sebelum ini menambahkan lagi tugasan, cabaran pengerusi yang baharu. 

Tempoh parlimen yang ada sekarang hanya berbaki sekitar 2 tahun sahaja, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memerlukan satu 'keajiban' untuk  mengembalikan kecemerlangan Felda setelah hampir semua aset sebelum ini sudah menjadi milik FGV. Apakah pemberian durian runtuh RM15,000 setiap seorang peneroka sebelum penyenaraian FGV ke bursa saham sebelum ini akan akan diulangi pengerusi Felda yang baharu sebagai jalan mudah untuk meredakan kemarahan warga Felda?

Sama-sama kita nantikan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
8 Januari 2017 / 9 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 8/1/2017

Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor telah membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin, semalam.

Setiausahanya, Ustaz Muhammad Najhan Halim berkata, Akademi Tahfiz Mandarin itu bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam, Klang.

Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan dalam laman facebook dewan itu, semalam, sebagaimana di bawah.

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor melalui NGO rasminya Pertubuhan Pendakwah Selangor pada hari ini telah melakarkan sejarah buat pertama kalinya dan seumpamanya membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin (ATM).

Akademi Tahfiz Mandarin ini bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam Klang.

Pulau Ketam yang populasinya 99 peratus golongan masyarakat Tionghua adalah lokasi strategik sesuai dengan hasrat Akademi Tahfiz Mandarin ingin melahirkan para huffaz yang berkemampuan berbahasa Mandarin. Antara lain misi Akademi Tahfiz Mandarin iaitu untuk menyediakan keperluan pendakwah dan ulamak yang dapat menembusi kelompongan dan halangan budaya dan bahasa kepada sasaran dakwah masyarakat bukan Islam khasnya kaum Cina di negara ini.

Akademi Tahfiz Mandarin pada hari ini juga menerima pendaftaran seramai 36 orang pelajar berusia 13 tahun untuk jangka masa pengajian hafazan selama 5 tahun di samping subjek lain antaranya Bahasa Mandarin, ilmu Islam, akademik serta kemahiran.

ATM juga turut mendapatkan sokongan masyarakat tempatan sama ada daripada pihak berkuasa seperti Polis Pulau Ketam dan pemimpin setempat. Ketua Balai Polis Pulau Ketam Encik SM Jamal Ibrahim dalam sesi taklimat telah bersyukur dan berterima kasih kepada PPS kerana mengambil inisiatif yang mulia mewujudkan sebuah institusi Islam di Pulau Ketam sebagai satu mercu tanda usaha dakwah yang amat efektif.

Pengarah ATM Ustaz Mohammad Ibrahim @ UMC bagi pihak ATM dan PPS amat terharu dengan sokongan ibu bapa dan pihak masyarakat setempat yang menerima baik usaha ATM serta berharap cita-cita dan misi ATM dapat diterjemahkan dengan jayanya.

ATM memiliki seorang mudir yang berkelayakan dalam bidang hafazan, 2 orang guru hafazan yang hafiz Al-Quran, 2 orang tukang masak sepenuh masa dan seorang pembantu asrama. Semua kakitangan ATM akan ditempatkan sepenuh masa bersama pelajar tahfiz di Pulau Ketam.

ATM mengalu-alukan sumbangan derma, infaq dan wakaf daripada orang ramai bagi tujuan pengurusan, pembangunan dan pembelajaran ATM agar berjalan lancar dan sempurna.

Sumbangan boleh disalurkan ke butiran berikut:
Maybank: 5624 7816 3674
AITM RESOURCES
(Akademi Islam Tahfiz Mandarin dan Pertubuhan Pendakwah Selangor)

Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan diganjari-Nya. -HARAKAHDAILY 8/1/2017