Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Selasa, 10 Januari 2017

TAHNIAH FAIZ SUBRI!

Alhamdulillah, akhirnya pemain tempatan tanahair mencipta nama di persada Bola Sepak Dunia dengan memenangi anugerah PUSKAS yang mungkin tidak pernah termimpi oleh kita semua.

Jaringan yang telah dilakukan oleh Faiz pada tahun lalu sememangnya menjadi salah satu jaringan terhebat dalam bola sepak dan ianya telah berjaya memenangi hati para peminat bola sepak untuk memberikan undian
sehingga membawa kemenangan.

Semoga kemenangan ini akan memberikan ransangan kepada Faiz untuk terus
mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kariernya dan menjadi contoh kepadapemain muda yang lain.

Faiz, terus konsisten dengan penampilan MENUTUP AURAT ketika di atas padang ya...

Khairul Faizi Ahmad Kamil 

---------------------------------------------------------------

Jaringan langgar 'hukum fizik' menang!
10 JANUARI 2017


KEJAYAAN Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa. 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi Bernama, berkata kejayaan itu membuatkan lebih ramai pemain lain akan berusaha untuk mencapai kejayaan di pentas bola sepak dunia.


"Kejayaan ini bukan sahaja buat dirinya namun ia penting bagi pemain lain meletakkan sasaran pencapaian peribadi mereka dalam bola sepak. Saya percaya sedikit sebanyak, ia akan memberi kesan positif kepada pemain lain," katanya.


Beliau berkata pengiktirafan terhadap jaringan penyerang Pulau Pinang itu sebagai gol tercantik di dunia sepanjang 2016 oleh FIFA di majlis anugerah berkenaan di Zurich, Switzerland pada Isnin, ternyata sesuatu yang luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia, sekali gus mengharumkan nama negara.

Pencapaian Mohd Faiz itu membuktikan pemain tempatan adalah setanding dan boleh 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan pemain handalan dunia. Bagaimanapun, bakat pemain tempatan masih perlu diasah bagi melahirkan pemain kelas dunia pula, kata Hamidin.


Pada awalnya, beliau berkata sama ada Mohd Faiz berjaya atau tidak meraih anugerah tersebut bukan persoalan utama kerana namanya yang disenarai pendek dalam pencalonan tiga jaringan tercantik di dunia pun sudah cukup membanggakan peminat tanah air.


Dua lagi calon ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemainwanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.


"Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Faiz daripada pihak FAM dan peminat bola sepak negara. Kemenangannya membuatkan seluruh dunia membuka mata dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia," katanya.


Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.


Sepakan melencong masuk ke gawang lawan itu membolehkan beliau bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu.


Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.


Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. - Bernama


Isnin, 9 Januari 2017

PAS 2017 - NIK ABDUH

PAS 2017

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .



Pada hujung 2014, bah besar melanda negeri Kelantan. Sangat besar sehingga tidak mungkin rakyat Kelantan melupainya. Beberapa bulan kemudian, pada pertengahan 2015, bah besar melanda PAS pula. Ia juga besar dan sangat sukar buat ahli PAS melupainya.

Bah besar adalah musibah. Setiap musibah pasti dibilang-bilang sebab dan akibatnya yang buruk-buruk. Tetapi nantinya akan terlihat hikmat dan kebaikan daripadanya. Ia kejadian dan takdir Allah yang selalu saja tersembunyi hikmat dan kebaikannya ditutup keburukan dan kecelakaan di mata kita manusia.

Justeru setiap musibah, selepas keburukannya mereda, ia akan menjadi nafas baru dan kebangkitan semula buat mangsanya. Ia hanya perlu kuat dan yakin. Jika tidak, musibah akan kekal menjadi musibah yang memanjangkan tempoh sedih, salah menyalah dan putus asa.

Kerajaan Kelantan dan rakyatnya telah berusaha bangkit daripada sengsara bah besar tersebut. Impak positif dicari-cari bagi meringankan tanggungan berat rasa terkejut, takut dan sedih. Bantuan semua pihak begitu banyak membantu pemulihan samada material dan kerohanian. Sudah pasti pemulihan terbaik adalah kepasrahan dan keyakinan yang tinggi terhadap kuasa Allah yang maha agong dan betapa dekatnya takdir Allah ke atas manusia.

PAS juga telah melalui proses yang sama. Kejutan perpecahan dan pergelutan amat dahsyat dirasakan. Ia seperti proses salin semula kulit yang amat jarang berlaku dalam parti. Kali terakhir adalah pada awal 80-an semasa konsep kepimpinan ulamak mula dibentuk. Ramai yang keluar parti kerana tidak setuju dan kecewa.

Tetapi PAS masa itu bangkit dengan cepat. Dalam beberapa tahun kemudiannya, ia memacu laju dengan kepimpinan baru yang lebih muda, bersemangat dan mahukan tajdid dan reformasi di dalam parti dan perjuangannya. Kejayaan mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990 menjadi bukti besarnya impak positif daripada musibah perpecahan dalaman PAS pada awal 80-an itu.

Apa yang berlaku ke atas PAS lebih 30 tahun lepas itu, itulah yang sedang berlaku ke atas PAS hari ini. Bah besar atau musibah pergelutan dalaman yang memuncak pada 2015 itu sudah pun mereda sakan. Walaupun masih dirasai kesannya yang buruk, tetapi impak positif yang merupakan hikmah tersembunyi daripada setiap musibah ciptaan Allah mula tumbuh, berputik dan hampir membuahkan hasil yang baik.

Gema bahawa ahli PAS akan keluar beramai-ramai berakhir dengan pendedahan jumlah ahli PAN yang sedikit dan gagal menepati sasaran awal mereka. Sebaliknya PAS terus menerima pendaftaran ahli baru yang berkali ganda lebih ramai berbanding rekod bilangan ahlinya yang dikesan keluar parti dan masuk PAN. Lebih meyakinkan, pendaftaran ahli baru menyaksikan lebih 70 peratus adalah daripada kalangan anak muda.

Begitu juga, paling menggegarkan adalah keluarnya singa-singa besar PAS daripada PAS. Bermula bekas Timbalan Presiden, naib-naib, AJK PAS Pusat dan nama-nama besar di semua peringkat, PAS diandai akan pecah besar dan berdepan kecelakaan yang boleh meranapkan segala kekuatan yang telah lama terbina. Bagi sesetengah yang sukakan perpecahan ini, mereka menganggap bahawa ia adalah satu hukuman dan balasan yang setimpal ke atas kepimpinan baru PAS dan ahlinya yang menolak kepimpinan lama yang keluar parti kemudiannya.

Tetapi yang pergi telah pun pergi. Ia tidak pula menghalang yang datang untuk terus datang. Kini yang pergi telah dilupai. Nama mereka tidak lagi disebut kecuali sebagai lawan politik yang dipalang oleh perbezaan pandangan yang nyata. Mereka tidak lagi dilihat mewakili pandangan asal PAS, bahkan sebagai bekas penyusup dan penyeludup pandangan dan idea luar yang nyata bertentangan dengan dasar dan prinsip parti.

Kepimpinan baru PAS menyerlahkan tokoh-tokoh baru yang bukan baru di dalam PAS. Mereka telah lama bekerja di dalam dan untuk PAS. Jika ditanya di mana mereka hari itu? Kita hanya perlu menjawab, mereka berada di tempat mana pengganti mereka hari ini yang tidak juga dilihat. Ada kepimpinan yang perlu dilihat seterang-terangnya. Ada kepimpinan dan tempat yang tiada pun keperluan untuk dilihat secara terang-terang. Sampai masanya mereka akan dilihat atau diperlihatkan.

Di dalam PAS, pentarbiyahan mengajar ahlinya agar bekerja dan terus bekerja tanpa perlu mengejar apa-apa untuk dilihat oleh manusia dan dinobat dengan kemasyhuran. Ia kekuatan tersembunyi yang dimiliki PAS semenjak lama. PAS sentiasa elegan dengan elemen kejutannya untuk negara.

Kepimpinan baru PAS adalah memenuhi tuntutan semasa. Selain barisan profesional, aktivis dan ulamaknya yang kompeten, kini lahir para ilmuan dan ahli akademik yang menyumbang secara langsung untuk PAS. Tenaga yang pernah menyumbang di universiti dan institusi ilmiah daripada yang berjawatan profesor, doktor falsafah dan pakar kini seiring sederap melangkah di medan siyasah yang lebih mencabar yang memerlukan penguasaan dari segenap segi dan segmen kegiatan dan aktiviti masyarakat yang pelbagai dan rencam.

Kekuatan dan energi inilah yang memungkinkan PAS secara berani memperkenalkan satu pendekatan dan strategi baru yang lebih berdaya saing memacu perjuangan PAS yang bertunjangkan dasar dan prinsip Islam yang nyata. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) dilancarkan oleh PAS bersama beberapa komponen sokongan lain yang bertujuan memahamkan dan menarik rakyat Malaysia untuk turut mendukung hala tuju perjuangan PAS ke arah membina negara Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Beberapa ciri dan kriteria utama di dalam BPMS seperti politik berprinsip, dakwah, berfakta, aman, berpenyelesaian Islam dan beberapa lagi, walaupun bukanlah suatu yang asing di dalam politik PAS, tetapi melalui BPMS, ia diperkasakan dan dijadikan satu budaya yang diharap mampu menjadi senjata utama di dalam membawa budaya politik negara yang lebih baik.

Kerana politik berprinsip dan berfaktalah, PAS mengambil pendirian menolak bekerjasama politik dengan DAP dan PAN. Kerana prinsip dakwah dan amanlah PAS meredakan ketegangan dengan Umno BN. Kerana politik berfakta yang menolak persepsi palsu dan berpenyelesaian Islamlah PAS memilih untuk menyokong dan membangkang sesuatu isu dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Budaya politik sejahtera juga menjemput PAS untuk terus meningkatkan jalinan hubungan dengan semua institusi rakyat yang dibentuk melalui jabatan-jabatan kerajaan dan NGO-NGO yang menyumbang kepada kebangunan dan kemajuan negara. PAS yakin semua pihak harus dan mesti diberi hak dan peluang untuk memberi dan menyumbang.

Mungkin bagi sesetengah ahli dan penyokong PAS, ia kelihatan mengelirukan. Tetapi melalui proses pembudayaan yang mungkin memakan masa yang tidak pendek, lama-kelamaan kekeliruan itu akan berganti kejelasan dan keyakinan terhadap pendekatan baru PAS tersebut.

Mendepani cabaran 2017 yang dilihat oleh kebanyakan pengamat politik sebagai tahun diadakan PRU14, PAS begitu yakin bahawa PAS adalah pilihan terbaik untuk rakyat dan negara. Segala kekusutan yang melanda negara mestilah diatasi dengan penyelesaian yang kukuh dan lestari. Ia adalah penyelesaian Islam yang jelas, mudah, adil dan menaungi kebenaran.

Seluruh jentera kerja PAS mestilah bergerak seiring memastikan kejayaan parti PAS. Lupakan musibah lepas yang melanda. Ia lumrah perjuangan yang harus ditempuhi dengan kesabaran, keyakinan, azam dan tawakkal. Semoga Allah mengurniakan istiqamah hingga akhir nanti.

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

NARAZA MUDA | .


Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baharu mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda. Kebiasaannya lantikan dibuat sebelum memasuki tahun baharu jika pengerusi yang lama tidak disambung perkhidmatannya yang tamat 31 Disember 2016. Bila pelantikan ini diumumkan melepasi minggu pertama awal tahun baharu, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Lagi pelik dan menghairankan apabila Tan Sri Isa Samad masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi. Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan Pengerusi Felda sebelum ini. Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017.  Kenapa Perdana Menteri tidak berani memberi tugasan menerajui FGV kepada Tan Sri Shahrir? Jika Shahrir mampu dilihat terbaik menerajui Felda, kenapa masih mengekalkan Isa?

Perkara ini hampir sama bila Isa menyingkirkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini, Datuk Emir Mawani Abdullah dan diganti dengan Datuk Zakaria Arshad , seorang anak peneroka Felda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  FGV. Isa dilihat masih tidak mahu melepaskan FGV. Perdana Menteri juga tidak berani singkirkan Isa. Datuk  Emir Mawani pernah mencetuskan perbalahan terbuka dengan Isa, Presiden FGV waktu itu membuat kenyataan, FGV  memutuskan cadangan pemilikan 37 peratus  saham PT Eagle dibatalkan kerana mendapat bantahan dari pemegang saham FGV.

Selang beberapa hari, Isa menyanggah kenyataan  Mawani, Isa mengatakan FGV tidak batalkan cadangan pemilikan saham PT EHP  tetapi ditangguhkan sementara urusan ini walaupun ada maklumat mengatakan FGV telah membayar ratusan juta sebagai komitmen untuk urusan pemilikan PT Eagle Hight Plantations (PT EHP) . Sebaliknya Isa memaksa Felda Investment Corporation (FIC ) meneruskan rundingan memiliki 37 peratus saham PT EHP anak syarikat Rajawali Group sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia.

Seolah-olah ada sesuatu kepentingan yang tidak akan dilepaskan Isa sehingga agenda peribadi beliau berjaya disempurnakan. Sebab itu bila tersebar maklumat di kalangan warga Felda, Tan Sri Isa akan terus menerajui Felda untuk beberapa tahun lagi, tentangan terhadap Isa kian melebar dan desakan bertali arus dari pelbagai pihak. Tindakan terbaharu dari kerajaan ini semakin menampakkan kecelaruan yang parah sedang dialami Felda.

Sudah tentunya Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan memberi perhatian kepada barisan kepimpinan pengurusan Felda sebagai langkah pertama. Semua perniagaan teras akan diteliti serta kewangan semasa sebenar Felda akan diberi penekanan sebagai langkah awal beliau memulihkan keyakinan 2 juta warga Felda dan rakyat Malaysia.

Felda yang menjadi pemegang saham terbesar FGV, sudah tentu akan menghadapi kesan besar daripada turun naik saham FGV. Tan Sri Shahrir  juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Tan Sri Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV. Langkah Shahrir akan terhalang, apa jua tindakan pengerusi Felda ini akan terencat merujuk perkembangan terkini. Apa yang Tan Shahrir boleh strukturkan hanya pada Felda, tetapi FGV tiada apa yang boleh dibuat, bahkan satu lagi pertembungan pengurusan akan terjadi.

Hampir semua anak syarikat dan aset Felda Holdings sebelum ini sudah diserahkan kepada FGV terutama tanah ladang sawit Felda seluas 360,000 hektar kini milik FGV. Aset ini merupakan 'angsa bertelur emas' bagi Felda kerana mampu memberi pendapatan tunai RM1.2 bilion hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Felda banyak menyelesaikan masalah dan membuka pelaburan baru hasil dari kewangan yang kukuh serta urustadbir yang cemerlang sehinggalah Tan Sri Isa dilantik Pengerusi Felda pada 2011.

Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holdings telah disingkir oleh Isa Samad dan digantikan Felda Hodings dengan FGV. Sejak dari ini banyak dana Felda dan FGV mulai digunakan untuk membuat pelaburan besar ratusan juta bahkan berbilion ringgit dalam dan luar negara. 

Di sinilah terletaknya cabaran utama pengerusi Felda yang baharu untuk memulihkan Felda dan yang paling utama keyakinan pengundi warga Felda di 317 tanah rancangan di 54 daripada 222 parlimen perlu dikekalkan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14. Pada PRU13 yang lalu, 51 kawasan parlimen telah dimenangi Barisan Nasional dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap kerusi Barisan Nasional.

Dengan dilema hutang ratusan ribu ringgit direkodkan kepada akaun peneroka yang sudah bergelar warga emas, pengurusan tanam semula yang banyak masalah, penjagaan ladang oleh Felda Technoplant yang teruk  gagal disembunyikan lagi oleh pengurusan Isa sebelum ini menambahkan lagi tugasan, cabaran pengerusi yang baharu. 

Tempoh parlimen yang ada sekarang hanya berbaki sekitar 2 tahun sahaja, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memerlukan satu 'keajiban' untuk  mengembalikan kecemerlangan Felda setelah hampir semua aset sebelum ini sudah menjadi milik FGV. Apakah pemberian durian runtuh RM15,000 setiap seorang peneroka sebelum penyenaraian FGV ke bursa saham sebelum ini akan akan diulangi pengerusi Felda yang baharu sebagai jalan mudah untuk meredakan kemarahan warga Felda?

Sama-sama kita nantikan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
8 Januari 2017 / 9 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 8/1/2017

Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor telah membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin, semalam.

Setiausahanya, Ustaz Muhammad Najhan Halim berkata, Akademi Tahfiz Mandarin itu bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam, Klang.

Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan dalam laman facebook dewan itu, semalam, sebagaimana di bawah.

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor melalui NGO rasminya Pertubuhan Pendakwah Selangor pada hari ini telah melakarkan sejarah buat pertama kalinya dan seumpamanya membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin (ATM).

Akademi Tahfiz Mandarin ini bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam Klang.

Pulau Ketam yang populasinya 99 peratus golongan masyarakat Tionghua adalah lokasi strategik sesuai dengan hasrat Akademi Tahfiz Mandarin ingin melahirkan para huffaz yang berkemampuan berbahasa Mandarin. Antara lain misi Akademi Tahfiz Mandarin iaitu untuk menyediakan keperluan pendakwah dan ulamak yang dapat menembusi kelompongan dan halangan budaya dan bahasa kepada sasaran dakwah masyarakat bukan Islam khasnya kaum Cina di negara ini.

Akademi Tahfiz Mandarin pada hari ini juga menerima pendaftaran seramai 36 orang pelajar berusia 13 tahun untuk jangka masa pengajian hafazan selama 5 tahun di samping subjek lain antaranya Bahasa Mandarin, ilmu Islam, akademik serta kemahiran.

ATM juga turut mendapatkan sokongan masyarakat tempatan sama ada daripada pihak berkuasa seperti Polis Pulau Ketam dan pemimpin setempat. Ketua Balai Polis Pulau Ketam Encik SM Jamal Ibrahim dalam sesi taklimat telah bersyukur dan berterima kasih kepada PPS kerana mengambil inisiatif yang mulia mewujudkan sebuah institusi Islam di Pulau Ketam sebagai satu mercu tanda usaha dakwah yang amat efektif.

Pengarah ATM Ustaz Mohammad Ibrahim @ UMC bagi pihak ATM dan PPS amat terharu dengan sokongan ibu bapa dan pihak masyarakat setempat yang menerima baik usaha ATM serta berharap cita-cita dan misi ATM dapat diterjemahkan dengan jayanya.

ATM memiliki seorang mudir yang berkelayakan dalam bidang hafazan, 2 orang guru hafazan yang hafiz Al-Quran, 2 orang tukang masak sepenuh masa dan seorang pembantu asrama. Semua kakitangan ATM akan ditempatkan sepenuh masa bersama pelajar tahfiz di Pulau Ketam.

ATM mengalu-alukan sumbangan derma, infaq dan wakaf daripada orang ramai bagi tujuan pengurusan, pembangunan dan pembelajaran ATM agar berjalan lancar dan sempurna.

Sumbangan boleh disalurkan ke butiran berikut:
Maybank: 5624 7816 3674
AITM RESOURCES
(Akademi Islam Tahfiz Mandarin dan Pertubuhan Pendakwah Selangor)

Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan diganjari-Nya. -HARAKAHDAILY 8/1/2017

SEHARI LAGI PENANTIAN UNTUK FAIZ SUBRI


Jumlah tontonan jaringan Faiz Subri tertinggi
HANYA berbaki satu hari sebelum Anugerah Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berlangsung, bilangan penonton video jaringan menakjubkan finalis Anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd Faiz Subri terus mendahului dua pesaing lain.

Setakat 3 petang ini, video yang mula dimuat naik FifaTV di YouTube pada 21 November lepas terus mencuri tumpuan peminat apabila ia ditonton 2,362,950 kali.

Ia jauh meninggalkan video aksi jaringan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain bola sepak wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Jaringan 'ajaib' Mohd Faiz yang mendapat perhatian dunia itu dilakukan ketika pasukannya Pulau Pinang meraih kemenangan 4-1 ke atas Pahang pada perlawanan Liga Super pada 16 Feb tahun lepas.

Video aksi Marlone ketika menjaringkan gol melalui sepakan gunting ketika membantu pasukannya Corinthians mencatat kemenangan 6-0 ke atas Cobresal pada aksi Copa Libertadores, ditonton 1,474,416 kali.

Aksi memukau Daniuska menggelecek beberapa pemain ketika mewakili negaranya menentang Colombia sebelum menjaringkan gol pada Kejohanan Sudamericano Wanita Bawah 17 Tahun pula ditonton 1,157,572 kali di Youtube.

Anugerah Puskas dinamakan bersempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari tahun 1959 hingga 1966. – Bernama

Sabtu, 7 Januari 2017

AMALKAN MEMBACA AL-QURAN



Amalkan Membaca al-Quran

Tarikh: 
 Jun 09, 2010
Riwayat: 
 (Muslim)
Kategori: 
 Ibadah

Hadith: 

Dari Abu Musa r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta di tambatannya.

Huraian Hadith: 

Membaca al-Quran merupakan ibadah yang paling utama sesudah amal-amal fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah. 

Sesiapa yang meninggalkannya kerana keangkuhannya, nescaya Allah akan membinasakannya. 

Dan sesiapa yang mencari petunjuk pada selain-Nya, maka Allah akan menyesatkannya. 

Oleh itu kita diingatkan agar jangan melupakan al-Quran yang dibaca (diingat atau dihafal) kerana nabi s.a.w pernah bersabda: 

"Seburuk-buruk orang di antara kamu ialah yang mengatakan,"Aku lupa ayat ini dan itu," tetapi sebenarnya dia melupakannya. Hafallah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat perginya dari dada kaum lelaki daripada unta (yang terikat)." (Syaikhan dan at-Tirmidzi). Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"Maka berkata al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu al-Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membacanya mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangannya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya yang muslim pula diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Sumber : http://e-muamalat.gov.my/e-hadith/amalkan-membaca-al-quran


Jumaat, 6 Januari 2017

ALHAMDULILLAH KEMBALI BERBLOG DI SINI



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Pada 26 September 2016, saya telah membuat satu posting bertajuk "KEMBALI BERKARYA D SINI!" (http://www.khairulfaizi.net/2016/09/kembali-berkarya-d-sini.html) yang memaklumkan kepada semua teman-teman bahawa domain yang telah 'kehilangan' domainnya sejak beberapa bulan yang lalu akibat daripada terlepas pandang untuk 'renew' jangka hayatnya.

Maka saya telah terpaksa gunakan domain 'free' www.khairulfaizi73.blogspot.my dan mengucapkan selamat tinggal kepada www.khairulfaizi.net yang hanya dapat saya gunakan semula dengan kos lebih daripada RM 700.00 pada ketika itu.

Namun saya tidak menjangkakan bahawa domain tersebut dapat saya gunakan kembali apabila membelinya semalam dengan kos hanya RM 55.12 sahaja (termasuk GST).

Mudah-mudahan ia akan memberikan motivasi kepada saya untuk terus berkarya.

Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada perjuangan ini.

Sekian. Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.net
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Rabu, 4 Januari 2017

CERAMAH YB USTAZ NIK ABDUH NIK AZIZ



Luangkan masa mendengar ucapan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Ustaz Nik Abduh bin Nik Aziz tentang perjuangan PAS.

KENAIKAN HARGA MINYAK KETIKA AWAL MUSIM PERSEKOLAHAN, KESAN PENGAMALAN DASAR EKONOMI KONVENSIONAL


KENAIKAN HARGA MINYAK KETIKA AWAL MUSIM PERSEKOLAHAN, KESAN PENGAMALAN DASAR EKONOMI KONVENSIONAL
Oleh:
Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia

1. Sesebuah kerajaan berhak menaikkan atau menurunkan harga minyak sesuai dengan harga pasaran minyak dunia dan iklim ekonomi semasa. Penentuan harga minyak yang tidak bijak akan memberi implikasi terhadap pembangunan negara, khasnya dalam aspek pengeluaran dan bidang keberhasilan negara. Selain itu, ia juga akan memberi kesan terhadap keadaan sosio-ekonomi rakyat, samada mengalami pertumbuhan atau penguncupan, menguntungkan atau membebankan.
2. Pada waktu ini, majoriti rakyat menanggung beban kerana perlu berbelanja besar untuk persiapan awal persekolahan anak-anak. Belanja besar begini menjadi beban wajib yang dipikul setiap awal tahun. Beban semakin bertambah apabila berlaku kenaikan harga minyak dalam masa yang sama.
KEUTAMAAN MANUSIA DAN SUMBER ALAM
3. Jika dilihat daripada sudut tasawur & epistemologi Islam, keutamaan antara menguruskan sumber alam seperti minyak dengan menguruskan manusia (rakyat), manusia lebih menjadi keutamaan berbanding dengan alam kerana kedudukan manusia sebagai pengurus (khalifah) dan kedudukan alam sebagai sumber yang diurus. Kelengkapan & keperluan pengurus perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding sumber alam yang hendak diurus. Walaupun sumber alam yang ada tinggi kualitinya dan banyak kuantitinya, ia tetap akan musnah jika diuruskan oleh pengurus (manusia) yang tidak bijak mengurus.
ILMU SEBAGAI KEPERLUAN PENGURUS (MANUSIA)
4. Untuk mempersiapkan manusia sebagai pengurus alam (dalam istilah pembangunan dirujuk sebagai pelaku pembangunan atau development actor), manusia perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, samada melalui pengajian formal mahupun tidak formal. Dalam Islam, ilmu pengetahuan adalah perkara asas yang wajib dipenuhi. Dalam konteks manusia sebagai khalifah, mereka perlu menguasai ilmu fardhu ain sebagai ilmu teras yang perlu ada kepada setiap individu untuk pedoman dan pegangan hidup. Selain itu, ilmu fardhu kifayah juga perlu dikuasai oleh sebahagian rakyat sebagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan membangunkan negara.
5. Justeru itu, menguasai ilmu adalah perkara asas yang wajib ada kepada seorang manusia untuk memenuhi tugas sebagai khalifah. Maka, menuntut ilmu dan melaksanakan persiapan untuknya dikategorikan Islam sebagai perkara penting pada tahap daruriyat. Rakyat yang mempersiapkan anak-anak dengan perbelanjaan membeli kelengkapan untuk mendapatkan ilmu secara formal di sekolah adalah tindakan yang memenuhi tuntutan daruriyat.
6. Jika aspek daruriyat ini diabaikan oleh rakyat, maka dikhuatiri akan wujud implikasi negatif lain yang mengakibatkan tidak tertunainya kewajipan mereka kepada Allah SWT (habluminallah) dan kewajipan mereka kepada manusia lain (habluminannas).
DARURIYAT, HAJIYYAT DAN TAHSNIYYAT SEBAGAI UKURAN KEPERLUAN MANUSIA

7. Selain daruriyat, ada dua lagi tahap yang terdapat dalam konsep ekonomi Islam untuk mengukur tahap keperluan dan kehendak manusia (rakyat) iaitu hajiyyat dan tahsiniyyat. Hajiyyat adalah aspek yang memberikan kemudahan, kelapangan dan keselesaan kepada manusia. Manakala tahsiniyyat pula adalah keperluan manusia yang bersifat 'aksesori', ia berada pada keutamaan ketiga selepas daruriyyat dan hajiyyat.
8. Dalam isu ini, sumber alam seperti minyak dan isu-isu berbangkit mengenainya boleh dikategorikan berada dalam tahap hajiyyat, iaitu perkara yang memberikan kemudahan kepada manusia yang perlu menjadi keutamaan kedua selepas daruriyat. Manakala membuat persiapan membeli kelengkapan untuk persekolahan anak-anak pula dikategorikan dalam tahap daruriyat yang perlu menjadi keutamaan pertama. Sehubungan itu, aspek daruriyat perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dan polisi samada dalam aspek ekonomi, politik mahupun sosial.
EKONOMI ISLAM MENGGANTIKAN EKONOMI KONVENSIONAL

9. Kesimpulannya, kenaikan harga minyak disaat rakyat terbeban dengan kos persiapan awal persekolahan anak-anak, menunjukkan negara masih berada dalam kerangka ekonomi konvensional yang menjadikan pengeluaran dan keberhasilan sebagai ukuran utama pembangunan. Manakala manusia (rakyat) pula dianggap sebagai faktor pengeluarannya.
10. Sebaliknya, negara perlu keluar daripada kerangka ekonomi konvensional dan beralih kepada kerangka ekonomi Islam. Antara dua asas daripada asas-asas ekonomi Islam ialah; pertama, meletakkan manusia (rakyat) sebagai khalifah; dan kedua, membuat keputusan dan polisi dengan mengukur tahap keperluan serta keutamaan manusia terlebih dahulu, berdasarkan aspek daruriyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

Nota:
Penulisan artikel ringkas ini adalah berdasarkan ciri ketiga Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) iaitu "Politik Berasaskan Penyelesaian Islam". Kritikan yang diberikan terhadap isu kenaikan harga minyak turut dikemukakan dengan cadangan awal penyelesaian isu ini berdasarkan tasawur Islam (Islamic worldview).

Selasa, 3 Januari 2017

Kelantan garis enam strategi bagi harungi 2017


Kelantan garis enam strategi bagi harungi 2017

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggariskan enam strategi bagi menjayakan tema ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam: Peranan Penjawat Awam’ sempena tahun baru 2017.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata antara strategi itu, ketelusan dan kecekapan urustadbir, berhemat dalam perbelanjaan.


Menurutnya, selain itu pengukuhan sumber hasil, pengembangan ekonomi rakyat, pembangunan untuk rakyat.


“Yang keenam penggiatan dakwah dan bina Insan,” ujarnya.
Katanya, semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakan setiap agenda kerajaan negeri.


“Yakinlah dengan kesepakatan dan saling memperbaiki antara satu sama lain akan menjadikan negeri ini sentiasa aman,” ujarnya lagi.


Beliau turut mendedahkan, menerusi pengembangan ekonomi rakyat, kepesatan pembangunan di Kelantan telah mendorong pengurangan kadar kemiskinan di negeri itu.
Katanya, dalam tempoh antara tahun 1999 hingga 2012, seramai 34,440 orang telah berjaya dikeluarkan daripada paras kemiskinan, manakala  11,480 orang berjaya dikeluarkan daripada paras kemiskinan tegar.
“Tahniah diucapkan kepada jabatan dan agensi yang telah menyumbang secara langsung atau tidak  dalam aspek ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya sempena majlis amanat khas dan perhimpunan penjawat awam negeri Kelantan.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.
Hadir sama, ketua-ketua jajahan, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri semua peringkat.
Sementara itu, Ahmad turut menyampaikan anugerah pencapaian pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti bagi tahun 2015.
Anugerah itu diberikan kepada 13 jabatan dan agensi.
Antaranya, Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pembangunan Negeri, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Jabatan Air Negeri Kelantan.
Turut menerima anugerah, Majlis-Majlis Daerah Pasir Putih, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan beberapa lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2017

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

RAKYAT MALAYSIA MENDOAKAN KEJAYAAN FAIZ SUBRI

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Beberapa hari lagi Malaysia satu lagi sejarah bakal tercipta apabila seorang anak Malaysia akan ke Jerman untuk anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich pada 9 Januari akan datang.

Nama Mohd Faiz Subri mula meniti di bibir peminat tanahari apabila beliau berjaya melakukan satu sepakan yang luar dari biasa sehingga akhirnya dicalonkan ke peringkat akhir  

Gol sepakan percuma pemain Pulau Pinang ini tercalon dalam FIFA Puskas Award 2016. Gol cantik tersebut dijaringkan Faiz Subri dalam aksi Liga Super Malaysia ketika menantang pasukan Pahang di Stadium bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.

Jika dibandingkan dengan dua lagi calon, saya cukup yakin Faiz Subri akan bejaya memenangi anugerah kali ini. Ia bukan mustahil kerana rakyat Malaysia sudah membuktikan kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam dunia sukan.

Penampilan Faiz yang sentiasa memastikan agar AURAT sentiasa dijaga menjadikan beliau sebagai contoh yang sangat baik kepada pemain-pemain muslim khususnya pemain-pemain yang sedang meningkat naik. AURAT bukanlah halangan untuk pemain maju kehadapan.

Ia mengingatkan saya kepada lagenda hoki negara iaitu Nor Saiful Zaini  yang berjaya mempopularkan seluar 'tight' apabila tampil mewakili pasukannya termasuk pasukan Malaysia. 

Penampilan beliau telah berjaya diikuti oleh pemain Malaysia yang lain seperti Chairil Anwar dan Nor Azlan Bakar malah ia menjadi 'trend' yang berterusan kepada pemain muda masa kini.

Semoga kejayaan menanti Faiz Subri pada 9 Januari nanti!

Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
3 Januari 2017